|
Seorang mekanik kereta mencipta peralatan berpotensi untuk menyelamat nyawa bayi apabila berlaku kerumitan ketika bersalin |
|
Alat ini menggunakan sarung diperbuat daripada polyethylene yang boleh mencengkam kepala bayi untuk menariknya keluar |
|
Idea mencipta alat ini timbul selepas menonton video YouTube mengenai seorang lelaki menarik gabus penutup botol |
|
Peralatan ini murah dan boleh digunakan oleh bidan dengan latihan yang minimum |
BUENOS AIRES - Seorang mekanik kereta mencipta peralatan berpotensi untuk menyelamat nyawa bayi apabila berlaku kerumitan ketika bersalin.
Jorge Odón, 59, menghasilkan peralatan itu yang lebih selamat daripada forsep.
Ciptaan itu yang dikenali sebagai Alat Odón menggunakan sarung diperbuat daripada polyethylene yang boleh mencengkam kepala bayi untuk menariknya keluar dari saluran peranakan.
Odón yang tidak mempunyai latar belakang perubatan berkata, idea mencipta alat berkenaan timbul selepas menonton video YouTube mengenai seorang lelaki menarik gabus penutup botol dengan hanya mengguna plastik.
Katanya, selepas menontonnya, dia mendapat ilham prinsip itu boleh diguna pakai untuk membantu wanita yang berdepan dengan masalah ketika hendak bersalin.
Menurutnya, idea itu datang ketika hendak tidur.
“Saya kejut isteri saya dan memberitahunya mengenai ilham itu.
“Tetapi isteri saya suruh saya sambung tidur,” katanya.
Meskipun tidak mendapat sokongan daripada isterinya, Odón memulakan usaha menterjemahkan ilhamnya kepada realiti dan ia kini menjadi kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Alat itu diuji oleh pihak berkuasa Argentina dan kawasan pedalaman Afrika Selatan untuk memastikan sama ada ia boleh digunakan secara selamat oleh bidan tidak terlatih dan kurang mahir.
Jika ia diterima dan diguna secara meluas, Odón berkata, ia mungkin inovasi pertama selepas penciptaan forsep beberapa abad lalu untuk membantu wanita bersalin.
Alat itu membolehkan bidan atau doktor menempatkan ‘loceng’ plastik pada kepala bayi sebelum melurutkan ‘lengan’ polyethylene di sepanjang saluran peranakan dan sekitar kepala bayi.
Kemudian, sejumlah angin dipam ke dalam lengan itu untuk membolehkannya mencengkam kepala bayi.
Plastik berkenaan kemudian ditarik keluar dan bidan boleh menggunakan lengan itu untuk menarik bayi berkenaan. - Agensi/myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.