|
Mohd Ariffin dan Ahmad menikmati madu lebah kelulut dari koloninya menggunakan penyedut minuman. Foto: Sinar Harian |
|
Madu yang siap dibotolkan untuk dijual menarik perhatian Ahmad (dua, kanan) |
I
Setiap graduan yang tamat pengajian pasti mengimpikan untuk bekerja dengan sesebuah organisasi dan mendapat upah setimpal dengan usaha selama ini.
Namun tidak bagi anak jati Kampung Jintan, Chetok, Pasir Mas iaitu Azeman Jaya, 22, atau lebih dikenali sebagai Tok Cik apabila dia memilih untuk mengusahakan ternakan lebah kelulut bagi mencari rezeki yang halal.
Walaupun pada peringkat awal pilihannya itu sering diragui namun, berkat usaha dan keyakinan diri, Azeman mengorak langkah cuba membuktikan kelainan yang dilakukannya itu.
Berbekalkan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian di Institusi Vaterina, Kluang, Johor, Azeman mencabar dirinya dengan memulakan ternakan lebah kelulut secara kecil-kecilan.
“Ramai graduan sekarang yang memasang angan-angan untuk makan gaji tetapi tidak bagi saya kerana dengan bekerja sendiri juga kita mampu berjaya dalam hidup.
“Bermula dengan modal RM10,000 hasil bantuan adik-beradik, saya hanya menggunakan kawasan halaman rumah untuk ternakan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, yang juga anak bongsu daripada lapan beradik itu, halaman rumah yang dipenuhi dengan pokok buah-buahan memberi kelebihan kepada usahanya itu kerana ia dapat menarik minat lebah kelulut.
Katanya, selepas enam bulan bersusah payah berusaha akhirnya dia berjaya menghasilkan 350 koloni kelulut yang diletakkan di sekitar kawasan rumahnya.
“Daripada jumlah itu, 30 koloni sudah berjaya menghasilkan madu,” katanya.
Azeman berkata, madu yang dikumpulkan dijual dengan harga serendah RM50 bagi 200 gram, manakala RM140 untuk sekilogram.
“Oleh kerana madu lebah kelulut mempunyai banyak khasiat, terutama sebagai penawar penyakit kencing manis, darah tinggi, asma dan sebagainya, ia sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli.
“Kadang-kadang permintaan yang diterima lebih tinggi daripada hasil pengeluaran,” katanya yang memperoleh pendapatan RM1,000 seminggu hasil ternakan itu.
Azeman berkata, melihat kepada sambutan yang diterima, dia bercadang untuk membuka sebuah ladang kelulut di tanah peninggalan keluarga untuk mendapatkan bekalan madu yang lebih banyak pada masa akan datang.
“Ia masih lagi di peringkat perancangan dan saya berharap dengan sokongan ramai impian ini akan menjadi kenyataan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Datuk Ahmad Ishak berkata, beliau menggalakkan petani atau pengusaha muda yang ingin berkecimpung dalam bidang ternakan lebah kelulut tersebut.
“Kami bersedia untuk membantu dari segi mempromosikan madu ini kerana dengan adanya penghasilan madu lebah kelulut ia dapat menambahkan koleksi madu yang ada di Fama, selain madu lebah dan tualang,” katanya semasa mengadakan lawatan khas ke ladang ternakan kelulut Sungai Lombong Agro Farm milik Azeman, di sini.
Hadir sama, Pengarah Fama Wilayah Timur 1, Mohd Ariffin Awang.
Menurutnya, usaha yang dipraktikkan Azeman cukup kreatif terutama penggunaan sumbar asli dalam menghasilkan madu tersebut.
Beliau berharap Azeman dapat melakukan lebih banyak pengeluaran madu agar ia dapat dipasarkan dengan lebih meluas lagi. - Sinar Harian
|
Kelulut menghasilkan tiga jenis madu iaitu madu (kiri), propolis dan pollen. Foto: myMetro |
|
Kotak madu yang direka untuk penternakan kelulut. Foto: myMetro |
II
Tidak ramai menyedari, lebah kelulut mampu mendatangkan pendapatan lumayan walaupun serangga itu gemar menjadikan batang pokok sebagai habitat semula jadinya.
Kelulut sering disamakan dengan spesies penyengat tetapi ia mempunyai nilai tinggi dalam pengeluaran madu berkualiti yang kaya dengan antioksidan.
Khasiat madu kelulut dikatakan dapat meningkatkan metabolisme badan, menambahkan tenaga batin, menjaga kecantikan, memberi tenaga kepada wanita yang baru bersalin dan membantu merawat kecederaan dalaman.
