Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 10 Disember 2014

Hotel Reput

Grossinger's Resort, salah sebuah hotel usang.di kawasan Borscht Belt di Catskill, New York

Pemandangan di sebelah dalam bangunan hotel reput

Ruang legar Homowack Lodge yang berwarna-warni.

Homowock Lodge memiliki gelanggang boling sendiri.

Kawasan tepi kolam Grossinger’s Resort.


Kawasan dikenali sebagai Borscht Belt di Catskill, New York pernah popular satu ketika dulu sebagai tempat peranginan untuk kelas pertengahan terutama masyarakat keturunan Yahudi di kota itu. 
Ketika zaman kegemilangannya, lokasi itu mempunyai lebih 600 hotel dan kem musim panas yang sering dikait­kan dengan kehidupan mewah serta glamor. 
Namun kemewahannya kini hanya tinggal kenangan dan agak me­ngerikan walaupun masih mengekalkan kecantikan dalam kesuramannya.
Kawasan itu juga pernah dipopularkan dalam filem Dirty Dancing lakonan Patrick Swayze kerana menjadi lokasi penggambarannya.
Kebanyakan hotel paling mewah dan terkenal di kawasan berkenaan yang popular pada era 1960-an malangnya kini dibiarkan reput dan dimamah usia. 
Seorang artis Marisa Scheinfeld yang membesar tidak jauh dari situ mengambil kesempatan merakamkan keindahan hotel-hotel mewah ini yang kini dipamerkan di Muzium Universiti Yeshiva sehingga April 2015.
“Pada saya bangunan-bangunan tinggal ini tetap cantik dengan caranya yang tersendiri. Walaupun runtuhannya boleh disamakan de­ngan kejatuhan era yang penuh kegemilangan, hakikatnya ia masih ‘hidup.’
“Walaupun tidak lagi menjadi hotel untuk golongan kaya dari pantai timur negara ini, ia tetap ‘dihuni’ pelbagai spesies haiwan serta tumbuhan. Jadi, walaupun manusia mengabaikannya, ia masih memainkan peranan penting,” katanya. - myMetro

Akibat Gagal Bayar Sewa Kubur

Seorang pembersih kubur di Guatemala sedang mengeluarkan tengkorak dari sebuah kubur

Ini ialah satu daripada mayat yang warisnya tidak mampu membayar ‘sewa’ tapak kubur peribadi

Pekerja pembersihan kubur ini mengosongkan kubur untuk disewakan kepada pelanggan baru.


Berbekalkan tukul dan topeng bagi melindungi mukanya, seorang pembersih kubur di Guatemala mula menjalankan tugas memecahkan binaan kubur dan mengeluarkan apa sahaja yang berada di dalamnya.
Tengkorak manusia lengkap dengan rambut ditarik keluar daripada sebuah binaan kubur gelap dan sebuah keranda kecil bayi dihias bunga putih dikeluarkan dari satu lagi kubur. 
Lelaki berkenaan memindahkan mayat yang warisnya tidak mampu membayar ‘sewa’ tapak kubur peribadi dan sebaik sahaja tempoh sewaan tamat, pekerja pembersihan kubur akan datang dan mengosongkan ruangan berkenaan untuk pelanggan baru.
Mayat yang tidak dituntut akan disimpan di dalam beg plastik, dilabel dan dihantar ke tanah perkuburan besar untuk dikebumikan semula.
Kebanyakan mayat yang dikeluarkan sudah reput namun mayat yang dikebumikan di ‘tingkat atas’ yang berkeadaan panas dan kering, akan terawet secara semula jadi, menjadikannya seperti mumia. 
Penampilan petugas pembersihan kubur di Guatemala tidak jauh beza dengan buruh binaan atau pekerja di pusat kitar semula. 
Beg berisi mayat yang reput akan ditimbunkan membuatkannya kelihatan seperti timbunan sampah sebelum dipindahkan menggunakan foklif ke kawasan perkuburan baru. 
Dalam satu gambar yang dirakamkan, mayat berambut panjang yang masih elok dilihat ‘tersepit’ dicelah timbunan beg mayat yang akan dipindahkan. 
Satu lagi ‘mumia’ dengan kaki dimasukkan ke dalam beg plastik diletakkan di tepi dinding yang tertulis ‘jangan buang sampah disini.’ 
Apabila mayat sudah dipindahkan, banyak keranda yang akan dilupus diletakkan di tempat pembuangan sampah dan kayu reput berhampiran kawasan perkuburan. 
Mayat yang dituntut waris akan diletakkan di dalam kotak kecil dan dihantar ke tanah perkuburan awam. 
Jurugambar yang merakamkan proses berkenaan, Jorge Dan Lopez berkata pemandangan itu mengerikan namun sangat menarik. 
“Burung hering beterbangan mengelilingi kawasan perkuburan seolah-olah memerhatikan setiap gerak-geri pekerja yang memindahkan mayat berkenaan. 
“Saya dapat melihat pelbagai keadaan mayat dan ia suatu pemandangan yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Semuanya, dari tapak kubur sehingga hujung rambut mayat mengeluarkan bau yang menusuk hidung,” katanya. - myMetro

