Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 22 Mei 2014

Tunku Bendahara Kedah Mangkat

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Tunku Annuar. Foto: myMetro

Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah berangkat memberi penghormatan terakhir.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim menyiram air mawar di pusara Almarhum Tunku Annuar. Foto: myMetro


ALOR SETAR - Suasana pilu menyelubungi rakyat Kedah yang hadir di Makam Diraja Langgar, di sini, sebaik jenazah Almarhum Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah, 75, tiba di pekarangan makam untuk disemadikan, semalam. 
Jenazah Almarhum Tunku Annuar selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar, di sini, jam 5.20 petang selepas diarak 20 kilometer menaiki pedati diraja melalui Jalan Sultanah, Jalan Titi Gajah, Jalan Hutan Kampung dan seterusnya ke Jalan Langgar. 
Terdahulu, Almarhum yang juga Tunku Bendahara Kedah mangkat pada jam 12.20 tengah malam semalam di Hospital Pantai Ipoh, Perak akibat serangan jantung ketika berhenti makan di Ipoh sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar. 
Jenazah Almarhum dibawa pulang ke Istana Kuala Cegar sebelum ke Balai Penghadapan di Istana Anak Bukit untuk disembahyangkan dan dibawa berarak ke Makam Diraja Jalan Langgar pada jam 3.40 petang untuk disemadikan selepas solat Asar. 
Sebaik jenazah Almarhum disembahyangkan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai tanda penghormatan terakhir. 
Almarhum meninggalkan seorang balu, Toh Puan Bendahara Nor Suzana Abdullah dan empat cahaya mata iaitu Tunku Putra Badlishah, Tunku Azudin Shah, Tunku Johanez dan Tunku Marina. 
Upacara pemakaman dihadiri kerabat Diraja Kedah termasuk Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan barisan pemimpin negeri. 
Turut hadir, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bersama Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim Davidson. 
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.