Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Khamis, 2 Oktober 2014

Menjelang Aidil Adha Tahun Ini

Beratus ribu jemaah haji dari seluruh dunia tiba di Makkah untuk menunaikan ibadah haji

Setiap orang Islam yang cukup syarat wajib menunaikan fardhu haji ke Makkah sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka

Kerja pembesaran Masjidil Haram masih berjalan pada masa ini 

Suasana malam di Masjidil Haram

Umat Islam sedang mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah

Jemaah haji menziarahi Kaabah yang menjadi tumpuan umat Islam di seluruh dunia ketika mendirikan solat

Ketika jemaah haji melakukan ibadah haji di Makkah, umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidil Adha

Setiap tahun, umat Islam dari 160 buah negara berkumpul di Kota Suci Mekah untuk melaksanakan ibadah haji

Setiap tahun berbagai bangsa dan warna kulit tiba di Makkah untuk melaksanakan Rukun Islam Kelima

Arab Saudi mengambil langkah berjaga-jaga tambahan tahun ini bagi memastikan wabak Ebola di Afrika Barat tidak merebak 


Jemaah haji yang kini berada di Tanah Suci diingatkan supaya mengelak daripada mengambil gambar ‘selfie’ atau video ketika beribadat di sana.
Mereka dinasihati agar bersikap rendah diri dan tidak memuat naik video dan gambar di media sosial. 
Ulama Saudi Assim Al Hakeem berkata, “mengambil gambar dan video dianggap bertentangan dengan hasrat nabi". 

“Seolah-olah tujuan perjalanan ini ialah untuk mengambil gambar," tambah Ulama Abdul Razzaq Al Badr.

Rabu, 3 September 2014

Ulama Saudi Cadang Makam Nabi Dipindah?

Makam Nabi Muhammad terletak di bawah kubah hijau, Masjid Nabawi

Pintu Makam Nabi Muhammad


Cadangan dikemukakan seorang ulama Saudi untuk memindahkan makam Nabi Muhammad (SAW) di Masjid Nabawi dan dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda mencetuskan kontroversi semalam. 
Rancangan itu, menurut akhbar Independent yang diterbitkan di London, mencadangkan supaya pusara Rasulullah itu dialihkan ke tanah perkuburan al-Baqi yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi. 
Bagaimanapun, menurut laporan itu, setakat ini belum ada keputusan rasmi dibuat mengenai cadangan berkenaan. 
Namun, pendedahan mengenai cadangan itu mencetuskan kemarahan di media sosial. 
Seorang pembaca yang menamakan dirinya Yahya Birt berkata, rancangan itu, jika dilaksanakan akan mendapat tentangan habis-habisan daripada masyarakat Islam. 
Seorang pembaca lain, M Faris menyelar kerajaan Saudi dengan menyifatkannya sebagai satu lagi contoh ketidakpekaan pemimpin dan ulama negara itu terhadap warisan Islam dan mengingatkan, langkah itu, jika dilaksanakan adalah penghinaan terhadap masyarakat Islam. 
Akhbar Independent semalam melaporkan seorang ulama Arab Saudi mengemukakan pelan kontroversi untuk memindahkan makam Rasulullah itu selepas beberapa ulama negara itu menyuarakan kebimbangan ia semakin menjadi tempat pemujaan. 
Menurut laporan itu, dokumen 61 muka berkenaan diedarkan kepada anggota pihak berkuasa Tanah Suci, mencadangkan supaya makam itu dipindahkan ke tanah perkuburan al-Baqi, bersebelahan dengan Masjid Nabawi dan dikuburkan tanpa sebarang tanda. 
Akhbar itu memetik Pengarah Yayasan Kajian Warisan Islam, Dr Irfan Al-Alawi sebagai berkata: “Mereka mahu menghalang orang Islam mengunjungi makam berkenaan kerana menganggap perbuatan itu syirik. 
“Satu-satunya cara yang boleh mereka lakukan untuk menyekat orang ramai mengunjungi makam itu ialah memindahkannya ke tanah perkuburan dan tanpa tanda,” kata Irfan. 
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada Raja Abdullah, penjaga rasmi dua tanah suci, atau jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap Masjid Nabawi, bersetuju dengan cadangan berkenaan. 
Mereka juga bimbang kemunculan pelan berkenaan, yang berasal dari fahaman Wahabbi akan memecah-belahkan pengikut fahaman Sunni dan Syiah. 
“Pengikut Sunni amat menghormati makam Rasulullah dan akan menentang rancangan berkenaan. 
Pengikut Syiah juga menentangnya kerana menghormati anak Rasulullah, Fatimah. 
Sudah pasti masyarakat Islam terkejut dengan pendedahan ini. 
Ia akan mencetuskan kemarahan,” kata Irfan. - myMetro

Berita Dari Bernama
Dalam siaran akhbar yang dihantar kepada Bernama hari ini, ISISCO yang berpangkalan di Rabat, Mahgribi, mengecam sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas dalam artikel ditulis oleh wartawan akhbar itu, Andrew Johnson. 
Akhbar itu pada hari ini menyiarkan artikel itu yang menyebut cadangan kontroversi itu terkandung dalam satu dokumen kajian yang disediakan oleh seorang tokoh akademik Arab Saudi. 
Laporan itu menyebut makam Nabi Muhammad SAW akan dipindahkan daripada kedudukannya sekarang dalam Masjid al-Nabawi di Madinah ke kawasan perkuburan Baqi yang terletak berdekatan masjid itu dan pihak berkuasa Arab Saudi sedang berbincang berhubung cadangan itu. 
ISISCO berkata, laporan tidak bertanggungjawab itu merupakan suatu pembohongan besar berpunca daripada rasa benci dan konspirasi terhadap umat Islam dan kerajaan Arab Saudi yang menjadi tuan rumah kepada tempat-tempat suci Islam. 
Tuduhan palsu itu juga bertujuan untuk mewujudkan kekeliruan dan kekacauan yang mampu mengancam keselamatan dan perpaduan serta memburukkan lagi keadaan di rantau ini di mana peperangan dan keganasan antara agama berlaku, menurutnya.  
ISISCO menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya tidak mempercayai tuduhan jahat itu dan berkata makam Rasulullah SAW akan kekal di tempat mulianya sehingga hari kiamat. 
ISISCO juga menuntut pihak berkuasa Arab Saudi menyaman penulis dan akhbar yang menerbitkan artikel pembohongan itu. - Bernama

