Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 14 April 2013

Doktor Pondan Ditahan Polis Di Melaka

'Doktor' pondan pernah bertugas di salah sebuah klinik yang terletak di deretan kedai ini yang terletak di Batu Berendam, Melaka

Superintendan Hock Sing menunjukkan gambar doktor palsu di Melaka semalam.


MELAKA - Selepas dipercayai memperdayakan ribuan pesakit, seorang doktor berwajah ayu, memakai tudung dan gemar mengenakan baju kurung akhirnya disedari bukan sahaja sebenarnya seorang lelaki tetapi juga tidak memiliki kelayakan perubatan. 
Lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Sabah itu pernah mengikuti kursus kejururawatan tetapi tidak menamatkan pengajian. 
Dia dikatakan berjaya menjadi doktor sambilan sejak awal tahun lalu di beberapa klinik di Perak, Pahang dan Melaka dengan hanya menunjukkan sijil Perakuan Amalan Tahunan daripada Majlis Perubatan Malaysia yang kemudian disahkan palsu. 
Tembelang lelaki yang dikenali sebagai Doktor Ika itu akhirnya terbongkar apabila pemilik sebuah klinik di Batu Berendam, Melaka mendapati sijil itu palsu. 
Siasatan juga dibuat setelah seorang pesakit wanita mengadu kepada majikan terbabit selepas berasa sangsi dengan perbuatan Doktor Ika suka menelefon suaminya. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Soh Hock Sing berkata, suspek ditahan di klinik itu ketika menunggu pesakit pada Khamis lalu. 
"Suspek bekerja dari pukul 6 petang hingga 10 malam dengan bayaran RM45 sejam," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 
Hock Sing berkata, sijil perakuan palsu yang digunakan oleh suspek menggunakan nombor siri pada sijil yang dimiliki oleh doktor lain. 
Dalam sehari beliau dipercayai merawat lebih 25 orang pesakit di klinik itu sejak tiga bulan lalu. 
Lelaki itu mempunyai alamat tetap di Ampang, Selangor. 
Katanya, sepanjang tempoh menyamar, suspek lebih cenderung melayan pesakit lelaki di klinik tersebut dengan mengendalikan rawatan pesakit luar dan prosedur jahitan kecil untuk kes kemalangan. 
Dia juga mengeluarkan sijil cuti sakit seperti doktor lain. 
"Selain kursus kejururawatan di Selangor, dia juga tidak menghabiskan pengajian kejuruteraan di sebuah universiti di Johor," katanya. 
Menurutnya, suspek sebelum itu pernah bekerja sebagai doktor sambilan di lima lagi klinik swasta di sekitar Melaka termasuk Sungai Udang dan Melaka Baru. 
Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menerima rawatan daripada lelaki tersebut supaya tampil membuat laporan polis. 
Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga esok. 
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun keseksaan kerana menyamar dengan niat menipu. - Kosmo!

Kemaskini 20.4.2013

Hasdi diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka, Melaka selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamar doktor.


MELAKA – Seorang pondan berdepan hukuman penjara tujuh tahun atau denda selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan menyamar sebagai doktor sejak Januari lalu. 
Hasni Jamal Aripin, 26, atau dikenali dengan gelaran Dr. Ika bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif. 
Mengikut pertuduhan, Hasni didakwa menipu Norman Mohd. Norawai, 41, dengan menyamar sebagai Doktor Norzulaikha Jamaluddin dan menyerahkan dokumen sijil Perakuan Amalan Tahunan yang diketahui tertuduh sebagai palsu. 
Perbuatan itu mendorong Norman menyerahkan RM8,280 sebagai gaji dan dia tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya tertuduh. 
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 15 Januari hingga 11 April lalu di Dr. Norman Clinic Sdn. Bhd., No. 28, Jalan MJ1, Teman Merdeka Jaya, Batu Berendam di sini. Klinik itu dimiliki oleh Norman. 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.