|
Penunjuk perasaan menggunakan lastik semasa pertempuran dengan polis rusuhan di pusat bandar Kiev |
|
Anggota polis rusuhan berdiri di atas Dataran Kemerdekaan, yang menyerupai zon perang |
|
Protes anti kerajaan berterusan sejak November tahun lalu |
|
Pasukan Kementerian Dalam Negeri berusaha memadamkan api di Dataran Kemerdekaan pada hari Rabu |
|
Seorang penunjuk perasaan anti-kerajaan sedang menerima rawatan di dalam gereja St Michael di Kiev |
|
Seorang penunjuk perasaan sedang mengumpulkan batu |
|
Kumpulan penunjuk perasaan bersiap sedia dengan bom petrol |
|
Dua penunjuk perasaan anti-kerajaan Ukraine berlindung di belakang perisai |
KIEV - Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban dalam pertempuran ganas antara pihak polis dan kumpulan penunjuk perasaan di tengah bandar raya ini kelmarin.
Kementerian Kesihatan Ukraine memberitahu, sejumlah 241 orang lagi cedera termasuk 79 anggota polis dan lima wartawan dalam kejadian yang dianggap terburuk di negara itu.
Pertempuran tercetus pada pagi kelmarin apabila pihak berkuasa cuba menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun di Dataran Kemerdekaan di tengah Kiev.
Kumpulan penunjuk perasaan cuba mempertahankan dataran berkenaan yang dikuasai mereka sejak November lalu dengan membaling bom petrol dan batu terhadap polis.
Beberapa saksi berkata, lokasi pertempuran umpama zon perang dengan api dan asap tebal menyelubungi dataran berkenaan.
Para penunjuk perasaan turut menggunakan perisai dan topi keledar ketika bertempur dengan polis antirusuhan.
Pertempuran ganas itu menyebabkan berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang cedera dan keletihan bergelimpangan di atas jalan raya.
Seorang doktor, Lena Liventsova berkata, dia bekerja selama 24 jam bagi merawat mangsa yang cedera dalam kejadian itu.
Katanya, majoriti penunjuk perasaan cedera akibat terkena bom tangan dan ramai juga mangsa yang terkena tembakan daripada peluru getah serta peluru hidup.
Kekacauan di Ukraine mula tercetus pada November tahun lalu selepas penunjuk perasaan membantah tindakan Presiden Viktor Yanukovych menolak perjanjian untuk membawa negara itu menganggotai Kesatuan Eropah. - Agensi/Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.