Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Kebakaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kebakaran. Papar semua catatan

Isnin, 10 Februari 2014

Hotel Madinah Terbakar 13 Maut

Hotel Ishraq Al Madinah di wilayah Madinah, Arab Saudi terbakar lewat semalam. Foto: The Muslim News

Mangsa kebakaran terperangkap di bahagian atas hotel. Foto: Arab News

Asap kelihatan keluar dari tingkat bawah. Foto: The Muslim News

Orang ramai berkerumun di luar hotel. Foto: Riyadh Connect

Mangsa diselamatkan oleh Pertahanan Awam. Foto: Arab News

Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban manakala 130 lagi cedera. Foto: SPA


MADINAH - Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban manakala 130 lagi cedera selepas Hotel Ishraq Al Madinah di wilayah Madinah, Arab Saudi terbakar lewat semalam, lapor Agensi berita Saudi (SPA). 
SPA berkata perkhidmatan bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan. Kira-kira 700 orang dari pelbagai negara menginap di hotel itu. Kebanyakan mangsa maut akibat sesak nafas selepas terhidu asap.  
“Seramai 15 penghuni hotel terbunuh manakala 130 yang lain cedera,” kata laporan itu. Sementara itu, Gabenor Madinah, Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, mengarahkan semua penghuni hotel berhampiran turut dipindahkan untuk mengelakkan kebakaran daripada merebak.  
Pasukan bomba Arab dan pasukan pertahanan awam berjaya mengawal api dari merebak selepas beberapa jam bergelut dengan api yang marak, manakala mereka yang cedera dibawa ke hospital.  
Laporan berhubung punca kebakaran masih belum dikeluarkan, namun siasatan sudah dilancarkan. 
Madinah kini menjadi tuan rumah kepada ramai jemaah yang menunaikan Umrah dari Turki dan Mesir.  
Pegawai rasmi Direktorat Hal Ehwal Agama Turki, Nevzat Ünal berkata mereka juga sedang mengesan di semua hospital di bandar itu berikutan bimbang mungkin ada warga Turki yang menginap di hotel berkenaan.  
Madinah Al-Munawarah, bermaksud “bandar yang berseri”, adalah tempat pemakaman Nabi Muhammad dan bandar suci Islam kedua selepas Makkah, di mana terdapatnya Masjid Besar dan Kaabah.  
Ibadah Umrah di Makkah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Walaupun Haji lebih utama dan wajib bagi setiap umat Islam yang sihat dan mampu, Umrah pula tidak wajib namun amat disyorkan. Ia kadangkala “haji kecil”.  
Sementara itu stesen televisyen Mesir melaporkan ramai warga negara itu maut dalam kebakaran yang berlaku, tetapi jurucakap kementerian luar, Badr Abdelatty berkata, Kaherah sedang berusaha mengesahkan bilangan rakyatnya yang terkorban.AGENSI/Berita Harian

Rabu, 7 Ogos 2013

Mereka Yang Ditimpa Malang Menjelang Raya

Muhammad Aqif Baihaqi melihat komputer yang turut musnah terbakar. Foto: Sinar Harian

Azilah melihat rumahnya yang musnah terbakar menjelang raya. Foto: Sinar Harian


KUALA KRAI – Tahun sebelumnya, 1 Syawal begitu dinanti-nantikan Azilah Ismail, 30, dan anak-anak, dengan pelbagai persiapan terutama pakaian untuk dipakai pada hari raya. 
Keperluan lain seperti penyediaan aneka biskut dan kuih-muih untuk dihidangkan kepada tetamu pada pagi Syawal juga turut difikirkan. 
Bagaimanapun bencana menimpa mereka sekeluarga sehingga menyebabkan dia, suami, Hamdi Daud, 39, dan anak-anak hilang tempat tinggal sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan menyebabkan Azilah tidak bersemangat menyediakan persiapan Aidilfitri kali ini. 
Malah, fikirannya masih terganggu dan dia masih bersedih dengan kejadian yang menyebabkan mereka sekeluarga hilang segala-galanya dalam sekelip mata, seterusnya perlu berusaha untuk membina rumah baru dan membeli segala keperluan rumah yang baru. 
Pendapatan yang tidak seberapa membuatkan fikiran Azilah dan Hamdi menjadi bertambah buntu untuk memikirkan usaha menyediakan tempat tinggal baru untuk mereka berteduh. 
Apatah lagi rumah yang musnah terbakar juga dimiliki hasil pemberian keluarga Hamdi, sejak tiga tahun lalu kerana mereka tidak berkemampuan membinanya dengan hasil pendapatan Hamdi sebagai tukang rumah, sementara Aziah pembantu kedai tidak jauh dari rumah mereka. 
Lantaran itu, kejadian 9 Julai lalu terus membelenggu fikiran pasangan ini dan masih jelas di ingatan mereka rumah ditinggalkan dalam keadaan baik ketika keluar bekerja musnah menjadi abu sebaik pulang tengah hari kejadian. 
Katanya, kebiasaannya sebaik tiba bulan Ramadan, dia akan membuat persiapan membeli pakaian raya untuk anak-anaknya bagi mengelak sukar membeli-belah di saat akhir. 
Selalunya setiap anaknya akan mendapat empat pasang baju raya setiap tahun, tetapi kali ini mereka hanya mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai yang prihatin dengan bencana menimpa mereka itu. 
Lebaran kali ini, dia sudah tidak mampu untuk menyediakan pakaian seperti tahun sebelumnya dan bersyukur anak-anaknya seolah-olah memahami kejadian menimpa mereka sekeluarga. 
“Saya sempat membeli sepasang baju untuk anak-anak untuk dipakai pada hari raya nanti, anak yang sulung bertuah menerima baju disumbangkan pihak sekolah. 
“Saya masih belum membeli baju raya, baju yang siap ditempah untuk dipakai di pagi hari raya musnah terbakar,” katanya. 
Bencana ini menyebabkan ibu kepada Ainun Mardiah Hamdi, 9, Muhammad Aqif Baihaqi Hamdi, 5, dan Muhammad Abid Baihaqi, 1 tahun empat bulan ini seolah-olah hilang arah. 
Baginya Syawal akan dilalui seperti hari biasa dengan sumbangan daripada orang ramai. 
Di sebalik bencana menimpa dia sekeluarga, Azilah tetap bersyukur ramai yang simpati dan tampil menghulurkan bantuan kewangan, pakaian dan makanan sejak hari kejadian. 
“Walaupun kehilangan semua harta benda, tetapi saya pasrah dengan ujian ini,” katanya. 
Azilah berkata, tahun ini mereka sekeluarga beraya dan menumpang di rumah mertuanya.

