Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 25 November 2014

Doktor Buka Kilang Tilam

Dr Rahmatullah menunjukkan gentian kenaf sebelum diproses menjadi ‘mat’ atau pelapik tilam. Foto: Azlan Hafeedz

Para pekerja sedang menguraikan gentian kenaf sebelum dimasukkan ke mesin pemecah bal serat. Foto: Azlan Hafeedz

Kenaf yang sudah siap digulung diletakkan dalam rak. Foto: Azlan Hafeedz

Dr Rahmatullah (dua dari kanan) sedang menunjukkan contoh tilam 'single size'. Foto: Azlan Hafeedz


Kajian positif Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap beberapa produk berasaskan 'fiber' atau gentian kenaf memberi ilham kepada seorang doktor haiwan menceburi bidang pembuatan tilam.
Hasil kajian membuktikan gentian kenaf mesra alam, tahan lasak dan jangka hayatnya lama, menambah keyakinan Pengarah Urusan Finaf Mattress Sdn Bhd (FMSB) Dr Rahmatullah Hussain, 49, untuk membuka sebuah kilang di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 2007.
Pembukaan kilang seluas setengah hektar dengan modal permulaan RM500,000 menjadikan syarikat milik Dr Rahmatullah ini sebagai kilang pertama yang mengambil kenaf sebagai material utama pembuatan tilam di negara ini dan Asia Tenggara.
Usaha gigih beliau selama tujuh tahun membuahkan hasil lumayan apabila produk tilamnya semakin mendapat perhatian peniaga perabot sekitar Pulau Pinang dan Kedah sejak tiga tahun lalu.
Keyakinan pengguna terhadap kualiti dan kebaikan tilam kenaf bertambah apabila ia terbukti tahan serangan haiwan perosak, mampu menurunkan suhu bilik selain murah berbanding tilam gentian lain.
Dr Rahmatullah ketika ditemui dalam lawatan ke kilangnya di Pulau Pinang baru-baru ini berkata, beliau yakin tilam berasaskan gentian kenaf berpotensi menjadi antara produk keluaran tempatan tersohor selepas menerima maklum balas positif daripada ramai pelanggan.
Katanya, gentian kenaf mampu tahan lama kerana langsung tidak dicampur bahan kimia, berbanding gentian serat lain seperti sawit dan juga bahan terbuang.
"Tilam kenaf juga istimewa kerana bebas 'spring', mengoptimumkan pengaliran udara, tahan lasak, kurangkan tekanan, selesa tidur dan menyokong struktur serta bentuk badan.
"Malah, tilam bayi daripada kenaf turut menerima pengiktirafan apabila menerima pingat emas dalam Pameran Pertandingan Konferansi Kebangsaan (CCE) 2014 anjuran Jabatan Pengajian Politeknik Malaysia, Julai lalu," katanya.
Untuk menghasilkan sebuah tilam kenaf, empat proses perlu dilakukan membabitkan penggunaan enam mesin iaitu pemecah bal serat, pengasingan dan penguraian, penikaran, lipat silang, penjaruman dan juga penggulungan.
Beliau berkata, sebaik selesai melalui proses itu, gentian kenaf kemudian dimampatkan dengan 'Fiber Press' sebelum dijahit menjadi tilam menggunakan mesin jahit khas.
Katanya, selain khidmat sokongan bahan mentah, pihak LKTN turut memberi bantuan peralatan berjumlah RM300,000, sementara USM membantu dalam melakukan kajian terhadap bahan gentian itu.
"Sebanyak 500 tilam membabitkan tiga model dikeluarkan secara berperingkat dalam tempoh fasa pertama bermula Ogos hingga Februari depan, ditambah 1,000 lagi untuk fasa kedua sebaik penambahan tenaga kerja baru.
"Antara satu hingga tiga tan kenaf diperlukan setiap bulan bagi menghasilkan 500 tilam dan jenis tilam keluaran kami ialah 'king size' yang dijual antara RM1,000 hingga RM1,200 sebiji; 'queen size' (RM600-RM800) dan 'single size' (RM300-RM500)," katanya yang giat mencari pengedar di luar Pulau Pinang.
Gentian dan empulur kenaf boleh digunakan untuk menghasilkan produk mesra alam seperti papan gentian, papan serpai, geo-tekstil, tekstil, komponan automotif dan bahan binaan, selain turut boleh dijadikan makanan ternakan.
Sementara itu, Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor berkata, penanaman kenaf di Malaysia bermula secara komersial pada 2010 di tanah seluas 1,600 hektar sebelum meningkat kepada 2,000 hektar pada 2014 dengan penghasilan 16,000 batang kenaf atau lapan tan per hektar.
Katanya, daripada 16,000 batang kenaf itu, sebanyak 25 peratus gentian dengan kadar 4,000 tan atau RM6 juta dapat dihasilkan manakala 75 peratus pula empulur dengan penghasilan 12,000 tan (RM7.2 juta).
"Hasil usaha berterusan LKTN mempromosikan tanaman itu, ramai pihak kini sedar manfaat serta kebaikan kenaf yang menjurus mesra alam dan jika dibandingkan gentian lain seperti sawit, ia lebih tahan lasak serta mampu bertahan lama.
"Penanamannya juga tidak cerewet kerana ia boleh ditanam di kawasan terbiar seperti sawah dan bekas tapak penanaman tembakau," katanya.
Menurutnya, pihak LKTN sedang giat membantu beberapa usahawan di Terengganu, Kelantan dan Selangor yang kini terbabit dalam industri pembuatan berasaskan kenaf seperti perabot, panel dinding dan lantai.
"Hasil kajian turut mendapati kenaf juga sesuai digunakan dalam industri perumahan sebagai komponan bahan binaan seperti panel, lantai, siling dan juga papan serpai kerana tahan panas, sejuk serta tidak dimakan serangga perosak, selain mampu menjimatkan kos.
"Malah, Institut Automotif Malaysia sudah menunjukkan minat terhadap gentian kenaf berikutan kesesuaiannya dijadikan alternatif kompenan automotif seperti panel pemuka, 'insulator' dan 'bumper'," katanya. - Azlan Hafeedz/ myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.