Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan

Isnin, 8 Disember 2014

Wanita Nampak Tua Berbanding Usianya

Pasti ramai tidak percaya Hu Juan sebenarnya berusia 28 tahun

Ini ialah wajah Hu Juan sebelum melahirkan anak pertama 11 tahun lalu

Hu disahkan menghidap kecelaruan kulit dinamakan Cutis laza.

Pada tahun 2003, semasa berusia 18 tahun Hu telah berkahwin dan melahirkan seorang anak lelaki

Hu bersama suaminya ketika sesi rawatan


SHANGHAI - Seorang wanita berusia 28 tahun yang berasal dari Zhengzhou, Henan, tiba di bandar raya ini minggu lalu untuk mendapatkan khidmat pembedahan kosmetik selepas dia disahkan menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia kelihatan jauh lebih tua.
Selepas melahirkan anak pertama 11 tahun lalu, wajah Hu Juan berubah, melihatnya dia tua lebih cepat dari sepatutnya.
Walaupun baru berusia 28 tahun, mukanya seperti wanita yang berumur 60 atau mungkin 70 tahun, lapor agensi berita Xinhua.
Hu disahkan menghidap kecelaruan kulit dinamakan Cutis laza.
Penyakit itu menyebabkan kulitnya menjadi longgar, merebeh dan berkedut. Ia hanya berlaku pada muka dan leher Hu.
Kurang dari 10 orang disahkan menghidap penyakit itu di dunia dan Hu satu-satunya orang di China yang berdepan penyakit itu, lapor Xinhua.
Setakat ini, tidak ada rawatan berkesan, tetapi pembedahan plastik boleh membantu.
Sepanjang 11 tahun lalu, suaminya sentiasa bersamanya dan tidak pernah merungut melihat wajah isterinya berubah menjadi nenek.
Hu pula mengelak daripada keluar rumah atau melihat cermin. Dan sejak kebelakangan ini, dia menyedari anaknya mula menjauhkan diri serta malu memberitahu rakannya bahawa dia adalah ibunya.
Sebuah klinik di Shanghai bersedia membantu, tetapi doktor setakat ini kurang yakin dengan hasil yang akan dicapai. - Agensi/ myMetro

Jumaat, 26 September 2014

Berita Kepada Penggemar Sushi

Seorang penggemar makanan sushi nyaris maut selepas memakan makanan itu

Lelaki yang itu berkata, dia kerap mengalami sakit perut dan gatal kulit

Imbasan X-ray menunjukkan seluruh tubuh lelaki berkenaan dijangkiti cacing pita


BEIJING - Seorang penggemar makanan sushi nyaris maut selepas makanan yang tercemar itu menyebabkan seluruh tubuhnya dijangkiti dengan cacing pita, lapor akhbar MailOnline semalam. 
Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, dia kerap mengalami sakit perut dan gatal kulit menyebabkan dia berjumpa dengan seorang doktor. 
Bagaimanapun, dia terkejut selepas ujian imbasan X-ray menunjukkan seluruh badannya dipenuhi dengan cacing pita kerana terlalu banyak makan sejenis sushi yang dikenali sebagai sashmi. 
Sashmi merupakan sejenis ikan yang dimakan tanpa dimasak. 
Beberapa doktor percaya, ia berlaku disebabkan beberapa makanan Jepun yang tidak dimasak seperti ikan mentah mengakibatkan ia tercemar dengan cacing berkenaan. 
Menurut doktor, jangkitan cacing pita seperti itu berlaku kerana termakan larva cacing yang kebanyakannya ditemui di dalam ikan air tawar seperti ikan salmon sebelum ia masuk ke saluran darah. - Agensi/ Kosmo!