Barang-barang yang dapat diselamatkan daripada api. Foto: Sinar Harian

Orang ramai menolong keluarga Farisha mengeluarkan barang-barang yang masih terselamat. Foto: Sinar Harian


KUALA TERENGGANU – Seorang guru bersama dua anak yang sedang membuat persiapan mengemas barang untuk pulang beraya di kampungnya di Besut, dikejutkan dengan jeritan memberitahu ada kebakaran. 
Mangsa yang juga penyewa rumah, Farisha Shamsuddin, 34, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, dia sedang melayan telatah dua anak perempuan berusia 4 dan 6 tahun mencuba pakaian raya sebelum berlari keluar menyelamatkan diri setelah mendapat tahu berlaku kebakaran di rumah teres tiga pintu itu. 
“Saya baru balik dari sekolah, dan mahu mengemas barang-barang kerana esok akan pulang ke kampung, tetapi tiba-tiba mendengar orang menjerit dari luar mengatakan rumah terbakar. 
“Saya terus membawa anak-anak keluar dari rumah dan melihat asap tebal. Api pula marak begitu cepat,” katanya kepada pemberita yang ditemui di Kampung Teluk Menara, Manir, di sini. 
Farisha yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, terkilan kerana kebanyakan pakaian raya mereka musnah dalam kejadian itu. 
“Bahagian dapur dan bilik banyak barang yang rosak, tetapi syukur masih ada lagi barang yang dapat diselamatkan jika dibandingkan dengan rumah tengah yang terbakar teruk,” katanya. 
Dalam kejadian itu, dua keluarga melibatkan 10 mangsa terpaksa akur dengan apa yang menimpa keluarga mereka. 
Sementara itu, pemilik rumah, Abu Bakar Embong yang tinggal berhampiran berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur sebelum dikejutkan menantu berusia 30, dan sempat melihat asap tebal datang dari dalam rumah tengah dan api terus merebak ke rumah sebelah. 
“Rumah tengah ini tidak ada yang tinggal ketika kejadian, tetapi saya difahamkan, kebakaran berpunca daripada wayar televisyen di dalam rumah. 
“Kerugian keseluruhan rumah tiga pintu ini hampir RM200,000, manakala semua kelengkapan di dalam rumah tengah tidak dapat diselamatkan," katanya. 
Dalam pada itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.59 tengah hari dan terus ke lokasi kejadian di Kampung Teluk Menara, Manir melibatkan 15 anggota dan dua buah jentera bomba. 
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dan pihak bomba mendapati 70 peratus kemusnahan berlaku kepada rumah berkenaan. 
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

Muhammad Syawal bersama ibunya melibat cebisan baju raya milik adiknya. Foto: Sinar Harian


