Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 4 Disember 2013

Bandar Kuantan Lumpuh Akibat Banjir








KUANTAN - Keadaan banjir di Pahang kini semakin buruk dan semakin banyak mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di negeri ini. 
Bandar Kuantan kini hampir lumpuh apabila kebanyakan kawasan terputus bekalan elektrik dan air, selain jalan raya di sekitar bandar dinaiki air sehingga melebihi 1 meter akibat hujan tidak berhenti hingga hari ini. 
Beberapa kawasan perkampungan dan perumahan di sekitar Kuantan turutterputus bekalan elektrik dan air, selain dinaiki air sehingga melebihi dua meter. 
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri sehingga pukul 11 pagi tadi, sebanyak 11,721 mangsa banjir ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan,Rompin, Pekan, Maran dan Jerantut. 
"Di Kuantan, sebanyak 4,148 mangsa banjir ditempatkan di 33 pusat pemindahan, Rompin (3,615 mangsa di 10 pusat pemindahan), Pekan (2,716 mangsa di 9 pusat pemindahan), Maran (1,179 mangsa di sembilanpusat pemindahan) dan Jerantut (63 mangsa di sebuah pusat pemindahan). 
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan premis perniagaan, swasta dan institusikewangan di bandar Kuantan tidak beroperasi berikutan bekalan elektrik terputus. 
Pengamal media di Pahang turut menghadapi kesulitan untuk beroperasi bagi melaporkan situasi banjir terkini di Pahang. 
Para penduduk di kawasan rendah dan kawasan perumahan di sekitar Kuantan diarah bersiap sedia berpindah berikutan hujan masih berterusan dan dijangka berlaku air pasang dari laut dan bertembung dengan air Sungai Kuantan serta Sungai Lembing pada malam ini. 
Berdasarkan tinjauan Bernama, beberapa pusat pemindahan juga mengalami masalah bekalan makanan dan keperluan asas berikutan kawasan penempatan mangsa banjir tidak dapat dihubungi menerusi jalan darat. - Bernama/Malaysiakini


Tabur Wang Untuk Pujuk Bekas Isteri

Seorang lelaki menaburkan puluhan keping wang kertas berjumlah AS$1,000 (RM3,215) pada Jumaat lalu

Serge Vorobyov menaburkan puluhan keping wang dari tingkat empat

Kejadian berlaku di pasar raya Mall of America

Polis berkata, Vorobyov melakukan perbuatan itu untuk memujuk bekas isterinya kembali kepadanya


BLOOMINGTON, Amerika Syarikat - Seorang lelaki, Serge Vorobyov menaburkan puluhan keping wang kertas berjumlah AS$1,000 (RM3,215) dari tingkat empat pasar raya Mall of America di sini pada Jumaat lalu. 
Dia kemudian ditangkap polis dan didakwa melakukan perbuatan yang tidak senonoh kerana tindakannya itu boleh menyebabkan orang ramai cedera kerana merebut wang tersebut. 
Vorobyov turut menyiarkan rakaman video yang menunjukkan dia membuang wang itu. 
Lelaki berkenaan memberitahu di laman sosial itu bahawa dia kini dilanda krisis perceraian dengan isterinya menyebabkan perbuatan tersebut dilakukan. 
Vorobyov menganggap nasibnya pada tahun depan akan bertambah baik selepas dia membuang wang itu ketika sebuah band sedang membuat persembahan. 
Lelaki itu yang berusia 29 tahun menyatakan tujuannya berbuat demikian untuk mewujudkan perasaan gembira dalam kalangan orang ramai. 
Selain bercerai, dia juga gagal dalam perniagaan mengangkut kereta dengan trak. 
Dia turut menyatakan perasaan gembiranya dengan perbuatannya itu. 
Ketika menceritakan tentang perceraian itu, lelaki berkenaan memberitahu: "Saya tidak mempunyai banyak wang untuk membeli banyak barang. Saya kini mengharungi perceraian yang dahsyat. Dia (isterinya) turut mengambil kucing kami. Dia enggan memberitahu di mana kucing itu kini." 
Polis berkata, Vorobyov melakukan perbuatan itu sebagai salah satu cara untuk memujuk bekas isterinya kembali kepadanya. - Agensi/Kosmo! Online

Kereta Api Tergelincir Sebab Laju

Kereta api komuter yang tergelincir hujung minggu lalu dilaporkan bergerak 132 kilometer sejam (kmsj) ketika melalui selekoh

Belum dapat dipastikan sama ada kejadian disebabkan kecuaian atau masalah mekanikal

Jurutera kereta api terbabit, William Rockefeller turut tercedera dan trauma dengan kejadian itu

