Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 11 Julai 2013

Telefon Pintar Meletup Dalam Poket Seluar

Fanny Schlatter, 18, dari Switzerland melecur apabila telefon Samsung Galaxy S3 meletup dalam poketnya

Telefon Samsung S3 meletup apabila baterinya meletup. Samsung berjanji akan menyiasat kejadian ini

Akhbar berbahasa Perancis Le Matin melaporkan Schlatter sedang bertugas sebagai pelatih lukisan semasa kejadian berlaku

Letupan telefon Samsung menyebabkan seluar Schlatter terbakar dan api merebak ke bahunya

Schlatter mendakwa dia telah mengalami kecederaan di paha kanannya dan akan membuat aduan jenayah terhadap Samsung


Seorang remaja Swiss melecur, apabila telefon pintar beliau meletup dalam poket. 
Fanny Schlatter, 18, cedera apabila Samsung Galaxy S3 meletup di dalam poket seluarnya. 
Dia mendakwa telah mengalami kecederaan di paha kanannya dan berkata akan membuat aduan jenayah terhadap Samsung. 
Akhbar berbahasa Perancis Le Matin melaporkan bahawa Schlatter yang sedang bertugas sebagai pelatih lukisan semasa dia mendengar letupan yang besar. 
Beliau memberitahu akhbar itu, "Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan - seperti mercun. 
"Kemudian saya perasan bau kimia pelik dan seluar kerja saya mula terbakar." 
Pada ketika itu ketua Schlatter, Stephane Kubler, datang untuk membantu, tetapi api telah sampai ke bahunya. 
Dia bergegas ke bilik air yang terdekat dan rakan-rakannya menyimbah air sebelum memandu ke hospital. 
Schlatter menjelaskan, "Nasib baik rambut saya telah diikat dan baju panas saya tidak terbakar."
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa beliau telah mengalami kebakaran yang teruk dan mengeluarkan bau seperti 'babi dibakar'. 
Beliau kini merancang untuk memfailkan aduan undang-undang terhadap pembuat telefon Korea itu. 
Dalam satu kenyataan, jurucakap Samsung memberitahu MailOnline, "Apabila kami mendapat produk berkenaan, kami akan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh untuk menentukan punca sebenar kejadian ini. 
"Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa kami sentiasa menjaga kawalan kualiti dan standard keselamatan yang ketat untuk memastikan pengalaman pengguna yang menyenangkan dan selamat."

Suami Tak Sahur Mengamuk


Kampung Baru (gambar hiasan). Foto: The Star

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian. Foto: ABN News


KUALA LUMPUR - Kepalanya dihentak ke dinding selain ditampar, ditumbuk dan disepak lebih 20 minit. Itu ‘harga’ yang terpaksa dibayar seorang wanita berusia awal 20-an kerana dikatakan tidak mengejutkan suaminya bangun bersahur, semalam. 
Dalam kejadian jam 8 pagi di rumah mereka di Kampung Baru, di sini, isteri yang cedera di kepala dan badan akibat tindakan ganas suaminya membuat laporan di balai polis berhampiran rumahnya. 
Sumber polis berkata, sebelum kejadian isteri muda yang belum mempunyai anak itu terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi pinggan pecah di dapur rumahnya. 
“Dia bergegas ke dapur dan melihat suaminya sedang menghempaskan pinggan. Apabila ditanya mengapa, lelaki itu tidak memberi jawapan sebaliknya memaki hamun mangsa. 
“Selepas puas memaki hamun baru suaminya yang berusia 20-an itu menjelaskan dia berang kerana isterinya tidak mengejutkannya bangun bersahur,” katanya. Menurutnya, mangsa memberitahu dia sudah mengejutkan suaminya jam 5 pagi namun tidak diendahkan menyebabkan dia bersahur seorang diri. 
Sumber itu berkata, mangsa kemudian cuba menenangkan suaminya itu dengan meminta maaf di atas kesilapannya, namun dia dibelasah. 
“Mungkin disebabkan tidak puas hati dengan penjelasan isterinya, suspek hilang pertimbangan lalu menumbuk, menampar dan menyepak isterinya itu. 
“Lebih kejam, lelaki terbabit turut menghentak kepala isterinya ke dinding rumah dan hanya berhenti memukul mangsa selepas wanita itu hampir pengsan,” katanya. 
Menurutnya, suspek kemudian dengan selamba meninggalkan rumah tanpa menghiraukan isterinya yang kesakitan manakala mangsa segera menghubungi rakannya meminta bantuan sebaik saja ditinggalkan. 
“Mangsa yang dibantu rakannya itu membuat laporan di balai polis berhampiran rumahnya sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan. - myMetro