Berita Terkini Dari myMetro 
MAKKAH - Jurucakap Sidang Redaksi harian Arab News, Mowafaq Al-Nowaiser bneerkata, mereka sedang mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar harian Inggeris, The Independent yang dianggap menyebar berita fitnah berhubung perancangan memindahkan makam Rasulullah dari Masjid Nabawi. 
“Kami membincangkan kemungkinan itu bersama peguam kami,” katanya.  
Mowafaq turut menuduh akhbar berkenaan mencuri artikel yang ditulis seorang wartawannya. 
Harian Arab News kelmarin menyiarkan kenyataan Mowafaq yang antara lain menyebut The Independent juga keliru dalam menterjemahkan artikel berkenaan. 
Arab News juga menyiarkan bantahan Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci terhadap penyiaran artikel The Independent itu, malah jurucakapnya Ahmed Al-Mansouri berkata, dokumen yang digunakan untuk penulisan artikel berkenaan tidak mencerminkan keputusan pemerintah Arab Saudi. 
“Ini sekadar pandangan peribadi seorang penyelidik yang menjelaskannya melalui kajian dilakukannya dan tidak langsung menggambarkan pandangan kerajaan,” katanya. - Agensi/ myMetro 08/092014

Rabu, 27 Ogos 2014

Lebih 1.3 Juta Tunai Haji Tahun Ini







RIYADH Arab Saudi - Lebih 1.3 juta jemaah haji luar negara dijangka menunaikan ibadah tersebut tahun ini, dengan negara Asia Selatan akan menghantar kontinjen terbesar sebanyak 410,000 orang diikuti negara Arab sebanyak 250,000 jemaah. 
Ahli Jawatankuasa Haji dan Umrah Arab Saudi, Saad Al-Qurashi berkata, kira-kira 150,000 jemaah tempatan termasuk ekspatriat akan sama menunaikan haji. 
"Daripada jumlah itu, seramai 41,000 akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan haji kos rendah," katanya dipetik oleh Arab News. - Sinar Harian

Jumaat, 14 Mac 2014

Antara Teknologi Manusia Dengan Teknologi Illahi

Stephen Hawking, ahli sains yang percaya sains mengatasi segala-galanya dan alam tidak memerlukan Tuhan

Richard Dawkins, mendakwa agama menjadikan manusia dungu kerana mematikan kreativiti akal manusia


Mana yang lebih hebat, sains atau teknologi manusia atau teknologi Tuhan? Bagi Stephen Hawking, seorang ahli fizik dari Universiti Cambridge, jawapannya jelas. Sains mengatasi segala-galanya. Dalam satu ceramahnya bertajuk ‘Origin of the Universe’ di California pada April 2013, beliau berkata, kejadian alam semesta ini tidak memerlukan Tuhan, kerana Dia tidak berperanan dalam ciptaan alam semesta dan pengurusannya. 
Kepercayaan ini juga dipegang oleh Richard Dawkins, seorang ateis yang tidak percaya pada agama dan Tuhan (lihat The God Delusion, 2006). Beliau dengan angkuhnya mendakwa kepercayaan pada agama menjadikan manusia dungu kerana agama mematikan kreativiti akal manusia. 
Islam tidak menolak sains dan teknologi. Pada pandangan Islam, fenomena sains selari dengan sunnatullah atau ‘law of nature’ iaitu ketetapan yang dianugerahkan oleh Allah SWT pada setiap ciptaan-Nya. Api membakar, air dapat menghilangkan dahaga, angin kering sifatnya dan sebagainya. 
Sunnatullah ini dijelaskan dalam al-Quran seperti firman Allah: 
"dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui." Ayat 38, Surah Yasin. 

Manusia pula dilantik oleh Allah sebagai khalifah-Nya dan dia diberi kapasiti ‘taskhir’ iaitu keistimewaan untuk mengurus, mentadbir, memanfaat dan memakmurkan alam ini dengan sebaik mungkin, supaya kelangsungan alam ini dapat dikekalkan. Kerja mengurus ini pula satu ibadah pada-Nya, jika dilakukan mengikut tuntutan dan peraturan-Nya.

Indah tiada tara

Maknanya, selain kuasa teknologi yang diciptakan manusia, kita juga beriman bahawa terdapat satu lagi teknologi dan kuasa ‘quwwah’ yang lebih lebat daripada teknologi manusia, iaitu teknologi Allah atau teknologi Ilahi. 
Kehebatan teknologi Ilahi dapat dilihat dengan jelas dalam alam ini. Bagaimana alam semesta ini diciptakan dengan penuh keindahan dan ia diurus dengan baik, penuh dengan keseimbangan, harmoni, tersusun dan terurus dengan baik tanpa konflik dan ketidakseimbangan atau ‘disharmony’. 

