Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 25 September 2012

Had Kuasa Manusia



Tergelak sendirian saya apabila terbaca kisah lama tahun 2009 di blog Abu Nuha Corner mengenai pengalaman beliau semasa bertugas di Istana Negeri Sabah. Kisahnya ialah mengenai polis dengan lembu. 
Pada suatu hari Jumaat, beliau ditugaskan menyertai rombongan TYT yang dijadualkan hendak menunaikan solat jumaat di Masjid Daerah Tuaran.  Rombongan berkenaan diiringi oleh lima polis trafik bermotosikal dan rombongan bertolak dari Istana jam 11.45 pagi melalui Jalan Sulaman. 
Beliau berada di kenderaan ketiga bersama pemandu dan pelayan Istana. Kenderaan pertama ialah kereta rasmi TYT. Kenderaan kedua pula ialah kereta polis juruiring atau bodyguard. Tiga polis trafik berada jauh di hadapan bertugas mengosongkan laluan dengan mengarahkan kereta lain ke tepi bagi memudahkan pergerakan rombongan TYT. Manakala dua polis trafik lagi berada dekat sama ada di sisi atau di hadapan kereta TYT. 
Tidak jauh dari persimpangan Kampung Laya Laya Tuaran, banyak lembu melepak di tepi jalan. Tiba-tiba tanpa diduga, beberapa ekor lembu menyeberang jalan raya dengan perlahan. Tiga polis trafik sudah terlalu jauh untuk 'membersihkan' jalan manakala dua polis trafik dekat kereta TYT terpaksa berhenti membuatkan kenderaan rombongan Istana yang lain juga turut berhenti. 
Walaupun polis trafik yang mengiringi rombongan TYT boleh mengarahkan kereta orang lain ke tepi, tetapi mereka akhirnya kalah juga kepada sekawan lembu. Maka, terpaksalah rombongan TYT memberi laluan kepada sekumpulan lembu menyeberang jalan. 
Moral daripada kisah itu ialah, kuasa manusia itu terbatas dan kadang-kadang tidak berkesan kepada makhluk lain!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.