JERTIH – Kisah sedih membabitkan satu keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kubang Depu kelmarin bukan sahaja menceritakan ketabahan seorang bapa mencari nafkah untuk membeli baju raya untuk anaknya. 
Sebaliknya turut mengisahkan keberanian dan kepintaran seorang anak kecil, Muhammad Syawal, 5, yang layak digelar hero kerana berjaya menyelamatkan adiknya, Muhammad Syakir, 4, daripada terperangkap dalam kebakaran rumahnya pada jam 11.30 pagi, kelmarin. 
Anak sulung kepada pasangan Mohd Shukri Mohd Noor, 36, dan Huslina Abd Rahman 26, itu bertindak bijak dengan menarik tangan adiknya keluar dari rumah setelah menyedari bahagian bilik rumah mereka terbakar. 
Ketika kejadian, mereka berdua baru selesai dimandikan oleh nenek mereka, Fatimah Sulaiman, 55 yang tinggal di rumah berdekatan. 
Waktu itu hanya mereka berdua di dalam rumah kerana ibu dan adik bongsu mereka, Muhammad Syahril, 3, keluar mengikut bapa mendapatkan pekerjaan di Gong Kepas dekat Kampung Raja demi membeli baju raya Muhammad Syawal yang masih belum dibeli. 
Menurut Fatimah, cucunya itu menjerit sambil memegang tangan adiknya keluar dari rumah kemudian menyerahkan Muhammad Syakir kepadanya. 
“Dia berlari keluar sambil menarik adiknya yang kelihatan enggan keluar dengan menjerit berkata ‘tok ma, tok ma api dalam rumah',” katanya mengenai cucunya yang memanggilnya dengan panggilan tok ma. 
Katanya, selepas meletakkan adiknya di tempat selamat, anak kecil itu berlari semula ke arah pintu utama rumah yang sedang marak terbakar itu demi menyelamatkan pula sepasang selipar raya adiknya (Muhammad Syakir) dan ibunya yang terletak di dalam rumah berhampiran pintu utama. 
Kata Fatimah, Syawal memberitahu bapanya, dia hanya sempat menyelamatkan selipar adik dan ibunya sahaja manakala selipar lama ayahnya tidak dapat diselamatkan. 
Tidak cukup dengan itu, dia yang bersekolah tadika berlari pula meminta bantuan penduduk kampung untuk memberitahu kejadian itu, di samping mencari bapanya yang disangka bekerja membina rumah di kampung sama kira-kira satu kilometer dari situ. 
Kepantasan dan kebijaksanaan Muhammad Syawal melegakan ibu dan ayahnya yang sangat bimbangkan nasib mereka berdua yang berada di dalam rumah itu memandangkan dalam tempoh beberapa minit sahaja rumah tersebut musnah sepenuhnya. 
Fatimah pula, mengumpul kudrat yang tidak seberapa mendukung ibunya (nenek Mohd Shukri), Che Mah Che Noh, 80, yang lumpuh keluar dari rumahnya kerana bimbang api dari rumah anaknya merebak ke rumahnya, di samping membawa bersama Muhammad Syakir. 
Sementara itu, Mohd Shukri melahirkan rasa terkilan dan kecewa apabila ada suara sumbang mengatakan dia sengaja membakar rumah itu demi mendapat sumbangan wang daripada orang ramai. 
“Saya amat kecewa dengan tuduhan liar sedemikian kerana mana mungkin saya sanggup lakukan perkara seperti itu,” katanya. 
Kelmarin Sinar Harian menyiarkan kisah sedih sekeluarga ini apabila kegembiraan Mohd Shukri yang berjaya memperoleh pekerjaan sebagai tukang rumah demi membeli baju raya anaknya, tidak kekal lama kerana sebaik pulang, dia dapati rumahnya hangus terbakar. 
Dia pergi memohon kerja itu dengan membawa bersama isteri, Huslina Abd Rahman, 26, dan anak bongsu mereka Muhammad Syahril, 3, dengan harapan majikan yakin dengan kesungguhannya untuk mendapatkan kerja. 
“Saya merayu diberi kerja walaupun untuk tempoh dua hari demi membeli pakaian raya anak sulung saya, Muhammad Syawal, 5, yang masih belum mempunyai baju raya," katanya. 
Hasil pendedahan kisahnya semalam turut mendapat simpati pembaca Sinar Harian yang bertalu-talu menghubunginya untuk menyalurkan bantuan. 
Semalam juga wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut dan Adun Hulu Besut telah melawat mangsa.

Rumah Saroji musnah dalam kebakaran di Kampung Raja Musa. Foto: Sinar Harian


TANJONG KARANG - “Saya sedang menonton televisyen selepas berbuka sebelum terkejut mendengar jeritan adik yang panik melihat api marak dari sebuah bilik sebelum kami bergegas keluar dari rumah,” kata mangsa kebakaran, Mohd Farhan Saroji di Kampung Raja Musa, malam semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa bersama anak saudara sedang leka menonton televisyen sebelum terdengar jeritan adik bongsunya yang berada di tingkat atas yang terkejut melihat api marak di bahagian siling rumah. 
Mohd Farhan berkata, jeritan adiknya mendorongnya untuk naik ke tingkat atas melihat keadaan yang berlaku sebelum menyuruh anak saudara dan kakak yang pulang untuk berbuka puasa menyelamatkan diri dan segera keluar dari rumah itu. 
“Sebelum kejadian, adik Mohd Faid Hilman terhidu bau asap sebelum memeriksa bilik yang ada tingkat atas, meskipun panik namun kami semua berjaya keluar dari rumah itu sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. 
Berita kebakaran itu turut mengejutkan bapanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Raja Musa, Saroji Tijan yang ketika kejadian menghadiri program penyampaian zakat di sebuah masjid berhampiran. 
Saroji berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan berita buruk itu sebelum bergegas pulang ke rumah memandangkan bimbang keselamatan ahli keluarganya kira-kira 10 orang termasuk anak dan cucu yang berkumpul di rumahnya itu untuk berbuka puasa. 
“Sebaik sahaja tiba, saya bersyukur semuanya selamat namun sebak melihat rumah yang musnah terbakar di saat umat Islam akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya sebak. 
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang menerima berita itu terus bergegas ke tempat kejadian sebelum menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit. - Sinar Harian

Selasa, 6 Ogos 2013

Tragedi Pilu Menjelang Raya

Rumah milik pengasas produk kecantikan Vida Beauty Datuk Dr Hasmiza Othman terbakar. Foto: Sinar Harian

Info grafik tragedi kebakaran rumah Dr Hasmiza Othman. Sumber: Sinar Harian

Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin. Foto: Sinar Harian

Muhammad Edrie Zikrie. Foto: Sinar Harian

Dr Hasmiza sedang menyiram pusara kedua-dua puteranya di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya. Foto: Sinar Harian


