Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 6 Mac 2014

Ibu Mohon Anak Dipenjara 5 Tahun

Sayed Mohamed Sekri dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam kerana mengugut ibunya. Foto; Kosmo!

Hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Sayed bermula daripada tarikh dia ditangkap. Foto: myMetro


KOTA BHARU - “Dia sudah banyak kali buat perkara yang sama, bukan saja kepada saya malah kepada adik-beradik lain. 
“Saya mohon hukuman penjara lima tahun supaya dia insaf dalam penjara,” kata seorang ibu di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad selepas anaknya mengaku salah bagi tuduhan mengugutnya menggunakan pisau pada November tahun lalu. 
Fatimah Ismail, 61, berkata demikian ketika dipanggil Majistret, semalam untuk memberi keterangan selepas anaknya, Sayed Mohamed Sekri Sayed Husin, 32, mengaku bersalah. 
Nik Habri kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tertuduh ditangkap iaitu 23 November 2013. 
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut dengan mengacukan pisau terhadap Fatimah di Kampung Kubang Keranji, di sini, pada jam 8 malam, 23 November 2013. 
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian tertuduh meminta wang RM35 daripada mangsa, tetapi wanita itu memberitahu tiada wang kerana sudah memberinya kepada tertuduh. 
Tertuduh mengeluarkan pisau dan mengacukan ke arah mangsa dengan berkata tidak mahu mendengar mangsa kata tiada wang dan menyuruh ibunya meminjam wang. 
Mangsa yang ketakutan kemudian mengambil wang dan menyerahkannya kepada tertuduh. 
Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan ibunya sudah memaafkannya. 
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh. 
“Saya harap dengan hukuman ini juga dapat menjamin keselamatan mangsa dan penghuni rumah untuk sementara waktu,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.