Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Jumaat, 21 November 2014

New York Dilanda Salji Tebal

Sebuah jentolak menolak salji di jalan raya di Seneca Barat di negeri New York, bagi membolehkan ambulans melaluinya.

Buffalo dilitupi salji setebal 1.68 meter selepas satu ribut salji yang melanda kelmarin

Gabenor New York, Andrew Cuomo telah mengarahkan petugas untuk membersihkan salji

Beberapa kawasan dilitupi salji setebal 2.4 meter.

Salji menyebabkan jalan-jalan raya tidak dapat dilalui dan beratus-ratus pemandu terperangkap selama beberapa jam

Berjuta-juta penduduk tidak dapat meninggalkan kediaman mereka selepas salji tebal melanda negeri itu

Pasukan penyelamat membantu seorang mangsa bencana salji

Warga emas merupakan mangsa yang paling menderita

Lagi warga emas dibantu

Cuaca panas yang dijangka melanda negeri itu hujung minggu ini bakal menyebabkan salji cair dan mengakibatkan banjir

Gabenor New York, Andrew Cuomo turun padang ke kawasan bencana


BUFFALO, Amerika Syarikat – Satu ribut salji terbaharu yang melanda bandar ini yang terletak di negeri New York semalam menyebabkan beberapa kawasan dilitupi salji setebal 2.4 meter.
Sehingga kini seramai tujuh penduduk dilaporkan terbunuh dalam bencana tersebut yang turut menyebabkan jalan-jalan raya tidak dapat dilalui dan beratus-ratus pemandu terperangkap selama beberapa jam.
Berjuta-juta penduduk juga tidak dapat meninggalkan kediaman mereka selepas salji tebal yang merupakan terburuk melanda negeri itu menyukarkan mereka untuk keluar atau pergi ke tempat kerja.
Sebanyak 100 kenderaan dilaporkan terperangkap di sebuah lebuh raya sepanjang 212 kilometer di negeri ini.
Sebuah bas yang membawa anggota pasukan bola keranjang wanita Universiti Niagara pula terperangkap selama 30 jam dalam kenderaan mereka sebelum berjaya diselamatkan.
Sementara seorang wanita mengandung terpaksa melahirkan anaknya di balai bomba di bandar ini kerana salji tebal yang melitupi jalan raya menyebabkan dia tidak dapat ke hospital.
Buffalo dilitupi salji setebal 1.68 meter selepas satu ribut salji yang melanda kelmarin dan satu lagi ribut salji semalam menambah timbunan salji setinggi hampir satu meter lagi.
“Kami sudah melakukan apa yang perlu tetapi salji ini merupakan yang terburuk dalam sejarah,” kata Gabenor New York, Andrew Cuomo.
Cuomo juga memberi amaran cuaca panas yang dijangka melanda negeri itu pada hujung minggu ini bakal mengakibatkan salji berkenaan cair sekali gus menyebabkan risiko banjir.
Pakar kaji cuaca turut meramalkan hujan melanda negeri itu pada hujung minggu ini. – AP/ Kosmo!

Terengganu Dilanda Banjir

Orang ramai melihat jalan runtuh di Kampung Tanjung Pantai selepas hujan tanpa henti lebih 10 jam. Foto: myMetro

Penduduk membantu menolak kereta yang ditenggelami air di Taman Murni Permai, Tok Jembal. Foto: myMetro

Rosni membersihkan rumahnya yang dimasuki air hujan akibat atap diterbangkan angin. Foto: myMetro

Beberapa jalan utama terpaksa ditutup. Foto: Syahirah Abdullah


KUALA TERENGGANU - Banjir di Terengganu bertambah buruk malam ini apabila 4,813 mangsa dipindahkan berbanding 3,863 petang tadi.
Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah dalam kenyataanya berkata sehingga 9 malam ini, dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka masing-masing di Setiu dan Besut menjadikan jumlah keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka kini ialah 38 buah.
“Di daerah Setiu, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Balai Raya Kampung Jelapang yang menempatkan 16 mangsa dari lima keluarga.
“Di Besut pula, pusat pemindahan yang baru dibuka ialah Surau Kampung Pengkalan Kubur yang melibatkan 43 mangsa dari 14 keluarga,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat banjir di negeri ini dengan menghubungi bilik gerakan bencana negeri di talian 09-6316021 atau melayari laman web etindakan.terengganu.gov.my. - Bernama

Seorang mangsa menimnggal dunia akibat lemas selepas kereta yang dinaikinya terhumban ke dalam parit.