Selasa, 9 Disember 2014

Jutawan Britain Bebas Tuduhan Bunuh Isteri

Ahli perniagaan Britain yang didakwa mengupah pembunuh untuk membunuh isterinya dibebaskan

Dewani didakwa membayar AS$1,300 (RM4,542) kepada Zola Tongo dan dua lelaki lain untuk menculik serta membunuh isterinya

Dewani bagaimanapun, menafikan tuduhan terhadapnya.

Hakim Jeanette Traverso yang mempersoalkan kredibiliti saksi-saksi pendakwa raya memutuskan membebaskan Dewani

Selepas hakim membebaskan Dewani, dia dilihat muram

Dewani dituduh mendalangi plot membunuh isterinya, Anni semasa mereka berbulan madu di Afrika Selatan pada tahun 2010

Foto yang dirakamkan semasa pernikahan pasangan ini di Mumbay, India


CAPE TOWN, Afrika Selatan – Sebuah mahkamah tinggi di sini semalam membebaskan seorang ahli perniagaan warga Britain yang didakwa mengupah beberapa lelaki untuk membunuh isterinya semasa mereka berbulan madu empat tahun lalu.
Ahli perniagaan tersebut, Shrien Dewani didakwa membayar AS$1,300 (RM4,542) kepada seorang pemandu teksi, Zola Tongo dan dua lelaki lain untuk menculik serta membunuh isterinya, Anni pada November 2010.
Ketiga-tiga lelaki itu sebelum ini memberi ketera­ngan bahawa mereka telah diupah oleh Dewani untuk membunuh isterinya. Ia merupakan persetujuan dengan pihak pendakwa raya bagi mengurangkan hukuman mereka selepas didapati bersalah membunuh mangsa.
Dewani bagaimanapun, menafikan tuduhan ber­kenaan.
Barisan peguam Dewani pada bulan lalu memohon kepada mahkamah untuk membuang kes tersebut dengan hujah kekurangan bukti kukuh dan terdapat beberapa pencangahan dalam keterangan beberapa saksi utama.
Hakim Jeanette Traverso yang sebelum ini mempersoalkan kredibiliti saksi-saksi pendakwa raya memutuskan untuk membebaskan Dewani.
“Permohonan pihak pembelaan diterima dan tertuduh didapati tidak bersalah atas tuduhan tersebut,” katanya.
Selepas keputusan ber­kenaan, Dewani dilihat muram dan hanya menun­dukkan kepalanya ketika kembali semula ke bilik tahanan.
Dia dijangka dibebaskan pada hari yang sama dan kembali semula ke Britain. – Reuters/ Kosmo!

