Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 23 Mei 2014

Kemalangan Di Jalan Gua Musang-Kuala Krai

Mangsa bergelimpangan di jalan raya Gua Musang-Kuala Krai selepas kemalangan yang melibatkan bas ekspres

Bas ekspres ini terbabas lalu merempuh seorang mangsa sebelum merempuh van


GUA MUSANG - Seorang maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres, van dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 72 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini semalam. 
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata, pekerja syarikat penyelenggaraan jalan, Mohd Zakarman Bedol, 41, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Mangsa sedang mengawal lalu lintas semasa kejadian itu berlaku 12.15 tengah hari. 
Lima lagi yang cedera adalah masing-masing dua daripada syarikat penyelengaraan itu dan tiga pekerja Institut Kerja Raya Malaysia, katanya kepada pemberita di sini. 
Saiful Bahri berkata pemandu bas ekspres terbabit yang berusia 54 tahun bersama 10 penumpang tidak mengalami kecederaan dan mereka kemudian meneruskan perjalanan dengan bas lain. 
Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika lima buah bas ekspres sedang melalui jalan berkenaan dari Kota Baharu ke Kuala Lumpur manakala mangsa yang maut bersama lima yang cedera sedang menjalankan kerja mengorek jalan untuk ujian tahap kualiti jalan yang baharu diturap tar. 
Katanya bas ekspres yang berada di barisan kedua dipercayai terbabas lalu merempuh Mohd Zakarman yang sedang mangawal lalu lintas di situ sebelum merempuh sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik syarikat penyelenggaraan itu yang diletakkan di bahu jalan. 
Saiful Bahri berkata lima lagi mangsa yang sedang menjalankan kerja mengorek jalan bersebelahan dengan van berkenaan, terpelanting dan terjatuh di atas jalan apabila van yang dirempuh bas ekspres itu terkena mereka. 
“Kita sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemandu bas ekspres terbabit juga ditahan sementara untuk diambil keterangan,” katanya. 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga. - Bernama/Harakah Daily


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.