Madu kelulut juga memperlahankan pertumbuhan sel kanser, mengecutkan keradangan dan meningkatkan daya imunisasi tubuh.
Khasiatnya dalam dunia perubatan memang banyak malah ujian turut dilakukan penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Di Malaysia terdapat kira-kira 30 spesies kelulut dan kebanyakannya ditemui di kawasan hutan.
Berbanding lebah yang hanya menghasilkan madu, kelulut begitu unik kerana mengeluarkan tiga produk madu iaitu bebola madu, propolis dan pollen (debunga).
Melihat kepada pasaran madu kelulut, harganya mampu mencecah RM120 sebotol bagi 350 mililiter, sedangkan madu biasa dijual RM30 dalam kuantiti sama.
Pegawai Penyelidik MARDI, Mohd Fahimee Jaapar berkata, pihaknya giat mengumpulkan spesies kelulut di seluruh negara.
“Pada mulanya, kelulut digunakan MARDI sebagai agen pendebungaan. Kita mahu pokok yang ditanam berbuah dengan adanya agen pendebungaan iaitu kelulut. Bagi kami, pendebungaan adalah hasil pertama manakala madu dan propolis hasil kedua.
“Pemikiran bagi kebanyakan orang kampung, lebah kelulut tidak mempunyai madu, tetapi kajian mendapati serangga itu mengeluarkan madu setanding madu lebah,” katanya.
Semua spesies kelulut dikumpulkan sejak 2007 dan kini diternak di dua kawasan khas di MARDI iaitu di Bahagian Pendebungan dan kebun buah-buahan.
“Ada 15 spesies lebah kelulut dikumpulkan dan hanya dua spesies yang dikomersialkan iaitu jenis ‘Trigona Itama’ dan ‘Trigona Thoracica’,” katanya.
Mohd Fahimee dibantu rakan setugas iaitu Penolong Pegawai Penyelidik, Zulidzham Mohd Sani dan Pembantu Penyelidik Kanan, Hamdan Sipon.
Beliau berkata, hasil kajian dilakukan mendapati kelulut menghasilkan ‘ramuan’ untuk perubatan alternatif.
“Kelulut banyak ditemui di kawasan kampung terutama di negeri yang mempunyai pokok rambutan tua seperti di Melaka, Perak, Kedah dan Kelantan.
“Penebangan hutan secara berleluasa turut menyebabkan penghijrahan spesies terbabit ke kawasan kampung,” katanya.
Menurutnya, sarang kelulut dipindahkan dari tempat asalnya dalam batang kayu ke dalam kotak kayu buatan dan diternak di lapangan.
“Anak kelulut dimasukkan ke dalam kotak khas bagi menghasilkan madu.
“Setakat ini, lebah kelulut yang diternak menghasilkan propolis, pollen dan madu,” katanya.
Katanya, kelulut tidak menyengat, namun serangga itu hanya menyerang orang pertama yang mendekatinya.
“Kelulut sama dengan lebah yang akan mengeluarkan ‘feromon’. Ketika ada bahaya, seekor lebah akan mengeluarkan sejenis bahan kimia dikenali feromon untuk memanggil rakannya.
“Bau berkenaan biasanya akan ditinggalkan pada musuh pertama, namun jika ramai, semua akan diserang,” katanya.
Menurutnya, setiap spesies kelulut menghasilkan bentuk sarang berbeza.
“Sistem lebah kelulut unik kerana setiap sarang akan ada tiang. Tiang ini dibina daripada propolis atau damar. Penutup sarang yang terdapat dalam koloni terbabit digunakan sebagai pertahanan diri,” katanya.
Katanya, madu kelulut mempunyai lebih antioksidan.
“Kelulut mengeluarkan propolis yang mengandungi antibiotik semula jadi, antimikrob, antifungus dan antikanser.
“Sebab itu sarangnya tidak ada fungus. Ini kerana kelulut menggunakan resin daripada pokok, diproses di dalam badannya bagi mencegah pembiakan mikrob,” katanya.
Kajian di MARDI menunjukkan madu kelulut mempunyai asid fenilpropanaoik, asid protocatechuik dan asid 4-hidroksifenilasetik yang tergolong dalam kumpulan asid fenolik bebas.
“Ia boleh bertindak sebagai antikanser, antitumor dan antioksidan untuk diserap dalam tubuh manusia.
“Selain berupaya menurunkan glukosa, mengurangkan kerosakan fungsi ginjal dan meningkatkan ketebalan trabekular tulang yang menguatkan tulang melalui penyerapan,” katanya.
Kajian mendapati, kelulut boleh melakukan pendebungaan di Rumah Hijau berbanding lebah.
