Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 10 Februari 2014

Ditangkap Ketika Sedang Gali Kubur

Polis menahan enam lelaki kerana dipercayai hendak mencuri tulang bagi tujuan perubatan, kelmarin (gambar hiasan)

Beginilah keadaan sebuah kubur Orang Asli yang digali di Kampung Deraman, Batu 3, Kuala Rompin. Foto: BERNAMA


ROMPIN - Polis menahan enam lelaki kerana menceroboh Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Deraman, Batu 3 di sini, dipercayai untuk mencuri tulang bagi tujuan perubatan, kelmarin. 
Suspek yang berusia 14 hingga 43 tahun, ditahan orang kampung dan polis di tanah perkuburan itu, kira-kira jam 9 malam. 
Kejadian itu disedari seorang penduduk kampung selepas melihat kelibat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di tanah perkuburan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya. 
Tan Din, 39, berkata dia curiga apabila melihat cahaya lampu suluh dalam kawasan perkuburan, selain sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran. 
“Saya bertanya seorang lelaki yang sedang berada di tepi kereta berkenaan dan dia memberitahu kenderaannya kekeringan air. 
“Saya kemudian menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rosman Sulong dan menceritakan kepada beliau perkara ini,” katanya. 
Selepas itu, Tan bersama Rosman dan beberapa penduduk memasuki tanah perkuburan berkenaan dan mendapati tiga lelaki sedang menggali kubur, manakala tiga berada berhampiran kereta. 
“Penduduk berjaya menahan tiga lelaki yang berdiri berhampiran kereta. Bagaimanapun, tiga lagi lelaki yang menggali kubur meloloskan diri,” katanya. 
Selepas itu, katanya penduduk kampung menghubungi polis dan memaklumkan kejadian berkenaan. 
Sepasukan anggota polis yang tiba tidak lama kemudian berjaya mengesan tiga lagi lelaki yang meloloskan diri dan menahan mereka. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Jahaya, mengesahkan pihaknya menahan enam lelaki terbabit. 
“Siasatan awal mendapati suspek berniat untuk mencuri tulang di tanah perkuburan itu untuk perubatan. Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan. - Berita Harian


Gambar hiasan

ROMPIN – “Masyarakat Orang Asli sendiri tidak pernah mengamalkan kaedah perubatan dengan menggunakan tulang orang mati,” begitulah reaksi Tok Batin Kampung Deraman, Atan Abdul Rahman, 54, tentang kejadian enam lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 hingga 43 tahun yang ditahan polis kerana disyaki cuba mencuri tulang mayat di kawasan Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Deraman, Batu 3, di sini, malam Sabtu lalu. 
Akibat kejadian tersebut, ia menimbulkan banyak persoalan dalam masyarakat berkenaan memandangkan peristiwa itu tidak pernah berlaku sebelum ini. 
Menurut Atan, semasa ditahan semua suspek memberitahu mereka tiada pilihan dan terpaksa mencuri tulang mayat untuk tujuan perubatan namun enggan menjelaskan kaedah sebenar perubatan yang dimaksudkan itu. 
“Bagi masyarakat Orang Asli memang tidak pernah mengamalkan kaedah perubatan dengan menggunakan tulang orang mati seperti itu, namun menurut rakan-rakan dalam kalangan masyarakat Melayu mereka mengesyaki suspek kemungkinan berniat mengadakan upacara pemujaan dengan mendapatkan tulang si mati mengikut kepercayaan dan amalan tertentu yang diarahkan bomoh. 
“Kubur berkenaan milik seorang penduduk yang dikenali sebagai Jirat yang meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu malah selama ini penduduk tidak pernah digemparkan dengan insiden pelik seperti ini,” katanya. 
Dalam pada itu, Atan berkata, tahap pengawasan di kawasan perkuburan yang terletak di tepi jalan utama Rompin-Kuantan itu akan ditingkatkan supaya kejadian sama tidak berulang lagi. - Sinar Harian 11.02.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.