IPOH - "Pukul 2 petang sebelum saya pergi ke Pulau Pinang pada hari kejadian, anak-anak saya dah pakai baju raya," kata pengasas produk kecantikan Vida Beauty Datuk Dr Hasmiza Othman. 
Mengenang kembali saat-saat akhir bersama dua anak lelakinya yang maut dalam kebakaran dua hari lepas, Dr Hasmiza berkata anak-anaknya masih memakai baju berkenaan ketika kebakaran itu. 
Dalam kejadian melibatkan rumah penginapan pekerja produk kecantikan Vida Beauty di Meru Hills, Bandar Meru Raya pada 9 malam, Sabtu lepas tiga maut termasuk dua anak Dr Hasmiza, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin, 10, serta pekerja syarikat itu Muhammad Norsyamil Zaidi, 26. 
Muhammad Eddie dan Muhammad Eddry adalah anak pertama dan kedua dari empat beradik. Dua lagi pekerja yang berada dalam rumah itu ketika kejadian, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, dan Rofie Ismail, 31, berjaya menyelamatkan diri.
Dr Hasmiza berkata ketika kejadian beliau berada di Pulau Pinang atas satu urusan dan menerima panggilan telefon pada 9.10 malam, yang memaklumkan rumahnya terbakar. 
"Saya tanya, rumah mana? Mereka jawab rumah pekerja. 
Meraka kata anak ada dalam rumah tu. Sesuatu yang mengejutkan kerana anak saya tidak pernah pergi ke situ. 
"Setiap malam mereka akan menunaikan solat Tarawih tapi malam tu tak pergi Tarawih, saya akur mungkin ajal sudah memanggil mereka sebab dah tiga kali nak lari keluar (dari rumah semasa kebakaran) tapi tidak keluar. 
"Sebagai contoh, mereka dengar api, mereka turun ke tingkat bawah, tetapi kemudian naik semula ke tingkat atas, pekerja saya Khairul dah dukung dan pegang anak-anak saya, tapi Syamil kata dia tak boleh bernafas dan masuk ke bilik air, anak-anak saya meronta-ronta nak ikut Syamil, padahal bukan rapat sangat dengan Syamil," kata beliau yang tidak dapat menahan sebak sepanjang sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini. 
Dr Hasmiza berkata beliau difahamkan ada pekerja yang mengajak anak-anaknya ke rumah berkenaan sementara menunggu kepulangannya dari Pulau Pinang sebelum mereka ke rumah anak yatim berhampiran untuk menyampaikan sumbangan. 
Rumah kediaman pekerja berkenaan hanya terletak beberapa meter dari rumah keluarga Dr Hasmiza dan pejabatnya. Menyifatkan Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie sebagai anak yang soleh, beliau berkata mereka tidak pernah meninggalkan solat serta gemar membaca Al-Quran. 
"Saya nak hantar mereka ke sekolah tahfiz tapi saya kata sebelum saya hantar, saya nak ajar puas-puas dulu supaya mereka dah pandai, dan cikgu perlu ajar sikit-sikit sahaja," katanya sambil menceritakan ketika pulang ke rumah pada malam kejadian, sejadah yang digunakan anaknya masih terbentang sedangkan kebiasaannya mereka akan lipat sejadah itu selepas solat. 
Meskipun Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie telah meninggalkannya pada usia muda, beliau berpuas hati kerana banyak meluangkan masa bersama serta memberi pendidikan dunia dan akhirat kepada mereka. 
"Saya juga tak rasa menyesal tidak tengok mayat anak-anak saya. Saya rasa cukuplah saya dah tengok mereka dalam keadaan memakai baju raya petang itu," katanya. 
Usahawan wanita itu juga berkata beliau sudah melihat sebahagian rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan akan menyerahkannya kepada pihak bomba selepas melihat keseluruhan rakaman itu. 
Pada sidang media itu, Dr Hasmiza turut menunjukkan dua jam tangan yang dipakai kedua-dua anaknya ketika kejadian, dan beliau percaya mereka meninggal dunia akibat sesak nafas berikutan asap tebal kerana jam tangan berkenaan masih dalam keadaaan baik. 
Beliau juga menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada mercun kerana ketika kejadian, anak-anaknya sedang bermain permainan video di tingkat atas rumah berkenaan. - Bernama

Berita Lain:

IPOH - Polis akan membuka kertas siasatan berhubung kebakaran rumah penginapan pekerja produk kecantikan Vida Beauty di Meru Hills, Bandar Meru Raya, Sabtu lepas. 
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata ia berikutan terdapat dakwaan kebakaran itu berpunca daripada mercun. 
"Kita berharap saksi akan tampil membantu siasatan," katanya. 
Kebakaran pada 9 malam itu mengorbankan tiga orang, termasuk dua anak pengasas produk berkenaan Datuk Dr Hasmiza Othman. 
Mereka ialah Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya, Muhammad Edrie Zikrie, 10, serta pekerja syarikat itu Muhammad Norsyamil Zaidi, 26. 
Muhammad Eddie dan Muhammad Edrie adalah anak pertama dan kedua daripada empat beradik. 
Dua lagi pekerja yang berada dalam rumah itu ketika kejadian, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, dan Rofie Ismail, 31, berjaya menyelamatkan diri. - Bernama

Berita Sebelumnya:

