Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 19 Julai 2013

Peragut Tunjuk Berani Depan Balai Polis

Cermin tingkap tempat duduk penumpang dipecahkan suspek dalam kejadian di Simpang Lima, semalam. Foto: Sinar Harian

Lokasi kejadian tempat kereta mangsa disamun di persimpangan berlampu isyarat di Simpang Lima, Parit Buntar. Foto: Sinar Harian

PARIT BUNTAR - Walaupun terdapat sebuah balai polis berhampiran persimpangan lampu isyarat di Simpang Lima, di sini tidak menggentarkan sekumpulan peragut untuk memecah masuk sebuah kereta dan menyamun beg tangan milik seorang wanita, pagi semalam. 
Mangsa dikenali sebagai Eng Mooi, 29, berkata, dalam kejadian jam 10 pagi itu, dia dalam perjalanan dari rumah di Taman Pekaka ke tempat kerja di Simpang Lima, di sini sebelum memberhentikan kenderaan di kawasan persimpangan lampu isyarat apabila lampu bertukar merah. 
Menurutnya, kereta jenis Honda Civic yang dipandunya berada pada kedudukan keenam dari baris hadapan sebelum didatangi sebuah motosikal ditunggang dua lelaki yang berhenti di bahagian tempat duduk pemandu. 
“Saya berasa hairan tindak-tanduk dua lelaki terbabit yang memberi isyarat kepada seseorang supaya datang ke kereta saya. 
“Tidak lama selepas itu, saya menyedari terdapat sebuah motosikal lain yang turut ditunggang dua lelaki dan diberhentikan di bahagian tempat duduk penumpang hadapan kereta sebelum memecahkan cermin kereta saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam. 
Eng Mooi berkata, selepas memecahkan cermin itu, lelaki terbabit turut memasukkan badannya ke dalam kereta melalui cermin sehingga hampir keseluruhan badan, manakala kakinya dipegang oleh penunggang motosikal berkenaan untuk menstabilkan kedudukannya. 
Jelasnya, dia yang cemas melihat tindakan lelaki terbabit dan cuba menumbuk suspek beberapa kali, bagaimanapun suspek lebih pantas meragut beg tangan yang diletakkan bersebelahannya. 
“Setelah berjaya mencapai beg tangan saya, suspek segera keluar dari cermin kereta dan beredar bersama tiga rakannya yang lain. 
“Berikutan kejadian itu, saya mengalami kerugian bernilai lebih RM1,000 selain kehilangan beberapa dokumen peribadi dan kerja yang penting,” katanya. 
Eng Mooi berkata, dia segera membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Lima selepas berlakunya kejadian tersebut. 
“Saya turut bertanyakan penduduk tempatan mengenai kekerapan kejadian tersebut dan mereka menyatakan kawasan itu merupakan antara lokasi ragut yang kerap berlaku, terutama melibatkan pemandu wanita.” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kes kejadian dan menegaskan siasatan sedang dijalankan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.