Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 29 Mei 2013

Hari Ibu Bertukar Hari Pilu

Keadaan kereta Proton Saga Flx dan van yang remuk dalam kemalangan tersebut. Foto: Sinar Harian

Seorang ahli keluarga mangsa yang tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat Sok Yin. Foto: Sinar Harian

Sam Sok Yin, 27 maut. Foto: Sinar Harian

SEREMBAN – Kegembiraan empat beranak yang dalam perjalanan makan malam bagi meraikan ibu mereka sempena sambutan hari ibu bertukar tragedi apabila kereta Proton Saga Flx yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas di Jalan Sungai Ujong- Taman Mantau di sini, kelmarin. 
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, kereta dinaiki keluarga terbabit dirempuh oleh sebuah van jenis Urvan dari arah bertentangan yang tiba-tiba hilang kawalan. 
Insiden itu mengakibatkan pemandunya, Sam Sok Yin, 27, maut manakala tiga lagi penumpang termasuk ibu mereka cedera parah. 
Jurucakap polis berkata, hasil siasatan mendapati kereta Proton Saga Flx berkenaan dalam perjalanan dari Gadong Jaya untuk ke sebuah restoran di Seremban. 
“Namun sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah van dari bertentangan tiba-tiba hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang kemudiannya merempuh bahagian hadapan kereta Proton Saga Flx berkenaan. 
“Rempuhan kuat itu mengakibatkan semua penumpang kereta Proton Saga Flx itu tersepit sekali gus menyebabkan pemandunya maut di tempat kejadian manakala penumpang lain cedera parah,” katanya. 
Menurutnya, pemandu van berkenaan juga mengalami cedera parah dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJS) untuk tindakan lanjut. 
Jurucakap polis berkata, pemandu Proton Iswara lelaki berusia 40-an bagaimanapun tidak mengalami kecederaan melainkan kenderaannya rosak di bahagian belakang dan tepi kereta. 
“Difahamkan van berkenaan dipandu oleh lelaki berusia 53 tahun yang dalam perjalanan dari Seremban 2 ke Mantau,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Kamarul Zaini Harith berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.21 malam. 
“Sebuah jentera berserta 10 pegawai dan anggota dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat mangsa. 
“Sebaik sahaja sampai ke lokasi, kesemua penumpang di dalam Proton Saga Flx dan van tersepit dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit mengeluarkan kesemua mangsa. 
“Namun, pemandu Proton Saga Flx yang nyawa-nyawa ikan disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan ketika operasi mengeluarkan mangsa dilakukan,” katanya. 
Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan. 
“Mangsa yang cedera dihantar ke HTJS untuk mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan stabil. 
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.