Isnin, 2 Jun 2014

Khasiat Buah Prun

Buah prun kering. Foto: Wikipedia

Buah prun segar. Foto: Wikipedia


TAHUKAH anda, mengambil prun sebenarnya dapat membantu diet anda menjadi lebih mudah. 
Menurut penyelidik di Universiti Liverpool, Jo Harrold, individu memakan prun akan berasa cepat kenyang kerana kandungan serat yang tinggi dalam buah plum yang dikeringkan. 
Kajian dilakukan ke atas 100 lelaki dan wanita yang mengalami obesiti menunjukkan penurunan berat badan kira-kira 2 kilogram selain ukuran pinggang mereka berkurangan kepada 2 sentimeter selepas mengambil prun dalam tempoh tiga bulan. 
"Saya menasihatkan mereka yang mahu mencuba diet ini supaya mengambil prun dalam kuantiti kecil bagi mengelakkan masalah penghadaman," katanya dipetik Daily Mail. 
Selain itu, Harrold berpendapat buah-buahan kering lain seperti kismis turut memberi faedah sama seperti prun. - Sinar Harian

Selasa, 8 April 2014

3 Produk Pelangsing Badan Beracun

Foto: TGA

Foto: TGA

Foto: FDA

Foto: BPK


PUTRAJAYA - Orang ramai dinasihat menghentikan segera pengambilan produk pelangsing badan ‘Collagen Slim’, ‘Beautiful Body Slim’ dan ‘Figure Up’ kerana didapati mengandungi bahan racun berjadual sibutramine.  
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah Abdul Rahman, berkata badan peraturan ‘Australia, Therapeutic Goods Administration’ (TGA) mendapati ‘Collagen Slim’, ‘Beautiful Body Slim’ dipromosi dan dipasarkan melalui internet untuk kecantikan serta penurunan berat badan.  
Katanya, berhubung ‘Figure Up’ pula, Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan menerima laporan dua pengguna berusia 14 dan 38 tahun yang mengalami sawan selain pendarahan ulser duodenal.  
“Sibutramine adalah ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan obesiti tetapi pendaftaran ubat mengandungi bahan terbabit ditarik balik di Malaysia pada 23 Disember 2012 kerana peningkatan risiko kesan advers kardiovaskular. - Berita Harian

Jumaat, 21 Mac 2014

Khasiat Madu Lebah



Kehebatan madu memang tidak dapat disangkal lagi. Ia makanan berkhasiat dan sering disebut sebagai penawar kepada pelbagai penyakit di dalam al-Quran. 
Madu asli mengandungi enzim hidup yang amat diperlukan tubuh manusia di mana kandungan bahan aktif yang dihasilkan lebah tidak boleh ditiru atau dihasilkan secara sintetik melalui penyelidikan makmal. 
Madu dijadikan bahan dan ubat di dalam perubatan Islam berdasarkan dalil al-Quran  yang bermaksud: 
“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir." Ayat 68-69, Surah An-Nahl
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa minum madu setiap bulan dengan niat mengikut nasihat al-Qur’an, Allah SWT akan menyembuhkannya daripada 77 penyakit”. 
Terdapat satu kisah apabila Rasulullah SAW menyuruh seorang lelaki meminum madu untuk mengubati sakit perutnya dan lelaki itu diminta menambah dos madu sehingga mencapai dos sesuai untuk melegakan sakit perutnya. 
Namun, apa yang membuatkan madu sebagai penawar untuk kesihatan manusia? 
Adakah kerana rasanya yang manis dan sedap atau manfaat kebaikannya yang tiada tolok bandingan? 
Ketahui rahsia madu sebagai penawar kesihatan. 
Jika gula adalah pilihan utama sebagai pemanis, anda mungkin perlu menukar pilihan anda. 
Menurut Dr Susan Percival dari Universiti Florida, Amerika Syarikat, madu adalah alternatif pemanis semula jadi kepada gula atau gula tiruan. 
Ini kerana madu mengandungi gula kompleks yang lambat dicernakan di dalam perut. Ini membuatkan anda bertenaga dan kekal cergas berbanding gula biasa yang cepat dicernakan dan membuatkan mengantuk. 
Madu mengandungi antioksidan yang tinggi untuk menghalang pembentukan radikal bebas yang menyebabkan penyakit. 
Dengan pengambilan madu yang berterusan, ia boleh mengendurkan urat-urat yang tegang, memudahkan penghadaman, memperbaiki fungsi jantung dan hati, meningkatkan penghasilan sel darah merah serta disyorkan untuk membantu pesakit anoreksia di kalangan kanak-kanak. 
Ia juga membantu menghilangkan lendir di dalam badan dan melancarkan peredaran darah. 
Sejak beribu-ribu tahun lamanya, madu sering dikenali penawar semula jadi untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang berpanjangan. 
Ini kerana madu mempunyai sifat antibakteria yang mampu menghalang jangkitan bakteria yang menyebabkan penyakit. 
Bahan aktif di dalam madu yang dipanggil eucalyptol bertindak sebagai antiseptik untuk mencegah jangkitan kuman dan kulat. 
Selain itu, madu boleh mempercepat penyembuhan dan mengurangkan kesan parut. 
Ini kerana komposisi unik kandungan yang terdapat dalam madu boleh bertindak sebagai agen anti-mikrob yang menghalang jangkitan bakteria pada kulit yang cedera akibat kebakaran atau luka. 
Pengambilan sesudu madu setiap hari boleh membantu meningkatkan ingatan, terutama kepada wanita yang menopaus. 
Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati, wanita dapat mengingat kembali beberapa patah perkataan di dalam satu ujian memori jangka pendek apabila diberikan madu selama empat bulan. 
Ini kerana khasiat glukosa di dalam madu boleh memberikan tenaga segera kepada otak supaya boleh berfikir dan mengingat kembali perkara-perkara yang berlaku. 
Masalah kembung perut dan angin yang terperap di dalam badan sering mengganggu kita. 
Madu mempunyai kesan laksatif yang mampu mengelakkan sembelit dan masalah tidak lawas serta mengurangkan angin dan bisa-bisa dalam badan, menjadikan badan lebih cergas dan bermaya. 
Dari sudut kecantikan, madu dikatakan sebagai jawapan bagi wanita yang mengimpikan kulit yang mulus dan berseri. 
Pengambilan madu berterusan sama ada diminum atau disapu terus ke wajah khususnya sebagai topeng, membantu menjadikan kulit wajah segar dan mengecilkan pori-pori. 
Madu juga bertindak sebagai pelembap muka untuk membekalkan kelembapan berpanjangan. mengurangkan kesan jerawat dan melindungi kulit daripada dimamah usia. 
Kulit lebih anjal, lembut dan tidak mengelupas. - myMetro