IPOH – Majlis pengebumian jenazah dua anak lelaki pengasas produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Dr Hasmiza Othman di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, di sini semalam (Ahad), diselubungi suasana pilu terutama adik bongsu mereka yang turut menitiskan air mata. 
Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin, 5, ditemani kakaknya, Nor Adeline, 8, terus setia menunggu di tepi liang lahad yang menempatkan kedua-dua abangnya itu sehingga majlis selesai. 
Jenazah kedua-dua mangsa, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya, Muhammad Edrie Zikrie, 10, dikuburkan dalam satu liang lahad pada kira-kira jam 10.15 pagi semalam. 
Kebakaran berlaku pada jam 9 malam, dan Muhammad Eddie Zuhdie bersama Muhammad Edrie Zikrie ditemui maut dalam sebuah rumah yang merupakan kediaman pekerja Vida Beauty Sdn Bhd di Laluan Taman Meru 24, Meru Hills, di sini, kelmarin. 
Kedua-dua mangsa ditemui bersama seorang lagi mangsa, Muhammad Norsyamil Mat Zaidi, 26, dalam bilik air di tingkat atas rumah berkenaan dan mengikut laporan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), ketiga-tiga mangsa meninggal akibat sesak nafas selepas terhidu bau asap berlebihan. 
Jenazah Muhammad Norsyamil dibawa pulang ke Kampung Teluk Kepayang, Bota, dekat sini untuk dikebumikan sebelum waktu Zohor manakala dua pekerja lain yang turut berada di tempat kejadian berjaya menyelamatkan diri selepas nekad terjun dari balkoni rumah itu. 
Sewaktu kejadian, Dr Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida yang tinggal di belakang kediaman pekerjanya itu tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Pulau Pinang.
Menceritakan kejadian, salah seorang pekerja Vida Beauty yang terselamat, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, memaklumkan api marak terlalu cepat menyebabkan semua penghuni rumah panik. 
Dia juga memaklumkan mendengar beberapa letupan sebelum terhidu asap yang merebak pantas dan segera turun ke bahagian bawah rumah di mana dia melihat api mula merebak serta kotak suis meletup. 
"Keadaan itu menyebabkan seluruh rumah bergelap. Saya berlari kembali ke atas dan cuba selamatkan dua beradik itu, tetapi mereka meronta-ronta ingin pergi kepada Muhammad Norsyamil yang berada dalam bilik air. 
"Dalam sekelip mata, asap memenuhi ruang di tingkat atas rumah dan saya tak dapat lihat kelibat mereka lagi," katanya. 
Menurutnya, selepas cubaan menyelamatkan ketiga-tiga mangsa gagal, dia mengikuti rakannya, Rofi Ismail, 31, berlari menuju balkoni rumah dan nekad terjun menyelamatkan diri. 
Dia yang baru enam bulan bekerja sebagai pereka grafik di Vida Beauty mengakui bernasib baik kerana terjatuh di atas khemah kanopi berhampiran, manakala Rofi patah kedua-dua kaki. 
Pada hari kejadian, syarikat tersebut sedang bersiap-siap untuk menyampaikan bantuan baju raya dan menyerahkan makanan sahur kepada rumah anak yatim di Tanah Hitam, Chemor. 
Difahamkan, sebelum kejadian, Khairul Anuar mendengar beberapa bunyi letupan mercun tidak jauh dari kediaman itu. 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, bomba masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian termasuk mengumpul sampel kebakaran untuk dihantar ke makmal. 
"Keputusan sampel hanya boleh diketahui dalam tempoh 14 hari. Seramai lima anggota Forensik Bomba dan Penyelamat turut bantu siasat punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya. 
Beliau memaklumkan, api berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian, namun kerja pemadaman terus dijalankan bagi mengurangkan tekanan haba tinggi dalam rumah berkenaan. 
Kebakaran dipercayai mengakibatkan kerugian jutaan ringgit apabila turut mengakibatkan tiga motosikal serta dua kereta jenis Bentley dan Perodua Kancil musnah. 
Akibat kebakaran itu, dinding di rumah bersebelahan turut mengalami keretakan. - Sinar Harian

Khamis, 18 Julai 2013

Garaj Kereta Diubahsuai Jadi Rumah

Garaj yang diubahsuai menjadi kediaman Zakaria sekeluarga kelak. Foto: Sinar Harian

Foto arkib 29.6.2013: Zakaria melihat sisa kebakaran rumahnya. Foto: Sinar Harian

Foto arkib 29.7.2013: Keluarga Zakaria dikunjungi jiran dan saudara-maranya. Foto: Sinar Harian

PASIR MAS – Garaj yang pernah menempatkan tiga kereta milik seorang peniaga pasar malam dan keluarganya kini bakal menjadi rumah mereka, selepas kediaman sebelum itu musnah dalam kebakaran pada 28 Jun lalu. 
Zakaria Long, 65, berkata, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiaminya selama 30 tahun itu terbakar. 
Namun menurutnya, nasib mereka mendapat perhatian orang ramai dan pemimpin tempatan yang menghulurkan sumbangan berbentuk wang, pakaian serta barangan harian. 
“Terima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan pelbagai sumbangan termasuklah barangan membuat rumah. 
"Duit hasil sumbangan itu saya gunakan bagi ubah suai garaj ini kepada rumah baru kami sekeluarga. 
"Lagi pun, saya tidak perlu banyak perbelanjaan untuk proses ini, sekadar beli keperluan membuat dinding dan tingkap rumah sahaja," katanya. 
Zakaria berharap dapat tinggal di rumah tersebut menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, walaupun rumah tersebut agak sempit dan tidak sempurna seperti rumah terdahulu. 
Bagaimanapun, dia bersyukur, isteri dan anak-anak tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kemalangan dan hanya berdepan trauma. 
Sementara itu, isterinya, Zaini Idris, 48, berkata, dia dan anak-anaknya masih dihantui kebakaran yang merubah kehidupan mereka sekeluarga itu. 
Menurutnya lagi, mereka sekeluarga tidak teruja menyambut hari raya malah tidak memikirkan untuk membuat persiapan seperti tahun sebelumnya. 
Kejadian 4 pagi 28 Jun lalu menyebabkan Zakaria kerugian kira-kira RM100,000 apabila barangan rumah, barangan jualan, wang ringgit, tiga motosikal dan pakaian keluarganya musnah terbakar. 
Kini dia dan keluarga menumpang rumah anak saudaranya di Gual Tambun sementara menunggu rumah mereka siap diubah suai. - Sinar Harian

