Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 29 Mac 2014

Biola Tua Bernilai RM147 Juta?

Biola yang dibuat pada tahun 1719 yang akan dilelong pada Jun depan

Imej biola yang dibuat pada tahun 1719 oleh Antonio Stradivari dari jarak dekat


NEW YORK - Sebuah biola yang dibuat pada tahun 1719 oleh Antonio Stradivari akan dilelong oleh firma lelongan Sotheby's. 
Biola itu dijangka dilelong pada harga lebih AS$45 juta (RM147 juta) pada Jun depan. 
Setakat ini, hanya 10 biola buatan Stadivari yang masih ada dalam simpanan peribadi. 
Biola yang akan dilelong itu dikenali sebagai Macdonald kerana ia pernah dibeli oleh golongan bangsawan Ireland, Baron Macdonald, Godfrey Bosville Ketiga pada tahun 1820-an. 
Ia kemudian menjadi milik mendiang Peter Schidlof pada tahun 1964. 
Firma Sotheby's kini mewakili pihak pentadbir hartanah Schidlof untuk melelong biola tersebut. 
Jika ia berjaya dijual pada harga lebih RM147 juta itu, biola tersebut akan mencipta rekod lelongan paling tinggi di dunia. 
Sebelum ini, biola yang dibuat pada tahun 1791 dan dikenali sebagai Lady Blunt dilelong pada harga AS$15.9 juta (RM51.95 juta) pada tahun 2011. 
Lelongan itu dibuat menerusi online. - AP/Kosmo!

Jumaat, 28 Mac 2014

Pesawat MAS Ke Hong Kong Ditukar Saat Akhir

MAS tukar pesawat penerbangan ke Hong Kong sejurus sebelum berlepas pagi semalam akibat isu teknikal. Foto: Wikimedia

Para penumpang dipindahkan dari Boeing 777-200ER ke Boeing 737-800 yang berlepas pada jam 9.34 pagi. Foto: Wikimedia


KUALA LUMPUR - Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) terpaksa menukar pesawat untuk penerbangan ke Hong Kong sejurus sebelum berlepas pagi semalam akibat isu teknikal. 
Disebabkan isu itu, penumpang dipindahkan dari Boeing 777-200ER ke Boeing 737-800 yang berlepas pada jam 9.34 pagi. 
MAS dalam kenyataan semalam berkata, pesawat Boeing 777-200ER itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.15 pagi dan tiba di Hong Kong pada 1 tengah hari sebelum penumpang terpaksa dipindahkan ke pesawat lain. 
“Keselesaan penumpang menjadi keutamaan kami, jadi penukaran pesawat dilakukan untuk kerja baikpulih serta mengelakkan kelewatan,” katanya. - myMetro

Lukis Tatu Resit McDonald Di Lengan

Stian Ytterdahl, 18, dari Norway membuat tatu resit kedai makanan segera McDonald’s pada lengan kanannya

Tatu yang hampir memenuhi keseluruhan lengan Ytterdahl menunjukkan senarai makanan yang dibelinya di McDonald’s


OSLO - Seorang remaja 18 tahun dari Norway melakukan sesuatu yang dianggap pelik apabila mentatu resit kedai makanan segera McDonald’s pada lengan kanannya. 
Stian Ytterdahl yang berasal dari Lorenskog berkata rakannya mahu menghukumnya kerana dikatakan terlalu “aktif dengan perempuan”. 
Tujuan sebenar tindakannya itu belum diketahui tetapi kawannya memberi dia dua pilihan sama ada mentatu gambar Barbie pada punggungnya atau tatu resit McDonald’s pada lengannya. 
Kedai Tatu Sabelink di Lillestrom melukis tatu berkenaan kelmarin. 
“Kini saya seperti papan tanda bergerak tetapi ia hanya untuk seronok-seronok. 
Mungkin ia akan jadi tidak seronok selepas saya berusia 50 atau 60 nanti. 
Namun ia pilihan saya,” kata Stian. 
Tatu itu yang hampir memenuhi keseluruhan lengannya menunjukkan senarai makanan yang dibeli di McDonald’s.
Jurucakap McDonald’s Norway berkata Stian memang pelanggan yang “setia”. - myMetro

Tikus Gergasi Dalam Rumah

Tikus gergasi yang ditangkap di rumah keluarga Bengtsson-Korsås.

Tikus ini ditakuti oleh kuching keluarga Bengtsson-Korsås

Jerat tidak mampu menghalang pergerakan tikus gergasi ini


STOCKHOLM - Satu keluarga di Sweden terkejut besar apabila mendapati tikus yang selama ini berkeliaran di rumah mereka bersaiz gergasi. 
Keluarga Bengtsson-Korsås mula mengesan sesuatu yang pelik apabila kucing peliharaan mereka, Enok enggan masuk ke dapur kediaman mereka di Solna, Stockholm. 
Kejutan berlaku selepas mereka melihat sendiri tikus yang membuatkan kucing mereka ketakutan itu berukuran 38 sentimeter. 
Tikus itu berjaya masuk ke dalam rumah berkenaan melalui lubang yang dibuat di celahan panel kayu dan konkrit. 
Sebelum ini, tikus itu tidak pernah kelihatan sehinggalah keluarga itu mengalihkan tong sampah di dapur rumah mereka. 
“Saya ketakutan. Ia sangat besar sehingga saya tidak dapat mengenal pasti apakah benda itu sebenarnya dan sebaik melihatnya, saya terus melompat ke atas meja,” kata Signe Bengtsson-Korsås. 
Tikus gergasi itu selesa “menetap” di sebalik sinki dan turut menyebabkan salurannya bocor kerana digigit haiwan berkenaan. 
Usaha keluarga itu untuk menghalaunya tidak berhasil sebaliknya tikus gergasi itu berani menunjukkan dirinya dan berkeliaran di dapur. 
Khidmat kawalan makhluk perosak dipanggil bagi memasang jerat yang digunakan industri untuk menangkap tikus berkenaan dan tidak lama selepas itu satu dari jerat itu mengena. 
Bagaimanapun, apabila diperiksa, jerat itu hilang. 
Jerat yang dipasang tidak mampu menghalang pergerakan tikus gergasi itu. 
“Haiwan itu tidak mati terkena jerat sebaliknya melarikan diri bersama jerat itu. Ia kemudiannya masuk di celah kayu dan tersekat di situ sebelum mati tercekik,” katanya.- Agensi/myMetro