Katanya, perancangan masa depan, Bahagian Mekanisasi dan Automasi MARDI membantu untuk mengeluarkan mesin penyedut madu yang fleksibel dan mudah alih.
MARDI juga akan menawarkan kursus penternakan kelulut kepada orang ramai yang berminat untuk terbabit dalam industri itu.
“Bagi mereka yang mahu menternak kelulut, Unit Promosi dan Teknologi Mardi menawarkan kursus jangka pendek selama dua hari termasuk makan dan minum dengan kos RM600.
“Ia membabitkan 30 peratus teori dan selebihnya amali termasuk mengajar cara membelah kayu bagi memasukkan anak kelulut ke dalam kotak,” katanya.
Katanya, ada peserta kursus memperoleh pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan dengan menternak kelulut secara komersial.
“Biasanya harga bagi sebatang kayu mengandungi anak kelulut dijual kepada penternak sekitar RM200 manakala kelulut di dalam kotak pula dijual sekitar RM500 hingga RM700.
“Bagaimanapun kebanyakan penternak mendapatkan bekalan anak daripada pembalak dan harganya lebih rendah,” katanya. - myMetro
|
Kelulut merupakan lebah trigona yang tidak mempunyai sengat dan madunya mengandungi banyak khasiat. Foto: Lebah Kelulut |
|
Perbandingan antara lebah kelulut dengan lebah biasa. Foto: Lebah Kelulut |
|
Madu kelulut dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik. Foto: Lebah Kelulut |
III
Para saintis dan ilmuan telah membahagikan lebah kepada 2 kelompok besar iaitu lebah bersengat dan lebah tidak bersengat serta tidak membahayakan manusia.
Meskipun lebah bersengat lebih dikenali meluas, tetapi kajian ahli taksonomi menyimpulkan lebah tidak bersengat kelulut merupakan lebah yang tertua yang pernah ditemui.
Lebah kelulut merupakan antara 33 jenis spesies lebah trigona yang tidak mempunyai sengat dan madunya dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik.
Ukurannya hanya 3 – 8mm dan sangat lincah bergerak. Ia sangat berbeza dengan lebah Apis (Apis Dorsata-Lebah Tualang dan Apis Cerana-Lebah Lalat) yang ukurannya lebih besar dan pergerakkannya tidak bergitu lincah.
Lebah kelulut mirip lebah bersengat, tetapi jauh lebih kecil. Serangga ini mempunyai 3 pasang kaki yang semuanya beruas-ruas. Sepasang kaki belakang memiliki duri-duri yang sangat banyak sehingga mampu memegang erat debunga yang dikutip dari tumbuhan.
Di bahagian kepala terdapat sepasang mata yang sangatlebar, mirip mata belalang, mempunyai sepasang antena, dengan mulut muncung panjang bagi memudahkan lebah kelulut menghisap madu. Ia juga mempunyai sepasang sayap di punggungnya berukuran lebih panjang yang membuatkannya dapat bergerak bebas dengan lincah diudara.
Daripada kajian yang dijalankan diseluruh pelusuk dunia, telah ditemui 150 spesis lebah kelulut antaranya Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan lain-lain lagi.
Diantara Negara yang dikenalpasti mempunyai lebah trigona adalah seperti Indonesia (37 spesis), Thailand (20 spesis), Myanmar (9 spesis), Vietnam (8 spesis), India (3 spesis), Taiwan (1 spesis) dan Negara kita Malaysia terdapat lebih 29 spesis lebah trigona di hutan hujan tropika sepanjang tahun dengan iklim Khatulistiwa yang semestinya memberikan kelebihan tersendiri secara semulajadinya. - Lebah Kelulut
Saya adalah pembekal kelulut di dalam kotak dan juga batang kayu yang ada kelulut. Kepada sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saya SHUKRI 019-9375174. Harga amat berpatutan dan boleh dirunding.
BalasPadamSaya mencari pembekal kayu dan kotak yg ada kelulut di sekitar kulim kedah.call saya mohd elias 0142473418
PadamSaya mencari pembekal kayu dan kotak yg ada kelulut di kulim kedah.call saya 0142473418
PadamKelulut sama kelulutpun berperang sampai mati...macan mana nak dapatkan madu koloni kena curi.
BalasPadamCall saye kalau ade sesiapa boleh bekalkn kotak kelulut di sekitar kuala terengganu.. 0199231852
BalasPadamSaya sedia mbekal koloni kelulut yang siap toping. harga yang berpatutan. Jenis Itama yang aktif
BalasPadamberapa harga untk satu koloni..boleh bagi lokasi dan contoh koloni...tq
Padam