Jalan pantai ke Batu Rakit yang terletak di belakang UMT turut rosak teruk. Foto: Pembaca Harian Metro

Kawasan UMT dinaiki air dan Naib Canselor UMT mengumumkan cuti darurat. Foto: Pembaca Harian Metro

Kawasan di sekitar UMT. Foto: Pembaca Harian Metro

Kawasan di sekitar UMT. Foto: Pembaca Harian Metro

Kawasan di sekitar UMT. Foto: Pembaca Harian Metro


KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila mengorbankan remaja perempuan selain seramai 3,863 orang dipindahkan ke 36 pusat pemindahan di beberapa daerah di negeri ini.
Pelajar tingkatan satu itu ditemui lemas dalam telaga di belakang rumah datuknya di Kampung Jelapang, Bandar Permaisuri di Setiu petang semalam menjadikan korban pertama mangsa banjir di negeri ini.
Menurut portal e-Tindakan Bencana Terengganu, Dungun menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan 16 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah itu.
Di Setiu, banjir menyebabkan 280 mangsa dari 63 keluarga ditempatkan di 14 lokasi pusat penempatan banjir.
Di Besut, 215 mangsa dari 57 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Kampung Beris Pak Abu dan Surau Sekolah Kebangsaan (SK) Beting Lintang.
Beberapa sungai utama di seluruh Terengganu juga berada pada paras membimbangkan ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam.
Di KOTA BHARU, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas melepasi paras bahaya dan terus meningkat pada 1 tengah hari.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang ialah 9.07 meter melepasi paras bahaya 9 meter.
Bagaimanapun, sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utama ditutup berikutan banjir. - myMetro

Khamis, 13 November 2014

Kedah Dilanda Puting Beliung

sebuah rumah di Kampung Sungai Nonang yang rosak angkara puting beliung. Foto: myMetro



ALOR SETAR - “Saya sangka objek berterbangan di langit itu burung, rupanya puluhan zink rumah penduduk kampung yang diterbangkan puting beliung,” kata Rosliyah Yaacob dari Kampung Sungai Nonang, Jalan Kuala Kedah-Yan, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, 20 rumah, empat rumah kedai dan satu kandang kambing rosak dilanda puting beliung.
Pusaran angin kencang selama lima minit itu turut menyebabkan sebuah kereta Proton Wira milik seorang penduduk tercampak dan tersangkut pada sebatang pokok sejauh kira-kira 10 meter dari bangsal tempat menyimpannnya.
Rosliyah, 49, berkata, dia menyedari kejadian ketika sedang mengutip sabut kelapa di depan rumah apabila melihat banyak objek terutama zink yang berterbangan di udara sebelum dimaklumkan penduduk banyak rumah rosak akibat puting beliung.
“Saya nampak puting beliung datang dari arah sawah menuju laut dan hilang perlahan-lahan sebelum hujan lebat.
“Sebaik hujan berhenti, saya ke rumah jiran dan nampak banyak rumah rosak. Bagaimanapun, rumah saya selamat,” katanya ketika ditemui, semalam.
Penduduk lain, Che Tom Ahmad, 55, pula berkata, ketika kejadian itu, dia berada di dapur manakala dua anaknya berusia 14 dan 16 tahun berada dalam bilik.
Katanya, dia terdengar bunyi seperti enjin helikopter yang kuat dari atas rumah dan mengesyaki sesuatu akan berlaku lalu menjerit memanggil anaknya supaya menyelamatkan diri.
“Belum sempat berbuat apa-apa, saya nampak pusaran angin menerbangkan atap zink manakala kayu jatuh ke lantai satu persatu.
“Kami tiga beranak cuba keluar dari rumah, tetapi terperangkap dengan zink yang jatuh bertimpa-timpa lalu berlindung di ruang tamu sambil berdoa supaya selamat,” katanya.
Che Tom berkata, ketika kejadian, suaminya, Zainol Mustafa, 57, sedang bekerja di kilang padi berhampiran dan bersyukur kerana mereka bertiga tidak cedera.
Seorang lagi penduduk, Azizah Yahya, 48, berkata, dia bersama tiga anak yang berusia lima, 14 dan 17 tahun sempat berlindung dalam bilik sebaik terdengar bunyi pusaran angin yang datang dari tepi rumah.
“Apabila keluar selepas angin itu tiada, saya nampak kereta Proton Wira milik suami, Jamal Mat Ali, 49, tersangkut pada pokok dan rosak teruk,” katanya.
Ia adalah kejadian keempat puting beliung berlaku dalam tempoh dua bulan di dua daerah di negeri ini selepas kejadian di Pendang; Kampung Sungai Baru di Kuala Sungai dan Taman Wira Mergong, di sini, yang menyebabkan banyak rumah rosak. - myMetro