Khamis, 20 Jun 2013

Kampung Melayu Tertua Di Sarawak Terbakar

Kebakaran yang berlaku di Kampung Datuk merupakan antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak. Foto: Bernama


SIBU - Lebih 600 orang tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 100 buah rumah di Kampung Datu, antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak, di sini musnah dalam kebakaran besar hari ini. 
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu, Mutalib Jaafar berkata kebakaran itu berlaku pada kira-kira pukul 4 petang dan 47 anggota dari dua balai di sini dan Kanowit berjaya mengawal kebakaran lima jam kemudian. 
"Sehingga kini kita belum menerima sebarang laporan kemalangan jiwa dan kita akan meneruskan siasatan berkenaan punca kebakaran ini," katanya semasa dihubungi Bernama. 
Sementara itu Penghulu Kampung Datuk, Hussain Abdul Rasit berkata kira-kira 600 orang mangsa telah didaftarkan dan ditempatkan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan Abang Ali berdekatan kampung itu. - Bernama


Foto
Kira-kira 100 rumah terbakar di Kampung Datu Lama, semalam. Foto: myMetro

Foto
Pemandangan dari udara kebakaran yang berlaku di Kampung Datu Lama. Foto: myMetro

Foto
Kampung Datu Lama hanya tinggal nama. Foto: myMetro
SIBU - “Sebaik tiba di rumah, saya lihat penduduk berlari sambil menjerit api... api... api dan ada juga yang menangis,” kata Mohamad Nur Hafiz Majidi, 28, ketika menceritakan kebakaran membabitkan hampir 100 rumah di Kampung Datu Lama, di tepi Sungai Rajang di sini, semalam. 
Kebakaran yang berlaku sekitar 3.45 petang itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk kampung tradisi berkenaan tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barangan berharga berikutan api marak dengan cepat selain kedudukan rumah terlalu rapat. 
Menurutnya, api dipercayai bermula dari sebuah rumah tidak berpenghuni sebelum merebak ke rumah bersebelahan. 
“Rumah tidak berbumbung itu sudah lama ditinggalkan pemiliknya. Kebakaran bermula dari rumah itu, mungkin disebabkan cuaca terlalu panas sebelum merebak rumah lain. 
“Ketika kejadian, kebanyakan penduduk keluar bekerja dan kepulangan mereka dikejutkan dengan kejadian menyedihkan ini,” katanya yang tinggal di Kampung Hilir ketika dihubungi di sini, semalam. - myMetro


Selasa, 11 Jun 2013

8 Deret Kedai Di Chow Kit Terbakar

Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran deretan kedai di Chow Kit. Foto: Bomba KL

Keadaan hadapan deretan kedai di Chow Kit yang musnah dalam kebakaran.

KUALA LUMPUR - Lapan deretan kedai terletak bersebelahan sebuah pasaraya di Jalan Tunku Abdul Rahman, Chow Kit, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi semalam. 
Kebakaran dipercayai berpunca akibat tiang kabel elektrik yang tumbang menghempap struktur kedai. 
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.16 pagi daripada orang awam sebelum tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Sentul, Setapak, Hang Tuah, dengan kekuatan 44 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian. 
Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa tiba lima minit kemudian. 
“Ketika tiba, api sedang marak namun berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.45 pagi. 
“Kebakaran itu melibatkan lapan kedai dengan keluasan 1,280 kaki persegi. Ia membabitkan kedai menjual ubatan tradisional, pemborong makanan, pakaian dan kain,” katanya. 
Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut membantu memutuskan bekalan elektrik bagi mengelakkan berlaku kebakaran lebih besar. 
“Bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan serta jumlah kerugian belum dapat ditafsirkan,” katanya. 
Difahamkan, bomba mengalami kesukaran memadam kebakaran berikutan tekanan air rendah di kawasan kejadian. 
Kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan lalu-lintas berikutan laluan masuk ke lokasi terpaksa ditutup. 
Sementara itu, peniaga jamu dikenali sebagai Ardy, 25, berkata, ketika kejadian dia tiada di lokasi setelah menutup operasi seawal jam 9.30 malam. 
Katanya, dia hanya mendapat tahu kedainya terbakar ketika menerima panggilan telefon oleh peniaga lain yang terlibat. 
“Saya terus bergegas kembali ke lokasi kedai untuk menyelamatkan barang perniagaan namun hanya sebahagian sahaja dapat diselamatkan,” katanya. 
Peniaga deretan kedai berkenaan sudah menutup operasi perniagaan sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 pagi. - Sinar Harian

Ahad, 5 Mei 2013

Kebakaran Hutan Di California Bertambah Buruk

Kebakaran hutan ini mengancam 4,000 rumah di barat laut Los Angeles

Ahli bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran di kawasan berhampiran Newbury Park, California

California adalah negeri termaju di Amerika Syarikat (AS) dan AS adalah negara termaju di dunia

Namun kebakaran hutan seperti ini mencabar kemampuan ahli bomba memadamkannya

Kebakaran semakin menghampiri Taman Negara Point Mugu yang terletak di barat Malibu

Anggota bomba mengesahkan beberapa rumah, kenderaan dan ladang telah rosak, tetapi tidak mempunyai maklumat tahap kerugian 