Rabu, 19 Mac 2014

Khasiat Kunyit

Keistimewaan kunyit menarik minat penyelidik barat untuk mengkaji kepentingan bahan ini dengan lebih mendalam. Foto: Wikipedia

Kunyit yang terdapat di dalam serbuk kari bagus untuk orang tua kerana ia membantu prestasi kognitif lebih baik. Foto: Merdeka.Com

Kunyit dituai dengan mencabut pokok kunyit. Foto: Wikipedia

Pokok kunyit mudah ditanam dan boleh ditanam sama ada di halaman rumah atau dalam pasu. Foto: Wikipedia

Kunyit atau nama saintifiknya Curcuma Longa, antara rempah biasa digunakan terutama dalam masakan dan sumber menghasilkan jamu. 
Menyedari keistimewaan kunyit, ia menarik minat penyelidik barat untuk mengkaji kepentingan bahan ini dengan lebih mendalam. 
Pengerusi Inisiatif Global untuk Sistem Tradisional Kesihatan (GIFTS), Oxford, United Kingdom, Prof Gerard Bodeker, berkata kunyit diperakui oleh pakar dan hospital ternama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengubat pelbagai jenis penyakit. 
Rahsia penawar daripada kunyit ini ialah daripada warna kuningnya yang dinamakan sebagai curcumin.
Katanya, curcumin adalah bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit. Ia juga dikenali sebagai bahan penyembuh terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden. 
“Sebiji pil daripada ekstrak curcumin seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit. Pakar perubatan dari Pusat Kanser Texas turut mendapati, curcumin ada antioksida yang mampu meneutralkan radikal bebas dan menjadi akar umbi kepada penyakit barah. 
“Radikal bebas adalah bahan kimia meresap ke dalam darah dan merosakkan sel dalam badan. Justeru, curcumin yang mengandungi komponen bioaktif polyphenol dapat membantu mencegah tanda awal barah,” katanya ketika ditemui pada majlis Rahsia Kehebatan Kunyit dan Teh Hijau, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini. 
Majlis anjuran Anugerah International Sdn Bhd itu turut melancarkan produk terbaharunya iaitu Pil Kunyit Anugerah. 
Bodeker berkata, curcumin bersifat antiradang dan antioksida yang berkesan untuk menghalang penyakit daripada berlaku dan ini amat baik untuk mereka mencapai tahap kesihatan optimum. 
“Apa yang lebih menarik mengenai kunyit, ia sangat selamat walaupun digunakan dalam jumlah besar,” katanya. 
Kunyit yang terdapat di dalam serbuk kari juga bagus untuk orang tua kerana ia membantu prestasi kognitif lebih baik. Selain itu, agen antiradang tinggi dalam kunyit berupaya untuk membunuh beberapa jenis sel barah dan sel yang tidak normal. 
Penyelidikan di Pusat Kanser Anderson, Texas, mendapati curcumin mengubahsuaikan pertumbuhan sel tumor melalui pengawalan sel isyarat pelbagai laluan seperti percambahan sel, penahan tumor dan sebagainya. 
INFO: KUNYIT 
* Berupaya membantu menyembuhkan luka dan pembersihan darah. 
* Turut digunakan bagi merawat asma, epilepsi, kekejangan, kolestrol tinggi, hidung berair, batuk, resdung, penyakit sendi dan pelbagai lagi. 
Bahan dalam kunyit 
* Bisdemethoxycurcumin, demethoxycurcumin, eugenol, dihydrocurcumin, azulene, borneol, D-camphene, caprylic acid, cineol, turmerone dan zingiberine. 
* Turut mengandungi ß-caryophyllene, ß-bisabolene dan ß-sesquiphellandrenendrene. 