Penduduk UAE Puasa 15 Jam Sehari Tahun Ini

Abu Dhabi yang pesat membangun. Foto: transpire

Penduduk UAE menjalani ibadah puasa paling lama dalam tempoh 33 tahun iaitu sekurang-kurangnya 15 jam. Foto: transpire

Abu Dhabi terletak dalam negara Emiriah Arab Bersatu (UAE). Imej: Ecofriend

Keluarga Al Nahyan memerintah UAE sejak tahun 1793. Foto: transpire

Suhu pada Julai tahun ini dicatatkan paling tinggi sehingga mencecah 50 darjah Celsius. Foto: transpire


ABU DHABI - Penduduk Emiriah Arab Bersatu (UAE) perlu menahan lapar dan dahaga paling lama dalam tempoh 33 tahun iaitu sekurang-kurangnya 15 jam sehari sepanjang Ramadan tahun ini. 
Berikutan itu, kebanyakan ibu bapa mahu memastikan generasi muda mampu berhadapan dengan suasana berkenaan ketika suhu pada Julai dicatatkan paling tinggi sehingga mencecah 50 darjah Celsius. Suhu paling panas pernah dicatatkan di negara itu adalah 52.1 darjah Celsius pada Julai 2002. 
Pun begitu, meskipun bimbang dengan keadaan cuaca panas serta tempoh berpuasa yang panjang, kebanyakan penduduk tetap gembira menyambut bulan suci ini kerana menyifatkan ia memberikan keseronokan terutama ketika berkumpul untuk berbuka puasa, waktu kerja lebih pendek selain dapat bersama berkumpul bersama keluarga dan melakukan amal ibadat. 
Bagi suri rumah kepada empat anak, Fatima Mohammed, beliau akan cuba untuk melakukan rutin hariannya bagi mengatasi sebarang masalah ketika berpuasa. 
Perkara penting adalah untuk tidak mengubah jadual anda. Tidak perlu berjaga lewat. Lakukannya seperti waktu biasa, katanya yang mengambil makanan yang kaya dengan zat potasium dan kekacang ketika bersahur untuk memastikan mampu bertahan sepanjang hari. 
Bagi suri rumah, Shamsa A, berpuasa pada zaman sekarang lebih mudah walaupun mereka terpaksa menahan lapar dalam tempoh yang lama serta keadaan suhu panas melampau. 
Sekarang semua rumah memiliki pendingin hawa dan kita tidak lagi merasa panas ketika di rumah. 
Saya takut dahaga, kata Dalia Ahmed, 25, yang mempunyai cara tersendiri untuk memastikan beliau benar-benar mampu melaksanakan ibadat di bulan Ramadan ini. 
Sebab itu, saya tetap bangun bersahur walaupun ada sesetengah orang akan terus makan pada waktu malam sebelum mereka tidur. 
Saya dapati bangun untuk sahur adalah cara terbaik yang boleh dilakukan dan minum sebanyak mungkin air bagi menghadapi cuaca panas. - AGENSI/Berita Harian

Mangsa Mercun Pertama Ramadhan Tahun ini

Mangsa mercun pertama Mohd Aiman Amzar Jamsari, 13, melecur pada bahagian muka.- Foto Bernama