Gerabak komuter bertaburan bagaikan kereta api mainan

Kemalangan ini menyebabkan empat penumpang terbunuh dan 60 orang cedera


NEW YORK - Kereta api komuter yang tergelincir hujung minggu lalu sehingga menyebabkan empat penumpang terbunuh dilaporkan bergerak pada kelajuan 132 kilometer sejam (kmsj) ketika melalui selekoh, kata penyiasat persekutuan, semalam. 
Bagaimanapun, sama ada kejadian disebabkan kecuaian atau masalah mekanikal belum dapat dikenal pasti. 
Menurut pakar keselamatan, tragedi itu mungkin dapat dielak jika Metro-North Railroad memuatkan teknologi pengelak pelanggaran yang disyorkan pihak berkuasa sejak beberapa dekad lalu. 
Kelajuan kereta api itu diperoleh daripada dua perakam data selepas kemalangan pagi Ahad di Bronx. 
Kejadian berlaku di sebuah selekoh tajam malah had kelajuan ditetapkan di kawasan itu sepatutnya diturunkan daripada 112 kmsj kepada 48 kmsj. 
Ahli Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Earl Weener enggan mengulas mengenai keterangan jurutera yang mengendalikan kereta api itu kepada pihak penyiasat. 
Katanya, hasil ujian dadah serta alkohol juga belum diperoleh. 
Penyiasat turut memeriksa telefon bimbit jurutera berkenaan untuk memastikan sama ada perhatiannya dialihkan kepada peranti itu ketika kejadian berlaku. 
Pengarah eksekutif kesatuan pekerja rel Anthony Bottalico berkata, jurutera terbabit William Rockefeller turut tercedera dan trauma dengan kejadian itu. 
Namun dia memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan. 
“Setahu saya dia seorang yang jujur dan mempunyai rekod cemerlang, selain rajin menjalankan tugas,” katanya. - AP/myMetro

Pertama Kali Polis Tembak Penjenayah

Polis dipanggil ke sebuah apartmen di pinggir bandar Reykjavik selepas seorang lelaki melepaskan tembakan senapang patah

Seorang pegawai polis memasuki sebuah rumah tempak seorang lelaki ditembak mati oleh polis.

Insiden itu adalah 'kejadian pertama' dalam sejarah Iceland kata ketua polis Iceland, Haraldur Johannessen

Pihak polis kesal dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada lelaki terbabit


REYKJAVIK - Seorang lelaki bersenjata menjadi individu pertama ditembak mati polis Iceland dalam kejadian dianggap ‘bersejarah’ di negara itu. 
Dalam kejadian itu, lelaki terbabit ditembak selepas dia sebelumnya melepaskan tembakan ke arah dua anggota polis yang cuba menahannya di sebuah apartmen. 
Pesuruhjaya Polis Iceland, Haraldur Johannessen berkata pihaknya kesal dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada lelaki terbabit. 
Menurut laporan, polis menerima panggilan kecemasan dan pergi ke sebuah apartmen di Arbaer untuk menyiasat. 
Di situ seorang lelaki berusia lewat 50-an berkubu dalam kediamannya dan melepaskan tembakan ketika dua anggota polis tidak bersenjata memasuki premis berkenaan.  
Polis kemudian melepaskan bom asap ke rumah berkenaan dalam usaha menenangkan suspek tetapi gagal apabila dia melepaskan tembakan ketika cuba ditahan. 
Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan dan suspek cedera sebelum disahkan mati ketika dia dalam perjalanan ke hospital. 
Ketua Polis Reykjavik, Stefan Eriksson berkata tembakan suspek melalui tingkap apartmen itu memaksa pihak berkuasa bertindak balas. 
Sehingga malam tadi belum diketahui motif suspek bertindak begitu tetapi sumber berkata, dia pernah mengugut jirannya. 
Iceland mempunyai populasi seramai 320,000 dan sangat jarang berlaku keganasan membabitkan senjata api di negara itu. 
Kadar jenayah di Iceland juga rendah, malah polis di negara itu lazimnya tidak membawa senjata api ketika bertugas. 
Senjata api hanya dibenarkan untuk memburu dan rakyatnya percaya pengharaman senjata punca kadar keganasan amat rendah di negara berkenaan. - AP/myMetro

Ahad, 1 Disember 2013

Setiap Minggu Jual Satu Pistol

Dalam seminggu secara purata seorang lelaki menjual sepucuk pistol (hiasan). Foto: Terengganu Today

