Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 2 September 2013

Masih Ada Bantahan Rampasan Kuasa Di Mesir

Penyokong Mursi berhimpun secara aman sebelum solat Jumaat di seluruh negara, semalam. Foto: Sinar Harian

Peserta protes melarikan diri sejurus pasukan keselamatan Mesir melepaskan gas pemedih mata. Foto: Sinar Harian

KAHERAH - MESIR . Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan lebih 50 cedera dalam satu pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penyokong Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi di Kaherah, kelmarin. 
Jurucakap pegawai berkata, puluhan ribu aktivis parti Ikhwanul Muslimin bersama penyokong melakukan protes secara aman menentang tindakan kejam kerajaan sementara dan tentera sejak bulan lalu. 
"Pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan selain menahan lebih 20 peserta," katanya dipetik dari PressTV. 
Selain melaungkan slogan menentang ketua tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, penunjuk perasaan turut menggesa kerajaan sementara memulangkan kuasa pemerintahan ke tangan Mursi dan membebaskan rakan mereka. 
Setakat ini, kerajaan di bawah pengaruh tentera juga mendakwa Presiden sementara, Adly Mansour yang meletakkan jawatan sebagai dalang pergolakan. 
Lebih 2,000 ahli Ikhwanul Muslimin turut ditahan termasuk pemimpinnya, Mohamed Badie sejak 20 Ogos ini. 
Kira-kira 1,000 orang dilaporkan terbunuh sepanjang seminggu pergolakan berikutan selepas pihak berkuasa bertindak merobohkan kem protes di Kaherah pada 14 Ogos sekali gus mencetuskan kemarahan antarabangsa. - Sinar Harian

AS Tangguh Serang Syria

Presiden Obama bermesyuarat dengan para penasihat kanan di pejabatnya Oval Room, White House pada malam Jumaat lalu

Presiden Obama sedang bercakap dengan Speaker Dewan Perwakilan Kongres AS di pejabatnya pada hari Sabtu

Presiden Obama sedang membincangkan strategi di Syria dengan anggota Majlis Keselamatan Negara di Situation Room, White House

Di luar White House berlangsung tunjuk perasaan membantah serangan terhadap Syria

Lokasi yang akan menjadi sasaran serangan AS di Damsyik, Syria 
 Perbandingan kekuatan tentera antara AS dan sekutunya Francis dengan Syria



WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama (gambar kecil), menangguhkan rancangan untuk melancarkan serangan ke atas Syria, yang didakwa menggunakan senjata kimia, sebaliknya akan mendapatkan sokongan Kongres sebelum meneruskan niatnya. 
Keputusan Obama itu secara efektif menghentikan tindakan tentera hingga sekurang-kurangnya 9 September, apabila anggota Kongres kembali daripada cuti musim panas. 
Langkah Obama untuk mendapatkan sokongan Kongres bakal menjadi ujian terbesar terhadap kewibawaan beliau, berikutan tiada kepastian rancangannya akan disokong. 
Malah, pemerhati memberi amaran, Obama mungkin menerima nasib sama seperti Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang gagal dalam usulnya untuk melaksanakan tindakan ketenteraan ke atas Syria di parlimen Khamis lalu. 
Obama bagaimanapun bertegas bahawa beliau berhak melancarkan serangan walau apa pun keputusan Kongres, manakala pegawai Rumah Putih berkata penangguhan itu akan membolehkan beliau mendapatkan lebih banyak sokongan. 
“Pengerusi bersama ketua angkatan tentera, sudah memaklumkan kepada saya bahawa kita bersedia untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa. 
“Keupayaan kita melaksanakan serangan bukan bergantung kepada masa. Ia mungkin dilancarkan esok atau minggu depan, mungkin juga sebulan dari sekarang,” katanya. 
Sekurang-kurangnya lima armada perang Amerika Syarikat dilengkapi peluru berpandu Tomahawk sudah bergerak ke bahagian timur Mediterranean dan bersedia melancarkan serangan ke atas sasaran Syria. 
Pentadbiran Obama berkata, ia mempunyai maklumat perisikan bahawa rejim Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan kimia yang mengorbankan 1,429 orang. 
Sementara itu kerajaan Syria berkata ia sudah bersedia mempertahankan negara itu daripada sebarang ancaman Barat. 
“Tentera Syria sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi serangan dan apa juga cabaran,” kata Perdana Menteri, Wael al-Halqi. 
Ketua Pengawal Revolusi Iran, Mohammad Ali Jafari berkata, tindakan Barat akan mencetuskan reaksi balas melampaui sempadan negara sekutunya itu. 
“Jika Amerika fikir campur tangan itu hanya terhad di dalam kawasan Syria, ia adalah tidak benar kerana yang pasti kesannya akan merebak ke negara jiran,” katanya. - AFP/Berita Harian

