Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 13 November 2014

Kedah Dilanda Puting Beliung

sebuah rumah di Kampung Sungai Nonang yang rosak angkara puting beliung. Foto: myMetro



ALOR SETAR - “Saya sangka objek berterbangan di langit itu burung, rupanya puluhan zink rumah penduduk kampung yang diterbangkan puting beliung,” kata Rosliyah Yaacob dari Kampung Sungai Nonang, Jalan Kuala Kedah-Yan, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, 20 rumah, empat rumah kedai dan satu kandang kambing rosak dilanda puting beliung.
Pusaran angin kencang selama lima minit itu turut menyebabkan sebuah kereta Proton Wira milik seorang penduduk tercampak dan tersangkut pada sebatang pokok sejauh kira-kira 10 meter dari bangsal tempat menyimpannnya.
Rosliyah, 49, berkata, dia menyedari kejadian ketika sedang mengutip sabut kelapa di depan rumah apabila melihat banyak objek terutama zink yang berterbangan di udara sebelum dimaklumkan penduduk banyak rumah rosak akibat puting beliung.
“Saya nampak puting beliung datang dari arah sawah menuju laut dan hilang perlahan-lahan sebelum hujan lebat.
“Sebaik hujan berhenti, saya ke rumah jiran dan nampak banyak rumah rosak. Bagaimanapun, rumah saya selamat,” katanya ketika ditemui, semalam.
Penduduk lain, Che Tom Ahmad, 55, pula berkata, ketika kejadian itu, dia berada di dapur manakala dua anaknya berusia 14 dan 16 tahun berada dalam bilik.
Katanya, dia terdengar bunyi seperti enjin helikopter yang kuat dari atas rumah dan mengesyaki sesuatu akan berlaku lalu menjerit memanggil anaknya supaya menyelamatkan diri.
“Belum sempat berbuat apa-apa, saya nampak pusaran angin menerbangkan atap zink manakala kayu jatuh ke lantai satu persatu.
“Kami tiga beranak cuba keluar dari rumah, tetapi terperangkap dengan zink yang jatuh bertimpa-timpa lalu berlindung di ruang tamu sambil berdoa supaya selamat,” katanya.
Che Tom berkata, ketika kejadian, suaminya, Zainol Mustafa, 57, sedang bekerja di kilang padi berhampiran dan bersyukur kerana mereka bertiga tidak cedera.
Seorang lagi penduduk, Azizah Yahya, 48, berkata, dia bersama tiga anak yang berusia lima, 14 dan 17 tahun sempat berlindung dalam bilik sebaik terdengar bunyi pusaran angin yang datang dari tepi rumah.
“Apabila keluar selepas angin itu tiada, saya nampak kereta Proton Wira milik suami, Jamal Mat Ali, 49, tersangkut pada pokok dan rosak teruk,” katanya.
Ia adalah kejadian keempat puting beliung berlaku dalam tempoh dua bulan di dua daerah di negeri ini selepas kejadian di Pendang; Kampung Sungai Baru di Kuala Sungai dan Taman Wira Mergong, di sini, yang menyebabkan banyak rumah rosak. - myMetro



ALOR SETAR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengakui fenomena pembentukan puting beliung yang terlalu kerap terjadi di Kedah sejak akhir-akhir ini sebagai suatu 'misteri' yang perlu dirungkai terutama dalam mencari punca pembentukannya di negeri ini.
Bagaimanapun, Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, tidak menolak kemungkinan kekerapan pembentukan puting beliung di negeri ini pada kadar yang kerap iaitu tiga kes dalam tempoh hampir sebulan, mempunyai kaitan dengan perubahan monsun.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan melakukan kajian mengenai fenomena itu untuk mencari sebab utama kenapa Kedah kini dilihat begitu sinonim sekali dengan pembentukan puting beliung yang kebiasaannya terbentuk di sekitar benua Amerika Syarikat.
"Puting beliung pernah direkod melanda beberapa negeri di sekitar Semenanjung pada tahun 2010 lalu iaitu di Pulau Pinang, Perlis dan juga Selangor, namun kejadian itu tidak sekerap yang berlaku di Kedah sejak akhir-akhir ini.
"Apa pun kita akan kaji kenapa fenomena ini boleh terbentuk di Kedah termasuk menilai kenapa ia berlaku dan apa punca serta kriteria yang menyebabkan puting beliung terbentuk... paling penting kita nak tahu kenapa Kedah menjadi destinasinya," katanya kepada BH.
Pada 14 Oktober lalu sekurang-kurangnya 10 premis membabitkan kediaman dan sebuah sekolah sekitar Kampung Alor Besar di Pendang, rosak teruk dilanda puting beliung yang disahkan dari jenis 'landspout', sebelum satu lagi insiden sama melanda lima kawasan terutama di Kampung Mergong Hilir, Kampung Sungai Baru dan Kampung Batin, di sini, menyebabkan 72 rumah serta klinik desa rosak, Jumaat lalu.
Terbaharu, angin kencang seakan-akan puting beliung disahkan jenis 'downdraft' turut melanda kawasan Taman Wira Mergong, di sini, petang kelmarin menyebabkan kira-kira 13 rumah rosak.
Ditanya mengenai peralihan monsun yang dikaitkan sebagai punca paling dekat pembentukan puting beliung di Kedah, Mohd Hisham berkata, ia menyebabkan angin datang dari pelbagai arah, malah keadaan atmosfera juga aktif semasa ini menyebabkan mudahnya pembentukan awan ribut.
"Keadaan ini sekali gus memudahkan pembentukan puting beliung, namun dari segi saintifiknya kita tak berapa pasti mengapa fenomena itu kerap terjadi dan ia pula tertumpu di Kedah sahaja.
"Hakikatnya sistem ramalan cuaca sama ada di negara ini atau di negara luar, tidak mempunyai keupayaan mengesan pembentukan puting beliung ini... maksudnya kita tak tahu di mana puting beliung itu akan bermula atau terbentuk.
"Malah, saiznya puting beliung yang terlalu kecil iaitu kurang daripada satu kilometer (km) turut menyukarkan usaha untuk mengesan pembentukannya. Kita ambil contoh puting beliung darat yang membadai beberapa kawasan di Kedah, ia hanya bersaiz kira-kira 20 hingga 30 meter dengan pergerakan 30 kilometer sejam (km/h)," katanya.
Fakta
Rekod kejadian puting beliung di Malaysia
28 Oktober 2010 - lebih 50 premis majoritinya rumah kediaman dilapor rosak akibat puting beliung di Jejawi, Perlis.
13 Jun 2010 - beberapa kawasan perumahan, gerai penjaja dan lebih 100 pokok tumbang dilanda puting beliung di Kota Damansara.
15 November 2010 - kejadian puting beliung direkodkan di kawasan Gurney, Pulau Pinang.
14 Oktober 2014 - 10 rumah kediaman dan sebuah sekolah di Pendang rosak dipukul puting beliung.
31 Oktober 2014 - 72 rumah dan satu klinik desa sekitar lima kawasan di Alor Setar rosak dilanda puting beliung.
2 November 2014 - 13 rumah rosak dilanda angin berpusar seakan-akan puting beliung di Taman Wira Mergong di Alor Setar - Suzalina Halid/ Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.