Isnin, 8 Disember 2014

Wanita Nampak Tua Berbanding Usianya

Pasti ramai tidak percaya Hu Juan sebenarnya berusia 28 tahun

Ini ialah wajah Hu Juan sebelum melahirkan anak pertama 11 tahun lalu

Hu disahkan menghidap kecelaruan kulit dinamakan Cutis laza.

Pada tahun 2003, semasa berusia 18 tahun Hu telah berkahwin dan melahirkan seorang anak lelaki

Hu bersama suaminya ketika sesi rawatan


SHANGHAI - Seorang wanita berusia 28 tahun yang berasal dari Zhengzhou, Henan, tiba di bandar raya ini minggu lalu untuk mendapatkan khidmat pembedahan kosmetik selepas dia disahkan menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia kelihatan jauh lebih tua.
Selepas melahirkan anak pertama 11 tahun lalu, wajah Hu Juan berubah, melihatnya dia tua lebih cepat dari sepatutnya.
Walaupun baru berusia 28 tahun, mukanya seperti wanita yang berumur 60 atau mungkin 70 tahun, lapor agensi berita Xinhua.
Hu disahkan menghidap kecelaruan kulit dinamakan Cutis laza.
Penyakit itu menyebabkan kulitnya menjadi longgar, merebeh dan berkedut. Ia hanya berlaku pada muka dan leher Hu.
Kurang dari 10 orang disahkan menghidap penyakit itu di dunia dan Hu satu-satunya orang di China yang berdepan penyakit itu, lapor Xinhua.
Setakat ini, tidak ada rawatan berkesan, tetapi pembedahan plastik boleh membantu.
Sepanjang 11 tahun lalu, suaminya sentiasa bersamanya dan tidak pernah merungut melihat wajah isterinya berubah menjadi nenek.
Hu pula mengelak daripada keluar rumah atau melihat cermin. Dan sejak kebelakangan ini, dia menyedari anaknya mula menjauhkan diri serta malu memberitahu rakannya bahawa dia adalah ibunya.
Sebuah klinik di Shanghai bersedia membantu, tetapi doktor setakat ini kurang yakin dengan hasil yang akan dicapai. - Agensi/ myMetro

Jual Kuih Akok 1,000 Biji Sehari

Nik Faizah Nik Abdul Rahman, 60, menjadikan rumahnya sebagai pusat pengeluaran beraneka kuih.

Murtabak diraja sejuk beku adalah di antara makanan yang dihasilkan oleh Nik Faizah.

Pelanggan tidak putus-putus datang membeli walaupun ketika hujan.

Seorang pekerja Nik Faizah mengisi adunan kuih akok ke dalam acuan sebelum dibakar.

Kuih piana bukan saja popular dalam kalangan orang tempatan, tetapi turut diminati pelancong Timur Tengah.

Inilah rupa kuih akok yang dihasilkan Nik Faizah, lembut dan enak.

Ini pula ialah bubur asyura yang mendapat tempahan tinggi ketika musim mengacau.