Keharmonian ini menunjukkan alam semesta taat dan patuh pada Allah. Maknanya, mereka juga beribadat pada Allah dengan cara mereka tersendiri. 
Kehebatan teknologi Allah dalam aspek ini dikenali dalam ilmu tauhid sebagai manifestasi sifat al-Jamal iaitu keindahan yang tidak ada taranya. 
Kehebatan teknologi Ilahi juga dapat dilihat hasil manifestasi sifat al-Jalal-Nya. Iaitu kuasa musnah-Nya. 
Tadi kita lihat daripada aspek kuasa jadi-Nya atau ‘the power of making’. Allah juga mempunyai kuasa musnah atau ‘the power of destruction’ yang dapat dilihat daripada fenomena kejadian letusan gunung berapi, gempa bumi, ribut, tsunami dan sebagainya. 

Bila Allah menggunakan kuasa teknologi al-Jalal-Nya, seluruh kekuatan teknologi manusia menjadi tidak berguna. Sesungguhnya, kekuatan teknologi Allah mengatasi segala kehebatan teknologi manusia.

Api jadi sejuk 
Lihat bagaimana teknologi Allah dapat menyelamatkan Nabi Ibrahim AS daripada api yang marak membakar seperti dijelaskan dalam al-Quran: 
"Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim." Ayat 69, Surah al-Anbiya. 
Teknologi Ilahi juga berlaku pada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengembara ketika Israk dan Mikraj dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis dan menghadap Hadrat Ilahi di Sidratul Muntaha, dan baginda berpatah balik ke Makkah pada malam yang sama. Sedangkan mengikut perkiraan, untuk sampai ke Jerusalam akan mengambil masa tiga bulan pada masa itu. Tapi dengan teknologi Ilahi, ia boleh berlaku dalam satu malam saja. 

Dengan teknologi Ilahi juga, Nabi Musa diberi mukjizat membelah laut untuk menyelamatkan diri dan kaumnya daripada kezaliman Firaun. Begitu juga dalam fenomena lain. 
Semestinya, kehebatan teknologi Ilahi ini manifestasi ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu. Ilmu-Nya tidak tertakluk pada masa seperti manusia. Dia mengetahui perkara yang lalu, sedang berlaku dan akan berlaku dengan jelas. Tidak ada satu perkara pun yang terlindung daripada pengetahuan-Nya. 
Firman Allah: 
"Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu." Ayat 3, Surah al-Hadid. 
Dalam ayat lain, Allah berfirman: 
"Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan tiap-tiap sesuatu." Ayat 54, Surah al-Fussilat. 
Bahkan teknologi Ilahi dapat mengetahui perkara yang tersembunyi dalam hati manusia: 
"Katakanlah (wahai Muhammad), Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahui; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." Ayat 29, Surah al-Imran. 
Jelas, bahawa teknologi ciptaan manusia ‘insaniyyah’ ini ada hadnya. Kesedaran kehebatan teknologi Ilahi ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam jiwa insan dan mengukuhkan lagi keimanan dan akidahnya pada Yang Maha Esa seperti disebutkan dalam al-Quran: 
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." Ayat 190 - 191, Surah al-Imran. 
Kehebatan teknologi Ilahi ini juga dapat dilihat dalam kejadian kehilangan pesawat MH370 pada 9 Mac baru-baru ini. Sudah masuk hari keenam, ia masih belum ditemui. Pakar penerbangan berpendapat tidak mungkin pesawat secanggih itu boleh hilang begitu saja. Dari segi teorinya, ia satu perkara yang mustahil.

Jadi dengan izin Allah

Hakikatnya, itu yang terjadi dengan izin Allah. Bahkan dengan teknologi ‘advanced’ yang datang dari pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat, pesawat MH370 masih belum ditemui, walaupun usaha mencari dilakukan dari udara, darat dan lautan. Amat jelas, kepercayaan Hawking mengenai kehebatan sains dan teknologi itu ada hadnya. 

Ia bukan segala-galanya. Bahkan, kehebatan teknologi manusia menjadi tidak bermakna apabila berhadapan dengan teknologi Ilahi dan takdir-Nya. Sebagai insan yang beriman pada Allah dan Rasul-Nya, kita perlu berdoa pada Allah dan terus berusaha. Dan ingatlah bahawa Dialah yang mempunyai kuasa atas segala sesuatu. ‘Lahaula wala quwwata illa billah’ tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. 
Marilah kita sama-sama berdoa semoga pesawat MH370 ditemui secepat mungkin. Wallahu’alam. - Ahmad El-Muhammady/myMetro

Jumaat, 22 November 2013

Gadis Penjual Susu Yang Jujur

Di sebelah kiri makam Rasulullah dan di sebelah kanan makam Abu Bakar Al-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Foto: Blog Rosidah Uri

Makam Rasulullah, Abu Bakar Al-Siddiq dan Umar Al-Khattab terletak di bawah kubah hijau. Foto: Wikimedia