* Curcumin dan Curcuminoids adalah dua benda yang berbeza dalam profil farmakologi. 
* Curcuminoids ialah campuran curcumin, demethoxycurcumin dan bisdemethoxycurcumin. 
Nama lain kunyit 
* India - Haldi 
* Cina - Jianghuang 
* Arab - al kurkum 
* Melayu dan Indonesia - Kunyit 
* Aceh - Kunyet 
* Madura - Konyet 
* Jawa - Kunir 
* Sunda - Koneng 
- Berita Harian

Khamis, 6 Mac 2014

Tiga Menu 'Bahaya'

Nasi goreng dikatakan mempunyai kandungan garam yang tinggi (Foto hiasan). Foto: Wikimedia

Selain nasi goreng, ayam goreng juga dikatakan mempunyai kandungan garam yang tinggi (foto hiasan). Foto: Wikipedia 

Satu lagi menu yang tinggi kandungan garam ialah keropok (Foto hiasan). Foto: lelong.com


PUTRAJAYA - Awas penggemar nasi goreng, ayam goreng dan keropok ikan kerana hidangan kegemaran rakyat Malaysia itu kini tergolong antara makanan paling tinggi kandungan garam, sekali gus berisiko tinggi menyumbang kepada serangan jantung dan angin ahmar. 
Tiga hidangan itu adalah antara 10 makanan tinggi garam yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan selain ikan goreng, kicap soya, sos tomato dan cili, ikan bilis, kari ikan, kari lembu dan kambing, bebola ikan dan udang. 
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, laporan mengenai hidangan tinggi garam itu dibuat dalam satu kajian rintis oleh Institut Kesihatan Umum pada 2011 hingga Februari 2012 yang dilakukan dalam kalangan anggota kesihatan di Malaysia. 
Beliau berkata, hasil analisis menunjukkan purata pengambilan garam dalam kalangan anggota kesihatan adalah 8.7 gram (g) sehari atau bersamaan 3,405 miligram sodium sehari iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan pengambilan garam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lima gram sehari. 
“Seseorang yang mengambil paras natrium (sodium) yang tinggi dalam darah berisiko untuk menghidap hipertensi seterusnya berisiko mendapat serangan jantung dan strok. 
Serangan jantung. Foto: Kompas.Com
“Berdasarkan Kajian Beban Penyakit di Malaysia, penyakit jantung dan strok adalah di antara lapan penyakit utama yang membebankan negara kita dari segi kewangan dan kualiti gaya hidup rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia Ke-7, di sini, semalam. 
Pengidap strok. Foto: Imej Google
Dr Subramaniam berkata, kajian juga mendapati kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia dewasa berusia 18 tahun ke atas kini menghidap penyakit hipertensi dipercayai akibat pengambilan garam berlebihan setiap hari. 
Beliau berkata, kajian sama juga menunjukkan kicap soya adalah antara makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam tinggi. 
Menurutnya, golongan lelaki didapati mengambil lebih banyak garam berbanding wanita. 
“Bagaimanapun, pihak industri makanan di Malaysia turut menyokong usaha kementerian untuk mengurangkan kandungan garam dalam produk keluaran masing-masing. 
“Hasilnya, sejak 2011 hingga 2013, sebanyak 30 jenis makanan di pasaran tempatan yang mempunyai kandungan garam tinggi dikurangkan kandungan garamnya sebanyak dua hingga 40 peratus daripada tahap asal,” katanya. 
Katanya, antara makanan berkenaan termasuk biskut, kicap, mi segera, makanan ringan, daging beku, perasa tiruan dan sapuan roti. - myMetro

