Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 23 November 2014

Keenakan Mi Kicap Ipoh

Walaupun telah empat dekad di pasaran namun rasa mi kicap Mat Jasak tidak pernah berubah. Foto: Kosmo!

Legasi perniagaan mi kicap Mat jasak diteruskan oleh anaknya, Norhayati. Foto: Kosmo!

Para pelanggan sanggup datang dari jauh semata-mata ingin menikmati mi kicap Ipoh. Foto: Kosmo!


SEBUT sahaja mi kicap Ipoh, pasti terbayang sepinggan mi kuning berkuah kicap dengan tauge, hirisan daun bawang, sos lada dan taburan bawang goreng. Menjadi pelengkapnya ialah semangkuk sup berisi bebola dan filet ikan serta fucuk.
Mi berkuah kicap seperti ini sebenarnya ada di tempat lain cuma bezanya mi kicap di bandar raya Ipoh, Perak memiliki keistimewaan tersendiri. Makanan masyarakat Cina ini telah diubah suai mengikut cita rasa penggemar Melayu.
Keenakan mi kicap terletak pada campuran kuah kicap dan sup yang disediakan. Ada penggemarnya suka mi kicap cair tetapi ada juga gemarkan kuah kicap yang pekat. Semuanya bergantung kepada selera masing-masing.
Mereka yang bukan penggemar sup pula boleh memilih kuah mi kari untuk dimakan bersama mi kicap. Sebab itulah, mana-mana gerai yang menjual mi kicap di Perak turut menyediakan mi kari kepada pelanggan.
Terdapat banyak gerai makan yang menjual mi kicap di sekitar Ipoh, malah ada antaranya dibuka awal pagi hingga tengah malam. Lokasi terbaik hidangan ini bergantung kepada selera penggemarnya.
Bagaimanapun, salah sebuah gerai yang pastinya menjadi tumpuan di bandar raya Ipoh ialah Mee Kari Haji Daud Mat Jasak (atau disebut mi kicap Mat Jasak) yang terletak di Jalan Datuk Onn Jaafar. Lokasinya pula tidak sukar dicari.
Populariti gerai mi kicap ini menyebabkan ia menjadi tumpuan pengunjung setiap hari termasuklah yang datang dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Kisah perniagaan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak bermula kira-kira 42 tahun lalu. Allahyarham Daud Mat Jasak yang merupakan anak jati Lambor Kanan, Parit ketika itu membuat keputusan berhijrah ke Ipoh bagi memulakan kehidupan baharu. 
Beliau bersama isterinya, Allahyarhamah Masitah Abd. Kohor kemudian menetap di Kampung Manjoi, Ipoh dan berniaga mi kari di tepi kaki lima Jalan Datuk Onn Jaafar iaitu lokasi gerai yang sama wujud pada hari ini.
Setiap hari beliau yang ditemani isteri mengayuh basikal sejauh kira-kira lima kilometer dengan jualan hanya cukup-cukup makan. Hasil pergaulan dengan rakan-rakan berketurunan Cina memberi ilham kepada Daud untuk menjual mi kicap apabila mendapati makanan itu digemari orang-orang Melayu.
Hanya pada tahun 1985 perniagaan mi kicap dan mi kari Daud semakin maju berkat kesungguhan beliau.
Kini, terdapat empat cawangan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak di Ipoh dan Tapah selain gerai asal di Jalan Datuk Onn yang dikendalikan sebahagian daripada sembilan orang anak-anaknya. Daud meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia 85 tahun.
Anak ketujuh beliau, Norhayati menguruskan gerai asal bersama seorang lagi adiknya. Gerai ini dibuka seawal pukul 8 pagi sehingga 2 petang dan dibuka semula pukul 4.30 petang hingga 10 malam.
Menurut Norhayati, penyediaan kuah kicap, kari dan sup dilakukan mengikut sukatan tertentu termasuk rempah-ratus. Beliau hanya mengingati sukatan dan cara menyediakannya tanpa merujuk resipi.
Katanya, kaedah yang sama dipraktikkan Allahyarham bapanya dahulu. Operasi hariannya dibantu empat orang pekerja serta anak sulungnya, Mohamad Ashraf Mohamad Raffek, 23.