Makam Khalifah Umar Abdul Aziz, cucu kepada Umar Al-Khattab


KHALIFAH Umar al Khatab terkenal sebagai pemimpin yang gemar meronda pada waktu malam. Sebagai pemimpin negara, beliau perlu mengetahui apakah aktiviti rakyatnya pada malam hari. Umar berjalan-jalan di tepi sebuah rumah yang usang, lantas telinganya tertangkap akan perbualan si penjual susu yang miskin dan anak gadisnya. 
“Wahai anakku, hari ini kita memperoleh bekalan susu yang sedikit, apa kata jika campurkan ia dengan air supaya kelihatan banyak sebelum matahari terbit,” kata si ibu. 
Terkejut gadis itu, lantas dia menjawab, “kita tidak boleh berbuat seperti itu wahai ibuku, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang berbuat demikian,”. 
Penjual susu itu berkata lagi, “tidak mengapa anakku, jika di antara kita tidak membocorkan rahsia ini kepada sesiapa tentunya Amirul Mukminin tidak akan tahu,”. 
“Benar, biarpun beliau tidak tahu, tetapi tuhan kepada Amirul Mukminin mengetahuinya,” jawab si gadis sunti itu. 
Sebaik mendengar jawapan gadis itu, mengalir air mata Umar, terdetik di hati jujurnya anak gadis itu. Sampai di rumahnya, Umar meminta anaknya, Asim menikahi gadis tersebut. 
Umar mengatakan, akan lahir daripada keturunan gadis ini bakal pemimpin Islam yang hebat, disegani yang bakal memimpin orang-orang Arab dan Ajam. 
Asim, seorang anak yang menurut perintah, maka berkahwinlah Asim dan gadis anak si penjual susu yang miskin itu. Hasil pernikahan tersebut mereka beroleh anak perempuan dinamakan Laila dikenali sebagai Ummu Asim. 
Kemudiannya Ummu Asim dinikahkan dengan Abdul Aziz bin Marwan. Perkongsian hidup itu lahirlah pembesar negara yang ulung, Umar bin Abdul Aziz. - Sinar Harian

Rabu, 16 Oktober 2013

Ratusan Ribu Jemaah Haji Melontar Jamrah

Pemandangan jemaah haji melontar di jamrah semalam. Foto: AFP

Pemandangan di Jamrah pada tahun 2011. Foto: mole.my

Jamrah asal ini telah dirobohkan oleh pemerintah Saudi pada tahun 2004 dan digantikan jamrah yang baru. Foto: wasukalu

Mina, tempat terletaknya jamrah hanya sibuk selama tiga hari pada setiap tahun. Foto: detikislam


MINA, Arab Saudi - Ratusan ribu jemaah haji melontar jamrah yang dilakukan pada hari pertama Hari Raya Aidiladha semalam. 
Para jemaah itu melontar batu ke arah struktur batu yang merupakan simbolik sebagai melontar ke arah syaitan. 
Walaupun jumlah jemaah haji pada tahun hanya dua juta iaitu berkurangan berbanding 3.2 juta pada tahun lalu, kawasan Mina dipenuhi dengan lautan manusia yang berpakaian putih untuk mengerjakan haji. 
Para jemaah itu melontar batu kecil ke arah struktur batu itu. 
Namun, terdapat sejumlah jemaah dari Syria yang membawa bendera kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad di sekitar kawasan tersebut. 
Sejumlah lagi jemaah haji dari Mesir menunjukkan empat batang jari mereka sebagai tanda sokongan ke atas Mohamed Morsi yang digulingkan tentera Mesir dalam satu rampasan kuasa. 
Ratusan anggota polis mengawal tempat melontar batu itu.
Namun, pergerakan jemaah tidak sepadat seperti pada tahun lalu. 
"Jumlah jemaah pada tahun ini lebih kecil berbanding pada tahun lalu menyebabkan pergerakan menjadi lebih mudah," kata seorang warga Pakistan, Shiraz Khorshid. 
Para jemaah itu mengikuti perbuatan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS yang membaling batu ke arah syaitan. - Agensi/Kosmo! Online

Isnin, 14 Oktober 2013

Menjelang Musim Haji Tahun Ini

Pada setiap tahun, kiswah atau kelambu Ka'bah akan diganti. Foto: nativepakistan.com

Kiswah akan diganti sebelum menjelang musim haji. Foto: islamicartdb.com

Kiswah lama biasanya dipotong-potong dan diagihkan kepada orang kenamaan atau pertubuhan Islam. Foto: iinanews

Di antara mesin yang digunakan untuk menenun Kiswah. Foto: emel.com

Foto
Para pekerja ini bertungkus-lumus sejak lapan bulan lalu untuk menghasilkan kiswah. Foto: myMetro


Foto
Para pekerja ini melakukan kerja menyulam dengan penuh tekun. Foto: myMetro

Foto
Pemandangan terbaru di sekitar Ka'bah. Foto: myMetro


MAKKAH - Lebih 200 pekerja bertungkus-lumus selama lapan bulan lalu di sebuah kilang di Arab Saudi untuk menghasilkan kiswah atau kelambu kaabah yang bersulamkan benang emas. 
Kiswah itu yang dihasilkan di kilang yang terletak di pinggir Makkah, menggantikan kiswah lama pada permulaan musim haji tahun ini yang ditetapkan bermula hari ini. 
Masyarakat Islam mengaitkan Kaabah dengan Nabi Ibrahim (AS) yang dianggap oleh mereka sebagai pengasas kepada penyembahan Tuhan yang Esa yang ajaran-Nya semakin pudar sehinggalah kepada kedatangan junjungan besar Nabi Muhammad (SAW) pada abad ketujuh Masihi. 
Menyulam ayat suci al-Quran dengan benang emas pada kain sutera adalah kemahiran turun-temurun, dari satu generasi ke generasi berikutnya, kata ketua Jabatan Penyediaan Kiswah, Hassanian al-Sharif. 
Dia bekerja di kilang berkenaan sejak 37 tahun lalu. 
“Tidak ada siapa di luar sana yang mengetahui untuk menyulam kiswah ini. Pekerja baru akan menjalani latihan tiga bulan, dibimbing oleh kakitangan lama, sebelum mereka dapat bekerja di sini,” katanya.  
Pihak berkuasa menyediakan AS$6 juta (RM20 juta) setiap tahun untuk menghasilkan kiswah baru. 
Kiswah lama biasanya dipotong kepada beberapa bahagian dan diagihkan kepada orang kenamaan atau pertubuhan Islam. 
Bagi yang menerimanya, mereka terasa begitu beruntung dan bernasib baik. 
Hampir semua 210 pekerja di kilang itu berasal dari segala pelusuk Makkah dan kebanyakannya akan bekerja sepanjang hidup. 
Sebelum kilang itu dibuka pada 1927, 47 keping kain yang dicantumkan menjadi kiswah dibuat di Mesir sementara bahannya didatangkan dari Sudan, India, Mesir dan Iraq. 
Hari ini, kelambu sebesar 658 meter itu dan seberat 670 kilogram dibuat daripada kain sutera berkualiti tinggi yang diimport dari Itali dan Switzerland, kata Mohammed bin Abdullah Bajuda, pengurus kilang berkenaan. 
“Sutera itu dicelup warna hitam dan diperah sendiri bagi menghasilkan bahan itu sebelum ia disulam dengan 120 kilogram benang emas dan perak asli,” katanya. 
Mesin untuk membantu menjadikan proses itu automatik diperkenalkan 25 tahun lalu, kata Ketua Jabatan Bahan, Salman al-Loukmani. 
“Sebelum ini, kami terpaksa menggunakan lebih ramai tenaga pekerja dan proses menggunakan tangan itu memakan masa yang amat lama. 
“Kini kami memiliki beberapa mesin dari Switzerland untuk membantu kerja kami,” katanya. 
Beberapa jemaah kadang kala mengambil kesempatan mengoyak kiswah ketika menunaikan haji, untuk dibawa pulang. - AFP/myMetro