ALOR SETAR - Dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Baling menjadi mangsa pertama mercun buatan sendiri di Kedah dalam satu kejadian kira-kira pukul 10.30 malam semalam. 
Mohd Aiman Amzar Jamsari, 13, cedera di muka dan tiga jari tangan kanan manakala rakannya Mohd Hanif Mohd Nawi, 14, pula cedera di muka. 
Kedua-dua pelajar itu dipercayai membuat mercun dengan memasukkan belerang ke dalam botol yang tiba-tiba meletup semasa mereka bermain bersama beberapa rakan lagi di Taman Bersatu, Baling. 
Kira-kira 80 peratus muka serta tangan Mohd Aiman Amzar melecur dan keadaannya stabil setelah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar manakala Mohd Hanif dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. 
Menurut bapa Mohd Aiman Amzar, Jamsari Ismail, 37, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Tarawih di surau Taman Bersatu, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian. 
"Kami semua pergi ke surau. Mungkin pada masa itu anak saya dan beberapa rakannya main mercun yang dibuat sendiri," kata Jamsari kepada pemberita semasa ditemui di HSB hari ini. 
Menurutnya dia mendapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.40 malam setelah dimaklumkan oleh anak perempuannya yang berusia lapan tahun. 
"Saya terus balik ke rumah dan melihat muka dan tangan Mohd Aiman Amzar melecur tetapi tidak berdarah lalu bawa dia ke Hospital Baling kira-kira pukul 11 malam dan kemudiannya hantar ke HSB untuk dirawat di Unit Rawatan Kebakaran," kata Jamsari. - Bernama/Sinar Harian

Ismail Zoawe menunjukkan meriam buatan sendiri yang digunakan mangsa di Baling semalam.

ALOR SETAR - Keseronokan sekumpulan remaja lelaki bermain meriam buatan sendiri di Taman Bersatu, Baling dekat sini malam kelmarin membawa padah apabila dua daripada mereka melecur teruk di muka dan tangan selepas meriam tersebut tiba-tiba meletup.
Dua mangsa terbabit ialah Mohd. Aiman Amzar Jamsari, 13, dan rakannya, Mohamad Hanif Mohd. Nawi, 14.
Mohd. Aiman Amzar yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini melecur di muka dan tiga jari kanan, manakala Mohamad Hanif yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dekat sini melecur di muka. - Kosmo


 Meriam buluh. Foto: HJ.HYDZELAN

ALOR SETAR - Tindakan berani sekumpulan remaja bermain mercun buatan sendiri mengundang padah apabila dua daripada mereka melecur di muka dan jari kanan selepas batang paip besi yang diisi belerang meletup sebaik dicucuh api, kelmarin. 
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Aiman Amzar Jamsari, 13, dan Mohamad Hanif Mohd Nawi, 14, dikatakan bermain dengan 15 rakannya di Padang Permainan Taman Bersatu, Baling, tiba-tiba menjerit kesakitan selepas mercun itu terkena muka mereka. 
Difahamkan, mangsa terbabit adalah kes pertama yang terkena mercun di negara ini ketika umat Islam baru menyambut hari pertama bulan Ramadan, semalam. 
Muhammad Aiman melecur di muka dan jari kanan dimasukkan ke ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini manakala Mohamad Hanif melecur di muka dan masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani. 
Difahamkan, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya di taman perumahan itu yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian seorang diri, tetapi ketika kejadian ibu bapa serta adiknya tiada di rumah kerana menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran. 
Muhammad Aiman adalah pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putra, Baling itu dikatakan tidak pernah bermain mercun sebelum ini kerana bapanya pernah melarangnya berbuat demikian. 
Bapa mangsa, Jamsari Ismail, 37, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas anak bongsunya, Nur Airisya Jamsari, 8, memberitahunya ketika dia masih di surau dan memaklumkan abangnya terkena mercun. 
Katanya, dia dan isteri, Anisah Abdullah, 36, bergegas pulang ke rumah berjalan kaki untuk melihat keadaan anak sulung mereka kerana bimbang kecederaan yang dialaminya. 
“Sebaik tiba di rumah, saya dapati muka Muhammad Aiman menggelembung akibat melecur termasuk melecur di ibu jari kanan akibat terkena mercun. 
“Saya terus membawanya ke Hospital Baling (HB) kira-kira jam 11 malam, tetapi doktor memaklumkan anak saya perlu dirujuk ke HSB memandangkan kecederaan yang dialaminya serius dan Muhammad Aiman kemudian dibawa ke sini menaiki ambulans yang tiba awal pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 
Jamsari yang bekerja sebagai juruukur di Pulau Pinang berkata, sebelum ini dia sudah menasihati anaknya supaya tidak bermain mercun kerana bimbang perkara tidak diingini. 
Dia bagaimanapun tidak menyangka nasihat itu tidak diendahkan, malah sebelum kejadian mereka sekeluarga ke surau untuk menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, tetapi Muhammad Aiman hanya menunaikan empat rakaat saja. 
“Saya tak sedar bila dia keluar bermain, malah ketika kami sedang menunaikan solat, tidak dengar pula bunyi mercun. 
“Saya langsung tak tengok mercun yang mereka main dan berkemungkinan besar mereka menggunakan batang paip besi dan memasukkan belerang sebelum ia meletup,” katanya. - myMetro

