Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 27 Ogos 2013

Tinggal Di Tandas Untuk Berjimat

 Di sebelah kiri dan kanan tv, tandas buang air kecil masih melekat di dinding

Zeng membuat pengubasuaian, memaku papan di atas satu daripada tandas untuk membuat katil

Isteri Zeng sedang memasak di luar 'kamar tidur'

Zeng berpuas hati dengan keadaan rumahnya sehingga menamakan anaknya ‘Devi’ yang bermakna memenuhi kepuasan seseorang

Wang Zhixia, isteri Zeng bersama Devi anak mereka di samping gambar perkahwinan pasangan itu

Keluarga ini berpuas hati dengan keadaan rumah mereka meski pun perlu mengepam tandas dengan kerap

Zeng diberikan ruang percuma di depan bangunan, tempat dia bekerja mengilat kasut
pelanggan dengan pendapatan kira-kira 2,000 yuan sebulan


SHENYANG - Berdepan dengan harga dan sewa rumah yang tinggi, sebuah keluarga menemui jalan aneh untuk mengatasi masalah kekurangan kediaman di sebuah daripada bandar raya terbesar China dengan mengubah suai tandas lelaki untuk dijadikan tempat tinggal. 
Ketika Zeng Lingjun berpindah ke Shenyang untuk mencari pekerjaan, lelaki berusia 33 tahun itu mengambil keputusan, daripada mencari rumah di bandar raya berkenaan yang dia yakin tidak mampu membeli atau membayar sewanya, adalah lebih baik dia menyewa tandas hotel yang tidak digunakan. 
Zeng yang bekerja sebagai tukang kasut berpindah ke tandas itu yang seluas 20 meter persegi pada 2006. Apabila berkahwin dengan Wang Zhixia pada 2010, isterinya juga berpindah ke situ. Begitu juga dengan anak mereka, Devi yang kini berusia dua tahun. 
Meskipun ganjil, dengan tandas buang air kecil masih melekat di dinding, Zeng menyifatkan rumahnya itu sebagai ‘kecil tetapi lengkap’ dengan berkata, mereka sudah biasa dengan bau hancing dan busuk. 
Dia begitu berpuas hati dengan keadaan rumahnya itu hingga menamakan anaknya ‘Devi’ yang bermakna memenuhi kepuasan seseorang. 
Sebaik berpindah ke tandas itu, Zeng membuat pengubasuaian, memaku papan di atas satu daripada tandas untuk membuat katil yang menghadap sebuah televisyen kecil. Televisyen berkenaan diletakkan di atas meja antara dua tempat buang air kecil. 
Dua ruang lagi dijadikan tempat almari baju. 
“Saya berpuas hati dengan apa yang saya ada sekarang. Hidup saya kini lebih baik jika hendak dibandingkan sebelum ini,” katanya dalam satu wawancara dengan Englishnews.cn. 
Di luar ‘kamar tidur’ mereka, yang sebelum ini menempatkan sinki membasuh, dijadikan dapur dan bengkel Zeng. 
“Ia tidak sesuai untuk memasak tetapi saya sudah biasa,” kata Wang, bekas tukang cuci. 
Zeng membayar kira-kira 8,000 yuan (RM4,000) setahun untuk menyewa tandas itu daripada hotel berkenaan. Dia diberikan ruang percuma di depan bangunan, tempat dia bekerja mengilat kasut pelanggan. 
Secara purata, dia memperoleh pendapatan kira-kira 2,000 yuan sebulan dengan mengilat dan membetulkan kasut, lebih separuh daripada gaji maksimum yang ditetapkan pihak berkuasa Shenyang. - Agensi/myMetro

Isnin, 26 Ogos 2013

Mangsa Ujian Ubat Baru

Lima tahun lalu Niranjan Lal Pathak, 72, ditawarkan rawatan jantung percuma oleh seorang doktor hospital di India. Foto: AFP

Tetapi syaratnya, Niranjan tidak boleh membeli ubat dari farmasi jika kehabisan ubat tetapi perlu segera berjumpa doktor itu. Foto: AFP

Keluarga Niranjan ketika itu tidak sedar 'hospital' sedang mencari ‘peserta’ untuk mencuba ubat baru yang belum diluluskan. Foto: AFP

Kini keluarga Niranjan memfailkan petisyen ke Mahkamah Agung India berkaitan kes Niranjan. Foto: AFP

Keluarganya mendakwa Ninranjan kini mengalami dementia (nyanyuk) disebabkan kesan sampingan ubat Atopaxar. Foto: AFP