Jumaat, 11 Oktober 2013

Mufti Saudi Gesa Pergi Haji Sekali Seumur Hidup

Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh menggesa umat Islam agar mengerjakan haji sekali seumur hidup

Kota Makkah sedang menanti kunjungan jemaah haji tahun ini 

Pekerja sedang menyiapkan Kiswah, kelambu Ka'bah untuk digunakan pada musim haji kali ini

Pihak berkuasa Arab Saudi di Makkah juga sedang berusaha menambahkan pengeluaran air zam-zam 


MEKAH - Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh menggesa umat Islam yang pernah mengerjakan haji supaya tidak lagi melakukan ibadah tersebut, lapor Arab News semalam. 
Beliau berkata demikian supaya jemaah-jemaah haji kali pertama berpeluang melakukan ibadah berkenaan dengan lebih sempurna. 
Mufti berkenaan turut menasihati bakal haji tersebut supaya mendermakan wang haji mereka kepada golongan yang memerlukan. 
Bercakap pada satu persidangan anjuran Kementerian Haji di kota suci ini, beliau berkata, ibadah haji wajib bagi setiap orang Islam sekali dalam hidup mereka. 
"Nabi Muhammad SAW mengerjakan haji sekali seumur hidupnya," kata Sheikh Abdul Aziz. 
"Umat Islam perlu mengikuti sunah baginda dengan menjadikan haji lebih mudah untuk setiap jemaah," tambahnya. 
Menurutnya, adalah sudah mencukupi jika seseorang Islam itu melakukan haji sekali dalam hidup mereka. 
"Mereka tidak perlu mengulanginya terutama pada tahun ini apabila sejumlah besar jemaah tiba dari serata dunia untuk mengerjakan haji," tambah mufti itu. 
Sekitar dua juta umat Islam dijangka membanjiri kota suci ini untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini yang bermula pada Ahad ini. 
Sementara itu, Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Haji, Kolonel Abdullah Al-Harthy berkata, tujuh orang cedera ringan akibat hujan dan angin kencang yang melanda Mina dan Padang Arafah tengah hari kelmarin. 
"Tempat-tempat suci di sini mengalami hujan sederhana yang menyebabkan sejumlah khemah sementara yang dididirikan di Arafah rosak," katanya. 
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa memberitahu semalam bahawa dua warga Arab Saudi meninggal dunia di Riyadh selepas mereka dijangkiti virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS). 
Kedua-dua lelaki berkenaan yang masing-masing berusia 78 dan 55 tahun turut menghidapi penyakit kronik yang lain.
Pihak berkuasa Arab Saudi bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh kematian itu berlaku. 
Pada masa yang sama, dua lagi kes MERS dicatat dengan jangkitan virus berkenaan meningkat kepada 119 orang sejak penyakit itu pertama kali muncul di Arab Saudi pada September 2012. 
Virus MERS telah meragut 58 orang di seluruh dunia setakat ini dengan angka kematian terbesar iaitu 51 orang dicatat di Arab Saudi termasuk dua kematian terbaharu itu. 
Media tempatan semalam memetik Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah Al-Rabia sebagai berkata, pihak berkuasa masih belum mencatatkan sebarang kes MERS dalam kalangan jemaah haji setakat ini. 
Virus MERS dipercayai menjangkiti manusia daripada haiwan. 
Penyakit itu mempunyai simptom menyerupai demam selesema tetapi menyebabkan kegagalan ginjal yang boleh membawa kematian. - Agensi/Kosmo! Online

Rabu, 7 Ogos 2013

Ziarah Kubur Dan Bersedih Di Hari Raya

Grafik: Schah

Solat sunat Hari Raya. Foto: mStar

Ziarah kubur. Foto: mStar


Soalan : Dr Asri, selamat hari raya, walaupun banyak hari lagi. Soalan, biasanya setiap pagi hariraya saya dan keluarga akan ke kubur arwah ibu kami. Hubungan kami dahulu amat rapat. Apabila di kubur, saya akan cuba ingat memori lama dengan ibu dan saya akan menangis sepuasnya. Saya ceritakan perkara ini kepada kawan sepejabat saya. Dia kata tak baik bersedih pada hari raya. Dia pun ada mention nasihat Dr Asri supaya jangan sedih pada hari raya. Saya sudah lama terbiasa sedih pada hari raya. Rasanya kosong pula kalau tidak menangis pada hari raya. Boleh Dr Asri jelaskan sedikit panduan hari raya?