ALOR SETAR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengakui fenomena pembentukan puting beliung yang terlalu kerap terjadi di Kedah sejak akhir-akhir ini sebagai suatu 'misteri' yang perlu dirungkai terutama dalam mencari punca pembentukannya di negeri ini.
Bagaimanapun, Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, tidak menolak kemungkinan kekerapan pembentukan puting beliung di negeri ini pada kadar yang kerap iaitu tiga kes dalam tempoh hampir sebulan, mempunyai kaitan dengan perubahan monsun.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan melakukan kajian mengenai fenomena itu untuk mencari sebab utama kenapa Kedah kini dilihat begitu sinonim sekali dengan pembentukan puting beliung yang kebiasaannya terbentuk di sekitar benua Amerika Syarikat.
"Puting beliung pernah direkod melanda beberapa negeri di sekitar Semenanjung pada tahun 2010 lalu iaitu di Pulau Pinang, Perlis dan juga Selangor, namun kejadian itu tidak sekerap yang berlaku di Kedah sejak akhir-akhir ini.
"Apa pun kita akan kaji kenapa fenomena ini boleh terbentuk di Kedah termasuk menilai kenapa ia berlaku dan apa punca serta kriteria yang menyebabkan puting beliung terbentuk... paling penting kita nak tahu kenapa Kedah menjadi destinasinya," katanya kepada BH.
Pada 14 Oktober lalu sekurang-kurangnya 10 premis membabitkan kediaman dan sebuah sekolah sekitar Kampung Alor Besar di Pendang, rosak teruk dilanda puting beliung yang disahkan dari jenis 'landspout', sebelum satu lagi insiden sama melanda lima kawasan terutama di Kampung Mergong Hilir, Kampung Sungai Baru dan Kampung Batin, di sini, menyebabkan 72 rumah serta klinik desa rosak, Jumaat lalu.
Terbaharu, angin kencang seakan-akan puting beliung disahkan jenis 'downdraft' turut melanda kawasan Taman Wira Mergong, di sini, petang kelmarin menyebabkan kira-kira 13 rumah rosak.
Ditanya mengenai peralihan monsun yang dikaitkan sebagai punca paling dekat pembentukan puting beliung di Kedah, Mohd Hisham berkata, ia menyebabkan angin datang dari pelbagai arah, malah keadaan atmosfera juga aktif semasa ini menyebabkan mudahnya pembentukan awan ribut.
"Keadaan ini sekali gus memudahkan pembentukan puting beliung, namun dari segi saintifiknya kita tak berapa pasti mengapa fenomena itu kerap terjadi dan ia pula tertumpu di Kedah sahaja.
"Hakikatnya sistem ramalan cuaca sama ada di negara ini atau di negara luar, tidak mempunyai keupayaan mengesan pembentukan puting beliung ini... maksudnya kita tak tahu di mana puting beliung itu akan bermula atau terbentuk.
"Malah, saiznya puting beliung yang terlalu kecil iaitu kurang daripada satu kilometer (km) turut menyukarkan usaha untuk mengesan pembentukannya. Kita ambil contoh puting beliung darat yang membadai beberapa kawasan di Kedah, ia hanya bersaiz kira-kira 20 hingga 30 meter dengan pergerakan 30 kilometer sejam (km/h)," katanya.
Fakta
Rekod kejadian puting beliung di Malaysia
28 Oktober 2010 - lebih 50 premis majoritinya rumah kediaman dilapor rosak akibat puting beliung di Jejawi, Perlis.
13 Jun 2010 - beberapa kawasan perumahan, gerai penjaja dan lebih 100 pokok tumbang dilanda puting beliung di Kota Damansara.
15 November 2010 - kejadian puting beliung direkodkan di kawasan Gurney, Pulau Pinang.
14 Oktober 2014 - 10 rumah kediaman dan sebuah sekolah di Pendang rosak dipukul puting beliung.
31 Oktober 2014 - 72 rumah dan satu klinik desa sekitar lima kawasan di Alor Setar rosak dilanda puting beliung.
2 November 2014 - 13 rumah rosak dilanda angin berpusar seakan-akan puting beliung di Taman Wira Mergong di Alor Setar - Suzalina Halid/ Berita Harian