Sabtu, 1 Mac 2014

Doktor Berjaya Keluarkan Gigi Dari Otak Bayi

Imbasan MRI menunjukkan kedudukan gigi dalam otak bayi berkenaan

Sekumpulan doktor pakar berjaya mengeluarkan gigi berkenaan melalui pembedahan


BALTIMORE - Sekumpulan doktor pakar menemui gigi tumbuh dalam otak seorang bayi lelaki berusia empat bulan dan berjaya mengeluarkannya melalui pembedahan, lapor sebuah jurnal perubatan kelmarin. 
Jurnal Perubatan New England dalam laporannya menyatakan, gigi bayi itu kelihatan tumbuh awal daripada sepatutnya tetapi bukan di mulut, sebaliknya dalam otaknya akibat daripada sejenis tumor otak yang jarang berlaku, tetapi ada pada bayi itu. 
Bayi itu yang berasal dari Maryland, mula menarik perhatian doktor selepas pemeriksaan kesihatan rutin menunjukkan kepalanya membesar lebih cepat berbanding kanak-kanak seusianya. Bayi itu kemudian menjalani pemeriksaan imbasan MRI yang menunjukkan tumor itu mengandungi struktur putih kecil yang kelihatan seperti gigi. 
Sebaik doktor menyedari ada sesuatu yang pelik di dalam otak bayi itu, mereka melakukan pembedahan untuk mengeluarkan tumor berkenaan. 
“Ketika mengeluarkan sel tumor yang berbahaya itu, doktor terkejut apabila mendapati kandungan dalam tumor itu adalah gigi yang sudah terbentuk sepenuhnya seperti yang terdapat pada rahang bahagian bawah,” lapor jurnal berkenaan. 
Doktor mengesan tumor itu berhampiran kelenjar pituitari bayi itu, berukuran 4.1 sentimeter. Ujian selanjutnya ke atas tisu tumor itu menunjukkan ia adalah ‘adamantinomatous craniopharyngioma’, sejenis tumor otak tidak berjangkit yang jarang ditemui tapi mampu membesar sehingga sebesar bola golf. 
Pakar bedah neurologi Universiti Pusat Perubatan Maryland, Dr Narlin Beaty yang menjalankan pembedahan itu memberitahu Live Science: “Jarang ditemui gigi dalam mana-mana tumor otak. Ia craniopharyngioma, yang jarang didengar”. 
“Bayi itu sekarang semakin pulih daripada pembedahan yang berjaya mengeluarkan sel tumor itu,” kata salah seorang doktor yang merawatnya. Bagaimanapun dia masih menjalani pemeriksaan rutin MRI sebagai sebahagian rawatan untuk memastikan dia bertambah baik. 
“Dia semakin bertambah baik. Terdapat tumor besar betul-betul di tengah otaknya. Jika sebelum era pembedahan moden, kanak-kanak seperti ini mungkin tidak boleh diselamatkan,” kata Beaty. - AGENSI/Berita Harian

Jumaat, 28 Februari 2014

Lelaki China Bedah Tumor Seberat 10KG

Yang Xiao (gambar sebelum pembedahan beliau) mempunyai tumor seberat 10kg di belakang badan dan lehernya

Yang menyedari dia mengidap tumor di leher semasa dia remaja tetapi tumor itu terus membesar

Yang sepatutnya menjalani pembedahan pada tahun 2007 namun dihalang oleh ayahnya

Tumor yang dihidapi oleh Yang terus membesar menyebabkan dia membuat keputusan untuk menjalani pembedahan

