|
Imah 52, berkata, dia mula mengalami gangguan sihir sejak April lalu |
|
Seorang wanita mangsa sihir sedang menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Nilai, Negeri Sembilan. Sumber |
SABAK BERNAM - “Aku mahukan suami kau...aku akan hancurkan rumah tangga kau, aku sayang suami kau, aku tidak mahu lihat kau bahagia,” itulah kata-kata yang sering dilaungkan seorang wanita apabila dia meracau dipercayai angkara sihir individu yang mahu merampas suaminya.
Ketika ditemui di rumahnya di sebuah taman perumahan di Sungai Besar, dekat sini, wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Imah 52, berkata, dia mula mengalami gangguan berkenaan sejak April lalu sekali gus menyebabkan hubungan dengan suami yang berusia 55 tahun juga semakin renggang.
“Hingga kini, dalam seminggu, sekurang-kurangnya dua kali saya akan diganggu dan apabila diganggu, saya tidak sedarkan diri serta meracau sambil menjerit seperti orang tidak siuman dan sebaik tersedar hanya lihat anak serta jiran berada di sekeliling saya dan menenangkan saya,” katanya.
Katanya, suaminya yang berkhidmat sebagai penasihat di sebuah pusat pemulihan dadah di Kuala Lumpur juga mula menunjukkan perubahan sejak September tahun lalu apabila jarang pulang ke rumah dan sering gagal untuk dihubungi.
“Sudah 10 tahun kami berkahwin.
Selama ini setiap minggu dia akan pulang ke Sungai Besar bagi menjenguk saya dan keluarga, tetapi sejak kebelakangan ini dia tidak berbuat demikian,” katanya.
Imah berkata, dia tidak dikurniakan cahaya mata dengan suami namun mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu.
“Saya menetap di rumah anak, sebelum ini setiap minggu suami pulang menjenguk kami malah dia terlalu rapat dengan tiga cucu berusia antara tiga dan lapan tahun,” katanya.
Menurutnya, dia juga pernah cuba menghubungi suaminya bagi berbincang berkaitan masalah yang dihadapi, tetapi suaminya seolah-olah tidak mahu menghiraukannya dan dia yakin suaminya turut terkena amalan ilmu sihir pihak tertentu.
“Apabila mahu berbincang dia cuba berdalih dan pernah satu hari dia mengatakan saya sudah tua dan tidak lagi mahu mempunyai sebarang hubungan dengan saya sedangkan dia juga berusia 55 tahun,” katanya.
Dia yang berniaga kecil-kecilan dengan menjual barangan kosmetik dan kesihatan berkata, perubahan suaminya semakin ketara apabila suaminyamula menukar penampilan dengan berpakaian seperti orang muda.
Menurut Imah, dia pernah mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan Islam dan diberitahu dia memang terkena ilmu hitam.
“Setiap kali diganggu saya menjerit dan kadang kala berasa seolah-olah dicekik seumpama mahu dibunuh dan mengalami lebam pada anngota badan tanpa diketahui punca bagaimana kesan lebam itu terjadi,” katanya.
|
Muhammad Suhaili Sajiman |
Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Agama Islam Daerah Sabak Bernam Muhammad Suhaili Sajiman berkata, amalan ilmu hitam adalah perbuatan individu yang tidak mempedulikan antara dosa dan pahala sehingga sanggup melakukan perkara dilaknat Allah demi kepentingan hidup di dunia.
“Bomoh yang mengamalkan sihir melakukan perbuatan syirik dan hendaklah bertaubat kerana perbuatan itu jelas melanggar akidah,” katanya.
Menurutnya, kejadian yang berlaku kepada Imah dipercayai akibat terkena amalan ilmu hitam orang yang menginginkan suaminya memang kerap berlaku dalam kalangan orang Islam.
“Individu yang mengamalkan ilmu hitam adalah orang yang terlalu cetek ilmu agama dan tiada pegangan kukuh sehingga sanggup berbuat demikian untuk mencapai apa yang dihajati,” katanya.
Muhammad Suhaili berkata, jika mangsa yang terkena amalan ilmu hitam hendak menjalani rawatan bagi membuang sihir pada dirinya, dia perlu menilai dan mendapat penjelasan berkaitan kaedah rawatan yang diambil.
“Mangsa harus memastikan rawatan bagi mengubati sihir terkena pada dirinya adalah rawatan Islam dengan memastikan tiada unsur yang dicurigai ketika proses perubatan seperti penggunaan asap, keris dan limau. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.