Khamis, 6 November 2014

Banjir Di Cameron Highlands

Lebih 20 rumah dan beberapa kenderaan dihanyutkan banjir lumpur di sekitar Cameron Highlands. Foto: NSTP

Kereta rosak akibat terlanggar tiang di pekan Ringlet petang semalam. Foto: NSTP

Banjir lumpur di Pekan Ringlet akibat hujan lebat petang tadi. Foto: Ehsan Bomba

Seorang budak lelaki lemas dan seorang lelaki Nepal mati tertimbus. Foto: NSTP


CAMERON HIGHLANDS - Seorang budak lelaki berusia 13 tahun dilaporkan lemas dihanyutkan air manakala seorang pekerja kebun sayur warga Nepal maut ditimbus tanah runtuh susulan hujan lebat dan banjir lumpur di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang tadi. 
Malam tadi, kira-kira 150 orang daripada 37 keluarga di Pekan Baru Ringlet dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Ringlet berikutan keadaan banjir yang semakin buruk.
Kawasan terjejas hanya terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, setakat malam tadi, kawasan berkenaan belum terjejas.
Insiden lemas membabitkan budak lelaki itu dilaporkan berlaku di Kuala Terla dan mangsa juga dipercayai seorang warga asing.
Kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa lelaki Nepal itu pula dilaporkan berlaku di Jalan Ringlet. - Berita Harian

Selasa, 30 September 2014

Ribut Kuat Di Shah Alam

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli

Foto: Siakap Keli


SHAH ALAM - Lebih 100 rumah rosak dengan atap gentingnya diterbangkan serta beberapa kereta turut dihempap pokok tumbang berikutan kejadian ribut kuat yang melanda sekitar bandar raya ini petang tadi. 
Laluan masuk ke kawasan perumahan yang terletak di Jalan Arca, Bukit Jelutong Timur terpaksa ditutup sementara waktu untuk operasi pembersihan apabila pokok-pokok di tepi jalan tumbang sehingga menutup laluan. 
Seorang pengawal keselamatan dari sekitar kawasan perumahan itu yang enggan mahu dikenali ketika ditemui pemberita berkata kejadian ribut disedari berlaku kira-kira pukul 2.10 petang ketika beliau berada di pos pengawal. 
"Hujan lebat terbentuk seperti satu puting beliung yang datang dari arah tepi pos pengawal sebelum bergerak ke kawasan perumahan itu dan menyebabkan atap genting tercabut dan pokok tumbang," katanya. 
Menurut seorang pemilik rumah dari Bukit Jelutong Muhammad Farid Abgani, 40, rumahnya dibanjiri air selepas atap genting tercabut ekoran ribut tersebut. 
"Pokok di depan rumah saya tumbang, tetapi bernasib baik ia tumbang ke arah jalan raya dan bukan ke arah rumah saya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Bomba (Operasi) Selangor, Mohd Sani Harul berkata sebanyak 15 anggota dari Balai Bomba Shah Alam dan Sungai Buloh dihantar ke enam lokasi berbeza di sekitar Persiaran Tebar Layar akibat pokok tumbang dan menghalang laluan. 
Katanya, sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua orang turut dihempap pokok, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba. 
Majlis Bandaraya Shah Alam pula dalam satu kenyataan berkata ia telah menghantar unit pasukan pantas mereka ke lokasi pokok tumbang termasuk di Seksyen U8, Seksyen U2, Seksyen 8 dan Seksyen 9. - BERNAMA

Isnin, 8 September 2014

Banjir Dahsyat Di Srinagar

Mangsa banjir beratur untuk menaiki sebuah helikopter selepas penempatan mereka ditenggelami air.

