Seorang pelajar tingkatan tiga dicederakan dan dibogel penduduk kampung kerana dikatakan cuba mencuri motosikal |
Pelajar ini kemudiannya diserahkan kepada polis di Masjid Pauh Lima, Binjai |
Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan penduduk kampung |
KOTA BHARU - Padah mencuri motosikal, seorang pelajar tingkatan tiga dicederakan dan dibogel penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis di Masjid Pauh Lima, Binjai, di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, pelajar terbabit dikatakan cuba melarikan sebuah motosikal milik kariah masjid itu berusia 61 tahun yang dikatakan solat Isyak.
"Dia cuba mencuri motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam tetapi tidak berjaya dan ditahan orang ramai yang baru selesai solat sebelum dipukul dan dibogelkan.
"Akibatnya, remaja itu cedera di bahagian atas kepala dan lebam di belakang badan, tangan, bahu selain kaki.
"Dia menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan kini ditahan reman," katanya di sini, tadi.
Lai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A/ 511 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad menyelar tindakan kariah Masjid Pauh Lima, Binjai, yang bertindak membogelkan seorang pelajar kerana mencuri.
"Kita tak boleh ambil tindakan sendiri yang menyimpang dari undang-undang negara dan hukuman tidak boleh diambil mengikut pandangan kita semata-mata.
"Islam sendiri menegah kita menelanjangkan keaiban seseorang walaupun orang itu melakukan kesalahan.
"Jadi tindakan diambil itu sangat tidak sesuai dan jauh daripada konsep Islam yang syumul," katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.
Muhamad Shukri berkata, seseorang dianggap berdosa jika mengenakan hukuman dengan cara salah.
"Sebagai umat yang patuh, kita berpegang kepada akhlak Islam dan ini perlu sentiasa dipupuk dalam diri termasuk dalam setiap tindakan yang kita ambil.
"Orang mencuri, dia memang salah, tapi kita yang menahannya tidak boleh juga melakukan kesalahan. Telanjangkan dia, itu sudah dikira bersalah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri. - myMetro
Berita Terkini
BACHOK - Ibu kepada remaja lelaki yang dibogelkan setelah didakwa cuba mencuri sebuah motosikal di Masjid Pauh Lima, kecewa dengan tindakan orang ramai terhadap anaknya.
Menurut ibu yang berusia 38 tahun itu, walaupun anaknya didapati bersalah, orang ramai tidak mempunyai hak untuk memperlakukan sebegitu kepada anaknya.
"Mereka boleh pukul, saya akan terima hukuman itu tetapi perbuatan bogelkan anak saya memalukan kami sekeluarga,” kata si ibu.
"Sakit hati seorang ibu melihat anaknya dalam keadaan sebegitu. Walaupun dia bersalah, saya percaya masih ada banyak lagi cara untuk memberi pengajaran."
Beliau juga menyatakan perbuataan ini bertentangan dengan ajaran Islam.
"Perkara ini berlaku di masjid, sepatutnya orang ramai harus melarang kejadian sebegini berlaku.
Dilaporkan, ibu remaja tersebut menyeru orang ramai agar berhenti menyebarkan gambar anakya di laman sosial kerana perkara ini amat memalukan keluarganya. - MyLaunchpad News 07/11/2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.