Lampu LED Mampu Jimatkan Tenaga Elektrik

Lampu diod pemancar cahaya (LED). Foto: Wikipedia

Berbagai bentuk lampu LED yang ada dijual di pasaran pada masa ini. Foto: Wikipedia

Lampu LED yang boleh menggantikan lampu kalimantang. Foto: Energy Wise

Suasana sebuah ruang bilik yang menggunakan lampu LED. Foto: Wikipedia

Perbezaan lapangan yang menggunakan lampu LED dan lampu biasa. Foto: Fremont Universe

Lampu LED turut digunakan pada kenderaan. Foto: University of Tartu


MENGGANTIKAN mentol biasa dan halogen dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) di rumah mungkin menjadi antara petua penjimatan elektrik terbaik pada dekad ini. 
Penggunaan LED sebagai lampu di rumah mampu menjimatkan elektrik sehingga 90 peratus kerana ia menggunakan kapasiti tenaga paling minimum. 
Lampu LED yang menggunakan kapasiti elektrik sebanyak 12.5 watt mampu memberi pencahayaan sama terang dengan lampu biasa yang berkadar 80 watt. 
Malah, cahaya dihasilkan LED lebih selamat kerana ia tidak membebaskan sinar ultra ungu yang berbahaya kepada kulit dan memberi keselesaan terhadap mata. 
Selain itu, jangka hayat LED juga lebih lama sehingga 50,000 jam atau bersamaan 15 hingga 20 tahun berbanding lampu halogen dan kalimantang yang mudah rosak akibat kepanasan jika dipasang terlalu lama. 
Pengurus Besar (Bahagian Produk Lampu) Philips Malaysia, Adrine Ong berkata, LED juga tidak menggunakan bahan berbahaya seperti plumbum dan raksa sebagaimana yang terdapat pada mentol lampu. 
“Pengguna hari ini sentiasa mahu kepada produk yang selamat. Mereka juga lebih gemar untuk memilih produk yang mampu memberikan penjimatan. 
“LED menawarkan penjimatan tenaga yang efisien untuk menerangi ruang rumah, pejabat dan tempat awam dengan lebih terang,” kata Adrine. 
Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenal produk inovasi lampu Philips LED the Way di Hotel Garden Kuala Lumpur baru-baru ini. 
Dalam majlis itu, lebih 10 model lampu LED untuk kegunaan rumah, ruang pejabat dan tempat awam diperkenal. 
Antara produk LED diperkenal ialah mentol, lampu tiub menggantikan kalimantang, variasi lampu siling, lampu jalan dan lampu hiasan di ruang tamu serta dapur rumah. 
Ujar Adrine lagi, penggunaan LED juga tidak menyebabkan ruang rumah atau pejabat menjadi panas akibat pembebasan haba. 
“Lampu biasa yang kita guna sejak berpuluh tahun dahulu bukan sahaja menggunakan tenaga elektrik yang banyak, tetapi juga membebaskan banyak haba dan menyebabkan pengguna berasa tidak selesa akibat panas. 
“Pembebasan haba daripada lampu juga menyebabkan pendingin hawa menggunakan lebih banyak elektrik untuk menjadikan ruang rumah atau pejabat sentiasa sejuk. 
“Jadi, penggunaan lampu sebenarnya mempunyai fungsi yang tidak kurang penting terhadap langkah awal penjimatan elektrik,” kata Adrine. 
Menurut beliau lagi, meskipun kos untuk membeli dan memasang lampu LED lebih tinggi berbanding mentol biasa, ia sebaliknya menawarkan penjimatan jangka panjang. 
Tambah Adrine, persekitaran di tempat awam yang gelap juga akan lebih selamat daripada bahaya sinaran ultra ungu sekiranya lampu-lampu jalan jenis mentol biasa diganti dengan LED. 
“Di Philips, kita mendapati sebanyak 779 juta tong minyak diguna setiap hari untuk menjana elektrik dan 296 juta tan karbon dioksida dibebas sepanjang tahun disebabkan penggunaan lampu mentol biasa di seluruh dunia. 
“Menyedari semua itu, LED menawarkan pilihan terbaik untuk penjimatan tenaga dan membantu mengawal pencemaran alam sekitar akibat pembebasan gas karbon dioksida,” katanya. 
Adrine menambah, produk lampu LED keluaran Philips menjalani proses inovasi untuk menawarkan penjimatan elektrik secara optimum dan efisien. 
Dalam pada itu, Philips menyasarkan pilihan pengguna terhadap lampu LED di Malaysia melebihi penggunaan mentol biasa di premis pejabat dan rumah kediaman menjelang 2015. 
“Persekitaran akan lebih selamat melalui penggunaan LED. Penggunaan tenaga untuk menjana elektrik seperti minyak dan arang batu juga boleh dijimatkan. 
“Sudah tiba masanya untuk menggantikan lampu-lampu biasa yang banyak menggunakan tenaga kepada LED yang lebih efisien,” kata Adrine. - Kosmo!