Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 23 Ogos 2013

Masih Ada Kepercayaan Khurafat Di Pulau Besar

Pulau Besar, Melaka. Foto: Wadah Panglima

Pemandangan di kawasan Makam Tujuh Beradik pada tahun 2010. Foto: Wadah Panglima

Kubur panjang yang mempunyai dua nisan lama tertera Allahyarham Datuk Haji Noh. Foto: Sinar Harian

Rahimin menunjukkan batu nisan tertera nama Allahyarham Datuk Haji Noh yang disita Jaim untuk siasatan lanjut. Foto: Sinar Harian

MELAKA - Biarpun sudah dibersihkan, namun pembinaan kubur baru untuk melakukan upacara pemujaan masih aktif di Pulau Besar oleh mereka yang mempercayai amalan khurafat berkenaan. 
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, ia berikutan penemuan sembilan kubur palsu di kawasan tapak perkemahan di pulau berkenaan. 
“Kubur baru di atas tapak bekas Kubur Tujuh Beradik yang dibina semula dengan struktur simen dan tanah dipercayai dikunjungi individu Muslim dan bukan Muslim pada waktu malam hingga awal pagi. 
“Kebiasaannya mereka melakukan upacara pemujaan menggunakan colok, lilin, limau, air mawar dan setanggi selain turut meletakkan bunga di atas kubur-kubur tersebut,” katanya. 
Rahimin berkata, kesemua kubur itu kemudian diratakan semula bagi mengelakkan ia dijadikan lokasi individu yang berhajat mencari jodoh, memperoleh tuah, membuang sial dan mendapatkan nombor ekor. 
“Hasil maklumat dan aduan orang awam, sembilan kubur itu dibersihkan sepasukan 30 pegawai dan anggota penguatkuasa Jaim dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan polis, kira-kira 9 pagi semalam (kelmarin). 
“Hasil pemeriksaan pihak di kawasan itu mendapati satu daripada kubur itu bukan saja bersaiz panjang namun turut diletakkan dengan batu nisan lama tanpa lama selain berbau setanggi,” katanya di sini, semalam. 
Rahimin tidak menolak kemungkinan amalan khurafat dan menjurus kepada syirik itu sudah dilakukan individu tertentu di kubur terbabit sejak awal Aidilfitri lalu. 
“Semua kubur itu dipercayai dibina beberapa individu sejak Aidilfitri lalu dan upacara pemujaan dilakukan pada waktu malam. 
“Operasi yang berakhir jam 1 petang itu turut membawa kepada penemuan satu kubur panjang yang mempunyai dua nisan lama tertera Allahyarham Datuk Haji Noh yang diikat dengan kain kuning,” katanya. 
Beliau berkata, selain batu nisan itu, sebuah tabung khas yang ditemui kira-kira 300 meter daripada lokasi tersebut turut disita untuk siasatan lanjut. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.