Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 30 Mei 2013

Tertipu Oleh Pajak Gadai 'Islam'

Abdul Salim Putera menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pekan Baru semalam. Foto: Sinar Harian

Abdul Salim Putera menunjukkan jumlah upah simpanan bulanan yang tidak sampai RM450 sebulan. Foto: Sinar Harian


IPOH – Sepasang suami isteri mendakwa ditipu sebuah bank yang menjalankan sistem pajakan emas Islam atau Ar-Rahnu berikutan perlu membayar satu jumlah yang besar hanya untuk memperbaharui surat gadaian. 
Lebih memburukkan keadaan, bank tersebut mengenakan RM 2,649.90 jika mereka mahu memperbaharui empat surat gadaian tersebut. 
Abdul Salim Putera Ahmad Shibi, 39, mendakwa, apa yang lebih menyedihkan dia tidak dimaklumkan oleh pihak bank tentang prosedur baru yang dikenakan. 
“Saya terkejut apabila dimaklumkan pihak bank bahawa saya perlu membayar jumlah berkenaan jika mahu memperbaharui empat surat gadaian ketika datang ke pejabat mereka di Jalan Sultan Idris Shah. 
“Bila saya persoalkan perkara itu, pihak bank memberi penjelasan bahawa mereka mempunyai hak untuk tidak memberitahu pelanggan dan prosedur tersebut dikuatkuasakan seminggu lalu. Walhal sebelum ini pelanggan hanya perlu bayar upah simpanan bulanan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru, semalam. 
Abdul Salim merasa tertipu apabila bank tersebut tidak langsung menghubunginya atau menerangkan kepadanya prosedur tersebut yang nyata amat membebankannya. 
“Saya pilih bank berkenaan kerana mereka tawarkan gadaian cara Islam. Namun apabila terjadi kes seperti ini saya amat kecewa malah apabila saya siasat, ramai lagi yang terkena seperti saya. 
“Sikap bank berkenaan seolah-olah mencekik darah pelanggan kerana menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya selain mengubah prosedur sesuka hati," katanya. 
Abdul Salim turut membuat laporan di Kementerian Perdangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan berharap pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.