Sukar untuk Niranjan Lal Pathak percaya dengan berita baik yang didengarnya. Apabila seorang doktor dari salah sebuah hospital di tengah India menawarkan pengawal kilang itu rawatan jantung percuma, tanpa perlu berfikir dua kali dia terus setuju dan berasa sangat teruja. 
Itu peristiwa lima tahun lalu dan keluarga Niranjan yang berusia 72 tahun itu berkata, ketika itu dia tidak sedar bahawa Hospital Maharaja Yashwantrao di bandar Indore sedang mencari ‘peserta’ untuk mencuba ubat baru yang belum diluluskan. 
“Kami diberitahu pak cik kami akan dirawat di bawah projek khas. Doktor kata kami tidak perlu keluarkan duit walau sesen pun. Tetapi ada satu syarat, kami tidak boleh pergi beli ubat dari farmasi jika kehabisan ubat tetapi perlu segera berjumpa doktor,” kata anak saudaranya, Alok Pathak ketika dihubungi melalui telefon di rumahnya di negeri Madhya Pradesh. 
Keluarga itu memfailkan satu petisyen ke Mahkamah Agung India mendakwa ubat yang diberikan kepada Ninranjan adalah Atopaxar yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun, Eisai dan ia sepatutnya digunakan untuk merawat gangguan keresahan. 
Keluarga Ninranjan dan wakil kumpulan hak asasi manusia, Swasthya Adhikar Manch berkata, dia tidak akan bersetuju menerima tawaran menyertai percubaan berkenaan sekiranya tahu ubat yang diberikan tidak diuji terlebih dulu. 
Malah keluarga itu turut mendakwa Ninranjan kini mengalami dementia (nyanyuk) disebabkan kesan sampingan ubat berkenaan. 
“Dia hampir tidak kenal kami, ahli keluarganya. Hidupnya musnah seperti mana musnahnya harapan kami untuk melihatnya sihat dan gembira,” kata Alok, sebak. 
Banyak keluarga miskin dan terdesak di India secara tidak sengaja atau tidak sedar terbabit dalam ujian klinikal bagi ubat yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal India atau antarabangsa yang mengagihkan kerja mencari peserta kepada badan penyelidikan tidak bertauliah. 
Rekod rawatan Ninranjan tercatat dalam kad perubatannya dan keluarganya kini berusaha mendapatkan keadilan melalui perundangan. Ini adalah salah satu daripada banyak kes yang dibawa ke mahkamah oleh mangsa ujian klinikal haram. 
Menjalankan ujian klinikal ke atas manusia adalah langkah wajib dan amat mahal yang perlu ditanggung oleh syarikat ubat supaya mereka boleh membuktikan kepada pihak berkuasa bahawa ubat yang dikeluarkan itu tidak mempunyai kesan sampingan berbahaya sebelum ia diluluskan dan dijual di pasaran. 
Persekutuan Industri India menganggarkan syarikat farmaseutikal boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga 60 peratus dengan menjalankan beberapa fasa ujian klinikal di India berbanding di negara maju. 
Berdasarkan laporan syarikat penyelidikan perniagaan dan rundingan global, Frost and Sullivan, pasaran ujian klinikal di India berkembang 12.1 peratus pada 2010 hingga 2011 dengan hasil sebanyak RM1.5 bilion. 
Kajian itu yang diterbitkan pada Julai tahun lalu mensasarkan industri untuk mencecah aras RM3.2 bilion sebelum 2016 berakhir. 
Perbicaraan kes ini di Mahkamah Agung yang bermula Februari tahun lalu secara tidak langsung membantu mendedahkan lebih banyak salah laku doktor yang bersekongkol dengan syarikat farmaseutikal. 
“Perlulah ada rasa tanggungjawab. Manusia tidak sepatutnya diperlakukan seperti tikus makmal,” kata Hakim Mahkamah Agung, RM Lodha dan AS Dave dalam satu kenyataan bertulis yang dikeluarkan tahun lalu. 
Dalam kes Ninranjan, pihak hospital berkata, doktor yang merawatnya memberikan dia ubat tanpa kebenaran dan sudah berhenti kerja manakala Eisai pula enggan memberikan sebarang komen dengan mengatakan mereka tidak boleh memberi jawapan kepada pertanyaan yang datang daripada orang perseorangan. 
Penggerak kempen kesihatan, Amulya Nidhi berkata, kurangnya undang-undang ketat menyebabkan banyak syarikat farmaseutikal beralih kepada India dan negara membangun lain untuk menjalankan ujian klinikal mereka. 
“Di Eropah dan Amerika Syarikat, undang-undang berkaitan ujian klinikal sangat ketat. India yang kurang ketat peraturannya menjadi pilihan untuk ujian ubat baru kerana penguat kuasa di sini tiada gigi,” kata Nidhi dari kumpulan Swasthya Adhikaar Manch dengan sinis. 
Swasthya Adhikaar Manch badan yang memperjuangkan nasib mangsa berkata, kebanyakan mangsa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang biasa mereka terima tetapi tanpa sedar dijadikan subjek ujian tanpa persetujuan. 
“Boleh dikatakan hampir semua kes, persetujuan yang diberikan adalah palsu,” kata Nidhi lagi. 
“Label pada ubat juga biasanya tidak tertulis ia untuk ujian klinikal dan orang yang lemah ini akhirnya tanpa sedar menjadi tikus makmal,” katanya sambil menunjukkan satu sampel ubat. 
Berhadapan dengan pelbagai kritikan, kerajaan India kini mengambil langkah membuat pindaan Akta Dadah dan Kosmetik lama dalam usaha memberikan tanggungjawab lebih besar kepada syarikat dan jawatankuasa etika yang sepatutnya memantau semua ujian klinikal walaupun tidak meletakkan sebarang had masa untuk ujian itu dilaksanakan. 
Mengikut undang-undang, peserta ujian atau keluarganya perlu diberikan salinan maklumat pesakit, borang persetujuan dan polisi insurans liabiliti bagi ujian klinikal. 
Penulis buku The Body Hunters: Testing New Drugs on the World’s Poorest Patients, Sonia Shah berkata, amat mustahak untuk seimbangkan antara keperluan ujian dengan melindungi pesakit. 
“Hospital dan klinik yang kekurangan wang mendapatkan tenaga pakar, dana dan biasanya peralatan baru apabila mereka bersetuju melakukan ujian klinikal. Pesakit yang tiada akses untuk mendapatkan penjagaan teratur boleh menerima rawatan yang biasanya sukar diberikan,” katanya. 
“Namun persoalannya, apakah manfaat yang diterima setanding dengan keutamaan kesihatan di negara ini dan apakah manfaat itu lebih banyak berbanding risiko?” tambah Sonia. 
Negeri Madhya Pradesh menjadi pusat skandal ujian klinikal sejak 2004 di mana ramai doktor dituduh menggunakan mangsa kemalangan gas di Bhopal pada 1984 sebagai subjek ujian tanpa mendapatkan persetujuan pesakit. Berikutan ujian klinikal haram itu, 14 pesakit meninggal dunia. 
Negeri itu sekali lagi mendapat perhatian ramai tahun lalu apabila ia mengenakan denda serendah 5,000 rupee (RM294) ke atas 12 doktor yang menjalankan ujian haram ke atas kanak-kanak dan pesakit terencat akal. - AFP