Pemandangan di Sungai Golok. Foto: 9W2KMC


MEMBELI pistol di pekan Sungai Golok, Thailand tidak sesukar yang disangka malah selepas membayar harga senjata api antara RM4,500 hingga RM10,000 sepucuk, ia dengan mudah boleh dibawa masuk ke Malaysia. 
Bagaimanapun, individu yang mahu membeli pistol perlu melalui beberapa orang tengah yang sudah biasa dengan ejen menjual senjata api itu. 
Di pekan Sungai Golok sahaja dikatakan terdapat kira-kira 10 ejen menjual senjata api dan ada sebanyak 111 jalan tikus yang pada bila-bila masa boleh dibolosi dengan pelbagai barang seludup. 
Pembeli senjata api di pekan Sungai Golok itu pula kebiasaannya membabitkan samseng dan penjenayah dari Malaysia. Menurut sumber, misi membeli dan membawa keluar senjata api yang sudah dibeli jarang gagal. 
Ikuti temu bual wartawan Kosmo! dengan seorang ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok yang aktif menjual senjata sejak kira-kira 10 tahun lalu. 
Lelaki itu mahu dikenali sebagai Abang Sham. Wawancara dengannya dijalankan menggunakan Bahasa Melayu loghat Siam-Kelantan. 
Wartawan Kosmo!: Sejak bila anda mula berkecimpung dalam kerja ini? 
Abang Sham: Sudah lama, mungkin lebih 10 tahun. Bagaimanapun, ini bukan kerja tetap saya. Saya ada kerja tetap lain tetapi tidak perlulah saya dedahkan. 
Kenapa anda pilih kerja sampingan yang salah dan bahaya? 
Saya lakukan kerja ini untuk dapat duit tambahan selain gaji tetap. Saya juga bukan satu-satunya orang yang jual senjata api di pekan Sungai Golok, malah rasanya ada lebih 10 orang lain yang buat kerja sama seperti saya. 
Siapa yang datang beli senjata? 
Sejak jual senjata api, pelanggan saya banyak orang berketurunan Cina dari Malaysia. Alasan mereka beli senjata, katanya, untuk disimpan. Saya pula tidak tanya lebih kerana itu urusan mereka dan bagi saya, saya hanya mahu duit hasil jual senjata. 
Apa jenis senjata yang dijual dan berapakah harganya? 
Kebiasaannya pelanggan akan beli senjata api ikut harga dan jarang dalam kalangan mereka yang pilih senjata api ikut jenis. Harga senjata api yang saya jual bermacam-macam bergantung kepada jenis dan sama ada senjata itu barang lama atau baharu. 
Sebagai contoh, jika senjata api jenis 9mm harganya RM6,500 tetapi jenis sama bagi senjata sudah terpakai harganya sekitar RM4,500 hingga RM5,000. Pistol Glock pula ialah senjata moden yang lebih mahal dan harga senjata baharu Glock ialah RM10,000. Bagi Glock lama, harganya antara RM7,000 hingga RM7,500. 
Senjata api jenis Smith & Wesson semi automatik merupakan senjata api terlaris. Turut dibeli senjata jenis Walther. 
Berapa keuntungan jual senjata api dan di mana anda dapat bekalan? 
Saya akan jual sekiranya untung dalam RM400 hingga RM500 sepucuk. Bekalan senjata api yang saya jual biasanya saya beli daripada rakan-rakan yang mahu jual senjata api mereka. Rakan-rakan saya pula ada yang beli dari kedai senjata api berlesen atau mereka beli dari Vietnam. 
Macam mana dengan peluru? 
Saya tidak jual peluru tetapi pembeli boleh beli sendiri di kedai-kedai jual senjata api berlesen di pekan ini. Beli pistol dan peluru adalah satu perbuatan salah di Thailand tetapi kita boleh beli secara curi-curi. Beli peluru lebih senang berbanding beli pistol. Harga sekotak peluru mengandungi 50 butir peluru ialah kira-kira RM190. 
Bagaimana pelanggan cari anda? 
Perkara itu memang sulit. Orang yang mahu beli senjata api akan risik mengenai ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok sebelum dia jumpa saya. Urusan jual beli pula akan berlaku di bilik-bilik hotel besar. Hotel-hotel adalah tempat selamat untuk urusan seperti ini. 
Siapa tempah hotel? 
Hotel tempat pertemuan diuruskan oleh pelanggan dan selepas diberi nombor bilik, saya kebiasaannya dengan seorang lagi rakan terus ke bilik hotel dan selesaikan urusan jual beli senjata. 
Kadang-kadang saya akan bawa lebih daripada sepucuk senjata api untuk dipilih pelanggan. Sejak bergerak menjual senjata api kira-kira 10 tahun lalu, belum pernah saya ditimpa masalah. Semua urusan saya berjalan lancar. 
Tanggungjawab siapa yang bawa keluar senjata itu dari pekan Sungai Golok? 
Senjata api yang dijual adalah atas risiko dan urusan pembeli. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan dengan senjata itu. Namun apa yang diberitahu pelanggan yang beli senjata api di pekan Sungai Golok boleh bawa keluar senjata itu dengan cara menunggang motosikal keluar dari sini. 
Setakat ini, belum saya dengar ada pelanggan saya kena tangkap selepas beli senjata api daripada saya. 
Adakah pembelian senjata api sejak dua tahun kebelakangan ini meningkat? 
Jualan saya dalam tempoh itu sama saja. Dalam seminggu secara purata saya jual sepucuk pistol, dalam setahun kira-kira 50 pucuk. 
Selain melalui sempadan Rantau Panjang, di lokasi mana senjata api kerap dibawa ke Malaysia? 
Pangkalan Asan Merah di Rantau Panjang dan Pangkalan Kubur di Tumpat. Melalui kedua-dua buah pangkalan haram itu, pelanggan boleh naik bot dan balik ke Malaysia bersama pistol yang telah dibeli. - Kosmo! Online