Yang telah menjalani pembedahan pada 19 Februari lalu


XI'AN, Shaanxi - Seorang lelaki di China, Xiao Yang, 27, menjalani pembedahan bagi membuang tumor seberat 10 kilogram yang tumbuh di belakang tengkuknya sejak 15 tahun lalu, lapor akhbar Metro.co kelmarin. 
Xiao mula sedar ada bonjolan kecil bersaiz sebiji telur di tengkuknya 10 tahun lalu yang kemudian semakin membesar. 
Pada tahun 2007, dia telah pergi ke sebuah hospital di sini untuk mendapatkan rawatan. Yiang kemudian diberitahu bahawa sdia telah menghidap ketumbuhan yang dinamakan fibromatosis. 
Doktor yang merawatnya ketika itu memberitahu, pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu sangat sukar dan risikonya amat tinggi dengan menyebabkan bapanya, Jigao membuat keputusan untuk membiarkan sahaja ketumbuhan tersebut. 
Namun pada penghujung tahun 2013, Xiao membuat keputusan untuk menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu selepas ia membesar sehingga 45 sentimeter dengan berat 10 kilogram. 
Kos pembiayaan pembedahan itu telah dikumpul melalui kutipan derma orang awam dan pinjaman yang dibuat oleh bapanya. 
Doktor yang melakukan pembedahan ke atas Xiao memberitahu, lelaki itu mempunyai peluang cerah untuk pulih. - Agensi/Kosmo!

Jumaat, 24 Januari 2014

IJN Rawat Pesakit Jantung Guna Teknologi Baru

Dr Robaayah (duduk kanan) dan Dr Mohd Azhari (duduk kiri) menunjukkan alat pembedahan VenTouch. Foto: myMetro

Abu Kassim Mat Hassan pesakit pertama menjalani pembedahan VenTouch kini dalam keadaan stabil. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) menjadi institut perubatan pertama di dunia yang berjaya merawat pesakit menggunakan sistem Mardil Medical VenTouch (VenTouch) keluaran syarikat peranti jantung Amerika Syarikat, Mardil Medical Inc. 
Sistem VenTouch adalah terapi surgikal invasif minimum untuk rawatan ‘functional mitral regurgitation’ atau FMR, penyakit berkait dengan kegagalan jantung yang menjejaskan lebih sejuta pesakit di seluruh dunia. 
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata, pihaknya menjalankan pembedahan menggunakan terapi itu ke atas dua pesakit jantung masing-masing berusia 43 dan 52 tahun. 
“Kedua-dua mereka mengalami masalah lemah jantung dan injap bocor sudah berjaya menjalani pembedahan ini pada 21 Januari lalu serta masih dalam pemerhatian dan pemantauan pasukan kami. 
“Sistem VenTouch sebelum ini tidak pernah diuji ke atas manusia dan IJN berbangga kerana menjadi institut perubatan pertama yang mencuba, malah dua pesakit turut menunjukkan tindak balas positif serta memberangsangkan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. 
Dr Mohd Azhari mengetuai pembedahan itu bersama Pakar Perunding Kardiothorasik Datuk Dr Jeffrey Jeswant Dillon, Perunding Kardiologi Datuk Dr Rosli Mohd Ali dan Dr Shahrol Anuar Mohd Yasin selain Perunding Anesthelogis Dr Suhaini Kadiman dan Dr Rohit Vijay Jain. 
Sidang media itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif IJN Tan Sri Dr Robaayah Zambahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia Mark Rozario. 
Dalam pada itu, Dr Jeffrey ketika mengulas lanjut prosedur VenTouch berkata, pembedahan pertama mengambil masa lima jam, manakala berikutnya selama dua jam dan 30 minit. 
“Kedua-dua pembedahan berjalan pada hari sama, cuma yang pertama mengambil sedikit masa kerana ia pertama kali diadakan dan banyak perkara perlu diberi perhatian,” katanya. - myMetro

Khamis, 23 Januari 2014

Berita Baik Untuk Mereka Yang Nak Kuruskan Badan

Pesakit obesiti hanya perlu menelan kapsul bersaiz sebesar pil vitamin yang mengandungi belon kempis.

Belon itu akan mengembang menjadi sebesar saiz sebiji epal.