Ina, Johor 
 
Jawapan Dr MAZA : Saudari Ina yang dihormati. Saya percaya saudari seorang yang sentiasa ingin mencari redha Allah dan RasulNYA, sebab itu saudari ingin memastikan hariraya saudari mengikut panduan yang betul. Saudari hariraya adalah hari yang dikhususkan kepada kita untuk bergembira, bukan untuk bersedih. Banyak perkara jika hendak disebutkan mengenai hari raya, namun dalam ruang yang terbatas ini saya jawab persoalan saudari seperti berikut: 
1. Hari raya adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur atas kurniaanNya. Kita bertakbir tanda kemenangan, bukan tanda kesedihan. Irama takbir ala melayu agak sedih. Jika kita dengar takbir yang dilaung di dunia Islam yang lain, khususnya di dunia Arab, kita akan tahu irama takbir mereka lebih bersemangat dan lebih mendekati perasaan kemenangan. Firman Allah:
“..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).
Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada hari raya. Ini semua menzahirkan kejayaan dan kegembiraan. 
2. Hari raya bukan hari menzahirkan suasana sedih, sebaliknya hari raya menzahirkan suasana kekuatan, kegembiraan dan perpaduan umat Islam. Kata Ummu Atiyyah r.aha: 
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari). 
Suasana sebegini menimbulkan perpaduan, kekuatan dan kegembiraan. Wanita haid pun ke suruh untuk keluar ke tempat solat, sekalipun bukan untuk solat tetapi untuk menyertai suasana kemeriahan kaum muslimin. 
3. Justeru itu, Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang atau musolla (tempat solat). Baginda tidak bersolat di masjid baginda, sekalipun masjid Nabi sangat mulia. Ini bagi menzahirkan suasana gembira dan menggambarkan kepada masyarakat kekuatan umat Islam. Kata Abu Sa’id al-Khudri: 
“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari:   
“Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”.
Maka afdal solat di tempat lapang untuk lebih menzahir suasana tersebut. Melainkan tempat lapang sukar didapati, atau hujan atau memberikan kesusahan yang lain kepada orangramai. Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang itu menyebut: 
“Hadis ini menjadi dalil untuk mereka yang berpendapat disunatkan keluar bersolat hari raya di musolla. Ia lebih afdal dari ditunaikan di masjid. Inilah amalan orangramai di pelbagai negara. Adapun orang Mekah, mereka sejak dahulu bersolat di masjid (al-Masjid al-Haram)”. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 6/483. Beirut: Dar al-Khair). 
4. Betapa suasana kegembiraan digalakkan pada hari raya, maka Nabi s.a.w mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian, pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:  
bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Banyak hadis lain menunjukkan keizinan atau galakan hiburan pada hari-hari kegembiraan seperti hari raya, hari perkahwinan dan seumpamanya. Maka, dendangan lagu hari raya yang menimbulkan suasana kegembiraan adalah digalakkan. Adapun lagu-lagu yang menimbulkan kesedihan ia bertentangan dengan konsep hari raya dalam Islam. 
5. Kata Ummul Mukminin ‘Aishah r.ha:
“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari). 
Hadis ini menunjukkan apa-apa pertunjukan, permainan atau gurau senda yang tidak melanggar syariat adalah digalakkan pada hari raya. Bukan satu kecacatan untuk orang yang kuat agama menyertainya, kerana Nabi s.a.w sendiri menonton pertunjukan pada hari raya. 
6. Maka, jika berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, hiburan kanak-kanak atau dewasa pada hari raya seperti permainan bunga api atau selainnya adalah tidak menyalahi syariat, bahkan digalakkan jika dapat menimbulkan kegembiraan. Begitu juga jamuan pada hari raya, duit raya, hadiah raya dan apa sahaja yang boleh menimbulkan suasana gembira. Namun kesemuanya hendaklah dipastikan dengan kadarnya yang tidak melampaui hukum-hakam syarak. 
7. Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat. Sabda Nabi s.a.w: 
“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang kerana ia boleh mengingatkan kamu pada hari akhirat” (Riwayat Muslim). 
Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat. Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur. Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan. 
8. Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w. Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari raya. 
9. Pada hariraya disunatkan mandi, berwangian, berpakaian cantik dan berjumpa orang ramai. Dalam hadis Jabir r.a berkata:
“Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza” (Riwayat al-Bukhari). 
Maksudnya, jalan pergi ke tempat dan pulang yang berbeza. Kemungkinan antara hikmahnya untuk berjumpa orang ramai. Maka, berjumpa orang ramai pada hari raya adalah digalakkan dan itu patut menjadi tumpuan, bukan pergi menemui yang telah meninggal dan bersedih di kubur. 
10. Pertemuan pada hariraya bukan untuk mencurahkan airmata, tetapi untuk mengucapkan ucapan kejayaan. Para sahabah apabila bertemu pada hari raya mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu)” (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356). Ucapan-ucapan lain tidak salah selagi mengandungi maksud yang baik dan bukan membawa kepada kesedihan dan kedukaan. 
11. Maka, jadikanlah hariraya sebagai hari kegembiraan dan kesyukuran, bukan hari kesedihan. - Minda Tajdid