CALIFORNIA - Lebih 1,000 kediaman termasuk sebuah pangkalan tentera dan universiti diarah berpindah selepas kebakaran di hutan California, barat laut Los Angeles, Amerika Syarikat makin merebak. 
Jurucakap penyelamat berkata, lebih 900 anggota bomba diarah mengawal kebakaran di kawasan seluas 4,000 hektar persegi itu. 
“Angin kencang menyukarkan usaha mengawal kebakaran. Sebanyak lebih 4,000 rumah berada dalam keadaan terancam dan mereka diarah berpindah serta merta,” katanya. 
Sementara itu, Perkhidmatan Kaji Cuaca merekodkan, suhu di kawasan terbabit mencecah 40 darjah Celsius dan meramalkan suhu itu akan meningkat susulan musim kemarau akan melanda sebahagian besar barat AS mulai minggu ini. Menurut laporan AP. - Sinar Harian

Sabtu, 4 Mei 2013

Rumah Terbakar Ketika Makan Malam

Orang ramai melihat rumah Mohd. Hazrul terbakar di Lorong 11, Taman Jumbo, Petagas, Putatan, Sabah semalam. Foto: myMetro


PUTATAN - Lima sekeluarga yang sedang menikmati hidangan makan malam nyaris rentung apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Lorong 11, Taman Jumbo Petagas, di sini, kelmarin. 
Difahamkan, dalam kejadian jam 9 malam itu, kebakaran dipercayai akibat litar pintas dari sebuah bilik di tingkat atas rumah itu menyebabkan penghuni bergegas menyelamatkan diri dan tidak sempat menyelamatkan harta benda. 
Menurut pemilik rumah itu, Mohd Hazrul Hairi Jabir, 25, dia sedar kejadian litar pintas di rumahnya tetapi tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk. 
“Kira-kira jam 6 petang, berlaku gangguan peralatan elektrik rumah dan menyangka fius meter mengalami masalah lalu menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). 
“Mereka tiba beberapa minit kemudian melakukan pemeriksaan dan menggantikan fius baru,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 
Katanya, selepas bekalan elektrik pulih, dia bersama keluarga mahu menikmati makan malam sebelum terdengar bunyi barang jatuh dari tingkat atas rumah selain terhidu bau hangit. - myMetro

Sabtu, 6 April 2013

Hangus Sekelip Mata

Pihak bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke rumah-rumah. Foto: Sinar Harian

Rumah hanya tinggal arang. Foto: Sinar harian

Zaituni bersama anak-anaknya tidak dapat menahan sebak melihat rumah mereka terbakar. Foto: Sinar Harian

Api yang masih lagi marak di rumah salah seorang mangsa. Foto: Sinar Harian


KUANTAN – Sebanyak lapan buah rumah termasuk kedai dan sebiji kereta kancil musnah sekelip mata dalam kejadian kebakaran di Kampung Haji Ali Batu 6,Jalan Gambang di sini kira-kira jam 10.30 pagi semalam. 
Ketika kejadian, seorang ibu hamil empat bulan, Zaituni Radimus Ali Ahmad, 40, cemas mencari anak bongsunya yang ditinggalkan di rumah jiran sebelah yang turut terbakar dalam kejadian tersebut. 
“Sejurus dimaklumkan rumah kami terbakar, tiada apa yang terbayang di minda saya melainkan keselamatan dan nyawa anak bongsu, Mohd Haikal Mohd Saipul, 6 yang ditinggalkan bersama jiran kerana saya pagi itu daya pergi ke Klinik Kesihatan Jaya Gading untuk melakukan pemeriksaan di sana. 
“Sebaik sahaja sampai, saya bertambah panik apabila melihat asap dan api yang marak serta pada masa yang sama saya masih belum menemui Mohd Haikal. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu,” kata Zaituni yang berasal dari Indonesia. 
Ibu enam anak ini berkata, ketika kejadian suaminya, Mohd Sipul Mohd Nor, 31 tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu lori di Kemaman, Terengganu, manakala tiga anaknya bersekolah selebihnya sedang bekerja. 
Lebih menyedihkan, salah seorang anak Zaituni, Nor Aliza Ramidus,17 yang baru sahaja memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam SPM tidak sempat menyelamatkan sijilnya itu yang turut menjadi abu. 
Dalam kejadian membabitkan lapan buah rumah itu, tiga daripadanya dan sebuah kedai makan serta sebuah kereta Perodua Kancil dijilat api menyebabkan semua penghuninya tinggal sehelai sepinggang. 
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Omar Yaakob, 56 berkata ketika kejadian dia berada di luar bersarapan bersama keluarga dan bergegas pulang sejurus dimaklumkan rumah mereka terbakar. 
“Sebaik sahaja sampai, saya lihat rumah saya hanya tinggal arang sahaja, tiada satu barang pun yang sempat diselamatkan. 
“Sudah hampir 40 tahun saya tinggal di sini, bukan sahaja rumah yang terbakar, segala kenangan lama saya juga musnah dijilat api menyebabkan saya kini tinggal sehelai sepinggang. 
“Selain itu, saya baru sahaja mengemas bilik untuk menyambut kepulangan cucu baru ke rumah ini, namun semua persiapan juga turut musnah,” katanya. 
Justeru, Omar berharap agar nasib kesemua mangsa kebakaran di sini mendapat perhatian segera daripada pihak atasan bagi memulakan hidup baru semula. 
“Bermula hari ini, kami sudah tidak mempunyai apa-apa. Sudahlah tempat tinggal terbakar dan kini hanya boleh menumpang rumah saudara sahaja. 
“Oleh itu, saya berharap agar kami masih boleh teruskan hidup untuk hari-hari yang mendatang dan kejadian hari ini hanya mimpi semata-mata untuk kami terus tabah,” katanya. 
Sementara itu, Penguasa Bomba (Bahagian Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Alimaddia Bukir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 10.15 pagi sebelum membuat hebahan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas untuk meminta ke tempat kejadian. 
“Bagaimanapun, kita dapati kebakaran terbabit merebak ke rumah berhampiran lalu mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Bandar Indera Mahkota dan Gebeng bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 32 anggota dan lima jentera. 
“Kita terpaksa mengambil masa selama 45 minit untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran selain sempat menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikatakan berada seorang diri di dalam rumah selepas ditinggalkan ibunya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 
Menurutnya, pihaknya akan meminta bantuan daripada Bahagian Penyiasatan Kebakaran negeri (BPK) untuk membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang didakwa api mula merebak melalui salah sebuah rumah penduduk. 
Katanya, siasatan awal mendapati, faktor cuaca yang panas serta angin turut dipercayai menjadi salah satu penyumbang berlakunya kebakaran berkenaan sehingga memusnahkan lapan buah rumah termasuk kedai dan sebuah kereta Perodua Kancil tidak sempat diselamatkan. 
Alimaddia berkata, bagaimanapun, jumlah kerugian setakat ini berkemungkinan dianggarkan lebih daripada RM100,000 namun siasatan akan terus dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian. - Sinar Harian