Tentera India membantu memindahkan mangsa banjir

Sebuah jambatan dihanyutkan banjir deras

Penduduk berpusu-pusu menyeberangi jambatan dengan berjalan kaki

Sekumpulan penduduk memerhatikan jambatan dihanyutkan air sungai yang deras

Kawasan kediaman yang ditenggelami air di Srinagar

Bilik pameran kereta Honda turut ditenggelami air

Pemandangan banjir di suatu kawasan di Srinagar

Wanita ini meratap kerana kehilangan rumah kediaman akibat banjir


SRINAGAR - Banjir dahsyat melanda ibu kota wilayah Kashmir India di sini semalam, sekali gus memaksa beratus- ratus penduduk berpindah selepas Perdana Menteri Narendra Modi tiba di wilayah berkenaan untuk melihat sendiri kemusnahan yang berlaku. 
Setakat ini, hampir 250 orang terkorban di rantau Himalaya yang berjiran dengan Pakistan itu sejak hujan monsun mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh menyebabkan berpuluh-puluh buah rumah ranap beberapa hari lalu. 
Pasukan tentera dan petugas kecemasan lain telah dikerahkan ke kawasan berkenaan bagi membantu operasi memindahkan mangsa banjir yang terperangkap menggunakan bot dan helikopter. 
Sungai utama di rantau itu, Sungai Jhelum melimpah dan menenggelamkan beberapa kawasan di sini semalam turut memaksa penduduk naik ke bumbung untuk menyelamatkan diri. 
"Saya mahu merayu kepada orang ramai supaya tidak panik," kata Ketua Menteri Omar Abdullah dalam satu sidang akhbar di sini. 
Modi tiba bertemu Omar dan beberapa pegawai agensi kecemasan di samping menilai situasi di Kashmir. 
Banjir yang melanda kali ini disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh lima dekad. 
Beberapa ribu kampung di seluruh Jammu dan rantau Kahsmir dilanda banjir dengan 350 buah kampung ditenggelami air. 
Dalam pada itu, tentera India yang dibantu 22 buah helikopter dan empat pesawat setakat ini berjaya memindahkan seramai 11,000 penduduk ke kawasan selamat. - AFP/ Kosmo!

Isnin, 25 Ogos 2014

Gempa Bumi 6.0 magnitud Landa Utara San Francisco

Sebuah bangunan di Napa rosak dalam gempa bumi yang berlaku awal hari ini 

Keadaan di sebuah pasar raya selepas gempa bumi

Keadaan di sebuah kedai arak

Anggota bomba sedang memadamkan api kebakaran 

Sebuah bangunan bersejarah di Napa turut rosak

Seorang penduduk sedang memeriksa kerosakan rumah bergeraknya selepas kejadian gempa

Foto yang dihantar ke media sosial menunjukkan kerosakan yang berlaku di sebuah rumah

Serpihan bata bangunan di sebatang jalan raya di bandar Napa


NAPA, California - Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda utara San Francisco awal hari ini menyebabkan kira-kira 100 orang cedera, kerosakan pada bangunan bersejarah dan kediaman terbakar serta gangguan bekalan elektrik di sini. 
Gempa yang dianggap paling kuat di negeri itu sejak 25 tahun mencemaskan penduduk yang sedang tidur apabila ia melanda pada kira-kira jam 3.20 pagi waktu tempatan. 
Pusat gempa pada 10 kilometer selatan bandar raya Napa terletak kira-kira 80 kilometer timur laut San Francisco. 
Ketua Bomba tempatan, John Callahan berkata, tidak dapat dipastikan sekiranya terdapat kematian tetapi tiga orang mengalami kecederaan parah termasuk seorang kanak-kanak selepas dihempap tempat pendiangan. 
Enam kebakaran berlaku termasuk membabitkan enam buah rumah bergerak. 
Sementara itu, Pusat Perubatan Queen of the Valley berkata, pihaknya merawat kira-kira 120 pesakit yang cedera akibat gempa bumi itu. 
Gempa bumi berkenaan dirasai di sepanjang Teluk San Francisco. - Reuters/ Berita Harian