“Setiap hari kami menggunakan kira-kira 15 kilogram (kg) mi kuning, 12kg kuetiau, 6kg tauge dan kira-kira 1,000 biji campuran bebola dan filet ikan.
“Rasa mi kicap dan mi kari di gerai ini tidak pernah berubah sejak 42 tahun lalu. Ini juga merupakan cabaran kepada kami untuk mengekalkan perniagaan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak,” ujar Norhayati.
Sementara itu, Mohamad Ashraf yang merupakan graduan dalam bidang kulinari daripada sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota mengakui cabaran besar untuk meneruskan perniagaan warisan keluarganya itu.
Bagi mempelbagaikan lagi pilihan pelanggan, beliau memperkenalkan pan mi, yi mi dan mi segera bagi menggantikan mi kuning jika diminta pelanggan.
“Sebagai generasi baharu, saya ingin pastikan perniagaan Daud Mat Jasak dapat mengekalkan apa yang telah diberikan kepada pelanggan selama ini,” ujarnya.
Satu lagi lokasi mi kicap yang mendapat tempat di hati penggemarnya ialah gerai mi kicap stadium atau dikenali juga dengan nama mi kicap Cina. Gerai ini antara yang kerap mendapat ulasan positif daripada penggemarnya di laman blog percutian dan makanan.
Gerai bernombor 98 ini terletak di Medan Selera Stadium Ipoh berdekatan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh.
Mi kicap di sini disediakan hampir sama seperti mi kicap masyarakat Cina kerana pengusahanya, Harman Rashidi, 34, mewarisi resipi ibunya yang berketurunan Tionghua.
Hidangan asasnya ialah mi kuning berkuah kicap pekat, sambal lada dan kuah sup berisi dua keping filet ikan. Ada juga pelanggan yang memesan kedua-duanya iaitu sup dan semangkuk kuah mi kari.
Sepinggan mi kicap berharga RM5, manakala tambahan bahan-bahan di dalam sup seperti bebola ikan, bebola sotong, bebola udang dan isi ketam pula dikenakan harga tertentu.
Menurut Harman, keluarganya mula berniaga mi kicap dan mi kari kira-kira sedekad lalu bermula di Silibin dan kemudian ke Manjoi sebelum berpindah ke gerai sedia ada pada tahun 1998.
Katanya, perniagaan keluarga itu diusahakan secara kecil-kecilan dan tidak berhasrat untuk membuka cawangan lain.
“Gerai ini dibuka setiap hari bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dengan waktu paling sibuk antara pukul 8 hingga 10 pagi iaitu pelanggan datang untuk bersarapan.
“Pernah juga pelanggan datang ramai secara berkumpulan menyebabkan kami tidak menang tangan melayan mereka,” ujarnya yang memberitahu, perniagaan itu hanya dibantu oleh ahli keluarga.
Akuinya lagi, mi kicap menjadi antara makanan yang cukup digemari di bandar raya itu dan sebagai anak jati Ipoh, beliau amat berbesar hati apabila dapat menyumbangkan sesuatu yang boleh melonjakkan nama tempat kelahiran sendiri.
Sementara itu, penggemar mi kicap, Nur Athiqah Ahmad Bahalal, 26, memberitahu, dia kerap berkunjung ke beberapa gerai di bandar itu kerana setiap satunya memiliki keistimewaan tersendiri.
“Saya tidak mempunyai gerai pilihan dan ada ketikanya mengikut pilihan rakan-rakan. Misalnya, ke gerai mi kicap stadium kerana terletak tidak jauh dari pejabat.
“Di gerai ini, saya menggemari supnya bersama filet dan bebola ikan terutama semasa disajikan panas-panas,” ujar eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.
Seorang lagi penggemar, Siti Nor Amira Othman, 26, memberitahu keunikan makanan itu telah meletakkan bandar raya Ipoh dalam peta pelancongan tempatan sekali gus menjadi kebanggaan warganya.
Jelasnya, beliau berbangga kerana keenakan mi kicap Ipoh dikenali sehingga ada rakan-rakannya dari negeri lain sanggup datang bercuti di Ipoh semata-mata untuk mencubanya. - Zaki Salleh/ Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.