Panglima tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocah (tengah) mengumumkan rampasan kuasa melalui siaran media |
Jeneral Prayuth Chan-ocah kini memerintah Thailand melalui pemerintahan tentera |
Anggota tentera berkawal di Kelab Tentera Darat ketika kumpulan yang menyokong dan menentang kerajaan bermesyuarat |
Pihak tentera segera membuat rondaan selepas Jen Prayut bermesyuarat dengan pemimpin-pemimpin anti dan pro-kerajaan |
Tentera mengarahkan penyokong pro-kerajaan yang dikenali sebagai Baju Merah beredar |
Lapangan yang sepatutnya menjadi tempat perhimpunan penyokong pro-kerajaan dikawal oleh tentera |
Pihak tentera memeriksa kawasan tempat penyokong anti-kerajaan melancarkan protes berdekatan Rumah Kerajaan |
Anggota tentera berkawal di luar bangunan Kementerian Pertahanan sebaik Jen Prayut mengumumkan rampasan kuasa |
BANGKOK- THAILAND. Tentera Thailand melakukan rampasan kuasa hari ini setelah pihak yang bertelagah gagal mencapai kata sepakat tentang cara untuk menamatkan pergolakan politik yang berlarutan di negara ini selama lebih setengah tahun.
Panglima tentera Thailand Jen Prayuth Chan-ocha mengumumkan perkara itu melalui televisyen tengah hari ini.
Menurut laporan media tempatan, Jen Prayuth mengemukakan cadangan tentang cara untuk menyelesaikan konflik politik di negara ini, termasuk pengunduran kerajaan sementara, tetapi ditolak.
Pemimpin tunjuk perasaan daripada kumpulan yang menyokong dan menentang kerajaan juga ditangkap.
Pihak bertelagah yang bermesyuarat di Kelab Tentera Darat sejak dua hari lepas gagal mencapai persetujuan berhubung penyelesaian terhadap konflik politik yang melanda Thailand.
Kerajaan sementara dan kumpulan penyokong kerajaan dikenali sebagai Baju Merah, yang yakin mencapai kemenangan melalui peti undi, mahu pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.
Kerajaan sementara, yang enggan berundur untuk memberi laluan kepada pembentukan Kabinet berkecuali, mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya agar pilihan raya umum diadakan pada 3 Ogos.
Bagaimanapun, pembangkang dan Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat mendesak kerajaan sementara berundur dan perdana menteri baharu yang berkecuali, dilantik.
Mereka juga mahu pembaharuan dilakukan sebelum pilihan raya umum diadakan.
Bagaimanapun, keadaan di ibu negara Thailand ini, tenang. - Bernama
Rampasan Kuasa Kali Ke-19
Rampasan kuasa tentera bermakna kehadiran tentera yang lebih besar di ibu negara |
Penyokong anti-kerajaan bersorak selepas tentera mengambil alih kuasa pemerintahan |
BANGKOK - Ketua Tentera Thailand Jen Prayuth Chan-ocha berkata, langkah merampas kuasa semalam diambil sebagai memastikan keamanan kekal di negara itu.
Sejurus sebelum itu, semua tokoh utama yang terbabit dalam konflik politik di Thailand dibawa dari Kelab Tentera tempat berlangsung pertemuan membincangkan langkah mencari penyelesaian kemelut semasa ke bangunan berek di kawasan lain.
Kecuali wakil Senat dan agensi pengendali pilihan raya Thailand, semua peserta perbincangan itu dibawa menaiki van tentera dengan kawalan ketat.
Mereka ialah wakil kerajaan sementara diketuai Chaikasem Nitisiri, pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat, Suthep Thaugsuban, wakil Barisan Bersatu Menentang Kediktatoran, Jatuporn Prompan, pemimpin Parti Pheu Thai Left Jen Viroj Pao-in dan pemimpin Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva.
Dalam pengumuman awalnya, Prayuth berkata, tentera dan polis memutuskan untuk menguasai kerajaan bagi mengelak keganasan tercetus. “Thailand kini ditadbir Majlis Keamanan Dan Kawalan Ketenteraman Awam Kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, malam tadi, agensi berita melaporkan tentera kini menggantung perlembagaan Thailand, melarang perhimpunan membabitkan lebih daripada lima orang di sebarang tempat dan semua siaran televisyen serta radio digantung.
Sebaliknya, semua siaran mesti datang daripada pihak tentera ‘bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat.’ Tidak cukup dengan itu, tentera mengarahkan pemangku perdana menteri Niwatthamrong Boonsongphaisan dan Kabinetnya melapor diri di kawasan yang ditetapkan di Bangkok. - Agensi/myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.