Jumaat, 19 Julai 2013

Ibadah Zakat

Pembayaran zakat melalui amil

Surah At-Taubah, ayat 60

Zakat ialah derma yang wajib diberikan oleh orang Islam yang mampu kepada 8 golongan (asnaf) yang berhak menerimanya. Ia merupakan rukun ketiga daripada lima Rukun Islam.
Manakala dari segi syarak, zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.
Allah berfirman yang mafhumnya: 
"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu (Muhammad) itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah At-Taubah, ayat 103) 
"Dan dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat." (Surah Al-Baqarah, ayat 110)
Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu zakat fitrah dan zakat harta.  
Zakat fitrah dikeluarkan pada bulan Ramadan sahaja iaitu mulai 1 Ramadan hingga 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri. 
Manakala zakat harta boleh dibayar pada bila-bila masa. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari jumlah harta. Ia bermaksud, 2.5% daripada harta kita adalah bukan hak kita tetapi hak golongan 8 asnaf yang layak menerima zakat daripada kita. 
Allah berfirman yang mafhumnya: 
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan”. (Surah at Taubah ayat 60) 
Maksudnya, zakat hendaklah dibayar hanya kepada 8 golongan (asnaf) iaitu:  
Fakir (al-Fuqara) - Orang yang tidak berharta serta tidak mempunyai pekerjaan sama sekali, atau orang yang mempunyai harta dan pekerjaan tetapi pendapatannya tidak dapat menampung keperluan hariannya. Contoh, keperluan harian ialah RM 10.00 tetapi pendapatannya hanya RM 2.00 sahaja. 
Miskin (al-Masakin) - Orang yang mempunyai harta tetapi tidak cukup untuk menampung keperluan hariannya. Contoh, keperluan hariannya RM 10.00, tetapi pendapatannya hanya RM 7.00 sahaja. 
Amil - Individu/Pekerja yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengutip/mengagih zakat. 
Muallaf - Mereka baru menganut agama Islam. 
Riqab - Hamba yang menebus dirinya secara ansuran. 
Al-Gharimin - Orang yang menanggung hutang dan tidak mampu untuk menyelesaikanya.
Fisabilillah - Orang yang berjuang di jalan Allah.
Ibnus sabil - Musafir yang terputus bekalannya semasa di perantauan.
Mereka yang tidak termasuk dalam salah satu daripada 8 asnaf di atas TIDAK LAYAK menerima wang zakat.
Soalnya sekarang, adakah sistem kutipan dan pengagihan zakat kita sudah memenuhi matlamat dan tujuan zakat? Maksudnya, adakah mereka yang benar-benar layak menerima hasil kutipan zakat telah menerima bahagian masing-masing? 
Al-hamdulillah, pada bulan Ramadan ini kita boleh menunaikan ibadah zakat fitrah dengan mudah kerana amil-amil yang ditugaskan mengutip zakat fitrah berada di mana-mana. 
Tetapi bagaimana dengan pengagihan hasil kutipan zakat, terutama kepada lima golongan yang layak pada masa ini seperti fakir, miskin, muallaf, al-gharimin dan ibnus sabil? 
Mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, pernah memberi komentar tentang zakat dengan menyebutkan bahawa Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata, "Berilah zakat kepada seseorang (yang fakir miskin) itu menjadi kaya."
Dr. Asri menjelaskan, kenyataan Saidina Umar Al-Khattab itu bermaksud, pemberian zakat perlu dilaksanakan sehingga tiada lagi orang fakir miskin atau orang fakir miskin itu telah keluar (bebas) dari wilayah kefakirannya.
Perlu diingat, kadar zakat fitrah mengikut negeri-negari di seluruh Malaysia ialah daripada serendah RM4.50 hingga RM8.00 seorang.
Rasanya, jika di sesuatu kawasan itu ada 5,000 penduduk dan hanya lima peratus sahaja yang fakir atau miskin, maka jumlah yang layak menerima zakat hanya 250 orang. Manakala yang layak mengeluarkan zakat ialah 4,750 orang.
Jika RM4.50x4,750 orang = RM21,375. Jika RM8.00x4,750 orang = RM38,000. Ini belum termasuk hasil kutipan zakat harta.  
Persoalannya, adakah kesemua 4,750 orang yang layak membayar zakat di kawasan itu sudah menunaikannya; dan adakah golongan susah yang sedikit itu sudah menerima agihan hasil kutipan zakat kesemuanya?
Seperkara lagi, yang manakah di antara berikut cara pengagihan zakat yang mengikut konteks Saidina Umar itu: pihak yang mengutip zakat perlu mencari 250 orang tersebut; atau pihak yang mengutip zakat hanya perlu duduk menanti 250 orang itu datang menebalkan muka untuk menagih agihan hasil kutipan zakat?

Semoga cara agihan zakat tidak terjadi seperti ini. Sumber


Jumaat, 7 Jun 2013

Jejak Israk Mikraj

Masjid as-Sakhra di Baitulmaqdis, Palestin. Batu tergantung semasa peristiwa Israk Mikraj terletak di dalamnya.

Masjid as-Sakhra dilihat dari jarak dekat

Pemandangan di dalam Masjid as-Sakhra. Batu tergantung terletak di tengah-tengah masjid ini

Batu tergantung di dalam Masjid as-Sakhra. Dari batu ini Rasulullah dikatakan Isra ke langit. Wallahualam.


