Dr Lo Siaw Ging tidak mengenakan bayaran kepada pesakit kurang mampu. Foto: Sindonews.com |
Diagnosis dan ubat yang diberikan oleh Dr Lo juga selalu tepat. Foto: Viva News |
Dr Lo jadi doktor sejak zaman pemerintahan Soekarno. Foto: Detik.News |
"Jika 40 peratus pesakit saja yang bayar rawatan, sudah cukup untuk hidup..." kata Dr Lo. Foto: Merdeka |
Dr Lo Siaw Ging menjadi tumpuan ketika kos perubatan dan hospital yang begitu mahal ketika ini. Doktor berusia 80 tahun ini mempunyai komiten untuk tidak mengenakan bayaran kepada pesakit kurang mampu yang mendapatkan rawatan daripadanya.
Dr Lo dikenali bukan hanya disebabkan diagnosis dan ubat yang diberikannya selalu tepat, tetapi dia juga merupakan doktor yang tidak mementingkan bayaran. Bagi pesakit yang tidak mampu, Dr Lo akan memberikan rawatan secara percuma. Selain itu, mereka yang berkenaan juga diberikan ubat secara percuma.
"Perkara ini sudah saya lakukan sejak saya menjadi doktor ketika zaman pemerintahan Soekarno lagi. Apa yang saya lakukan ini bersebab. Saya merasa terpanggil untuk berbakti kepada masyarakat daripada mengejar keuntungan. Wang yang saya dapat sudah cukup untuk menyara kehidupan saya dan isteri saya, Maria Gan May Kwee," ujar Dr Lo ketika ditemu ramah.
Dr Lo berkata, dia menyediakan peruntukan untuk kebajikan sosial dari poket sendiri bagi menampung kos para pesakit yang kurang mampu. Namun, beliau hanya akan menggunakan peruntukan tersebut jika pesakitnya mengikuti prosedur di hospital.
Walaupun kini sudah memasuki usia senja, Dr Lo berjanji akan terus berbakti kepada semua lapisan masyarakat hingga ke akhir hayatnya. Dr Lo menjalankan khidmat rawatan di Kampung Jagalan Jebres mulai jam 6.00 pagi hingga jam 8.30 pagi waktu tempatan.
Dia juga merawat pesakit di Hospital Kasih Ibu Solo mulai jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari, dan mengadakan khidmat rawatan di rumahnya mulai jam 4.00 petang hingga jam 8.00 malam.
Akibat daripada khidmat sosial ini, setiap bulan Dr Lo akan menggunakan wangnya sendiri untuk menjelaskan bil dari farmasi sekitar Rp10 juta (RM2,891) untuk membantu pesakit yang kurang mampu. Untuk bulan Mac sahaja, Dr Lo sudah menerima bil Rp8.8 juta (RM2,544). Namun hal tersebut tidak menghalang hasratnya untuk terus membantu pesakit yang tidak mampu.
"Dia orang yang baik hati dan tidak pilih kasih. Saya sudah 28 tahun menjadi pesakit dan selalu mendapat rawatan percuma," ujar Suyani, seorang pesakit yang tidak mampu yang mendapatkan rawatan daripada Dr Lo.
"Saya sengaja mendapatkan rawatan daripada Dr Lo kerana saya tidak punya wang untuk berubat. Dia terkenal baik dan sentiasa menolong pesakit yang tidak mampu," jelas seorang pesakit lain, Abed Kusdayan.
Perkara yang sama juga dinyatakan oleh seorang petugas di sebuah bank swasta, Nirmala Sari, yang walaupun memiliki skim perlindungan insurans, masih memilih Dr Lo untuk mendapatkan rawatan.
"Dr Lo merupakan seorang yang terkenal, tidak pernah membezakan pesakit sama ada orang tidak mampu atau orang kaya," ujarnya. - Sindonews.com
Lagi kisah doktor berjasa di sini dan di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.