Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 11 Disember 2013

Anak Lelaki Mantan KPN Meninggal Dunia

Anak lelaki bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd. Hanif Omar meninggal dunia akibat cedera teruk di kepala selepas terjatuh

Mohd. Hanif sugul ketika mengiringi jenazah anaknya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor semalam. Foto: Kosmo!


SHAH ALAM - “Ketika berjumpa arwah Sabtu lalu, dia kelihatan ramah seperti biasa, langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan akan pergi meninggalkan kami sekeluarga. 
“Namun pagi tadi (semalam) saya terkejut apabila dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia selepas terjatuh sebaik selesai menghantar rakannya pulang ke rumah.” Demikian luahan ibu saudara Ahmad Jamal Omar Tun Mohd Hanif yang mahu dikenali sebagai Syida, 67, mengenai kematian anak saudaranya yang juga anak lelaki bongsu kepada mantan Ketua Polis Negara Tun Mohd Hanif Omar. 
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, Allahyarham Ahmad Jamal, 40, dikatakan baru selesai menghantar seorang rakannya di Seksyen 11, di sini, selepas mereka selesai berurusan di Damansara. 
Namun sebaik kawannya keluar dari kereta untuk masuk ke dalam rumah, arwah tiba-tiba keluar dari kereta sebelum rebah di tepi kereta Honda Accordnya. 
Terkejut dengan kejadian itu, rakannya segera mendapatkan arwah sebelum menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan. 
Isteri arwah, Melati Yahaya, 36, sewaktu ditemui berkata, sebelum ini arwah suaminya ada menjalani pembedahan di bahagian kepala lebih setahun lalu. 
“Arwah memang ada penyakit di bahagian kepala tetapi sudah menjalani pembedahan lebih setahun lalu dan kini dalam proses pemulihan. 
“Kami dikurniakan dua anak masing-masing seorang perempuan berusia tujuh tahun dan seorang lelaki berusia enam tahun. 
Saya terima berita kehilangan ini dengan reda,” katanya ketika ditemui di rumah Mohd Hanif, di Seksyen 13, di sini, semalam. 
Turut hadir mencemar duli menziarahi arwah ialah Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Zaman Khan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan. 
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah bapanya di Seksyen 13 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, selepas Zohor petang semalam. 
Difahamkan, punca kematian arwah disebabkan kecederaan pada otak dipercayai kesan daripada pembedahan yang dijalani arwah sebelum ini dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas Zuhur. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, setakat ini kematian arwah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.