Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 19 Julai 2013

Ibadah Zakat

Pembayaran zakat melalui amil

Surah At-Taubah, ayat 60

Zakat ialah derma yang wajib diberikan oleh orang Islam yang mampu kepada 8 golongan (asnaf) yang berhak menerimanya. Ia merupakan rukun ketiga daripada lima Rukun Islam.
Manakala dari segi syarak, zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.
Allah berfirman yang mafhumnya: 
"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu (Muhammad) itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah At-Taubah, ayat 103) 
"Dan dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat." (Surah Al-Baqarah, ayat 110)
Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu zakat fitrah dan zakat harta.  
Zakat fitrah dikeluarkan pada bulan Ramadan sahaja iaitu mulai 1 Ramadan hingga 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri. 
Manakala zakat harta boleh dibayar pada bila-bila masa. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari jumlah harta. Ia bermaksud, 2.5% daripada harta kita adalah bukan hak kita tetapi hak golongan 8 asnaf yang layak menerima zakat daripada kita. 
Allah berfirman yang mafhumnya: 
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan”. (Surah at Taubah ayat 60) 
Maksudnya, zakat hendaklah dibayar hanya kepada 8 golongan (asnaf) iaitu:  
Fakir (al-Fuqara) - Orang yang tidak berharta serta tidak mempunyai pekerjaan sama sekali, atau orang yang mempunyai harta dan pekerjaan tetapi pendapatannya tidak dapat menampung keperluan hariannya. Contoh, keperluan harian ialah RM 10.00 tetapi pendapatannya hanya RM 2.00 sahaja. 
Miskin (al-Masakin) - Orang yang mempunyai harta tetapi tidak cukup untuk menampung keperluan hariannya. Contoh, keperluan hariannya RM 10.00, tetapi pendapatannya hanya RM 7.00 sahaja. 
Amil - Individu/Pekerja yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengutip/mengagih zakat. 
Muallaf - Mereka baru menganut agama Islam. 
Riqab - Hamba yang menebus dirinya secara ansuran. 
Al-Gharimin - Orang yang menanggung hutang dan tidak mampu untuk menyelesaikanya.
Fisabilillah - Orang yang berjuang di jalan Allah.
Ibnus sabil - Musafir yang terputus bekalannya semasa di perantauan.
Mereka yang tidak termasuk dalam salah satu daripada 8 asnaf di atas TIDAK LAYAK menerima wang zakat.
Soalnya sekarang, adakah sistem kutipan dan pengagihan zakat kita sudah memenuhi matlamat dan tujuan zakat? Maksudnya, adakah mereka yang benar-benar layak menerima hasil kutipan zakat telah menerima bahagian masing-masing? 
Al-hamdulillah, pada bulan Ramadan ini kita boleh menunaikan ibadah zakat fitrah dengan mudah kerana amil-amil yang ditugaskan mengutip zakat fitrah berada di mana-mana. 
Tetapi bagaimana dengan pengagihan hasil kutipan zakat, terutama kepada lima golongan yang layak pada masa ini seperti fakir, miskin, muallaf, al-gharimin dan ibnus sabil? 
Mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, pernah memberi komentar tentang zakat dengan menyebutkan bahawa Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata, "Berilah zakat kepada seseorang (yang fakir miskin) itu menjadi kaya."
Dr. Asri menjelaskan, kenyataan Saidina Umar Al-Khattab itu bermaksud, pemberian zakat perlu dilaksanakan sehingga tiada lagi orang fakir miskin atau orang fakir miskin itu telah keluar (bebas) dari wilayah kefakirannya.
Perlu diingat, kadar zakat fitrah mengikut negeri-negari di seluruh Malaysia ialah daripada serendah RM4.50 hingga RM8.00 seorang.
Rasanya, jika di sesuatu kawasan itu ada 5,000 penduduk dan hanya lima peratus sahaja yang fakir atau miskin, maka jumlah yang layak menerima zakat hanya 250 orang. Manakala yang layak mengeluarkan zakat ialah 4,750 orang.
Jika RM4.50x4,750 orang = RM21,375. Jika RM8.00x4,750 orang = RM38,000. Ini belum termasuk hasil kutipan zakat harta.  
Persoalannya, adakah kesemua 4,750 orang yang layak membayar zakat di kawasan itu sudah menunaikannya; dan adakah golongan susah yang sedikit itu sudah menerima agihan hasil kutipan zakat kesemuanya?
Seperkara lagi, yang manakah di antara berikut cara pengagihan zakat yang mengikut konteks Saidina Umar itu: pihak yang mengutip zakat perlu mencari 250 orang tersebut; atau pihak yang mengutip zakat hanya perlu duduk menanti 250 orang itu datang menebalkan muka untuk menagih agihan hasil kutipan zakat?

Semoga cara agihan zakat tidak terjadi seperti ini. Sumber


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.