Belon itu akan berada di bahagian atas perut, menyebabkan pesakit rasa kenyang. Foto: Abalon

Rawatan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan. Foto: Reuters


LONDON - Pesakit mengalami obesiti yang terdesak untuk mengurangkan berat badan kini boleh menelan belon di dalam pil menerusi kaedah perubatan terbaru bagi menangani masalah kegemukan. 
Tidak seperti rawatan belon gastrik, Obalon tidak memerlukan pembedahan invasif. Sebaliknya, prosedur 10 minit itu hanya memerlukan pesakit menelan kapsul bersaiz sebesar pil vitamin yang mengandungi belon kempis. 
Kapsul itu dilekat kepada kateter mikro dan sebaik saja kapsul itu hadam di dalam perut, belon itu akan mengembang menjadi sebesar saiz sebiji epal. Kapsul itu akan larut dan katerer akan dikeluarkan dari mulut. 
Belon itu akan berada di bahagian atas perut, menyebabkan pesakit rasa kenyang dengan harapan pesakit akan mengurangkan makan dan seterusnya berat badan akan berkurangan. Pesakit akan menerima belon kedua 30 hari selepas prosedur pertama dengan pilihan belon ketiga selepas kira-kira 60 hari, berdasarkan penurunan berat badan mereka dan kekenyangan yang dialami. 
Pada akhir rawatan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan, belon itu akan mengecut dan dibuang melalui rawatan endoskopi. Obalon berharga £2,995 (RM16,469) untuk dua rawatan belon. Ia boleh didapati di beberapa hospital dan klinik di sekitar London. - myMetro

Jumaat, 10 Januari 2014

Mampukah Minyak Ikan Menyihatkan Jantung?

Dr Andrew Grey, berkata Minyak ikan tidak mempunyai khasiat sepenuhnya seperti yang digembar-gemburkan

10 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat percaya minyak ikan membantu menyihatkan jantung


Dr Andrew Grey
Minyak ikan tidak mempunyai khasiat sepenuhnya seperti yang digembar-gemburkan kebanyakan media atau orang ramai sebelum ini. Kajian menunjukkan, potensi minyak ikan tidak mempunyai khasiat dan boleh menyembuhkan penyakit seperti digembar-gemburkan. 
Bagaimanapun, sambutan terhadap makanan tambahan itu terus mengalami peningkatan jualan. 
Pengkaji dari Universiti Auckland New Zealand, Dr Andrew Grey, berkata kira-kira 10 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat menggunakan minyak ikan atas kepercayaan ia membantu dalam kesihatan jantung. 
Beliau yang menjalankan 18 ujian rawak antara 2005 hingga tahun lalu, bersama rakannya Dr Mark Bolland dalam laporan baru-baru ini mendapati, hanya dua kajian mengenal pasti manfaat minyak ikan dan selebihnya tidak terbukti memberikan manfaat secara keseluruhannya dalam kesihatan. 
Gery memberitahu Reuters Health, justeru minyak ikan tidak meningkatkan kesihatan jantung dan setiap individu juga tetap sihat tanpa meneruskan pengambilan makanan tambahan ini. 
Beliau turut mencadangkan, kesihatan jantung dapat ditingkatkan dengan memberi tumpuan kepada aktiviti sihat yang sememangnya terbukti berkesan. 
Walaupun Omega 3 asid lemak yang terdapat dalam ikan dan minyak ikan tambahan, dianggap sebagai penting untuk diet sihat tetapi ia dilihat tidak begitu ketara membantu masalah kesihatan utama yang dialami kebanyakan orang - Agensi/Berita Harian

Khamis, 14 November 2013

Kurus Kerana Makan Pisang

Loni Jane Anthony, 25, dari Australia mendedahkan dalam blognya, dia memakan sehingga 20 biji pisang sehari

Loni Jane berkata, dia mula mempunyai tabiat memakan buah-buahan selepas letih dengan gaya hidup suka berparti

Loni yang hamil 26 minggu berkata, dia tidak pernah mengalami masalah pemakanan seperti anorexia atau bulimia