ISRAK MIKRAJ merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam selain Maulidur Rasul, Nisfu Syaaban dan Nuzul Quran yang diraikan saban tahun. 
Ia dianggap peristiwa agung yang dialami Nabi Muhammad SAW sekali gus menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan. 
Ayat di atas merupakan firman Allah yang diturunkan bagi menolak kaum musyrikin yang mendustakan peristiwa Israk tatkala Nabi Muhammad SAW mengkhabarkannya kepada mereka mengenai perjalanannya dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa. 
Sementara Mikraj pula merangkumi perjalanan Rasulullah SAW yang naik ke langit dengan menunggang buraq sehingga sampai ke Sidratul Muntaha. 
Menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, ada tiga perkara penting yang perlu diketahui dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Pertama tentang pengajaran yang boleh diambil melalui ajaran Nabi SAW tentang konsep kehidupan yang dilihat. 
“Contohnya, Baginda melihat seorang perempuan tua hodoh yang diibarat sebagai dunia yang sudah terlalu tua. Kemudian, pengajaran bagaimana Nabi dikejar oleh golongan jin Ifrit dan malaikat Jibril mengajar doa yang perlu dibaca untuk berlindung daripadanya. 
“Selain itu, apabila Nabi sampai di Masjid al-Aqsa, Baginda dihidangkan dengan dua pilihan minuman iaitu arak dan susu. Akhirnya Nabi memilih susu. 
“Begitu juga dengan solat yang disyariatkan semula kepada Rasulullah sedangkan ibadat solat ada dalam syariat nabi-nabi terdahulu. Semua itu merupakan pengajaran dan falsafah hidup yang Nabi ajarkan kepada seluruh umatnya,” terang Muhammad ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. 
Perkara kedua, ujar beliau, ialah ketika Nabi dibawa melawat syurga dan neraka. Ia adalah satu bentuk peringatan tentang nasib orang yang berbuat dosa dan mereka yang taat. 
Tambahnya, perkara ketiga pula ialah peristiwa Israk Mikraj yang membuktikan kebenaran Islam itu sendiri sekali gus menunjukkan bahawa Allah itu Maha Berkuasa melakukan apa sahaja hatta perkara yang disifatkan manusia sebagai mustahil. 
Sering berulang-alik ke bumi Palestin untuk membawa rombongan dari Malaysia dalam program Kembara Universiti Kehidupan Al-Aqsa, Muhammad memberitahu, kesan peninggalan daripada peristiwa Israk Mikraj memang berada dalam lingkungan kawasan Masjid al-Aqsa. 
“Antaranya ialah tempat tambatan buraq (haiq buraq), batu tergantung as-Sakhra dan kubah arwah iaitu tempat Nabi SAW solat dengan para nabi terdahulu. 
“Semua lokasi ini masih dipelihara dan dijaga dengan baik. Cuma, ia menjadi perebutan antara orang Islam dan Yahudi yang mendakwa di situ terletaknya Temple of Solomon. Tetapi hakikatnya, Masjid al-Aqsa ialah milik umat Islam yang dipenuhi pelbagai sejarah,” tegas Muhammad. 
Sejak tahun 2009, Muhammad sudah membawa ratusan rakyat Malaysia mengunjungi bumi para anbiya itu. Setiap peserta yang mengikuti program tersebut akan dibawa ke tempat-tempat istimewa tersebut bagi menunjukkan kesan peninggalannya. 
“Selain bersolat di Masjid al-Aqsa, peserta turut diberi penerangan khusus mengenai setiap lokasi yang dilawati kerana setiap jengkal bumi Palestin ini dipenuhi sejarah,” ujar beliau yang bertuah kerana mengetahui sejarah Palestin daripada Imam I Masjid al-Aqsa, Sheikh Yusoff Abu Sunainah yang menjadi imam selama 27 tahun di sana. 
Sheikh Yusoff juga tidak keberatan memberi surat bertulis tangan yang melantik Muhammad sebagai Duta Perjalanan al-Aqsa sebagai tanda penghargaan kepada beliau. 
Sementara itu, Zulkifli Zainudin, 49, yang baru pulang dari Palestin hujung Mei lalu, mengakui perasaannya seperti tidak percaya kerana berpeluang menjejaki bumi Baitulmuqaddis. 
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana dapat menunaikan solat di dalam Masjid al-Aqsa, salah satu daripada tiga masjid yang disunatkan oleh Rasulullah untuk menziarahinya. 
“Di sana, selain beribadat di masjid, program kami tertumpu pada ziarah dan tabarruk di makam-makam para Nabi dan auliya. 
“Kawasan sekitar peninggalan sejarah termasuk dalam peristiwa Israk Mikraj masih terjaga, namun kemampuan pihak berwajib agak terhad disebabkan kekangan sumber kewangan,” kata beliau yang berkunjung ke Palestin bersama agensi pelancongan Sofa Travel di bawah bimbingan Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, Pengerusi Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. 
Ujar Zulkifli lagi, melalui program ziarah tersebut, ia mampu meningkatkan lagi keyakinan dan keimanan seseorang terhadap kekuasaan Allah SWT. 
“Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa yang berkait rapat dengan tauhid dan kepercayaan kita sebagai umat Islam. Justeru, dengan menjejaki semula kesan dan tapak peninggalan dalam peristiwa tersebut, kita dapat menambahkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW yang telah diangkat darjatnya ke peringkat tertinggi daripada sekalian makhluk-Nya,” ungkap Zulkifli. 
Dalam pada itu, angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 41, turut menyeru umat Islam yang berkemampuan agar melakukan ziarah bermusafir ke bumi Palestin. 
Beliau yang berada di sana pada Mei lalu mengakui rasa seronok dan dapat memahami apa yang berlaku dalam peristiwa Israk Mikraj dengan lebih mendalam. 
“Sebelum ini, kita sering dimomokkan dengan berita kekacauan dan huru-hara yang berlaku di Palestin sehingga umat Islam di seluruh dunia dilarang menziarahi Masjid al-Aqsa atas faktor keselamatan. 
“Memang benar ada kawalan ketat daripada tentera Israel, tetapi masih ada ruang untuk kita beribadat di sana. Yakinlah bahawa Allah akan menjaga kita jika niat kita adalah untuk beribadah di sana,” kata Sheikh Muszaphar yang pergi ke Palestin bersama rombongan Program Angkasawan Malaysia kendaliannya. 
Beliau turut membawa isterinya, Dr. Halina Mohd. Yunos, 32, serta dua anaknya, Sophea Isabella, 2, dan Sophea Natasya, empat bulan. - Kosmo! Online