Jumaat, 23 Ogos 2013

Azilah Dan Sirul Bebas Dari Tuduhan Bunuh Altantuya

Kes pembunuhan Altantuya telah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun 2009. Foto: Malaysiakini

Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar dan Abdul Razak Baginda semasa perbicaraan tahun 2009. Foto: al-Husseyn

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak Baginda. Foto: Malaysiakini


PUTRAJAYA - Bekas Pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan bekas Koperal Sirul Azhar Umar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan hukuman mati atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu. 
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali bersama sama Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu yang dibacakan oleh Tengku Maimon. 
Dalam rumusan penghakiman empat muka surat itu, mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.
Tengku Tengku Maimun yang membacakan penghakiman itu berkata hakim perbicaraan telah tersalah arah dirinya dengan cara tanpa arah gagal mempertimbangkan diari stesen dan gagal membuat dapatan sama ada pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Azilah, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes ini, berada di tempat kejadian jenayah. 
Hakim Tengku Maimun berkata mengenai alibi pembelaan Azilah Hadri, mahkamah tidak menemui mana-mana dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan yang beliau telah menimbangkan sama ada diari stesen menunjukkan atau cenderung menunjukkan tentang kehadiran Azilah pada masa berkenaan dan dia tidak akan boleh atau tidak mungkin berada di tempat kejadian jenayah. 
Suasana di mahkamah senyap seketika semasa hakim menyampaikan penghakiman sementara Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan. 
"Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat. 
"Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini," kata Hakim Tengku Maimun. 
Kedua-duanya disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006. 
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes 'prima facie' terhadapnya. 
Azilah Hadri dan Sirul Azhar masing masing akan dibawa pulang ke penjara Kajang dan Tapah untuk menjalani beberapa proses sebelum dilepas dan dibebaskan. - Berita Harian

