Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 29 Oktober 2013

Angin Ribut St Jude Badai Britain

Seorang remaja perempuan 17 tahun meninggal dunia selepas pokok tumbang menimpa karavannya ketika mangsa sedang tidur

Angin kencang selaju 128 kilometer sejam menumbangkan pokok

Pokok yang tumbang mengganggu perjalanan kenderaan

Stesen di selatan Britain sunyi sepi ketika waktu puncak

Semua perjalanan tren dari Stesen Waterloo dibatalkan

Keadaan angin kencang di tengah London

Pokok tumbang ditiup angin menimpa kereta yang diparkir berdekatan

Kren jatuh ke atas bumbung bangunan kerajaan di tengah London

Pokok tumbang turut menyukarkan pergerakan pejalan kaki dan penumggang basikal

Ombak besar melanda pantai

Feri tersadai akibat angin kencang

Perkhidmatan tren terganggu

Pusat cuaca kebangsaan di London melaporkan angin bertiup dengan kelajuan 159 kilometer sejam

Seorang lelaki menolak basikal berhampiran sebuah kereta yang dihempap pokok di Hornsey di utara London


LONDON - Hampir 300,000 rumah berdepan gangguan bekalan elektrik di Britain dan Perancis semalam, manakala kereta api serta penerbangan dibatalkan apabila ribut St Jude, yang terburuk dalam tempoh sedekad, melanda Britain, Perancis dan Belanda, menyebabkan tiga orang terbunuh.
Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun meninggal dunia selepas pokok tumbang menimpa karavannya ketika mangsa sedang tidur di Hever, tenggara England dan lelaki berusia 50-an mati apabila pokok menimpa keretanya di Watford, utara England, kata polis. 
Di Amsterdam, seorang wanita yang sedang berjalan maut apabila ditimpa pokok tumbang. 
Keadaan laut yang bergelora memaksa pasukan penyelamat menghentikan usaha mencari budak lelaki berusia 14 tahun yang dihanyutkan ke laut di selatan England kelmarin. 
Lebih 450 orang terperangkap selama beberapa jam di atas dua feri di luar pelabuhan Dover selepas ia ditutup kepada laluan laut, apabila ombak besar melanda pantai kedua-dua Channel. 
Pusat cuaca kebangsaan di London melaporkan angin bertiup dengan kelajuan 159 kilometer sejam di Isle of Wright di pantai selatan negara itu. 
Pada masa sama angin kencang selaju 128 kilometer sejam di tempat lain, menumbangkan pokok, manakala kren jatuh ke atas bumbung bangunan kerajaan di tengah London. Polis berkata, tiada yang cedera dalam kejadian itu. 
Persatuan Rangkaian Tenaga melaporkan 220,000 rumah di seluruh Britain tidak mempunyai bekalan elektrik apabila tiang elektrik tumbang di seluruh negara. 
Di utara Perancis, ribut menyebabkan bekalan elektrik ke 65,000 rumah terputus awal semalam, menurut rangkaian pengedaran ERDF, selepas angin kencang mencecah 139 kilometer sejam. Terdahulu, ERDF meramalkan 75,000 rumah terjejas. 
Selatan England turut terjejas apabila pihak berkuasa membatalkan perkhidmatan kereta api membatalkan perkhidmatan di seluruh wilayah berkenaan. 
Ramai pengguna menangguhkan perjalanan mereka, menyebabkan stesen di tengah London sunyi sepi ketika waktu puncak. 
Sementara itu, Lapangan Terbang Heathrow membatalkan 130 penerbangan manakala kelewatan juga dilaporkan pada perkhidmatan tren Eurostar. 
Lebih 30 anggota bomba dikerah ke tempat letupan gas di Hounslow, barat London, selepas pokok tumbang menyebabkan saluran gas utama pecah. Tiga rumah runtuh dan dua lagi rosak, kata bomba. 
“Ia malam sukar kepada ramai penduduk London dan berterusan sehingga pagi,” kata Datuk Bandar London, Boris Johnson. 
Katanya, perkhidmatan pengangkutan dan kecemasan bekerja keras untuk memastikan London terus hidup dan meminimumkan gangguan sebaik mungkin. 
Ribut St Jude, pada awalnya diramalkan menjadi paling buruk dalam masa sedekad. - AFP/Berita Harian