Rabu, 10 Julai 2013

Toronto Dilanda Banjir Kilat

Kira-kira 1,000 penumpang tren komuter GO terkandas di landasan semasa Toronto dilanda banir kilat

Petugas kecemasan membawa bot penyelamat ke pintu tren komuter untuk memindahkan penumpang

Penumpang ini terpaksa berdiri dalam air apabila air banjir memasuki koc

Polis membantu mengeluarkan penumpang seorang demi seorang

Kereta yang tidak sempat diselamatkan kerana banjir kilat

Tren yang terkandas di kawasan banjir kilat

Penumpang terkandas di dalam tren sehingga hari malam

Lagi para penumpang yang diselamatkan dari tren

Air banjir memasuki tren hingga ke paras lutut

Keadaan lebih memeritkan para penumpang apabila bekelan elektrik terputus

Para penumpang terpaksa naik ke dek atas apabila paras air semakin meningkat di bawah

Tren terkandas di lautan banjir kilat


TORONTO - Ribut petir menyebabkan Toronto dilanda banjir kilat hingga memutuskan bekalan elektrik kepada sekurang-kurangnya 300,000 penduduk di bandar raya terbesar Kanada itu. 
Ia juga menjejaskan perkhidmatan kereta api bawah tanah dan mengakibatkan 1,400 penumpang terkandas selama beberapa jam berikutan stesen komuter dipenuhi air. 
Pihak berkuasa alam sekitar Kanada berkata, sebahagian kawasan bandar raya itu dibasahi hujan lebih 10 sentimeter berikutan ribut petir semalam, melebihi hujan sehari yang pernah dicatatkan sebelum ini sebanyak 3.6 sentimeter pada 2008. 
Pasukan Bomba dan polis Toronto menggunakan bot getah untuk menyelamatkan penumpang 10 gerabak keretapi dua tingkat yang ditenggelami air sehingga mencecah bahagian bawah tingkap. 
Air yang masuk ke dalam menyebabkan penumpang di tingkat bawah gerabak berpindah ke bahagian gerabak atas.
Seorang jurucakap Metrolinx berkata, kuasa elektrik ditutup manakala tingkap dibuka untuk memudahkan pengudaraan. Kereta api terbabit membawa 1,400 penumpang ketika waktu kemuncak petang semalam. 
“Air naik di kedua-dua belah bahagian kereta api. Kami terperangkap,” kata seorang penumpang, Jonah Cait di Twitter. 
Seorang penumpang lain memberitahu rangkaian televisyen CP24 bahawa dia dapat melihat orang ramai bergayut pada pokok selepas kereta mereka terkandas di kawasan lebuh raya yang banjir berdekatan landasan. 
Anggota polis dan bomba membawa semua penumpang ke tempat tinggi. Ia mengambil masa sehingga 12.30 malam untuk menyelesaikan operasi menyelamat, selama kira-kira tujuh jam. 
Penumpang turut dipindahkan ke stesen kereta api bawah tanah berhampiran untuk meneruskan perjalanan pulang ke rumah. 
Pegawai bantuan kecemasan berkata, lima atau enam orang dirawat di tempat kejadian berikutan kecederaan ringan tetapi tidak memerlukan mereka menerima rawatan lanjut di hospital. 
Semua perkhidmatan kereta api bawah tanah Toronto ditangguhkan sementara berikutan masalah bekalan kuasa dan isyarat. 
Beberapa stesen lain turut dinaiki air. Tidak dapat dipastikan jika sistem perkhidmatan terbabit dapat menyambung operasi penuh pada awal pagi. - AP/Berita Harian