Jumaat, 30 Ogos 2013

Parlimen Britain Tolak Usul Serang Syria

272 undi menyokong dan 285 menolak usul campur tangan Perdana Menteri Britain David Cameron di Parlimen Britain

Pemimpin Buruh Ed Miliband meminta PM Cameron tidak menggunakan mana-mana angkatan tentera UK tanpa kelulusan Parlimen

Ahli Parlimen Britain malam tadi secara mengejut mengundi menentang rayuan David Cameron untuk menyerang Syria

PM Cameron menyebut di Dewan Rakyat bahawa penggunaan senjata kimia adalah paling hina 

Penunjuk perasaan menentang tindakan ketenteraan di Syria berdiri di luar Parlimen

 Penunjuk perasaan berdemonstrasi menentang tindakan ketenteraan di Syria di luar Parlimen di Westminster, di London

Seorang penunjuk perasaan berdemonstrasi menentang tindakan ketenteraan di Syria di luar Parlimen di London

Penunjuk perasaan anti-perang telah mengadakan beberapa demonstrasi di Westminster minggu ini


LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron gagal dalam undian terhadap usul yang dibentangkan di Parlimen bagi negara itu menyertai rakan sekutunya menyerang Syria yang didakwa menggunakan senjata kimia. 
Beliau gagal 13 undi dalam usul yang dikemukakan di Parlimen semalam, yang menyaksikan undian 285-272 bagi menolak penyertaan Britain dalam mengambil tindakan ketenteraan terhadap Syria. 
Undian Parlimen Britain itu melambangkan pandangan rakyat Britain yang tidak mahu negara itu menyertai misi ketenteraan terhadap Syria. 
Cameron berkata sementara beliau percaya bahawa terdapat penggunaan senjata kimia di Syria, beliau tetap menghormati keputusan Parlimen Britian. 
Pada awal minggu ini, Cameron dilihat bersedia untuk menyertai Washington dalam kemungkinan untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap rejim Presiden Basar Assad berhubung penggunaan senjata kimia. - AP/Berita Harian

Tiga Polis Trafik Maut Nahas Di Sabah

Kereta peronda polis trafik bertembung dengan pikap. Foto: Terengganu Today

Foto
Bahagian hadapan pikap yang bertembung dengan kereta peronda polis trafik remuk teruk. Foto: myMetro

BELURAN, 29 Ogos (Bernama) - Lima orang termasuk tiga anggota polis terbunuh dalam nahas jalan raya di kilometer 53 Jalan Beluran-Telupid Khamis. 
Kemalangan berlaku kira-kira 4.50 petang apabila kereta dinaiki empat anggota polis itu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki seorang lelaki dan empat perempuan. 
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat. 
Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata tiga anggota polis yang maut dikenali sebagai Kpl Saudi Meting, 48, Kpl Hedzrin Ginan, 36, dan Lans Kpl Khairul Firdaus Abrahim, 25. 
Katanya seorang lagi, Konstabel Mohd Zaini Mohd Razwan, 28, cedera parah dan dihantar menerima rawatan di Hospital Beluran sebelum dipindahkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut. 
Saudi dan Hedzrin merupakan anggota polis trafik, manakala Khairul dan Mohd Zaini bertugas di cawangan Unit Peronda. 
Sivanathan berkata dua penumpang kenderaan pacuan empat roda itu turut maut iaitu dua adik beradik perempuan dikenali sebagai Masiah Jailani, 47, dan adiknya Layni, 45. 
Lelaki memandu kereta berkenaan Arry Ak Gani, 24, mengalami cedera parah, manakala dua lagi perempuan yang menaiki kereta sama iaitu Imawati Siru, 20, dan Regnawati Siru, 22, cedera ringan. 
Sivanathan berkata insiden berlaku ketika anggota polis berkenaan dalam perjalanan balik ke Beluran selepas melakukan tugas di Telupid. - Bernama