Sebatang pokok tumbang di daerah Islington, utara London, Britain selepas ribut St. Jude melanda di daerah itu semalam


LONDON – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual memulakan lawatan kerja hari pertama ke Manchester semalam membatalkan lawatan itu ekoran ribut kencang St. Jude yang membadai seluruh England dan Wales. 
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran angin kencang kepada syarikat pengangkutan serta menasihatkan pengguna supaya membuat semakan mengenai jadual perjalanan kereta api dan penerbangan. 
Ribut St. Jude paling buruk dalam dekad ini dijangka membawa angin pada kelajuan 160 kilometer sejam menyebabkan pengguna terkandas akibat gangguan perkhidmatan pengangkutan jalan darat, perkhidmatan kereta api dan udara. - Kosmo! Online

Lelaki Paling Tinggi Bertemu Jodoh

Sultan Kosen, setinggi 173 sentimeter (5 kaki 8 inci), melangsungkan perkahwinan dengan Merve Dibo, seorang wanita normal

Sultan, 30, berkahwin dengan Merve yang berusia 20 tahun

Perbezaan ketinggian yang ketara tidak halang pasangan ini untuk berkahwin

Sultan memimpin tangan isterinya

Sultan bergambar kenangan bersama isteri, ahli keluarga dan sahabat handainya

Hadirin mengambil kesempatan merakamkan gambar menggunakan telefon bimbit



LONDON - Selaku lelaki paling tinggi di dunia, Sultan Kosen sudah pasti sukar untuk mencari teman hidup yang sesuai dengan ketinggiannya 252 sentimeter (8 kaki 3 inci). 
Tidak hairanlah apabila dia menganggap perkahwinannya dengan Merve Dibo yang setinggi 173 sentimeter (5 kaki 8 inci) sebagai satu keajaiban. 
Meskipun perbezaan ketinggian mereka begitu ketara, Sultan, 30, meraikan hari paling bersejarahnya kelmarin apabila berkahwin dengan wanita berusia 20 tahun itu di negara asalnya, Turki. 
Sebelum berkenalan dengan Merve, Sultan pernah meluahkan kekecewaannya untuk mencari rakan hidup memandangkan kebanyakan calon terlalu rendah berbanding ketinggiannya. 
Namun, kelmarin, petani separuh masa itu yang terpaksa menempah khas pakaian perkahwinan dan kasut saiz 28 untuk majlis itu berkata, dia begitu gembira kerana menemui Merve. 
“Agak malang kerana saya tidak menemui calon sama tinggi dengan saya. Tetapi kini, saya sudah mempunyai keluarga dan kehidupan peribadi sendiri,” katanya dalam satu kenyataan. 
Sultan, seorang daripada 10 lelaki yang menjangkau ketinggian lapan kaki menghidap kecelaruan pertumbuhan yang dinamakan ‘pituitary gigantism,’ yang menyebabkan tubuhnya mengeluarkan hormon pembesaran secara berterusan. 
Tubuhnya mula tinggi pada usia 10 tahun dan dinobatkan sebagai lelaki tertinggi di dunia pada 2009 dan akhirnya berhenti membesar pada 2011. 
Pemegang rekod lelaki paling tinggi di dunia ialah Robert Wadlow dari Illinois, Amerika Syarikat yang mati pada 1940 dengan ketinggian melebihi 272 sentimeter.- AFP/myMetro

Isnin, 28 Oktober 2013

Wanita Saudi Didenda Kerana Memandu Kereta

Segelintir wanita memberanikan diri memandu kelmarin sebagai menyahut kempen menentang larangan memandu

Aktivis Manal Al Sharif menunjukkan tanda sokongan kepada wanita Arab yang mencabar pengharaman wanita memandu

Wanita yang terlibat kempen menentang larangan memandu telah memuat-naik klip video mereka memandu ke internet

Wanita Arab Saudi dilarang memandu kenderaan atau keluar rumah tanpa ditemani oleh seorang mahram