SYDNEY - Seorang wanita langsing semula jadi dan kini hamil anak pertama menjadi sasaran kritikan kerana mempromosikan diet keterlaluan yang menyaksikan dia memakan pisang secara melampau. 
Loni Jane Anthony, 25, dari Australia mendedahkan dalam blognya, dia memakan sehingga 20 biji pisang sehari, sama ada secara mentah dan dibuat minuman smoothie sebagai sarapan, makan tengah hari dan kadangkala mencampurkannya dengan salad ketika makan malam. 
Selepas mendedahkan mengenai rancangan pemakanannya yang berasaskan buah-buahan kepada news.com.au, orang ramai menyifatkan wanita itu tidak bertanggungjawab dan suka memuji diri sendiri terutama melalui laman Instagram. 
Loni menyatakan dia berbangga kerana mempunyai hampir 100,000 pengikut sambil memuat naik puluhan imej menunjukkan tubuhnya yang ramping. 
Seorang pengguna menulis, tubuh manusia tidak mampu bertahan hanya dengan memakan buah-buahan kerana ia tidak seimbang dengan keperluan harian. 
“Saya menghormati sesiapa saja yang membuat perubahan positif dalam gaya hidup mereka tetapi diet sementara seperti ini hanya akan berhasil selepas tempoh yang lama,” tulisnya. 
Seorang lagi pengguna mempertikai mengenai kehamilannya. 
“Saya lebih bimbang kerana dia tidak memakan makanan yang betul seperti protein yang diperlukan bayi untuk tumbesaran yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan. 
Bagaimanapun, Loni yang hamil 26 minggu berkata, dia tidak pernah mengalami masalah pemakanan seperti anorexia atau bulimia. 
Loni Jane berkata, dia mula mempunyai tabiat memakan buah-buahan selepas letih dengan gaya hidup suka berparti yang menyaksikan dia hanya mengambil makanan ringan dan minuman keras. - Agensi/myMetro

Rabu, 6 November 2013

Pemuda Main Komputer Lebih 10 Jam Ditemui Mati

Seorang pemuda ditemui mati selepas bermain komputer lebih 10 jam di Pulau Pinang (Foto hiasan). Sumber: Imej Google

Chew Qun Juan, 62, ibu mangsa (kanan) dan bapa saudara mangsa (kiri). Foto: The Star

Mangsa, Ong Yee Haw, 23 tahun. Foto: The Star


GEORGETOWN - Ketagihan bermain permainan komputer membawa padah kepada bekas pembantu restoran apabila ditemui mati akibat serangan jantung, selepas berkurung lebih 10 jam dalam bilik di rumahnya dekat Bandar Baru Air Itam di sini, kelmarin. 
Ong Yee Haw, 23, ditemui mati di hadapan komputer dalam bilik itu oleh bapa saudaranya jam 4 petang kelmarin, apabila pemuda terbabit tidak menyahut panggilan ahli keluarganya. 
Mangsa yang menghabiskan masa selama beberapa jam di kafe siber, pulang ke rumah pada jam 1 pagi kelmarin, sebelum meneruskan permainan komputer di biliknya. 
Ibu mangsa, Chew Qun Juan, 62, berkata anaknya mula ketagih bermain permainan komputer itu sejak lima bulan lalu selepas terbabit dalam kemalangan di tempat kerja. 
“Susulan kemalangan itu, tangannya cedera menyebabkan dia berhenti kerja sebelum menghabiskan banyak masa bermain permainan komputer di rumah. 
“Saya sudah menasihatinya tetapi dia enggan dengar,” katanya yang ditemui di rumah mayat di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, semalam. 
Qun Juan berkata, ketagihan permainan komputer itu menyebabkan anaknya enggan melakukan sebarang pekerjaan lain. 
“Jika tidak bermain dalam biliknya di rumah, dia akan menghabiskan masa di kafe siber. Sebagai ibu, saya memang risau melihat keadaannya,” katanya. - Berita Harian




GEORGE TOWN - Chew Qun Juan percaya anak tunggalnya yang ditemui mati ketika bermain permainan video komputer di rumahnya di Bandar Baru Air Itam dekat sini pada Isnin lalu diserang sakit jantung ekoran tidak cukup rehat dan makan secara tidak menentu. 
Qun Juan, 62, berkata, sejak terlibat dalam kemalangan lima bulan lalu, mendiang Ong Yee Haw, 23, kerap berkurung di dalam bilik dan lebih gemar menghabiskan masa bermain komputer sehingga mengabaikan makan minum. 
"Yee Haw lebih suka bersendiri sehingga tidak mengambil kisah tentang apa yang berlaku di sekelilingnya. - Kosmo! Online 7.11.2013