Khamis, 29 Ogos 2013

Bagaimana Jamie Oliver Menjadi Jutawan

Jamie Oliver ialah seorang chef British, pemilik restoran dan personaliti media bertaraf jutawan. Foto: The Telegraph

Oliver dalam satu program masakan tv. Foto: The Telegraph

Semasa berusia 20-an, Oliver pernah bekerja lebih 14 jam sehari. Foto: The Telegraph

Oliver bersama isterinya, Juliette Norton


Oliver bersama isteri dan empat orang anaknya. Foto: The Telegraph

Oliver menggaji 350 chef di rangkaian restoran miliknya

Kini Oliver memiliki kekayaan bernilai £150 juta (RM733.4 juta). Foto: Newswise.Com


Jamie Oliver yang dilahirkan pada 27 Mei 1975 adalah seorang chef British, pemilik restoran dan personaliti media. 
Oliver dibesarkan di Clavering, Essex, di England dan mendapat pendidikan di Newport Free Grammar School. 
Pada tahun 1991, Oliver meninggalkan sekolah semasa berusia enam belas setelah lulus GCSE dan melanjutkan pelajaran di Westminster Kingsway College, (dahulunya Westminster College) sehingga memperolehi Sijil Kelayakan Vokasional Kebangsaan (NVQ) dalam bidang ekonomi rumah tangga. 
Kerjaya pertama Oliver adalah sebagai chef pastri di restoran Antonio Carluccio's Neal's Yard, yang memberi pengalaman pertama kepadanya menyediakan masakan Itali, dan menjalin hubungan dengan mentornya Gennaro Contaldo. 
Oliver kemudian berpindah ke The River CafĂ©, Fulham, sebagai chef sous. 
Bakatnya disedari oleh BBC pada tahun 1997 selepas Oliver membuat penampilan dalam dokumentari mengenai restoran ini dalam program "Christmas at the River Cafe". 
Pada masa yang sama buku masakan beliau menjadi satu salah satu buku paling laris di UK. 
Pada tahun yang sama, Oliver telah dijemput untuk menyediakan makan tengah hari untuk Perdana Menteri ketika itu, Tony Blair di No 10 Downing Street.
Oliver telah muncul dalam program tv The Naked Chef, Jamie's Kitchen, Jamie's School Dinners, Jamie's Great Italian Escape, Return to School Dinners, Jamie's Chef, Jamie at Home, Jamie's Ministry of Food, Jamie Does...., Jamie's 30 Minute Meals dan Jamie's Food Revolution yang memenangi Penghargaan Emmy.
Sementara itu, The Naked Chef, program tv pertamanya telah memenangi Penghargaan BAFTA sebagai program tv terbaik pada tahun 2000.
Kini dengan kekayaan £150 juta (RM733.4 juta) dan reputasi sebagai salah seorang chef yang paling berjaya di dunia, Oliver menggaji lebih daripada 350 chef di restorannya di seluruh UK dan di luar negara, termasuk lima belas chef yang membantu golongan muda yang menganggur untuk memulakan perniagaan. 
Tetapi chef selebriti berusia 38 tahun ini baru-baru ini telah menggemparkan Britain apabila mengeluarkan kenyataan bahawa generasi muda British hari ini malas. 
Oliver berkata, "Waktu kerja purata 80 hingga 100 jam dalam seminggu adalah biasa bagi saya semasa berusia 20-an. Tetapi peraturan EU sekarang ialah 48 jam, yang merupakan separuh masa kerja seminggu untuk saya. Tapi mereka masih merungut." 
"Saya fikir rakan-rakan pendatang Eropah kita lebih kuat, lebih susah. Jika kita tidak mempunyai apa-apa, semua restoran saya akan tutup esok. Tidak akan ada mana-mana pemuda British untuk menggantikan mereka." 
Bapa kepada empat anak ini pergi ke lebih 30 cawangan restoran Jamie Italian di UK yang sedang berkembang ke luar negara, serta Diner Jamie Oliver, Barbecoa dan rantaian Union Jacks, dan mendakwa dia bekerja 15 jam sehari di pub ayahnya semasa dia berusia 13 tahun. 
"Saya adalah gila kerja sedikit. Tetapi saya dibesarkan seperti itu."

Sumber: Wikipedia dan Mail Online