Selasa, 2 April 2013

Kedai Runcit Terbakar Kerugian RM300 Ribu

Beginilah keadaan kedai runcit milik Ng Kau Tee yang musnah kerana kebakaran pada hari Ahad. Foto: myMetro

Para pekerja sedang membersihkan kedai selepas kebakaran. Foto: myMetro


KAPAR - “Tiada kata yang mampu saya ungkapkan selepas melihat kedai runcit yang diusahakan bersama keluarga sejak enam tahun lalu hangus dijilat api. Walaupun terpaksa menanggung kerugian RM300,000, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” kata Ng Kau Tee mengenai kejadian kebakaran kedai runcitnya di Batu 10, Pekan Kapar, di sini, awal pagi semalam. 
Dipercayai kejadian berlaku jam 2.50 pagi itu, tujuh rumah kedai masing-masing dua kedai runcit manakala sebuah kedai barangan terpakai, bengkel motosikal, kedai gunting rambut, kedai pakaian dan sebuah kedai kosong musnah. 
Kerugian dialami semua pekedai terbabit mencecah RM1 juta berikutan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan dalam kedai masing-masing. 
Menurut Ng, 65, dia mengetahui kedai runcitnya yang disewanya itu terbakar jam 3 pagi selepas dimaklumkan rakannya yang melalui jalan berkenaan ketika kejadian. 
Katanya, sebaik tiba, dia hanya mampu melihat kedainya sudah terbakar dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang berikutan api marak. 
“Barangan dalam kedai tidak dapat diselamatkan termasuk stok barangan seperti beras dan minyak yang baru sampai dihantar pengedar Jumaat lalu dan semuanya dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit. “Saya belum terfikir untuk mencari lokasi kedai baru kerana mahu membersihkan kedai runcit ini terlebih dulu kerana barangan yang hangus perlu dibuang supaya memudahkan pemilik membaiki kerosakan kedai berkenaan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam. 
Tinjauan Harian Metro ke tempat kejadian semalam mendapati ada pemilik kedai membersihkan premis masing-masing. 
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.55 pagi dan jentera pertama tiba di tempat kejadian jam 3.10 pagi. 
Beliau berkata, dua jentera masing-masing daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, BBP Sungai Pinang dan BBP Kota Raja dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran. 
“Bomba dapat mengawal sepenuhnya kebakaran jam 4.10 pagi dan tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan. 
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan pasukan forensik bomba dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya. Operasi memadam kebakaran diketuai Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuwan dibantu 29 anggota. Pengarah Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Jabatan Perdana Menteri D Ravindran ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya melalui Jabatan Perdana Menteri akan menyalurkan bantuan kepada semua pekedai terbabit dalam kebakaran itu. - myMetro

Isnin, 1 April 2013

Kereta Mercedes Peguam Terbakar

Pegawai bomba membuat pemeriksaan selepas keseluruhan api berjaya dipadamkan. Foto: Sinar Harian

Walaupun bukan model terkini namun kereta Mercedes ini tetap menarik (gambar hiasan). Foto: flipacars.com

Selain itu, ramai yang percaya Mercedes adalah kenderaan yang tahan lasak


KUALA TERENGGANU - Seorang peguam terpaksa berputih mata apabila kereta jenis Mercedes Benz miliknya terbakar secara tiba-tiba di tempat letak kereta di kediamannya, di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kereta milik Datuk Victor Isaacs, 73, terbakar berpunca daripada masalah enjin dan berjaya dipadamkan bomba. 
Menurut Victor yang juga Presiden Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia cawangan Terengganu, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada kakaknya yang secara kebetulan berada di rumah. 
“Semasa kejadian, saya berada di pejabat dan sejurus menerima berita berkenaan, saya terus bergegas pulang ke rumah yang hanya terletak bersebelahan bangunan pejabat," katanya. 
Menurutnya, kereta yang sudah berusia hampir 25 tahun itu sebelum ini tidak pernah mengalami sebarang kerosakan serius dan baru sahaja tahun lalu beliau menghabiskan RM35,000 untuk servis termasuk cat baru. - Sinar Harian