RIYADH - Seramai 16 wanita Arab Saudi didenda kerana memandu pada hari kempen menentang larangan memandu terhadap wanita di negara berkenaan, kata polis semalam. 
Hanya segelintir wanita yang memberanikan diri untuk memandu kelmarin sebagai menyahut kempen menentang larangan memandu yang disebar secara dalam talian. 
Ia ekoran kerajaan Arab Saudi memberi amaran akan menghukum mereka yang terlibat dalam kempen tersebut. 
"Pihak polis menahan enam wanita di sini dengan setiap seorang didenda sebanyak 300 Riyal (RM252)," kata jurucakap polis di sini, Kolonel Fawaz Al-Miman. 
Sementara itu, di Jeddah, polis telah mengenakan denda terhadap dua wanita kerana memandu kereta, menurut jurucakap polis bandar berkenaan, Nawaf Al-Bouq. 
Akhbar Arab Saudi melaporkan bahawa enam lagi wanita ditahan di wilayah timur manakala dua wanita lain ditangkap di beberapa tempat lain di negara berkenaan. 
Terdahulu, seramai 12 wanita Arab Saudi memuat naik klip video di laman sosial Twitter yang menunjukkan mereka memandu kereta. 
Para aktivis wanita pada asalnya meminta wanita di Arab Saudi memandu kereta mereka kelmarin untuk mencabar larangan tersebut. 
Permintaan tersebut disiarkan di beberapa laman sosial termasuk Twitter. 
Wanita Arab Saudi dilarang memandu kenderaan atau keluar rumah tanpa ditemani oleh seorang mahram. - AFP/Kosmo! Online

Ahad, 27 Oktober 2013

Lemak Tepu Tak Bahaya?

Hasil kajian terbaru di London menyangkal lemak tepu sebagai punca serangan jantung. Foto: The Guardian

Kajian dijalankan oleh Dr. Aseem Malhotra, Pakar kardiologi Hospital Universiti Croydon London, Britain. Foto: BBC

Mentega mengandungi lemak tepu yang didakwa baik untuk kesihatan jantung. Foto: Telegraph

Malhotra mendapati bahawa setiap 450 mililiter (ml) susu berperisa mengandungi kira-kira 15 sudu teh gula


MAKANAN belum diproses yang mengandungi kandungan lemak tepu sebelum ini dipercayai menjadi antara penyumbang kepada serangan sakit jantung. 
Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh pakar kardiologi Hospital Universiti Croydon di London, Britain, Dr. Aseem Malhotra hasil kajiannya yang diterbitkan dalam British Medical Journal baru-baru ini. 
Menurutnya, makanan tersebut sebenarnya tidaklah seburuk yang disangka, malah ia dipercayai dapat membantu melindungi tubuh daripada risiko penyakit kardiovaskular. 
“Kajian kohort prospektif tidak menyokong hubungan pengambilan lemak tepu dengan risiko penyakit kardiovaskular, malah menerusi kajian itu, kita dapati lemak tersebut mampu melindungi jantung daripada penyakit itu,” katanya. 
Namun, tanggapan bahawa lemak tepu tidak baik untuk kesihatan jantung membuatkan ramai orang menolak pengambilannya dalam diet masing-masing. 
Masyarakat lebih gemar mengambil produk rendah lemak kerana beranggapan ia lebih baik untuk kesihatan selain dapat membantu mereka menurunkan berat badan. 
Mereka mungkin silap kerana kebanyakan produk rendah lemak di pasaran sebenarnya mengandungi kandungan gula atau garam yang tinggi. 
“Minggu lalu, saya menyaksikan seorang pesakit wanita dalam lingkungan umur 40-an mati akibat serangan sakit jantung. 
“Enam bulan sebelum meninggal dunia, dia mengalami kenaikan berat badan sehingga 20 kilogram (kg) dan pertambahan itu dipercayai selepas dia mengambil minuman rendah lemak sebanyak lima kali sehari,” kata Malhotra menerusi portal berita The Guardian. 
Daripada pengiraan yang dibuat, Malhotra mendapati bahawa setiap 450 mililiter (ml) susu berperisa mengandungi kira-kira 15 sudu teh gula. 
“Ini bermakna pesakit itu berkemungkinan telah mengambil 75 sudu teh gula setiap hari,” ujarnya. 
Jelasnya, pengurangan kadar pengambilan gula dalam diet adalah lebih baik bagi mencegah penyakit berkaitan jantung. 
Justeru, Malhotra mengesyorkan pesakit jantung agar mengamalkan pengambilan lemak tepu daripada makanan belum proses seperti keju, mentega, telur, yogurt dan daging. 
“Produk tenusu misalnya kaya dengan vitamin A, D, kalsium dan fosforus yang diyakini dapat merendahkan tekanan darah. 
“Makanan diproses seperti makanan segera didapati mengandungi kandungan asid lemak trans tinggi yang berbahaya untuk kesihatan jantung,” katanya. 
Sementara itu, menurut Ketua Pusat Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ramzisham Abdul Rahman, lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak baik (LDL) dan menurunkan paras kolesterol baik (HDL). 
Lemak ini kebiasaannya dijumpai dalam makanan segera seperti kentang goreng, piza, patti burger, hotdog dan makanan diproses lain. 
Katanya, di Malaysia, penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan adalah disebabkan penyakit jantung dengan kemasukan kini melebihi 7,300 kes setahun. 
“Lemak trans yang berlebihan akan terkumpul dikeliling jantung dan seterusnya mengganggu saluran darah. 
“Pembuluh darah yang tersumbat akan menyukarkan oksigen sampai ke jantung lalu mengakibatkan penyakit jantung koronari, darah tinggi dan strok,” ujarnya. Kosmo! Online