Kerap kali orang mengidam kuih tradisional Kelantan termenung panjang. Kuih yang diidam ibarat bergentayang di tubir mata.
Namun, kalau hendak merasa, entah bila dapat dicuba. Usik orang dulu-dulu, kalau tak dapat melepaskan kepingin, elok dicuit kuih diidam ke mulut bayi. Kalau tidak, meleleh air liur si kecil tak berkesudahan.
Sekarang umpamanya, jika dirisik-risik rakan terdekat, pasti jawapannya kena tunggu bulan puasa.
Memang Ramadan punya kuasa menukar segala menu kepada yang enak dan aneh belaka. Masa itulah muncul pelbagai juadah dari negeri Cik Siti Wan Kembang.
Begitupun, orang Kelantan tidaklah mudah kempunan macam yang di bandar. Banyak manisan dan kuih tradisional boleh dibeli di Pasar Khadijah, Kota Bharu.
Cuma orang di Kuala Lumpur dan negeri lain yang berjauhan saja yang mudah termimpi-mimpikan tahi itik, pauh dilayang, jala mas, nekbak, piana, buah tanjung dan akok.
Justeru, kesempatan Nuansa ke Kota Bharu minggu lalu digunakan sebaiknya untuk meneroka keistimewaan kuih tradisional Kelantan yang turut digelar manisan diraja.
Musim tengkujuh di Kelantan bermula sejak awal November lalu. Hujan tidak henti berselang-seli lebat dan gerimis.
Biarpun demikian, premis niaga Serimas D'Royal Murtabak tidak putus-putus dikunjungi pelanggan sejak pagi.
Menurut pengusahanya, Nik Faizah Nik Abdul Rahman, 60, bengkel kuihnya dibuka seawal 8 pagi setiap hari dan mula dibanjiri pelanggan sejam kemudian.
Antara juadah yang menjadi rebutan pelanggan adalah murtabak diraja, kuih akok, jala mas, buah tanjung dan cik mek molek.
"Orang tempatan adalah pelanggan tetap setiap hari. Ada yang membeli untuk sajian di rumah, ada juga yang berborong untuk majlis tertentu atau dijadikan buah tangan kepada saudara jauh.
"Ada ketikanya kita juga menerima tempahan dari istana untuk majlis tertentu, tempahan syarikat korporat untuk pek cenderahati dan pencuci mulut, sajian untuk majlis kahwin serta permintaan menggubah manisan untuk dijadikan hantaran pernikahan.
"Pendek kata, rumah ini (yang sebahagiannya dijadikan bengkel memasak) tidak pernah lekang dengan pengunjung dan pelanggan dari serata pelosok negara," katanya.
Dari jauh, kedengaran pula suara pekerja Nik Faizah menyampuk. Meriah laman rumah tatkala dipenuhi bas dan kenderaan dari luar katanya. Mereka datang dari jauh semata-mata untuk mencuba kuih tradisi Kelantan.
Bercerita mengenai asal usul perniagaannya, Nik Faizah berkata, perusahaan kuih tradisi itu diwarisi daripada arwah ibunya, Nik Sarimah Nik Omar.
"Dulu mak buat (kuih) ikut tempahan. Tapi sekarang saya dan anak-anak komersialkan dengan bantuan lapan pekerja.
"Kami berniaga setiap hari dan menyiapkan tempahan yang diterima. Selain permintaan dari istana dan orang tempatan, tempahan juga banyak diterima dari seluruh negara dan Singapura.
"Resepi tiap-tiap juadah masih lagi sama sebagaimana saya pelajari daripada arwah mak. Semua sukatan dan bancuhan saya kendalikan sendiri. Pekerja hanya perlu masak," katanya.
Ketika membandingkan kualiti kuihnya dengan juadah sama di pasaran luar, Nik Faizah berkata, ramai yang memuji resepinya lebih asli dan enak.
Buktinya, pihak istana masih menempah pelbagai menu istimewa dari dapur Serimas D'Royal Murtabak.
"Selain manisan dan murtabak, kita juga ada itik solo, cik banding, kuzi ayam, kabat daging, dalca, nasi tumpang dan asyura.
"Majoriti juadah ini adalah hidangan istana dan sukar ditemui di kedai," katanya.
Dalam pada duduk bersembang, penulis tergamam apabila diberitahu kuih akok dibuat mencecah 4,000 biji sehari.
Kata Nik Faizah, jualan akok, jala mas dan tahi itik laris berbanding manisan lain di premisnya.
"Sekurang-kurangnya 1,000 biji akok dijual setiap hari. Tapi selalunya ia berganda kerana permintaan tinggi.
"Bulan puasa, akok dihasilkan mencecah 10,000 biji sehari untuk memenuhi permintaan pembeli, peniaga, pihak hotel dan restoran besar.
"Ketika itu, kita terpaksa ambil lebih ramai pekerja dan membahagikan mereka kepada dua syif. Begitupun, saya berbesar hati kerana resepi keluarga menjadi kesukaan ramai," katanya. - Intan Mas Ayu Shahimi/ myMetro