Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 11 Julai 2013

Mangsa Mercun Pertama Ramadhan Tahun ini

Mangsa mercun pertama Mohd Aiman Amzar Jamsari, 13, melecur pada bahagian muka.- Foto Bernama

ALOR SETAR - Dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Baling menjadi mangsa pertama mercun buatan sendiri di Kedah dalam satu kejadian kira-kira pukul 10.30 malam semalam. 
Mohd Aiman Amzar Jamsari, 13, cedera di muka dan tiga jari tangan kanan manakala rakannya Mohd Hanif Mohd Nawi, 14, pula cedera di muka. 
Kedua-dua pelajar itu dipercayai membuat mercun dengan memasukkan belerang ke dalam botol yang tiba-tiba meletup semasa mereka bermain bersama beberapa rakan lagi di Taman Bersatu, Baling. 
Kira-kira 80 peratus muka serta tangan Mohd Aiman Amzar melecur dan keadaannya stabil setelah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar manakala Mohd Hanif dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. 
Menurut bapa Mohd Aiman Amzar, Jamsari Ismail, 37, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Tarawih di surau Taman Bersatu, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian. 
"Kami semua pergi ke surau. Mungkin pada masa itu anak saya dan beberapa rakannya main mercun yang dibuat sendiri," kata Jamsari kepada pemberita semasa ditemui di HSB hari ini. 
Menurutnya dia mendapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.40 malam setelah dimaklumkan oleh anak perempuannya yang berusia lapan tahun. 
"Saya terus balik ke rumah dan melihat muka dan tangan Mohd Aiman Amzar melecur tetapi tidak berdarah lalu bawa dia ke Hospital Baling kira-kira pukul 11 malam dan kemudiannya hantar ke HSB untuk dirawat di Unit Rawatan Kebakaran," kata Jamsari. - Bernama/Sinar Harian

Ismail Zoawe menunjukkan meriam buatan sendiri yang digunakan mangsa di Baling semalam.

ALOR SETAR - Keseronokan sekumpulan remaja lelaki bermain meriam buatan sendiri di Taman Bersatu, Baling dekat sini malam kelmarin membawa padah apabila dua daripada mereka melecur teruk di muka dan tangan selepas meriam tersebut tiba-tiba meletup.
Dua mangsa terbabit ialah Mohd. Aiman Amzar Jamsari, 13, dan rakannya, Mohamad Hanif Mohd. Nawi, 14.
Mohd. Aiman Amzar yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini melecur di muka dan tiga jari kanan, manakala Mohamad Hanif yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dekat sini melecur di muka. - Kosmo


 Meriam buluh. Foto: HJ.HYDZELAN

ALOR SETAR - Tindakan berani sekumpulan remaja bermain mercun buatan sendiri mengundang padah apabila dua daripada mereka melecur di muka dan jari kanan selepas batang paip besi yang diisi belerang meletup sebaik dicucuh api, kelmarin. 
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Aiman Amzar Jamsari, 13, dan Mohamad Hanif Mohd Nawi, 14, dikatakan bermain dengan 15 rakannya di Padang Permainan Taman Bersatu, Baling, tiba-tiba menjerit kesakitan selepas mercun itu terkena muka mereka. 
Difahamkan, mangsa terbabit adalah kes pertama yang terkena mercun di negara ini ketika umat Islam baru menyambut hari pertama bulan Ramadan, semalam. 
Muhammad Aiman melecur di muka dan jari kanan dimasukkan ke ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini manakala Mohamad Hanif melecur di muka dan masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani. 
Difahamkan, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya di taman perumahan itu yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian seorang diri, tetapi ketika kejadian ibu bapa serta adiknya tiada di rumah kerana menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran. 
Muhammad Aiman adalah pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putra, Baling itu dikatakan tidak pernah bermain mercun sebelum ini kerana bapanya pernah melarangnya berbuat demikian. 
Bapa mangsa, Jamsari Ismail, 37, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas anak bongsunya, Nur Airisya Jamsari, 8, memberitahunya ketika dia masih di surau dan memaklumkan abangnya terkena mercun. 
Katanya, dia dan isteri, Anisah Abdullah, 36, bergegas pulang ke rumah berjalan kaki untuk melihat keadaan anak sulung mereka kerana bimbang kecederaan yang dialaminya. 
“Sebaik tiba di rumah, saya dapati muka Muhammad Aiman menggelembung akibat melecur termasuk melecur di ibu jari kanan akibat terkena mercun. 
“Saya terus membawanya ke Hospital Baling (HB) kira-kira jam 11 malam, tetapi doktor memaklumkan anak saya perlu dirujuk ke HSB memandangkan kecederaan yang dialaminya serius dan Muhammad Aiman kemudian dibawa ke sini menaiki ambulans yang tiba awal pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 
Jamsari yang bekerja sebagai juruukur di Pulau Pinang berkata, sebelum ini dia sudah menasihati anaknya supaya tidak bermain mercun kerana bimbang perkara tidak diingini. 
Dia bagaimanapun tidak menyangka nasihat itu tidak diendahkan, malah sebelum kejadian mereka sekeluarga ke surau untuk menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, tetapi Muhammad Aiman hanya menunaikan empat rakaat saja. 
“Saya tak sedar bila dia keluar bermain, malah ketika kami sedang menunaikan solat, tidak dengar pula bunyi mercun. 
“Saya langsung tak tengok mercun yang mereka main dan berkemungkinan besar mereka menggunakan batang paip besi dan memasukkan belerang sebelum ia meletup,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.