|
Mohamad Nasir (dua, kanan) didakwa di mahkamah sesyen atas 27 pertuduhan salah guna kuasa. Foto: Sinar Harian |
GEORGETOWN - Seorang pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini, semalam atas 27 tuduhan menyalah guna kuasa untuk mendapatkan suapan RM141,000 dengan memilih syarikat milik adiknya, di pejabat Desasiswa Saujana, universiti tersebut.
Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim, 42, yang menjawat jawatan Profesor Madya mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Lelaki itu didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu penggawa Desasiswa Saujana, USM, telah menggunakan jawatannya untuk melakukan kesalahan menerima suapan dengan memilih syarikat Arena Mulia Enterprise untuk membekal dan memasang barang keperluan asrama Desasiswa USM.
Bapa kepada tiga anak itu, didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara November 2009 hingga Disember 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib menawarkan jaminan RM40,000.
Bagaimanapun, selepas rayuan Mohamad Nasir, Zulhazmi membenarkan lelaki itu diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes 28 Mei. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.