Ahli Politik Indonesia Dituduh Guna Sihir

Penyokong gabenor wilayah Banten, Ratu Atut Chosiyah dipercayai guna ilmu hitam

Sekumpulan pelajar membacakan surah Yasin bagi melindungi penyiasat Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK)

Ratu Atut Chosiyah meninggalkan ibu pejabat Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) selepas disoal siasat

“Biar Atut dilindungi pawang, KPK dilindungi Tuhan,” kata ketua KPK Arabaham Samad (kanan)


BANTEN - Puluhan pelajar pesantren dan ulama dari seluruh Banten semalam mengunjungi ibu pejabat badan pencegah rasuah Indonesia dalam usaha untuk ‘melawan’ ilmu hitam yang dipercayai digunakan penyokong gabenor wilayah berkenaan Ratu Atut Chosiyah dan keluarganya. 
Dudung Abdurrahman, antara pelajar yang turut serta berkata, kumpulan itu membaca surah Yasin bagi melindungi Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) daripada sebarang cubaan menghalangnya menyiasat rasuah dalam dinasti politik Banten. 
“Ini usaha kami untuk memberi sokongan moral kepada KPK supaya ia tidak takut dengan sebarang perbuatan ilmu hitam,” kata Dudung. 
Khabar angin tersebar luas mengenai keluarga Ratu Atut sejak penangkapan adiknya Tubagus Chaeri Wardhana (Wawan) berhubung dakwaan penipuan dalam pilihan raya daerah Lebak. 
Ratu Atut dikatakan dilindungi oleh sekumpulan Jawara, pemimpin berpengaruh yang mahir dalam ilmu persilatan dan dukun. 
Seorang pawang Ki Gendeng Pamungkas yang mendakwa mengenali keluarga Ratu Atut berkata, penyiasat KPK yang menjalankan siasatan terhadap keluarga itu akan terkena ilmu hitam. 
“Kumpulan pawang di Banten, Sukabumi dan |Cianjur Selatan akan menyerang serentak pemimpin KPK,” kata Pamungskas seperti yang dipetik oleh portal berita Tribunenews.com. Gabenor Banten itu dituduh merasuah Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Akil Mochtar dalam kes keputusan pilihan raya majlis perbandaran baru-baru ini. 
Sementara itu, KPK tidak menghiraukan khabar angin mengenai penggunaan ilmu hitam itu. “Biar Atut dilindungi pawang, KPK dilindungi Tuhan,” kata ketua KPK Arabaham Samad. - Agensi/myMetro