Kes Altantuya: Azilah, Sirul dibebaskan dari tuduhan membunuh
Sepanjang perbicaraan tahun 2009, wajah kedua-dua Azilah dan Sirul Azhar sentiasa tertutup. Foto: NSTP


PUTRAJAYA - Doa Cif Inspektor Azilah Hadri untuk menjalani kehidupan di luar penjara setelah menghuninya selama tujuh tahun akhirnya dimakbulkan setelah Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskannya daripada hukuman serta sabitan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. 
Azilah, 37, yang ditemui Bernama sebelum hakim membuat keputusan sempat menyatakan bahawa walaupun fizikalnya tidak berubah sejak didakwa atas pertuduhan itu, namun jiwanya terlalu 'kecil' dan amat berharap akan berada di rumah. 
Beliau yang diiringi pegawai penjara sepanjang prosiding, kelihatan terkejut apabila keputusan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Apandi Ali itu dibacakan. 
Koperal Sirul Azhar Umar, yang dituduh bersama-samanya, pula sempat menyatakan "Terima Kasih Yang Arif" sebelum kedua-duanya dibawa keluar dari kandang tertuduh. 
Azilah berkata beliau amat bersyukur kerana Allah SWT memperkenankan doanya dan berkata dengan nada suara gementar: "Saya masih lagi berdebar-debar". 
"Saya perlu kembali ke Penjara Kajang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas menjaga saya di sana...mereka menjaga saya dengan baik, saya ingin menunaikan solat Jumaat dan urusan lain akan dibuat selepas itu," katanya. 
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabit kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006. 
Tunang Azilah, Nor Azila Baharuddin, 35, pula dilihat mengalirkan air mata apabila mendengar keputusan itu. 
Beliau menyatakan doanya dan anggota keluarga supaya Azilah dibebaskan telah dimakbulkan Allah SWT. 
Katanya sejak mereka bertunang pada 2006, beliau tidak pernah berputus asa dan sering melawat Azilah di penjara seminggu sekali. 
"Saya gementar selepas keputusan dibuat, saya seperti tidak percaya. Saya amat gembira kerana inilah saat yang saya tunggu sekian lama. Syawal kali ini amat indah," katanya. 
Sejak didakwa pada 2006 dan melalui proses perbicaraan, Azilah dan Sirul Azhar sentiasa menutup wajah mereka ketika berada di luar mahkamah dan kain yang menutup muka hanya dibuka selepas berada di dalam mahkamah. 
Pada kebiasaannya, wajah Sirul Azhar kelihatan serius dan lebih banyak menyendiri berbanding Azilah yang ramah dengan mereka yang berada sekelilingnya. 
Namun, selepas keputusan mahkamah itu, Sirul Azhar mempamerkan wajah berbeza dengan melemparkan senyuman ke arah anggota keluarganya yang berada di belakangnya. 
Ketika ditanya pemberita Bernama sebelum beliau dan Azilah dibawa semula ke penjara untuk proses pembebasan, Sirul Azhar menunjukkan keramahannya sambil menyatakan kesyukuran. 
"Bersyukur kepada Allah, semuanya telah selesai. Saya berterima kasih kepada barisan peguam yang membela saya dan ahli keluarga terutama ibu saya yang tidak putus mendoakan. Terima kasih kepada pihak penjara yang menjaga saya dengan baik. Saya berhasrat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini," katanya. 
Anak lelaki Sirul Azhar yang berusia 13 tahun, turut kelihatan amat gembira dengan pembebasan ayahnya dan dia yang diiringi dua anggota keluarga terdekat sempat menyatakan amat merindui bapanya. 
Bapa saudara Sirul Azhar, Mustapha Samat dari Ipoh berkata sejak Sirul Azhar didakwa, beliau hanya sempat hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali dan tidak putus-putus berdoa supaya dia dibebaskan. 
Mustapha yang tiba di Kuala Lumpur semalam dilihat menghubungi anggota keluarga untuk memberitahu keputusan mahkamah itu. - BERNAMA

Bangkai Makhluk Aneh Di Pantai Sepanyol

Seorang perenang menemui bangkai makhluk aneh bertanduk yang telah reput di pantai Sepanyol

