Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 27 September 2012

Jutawan Papa Dari London


LONDON: Yvonne Lawrence, 30, masih tersenyum meskipun beliau kini papa kedana, setelah sembilan tahun hidup dalam serba kemewahan selepas menang loteri RM9.46 juta. 
"Saya kini lebih gembira," dakwa Yvonne yang hilang segala kekayaannya akibat gaya hidup mewah dan juga pelaburan yang merugikan. 
Hakikatnya, jika wang kemenangan daripada tiket 8, 11, 25, 46 dan 47 itu tidak dibelanjakan dan disimpan di bank, Yvonne bakal memperoleh wang faedah RM570,600 setahun dan hidup selesa. 
Kini, wangnya habis dan bekas kakitangan panggung wayang yang berpendapatan RM57,000 setahun itu kini terpaksa mencari kerja, mungkin kerja di pejabat. 
Keluarganya kini bergantung kepada pendapatan suaminya, Nathan yang bekerja sebagai pengimpal. Baru-baru ini mereka terpaksa menjual rumah semi-d serta kereta sport berharga RM228,000 untuk membeli apartmen dua bilik dan kereta Peugeot 307 bernilai hanya RM38,000. 
"Saya melalui tempoh paling menarik dalam hidup, tapi kini saya kembali normal. Saya kini mungkin tidak berwang, tapi saya tak kesal. Yang penting, saya sihat dan kini kami memiliki tiga anak yang baik. Malah, ada kalanya saya gembira kami tidak lagi kaya. 
"Sememangnya saya suka hidup mewah tapi tanpa wang, anak saya pasti lebih menghargai hidup," kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun dan pasangan kembar lelaki, dua tahun itu. 
Yvonne menang hadiah loteri itu ketika berusia 21 tahun dan dalam tempoh enam bulan pertama, beliau pergi membeli-belah setiap hari. 
"Saya beli apa saja, pergi bercuti dengan empat rakan selama dua minggu di Florida dan Bahamas. Saya juga belanja empat rakan saya untuk membeli-belah di New York dan membawa ibu ke Disneyland, Paris. 
"Saya tak perlu lagi kerja, membeli apartmen empat bilik berharga RM1.6 juta dan sebuah kereta Volkswagen Golf. Saya membelanjakan RM234,700 untuk membeli kereta Jeep Cherokee dan RM228,400 untuk membeli kereta Mercedes SLK." 
Yvonne menderma sebahagian wang kemenangannya, sejumlah RM317,100 setiap seorang untuk ibu dan bapanya yang bercerai dan RM507,650 untuk adik lelakinya, Darren. 
Demi melindungi wang kemenangannya, Yvonne turut melabur dalam saham atas nasihat pakar. Semuanya berjalan lancar hinggalah 11 September 2001. Serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York yang menyebabkan pasaran saham dunia merudum merugikan Yvonne sekali gus memaksa beliau menjual sahamnya. 
"Saya takut hilang semua wang saya, menyebabkan saya menjual saham. Saya rugi RM634,350 tapi wang yang saya peroleh kembali saya labur di tempat lain," katanya. 
Beliau membelanjakan RM2.54 juta untuk membeli tiga apartmen di bandar kelahiran Nathan, Gosport, Hants, tapi pasaran hartanah yang merudum menyebabkan beliau kerugian lagi. 
Awal tahun ini, Yvonne terpaksa menjual sebuah apartmen dengan harga hanya RM920,000, kurang RM254,000 daripada harga yang dibelinya. Beliau turut hilang RM63,450 apabila penyewanya lesap begitu saja. 
"Saya tidak boleh buat apa-apa, tapi belajar daripada pengalaman itu," katanya. 
Pada 2002, Yvonne rugi besar apabila bersetuju memenuhi permintaan Nathan menjadi pemain hoki ais profesional di Kanada. 
Selepas membelanjakan RM63,450 untuk majlis kahwin, mereka terus berhijrah ke Kanada. 
"Beliau menjalani kem latihan dan kami menyewa sebuah rumah dan membeli banyak perabot. Ada di antaranya terpaksa kami tinggalkan selepas hasrat Nathan tidak tercapai. 
"Apapun saya puas hati kerana sekurang-kurangnya Nathan mencuba sedaya upaya. Beliau masih lagi bermain di sini, tapi dalam liga lebih rendah," katanya. 
Pada 2004, Yvonne dan Nathan melabur RM3.18 juta untuk menguruskan sebuah gimnasium. 
"Kami sekeluarga berpindah ke Gosport pada masa itu. Sebahagian besar wang kami dilabur dalam hartanah dan kami ingin sesuatu yang menghasilkan wang. Nathan berasakan bisnes gimnasium peluang terbaik. 
"Meskipun tak pasti, saya menurut kehendak Nathan kerana dia bersungguh-sungguh. Pada mulanya, semua berjalan lancar dan kami memiliki 700 ahli. Namun, kos tinggi menyebabkan kami tidak mampu untuk terus beroperasi." 
Awal bulan ini, gimnasium itu terpaksa ditutup dan Yvonne mengaku melakukan kesilapan kerana tidak memperoleh nasihat terbaik sebelum melabur wangnya. 
"Kini saya terpaksa mencari kerja. Meskipun sukar, saya perlu meneruskan hidup untuk membesarkan anak saya. Saya kini mungkin tidak hidup mewah, tapi boleh kongsi pengalaman ini dengan anak dan harap mereka belajar daripada pengalaman ini," katanya.
Sumber: Harian Metro, 09/03/2008
_________________________________________________________
Walaupun berita di atas disiarkan pada tahun 2008, namun kisahnya masih boleh dijadikan teladan hingga ke hari ini dan pada masa yang akan datang. 
Kata orang yang bijak pandai, "kekayaan bukan berapa banyak wang yang kita dapat tetapi berapa banyak wang yang kita simpan". Renungkan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.