Panjang makhluk aneh ini empat meter dengan kepala terpisah dari badannya

Beberapa teori mencadangkan makhluk ini sejenis yu atau ikan dayung


Seorang perenang wanita telah menemui bangkai makhluk laut yang aneh di pantai Villaricos, Sepanyol, lapor Huffington Post. 
Makhluk aneh ini berbadan putih dengan panjangnya empat meter dan mempunyai tanduk di kepala. 
Ketika ditemui, bangkai makhluk aneh ini sedang mengalami proses pereputan dan mengeluarkan bau yang sangat busuk. 
Penyelaras Perlindungan Awam Maria Sanchez berkata, "Kami tidak tahu makhluk apa, tetapi ia berbau busuk, kerana ia sudah reput." 
Beliau menambah, "Wanita itu menemui satu bahagian, dan kami membantu beliau menemui yang lain ... Kita tidak tahu dia makhluk apa. Ia benar-benar berbau, kerana ia di peringkat penguraian."
Seorang jurucakap Persatuan Biologi Marin berkata, "Beberapa orang mengatakan ia boleh jadi tulang belakang jerung yang sudah reput. 
"Kita perlu mengenal pasti dengan betul. Jika ia adalah yu ia akan mempunyai tulang rawan yang bertentangan dengan tulang. 
"Bagi tanduk - ia cukup meyakinkan. Tiada siapa yang tahu apa-apa makhluk bertanduk di laut. Berdasarkan gambar yang ada anda tertanya-tanya jika ia adalah sebahagian daripada makhluk."

Masih Ada Kepercayaan Khurafat Di Pulau Besar

Pulau Besar, Melaka. Foto: Wadah Panglima

Pemandangan di kawasan Makam Tujuh Beradik pada tahun 2010. Foto: Wadah Panglima

Kubur panjang yang mempunyai dua nisan lama tertera Allahyarham Datuk Haji Noh. Foto: Sinar Harian

Rahimin menunjukkan batu nisan tertera nama Allahyarham Datuk Haji Noh yang disita Jaim untuk siasatan lanjut. Foto: Sinar Harian

MELAKA - Biarpun sudah dibersihkan, namun pembinaan kubur baru untuk melakukan upacara pemujaan masih aktif di Pulau Besar oleh mereka yang mempercayai amalan khurafat berkenaan. 
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, ia berikutan penemuan sembilan kubur palsu di kawasan tapak perkemahan di pulau berkenaan. 
“Kubur baru di atas tapak bekas Kubur Tujuh Beradik yang dibina semula dengan struktur simen dan tanah dipercayai dikunjungi individu Muslim dan bukan Muslim pada waktu malam hingga awal pagi. 
“Kebiasaannya mereka melakukan upacara pemujaan menggunakan colok, lilin, limau, air mawar dan setanggi selain turut meletakkan bunga di atas kubur-kubur tersebut,” katanya. 
Rahimin berkata, kesemua kubur itu kemudian diratakan semula bagi mengelakkan ia dijadikan lokasi individu yang berhajat mencari jodoh, memperoleh tuah, membuang sial dan mendapatkan nombor ekor. 
“Hasil maklumat dan aduan orang awam, sembilan kubur itu dibersihkan sepasukan 30 pegawai dan anggota penguatkuasa Jaim dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan polis, kira-kira 9 pagi semalam (kelmarin). 
“Hasil pemeriksaan pihak di kawasan itu mendapati satu daripada kubur itu bukan saja bersaiz panjang namun turut diletakkan dengan batu nisan lama tanpa lama selain berbau setanggi,” katanya di sini, semalam. 
Rahimin tidak menolak kemungkinan amalan khurafat dan menjurus kepada syirik itu sudah dilakukan individu tertentu di kubur terbabit sejak awal Aidilfitri lalu. 
“Semua kubur itu dipercayai dibina beberapa individu sejak Aidilfitri lalu dan upacara pemujaan dilakukan pada waktu malam. 
“Operasi yang berakhir jam 1 petang itu turut membawa kepada penemuan satu kubur panjang yang mempunyai dua nisan lama tertera Allahyarham Datuk Haji Noh yang diikat dengan kain kuning,” katanya. 
Beliau berkata, selain batu nisan itu, sebuah tabung khas yang ditemui kira-kira 300 meter daripada lokasi tersebut turut disita untuk siasatan lanjut. - Sinar Harian