|
Garaj yang diubahsuai menjadi kediaman Zakaria sekeluarga kelak. Foto: Sinar Harian |
|
Foto arkib 29.6.2013: Zakaria melihat sisa kebakaran rumahnya. Foto: Sinar Harian |
|
Foto arkib 29.7.2013: Keluarga Zakaria dikunjungi jiran dan saudara-maranya. Foto: Sinar Harian |
PASIR MAS – Garaj yang pernah menempatkan tiga kereta milik seorang peniaga pasar malam dan keluarganya kini bakal menjadi rumah mereka, selepas kediaman sebelum itu musnah dalam kebakaran pada 28 Jun lalu.
Zakaria Long, 65, berkata, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiaminya selama 30 tahun itu terbakar.
Namun menurutnya, nasib mereka mendapat perhatian orang ramai dan pemimpin tempatan yang menghulurkan sumbangan berbentuk wang, pakaian serta barangan harian.
“Terima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan pelbagai sumbangan termasuklah barangan membuat rumah.
"Duit hasil sumbangan itu saya gunakan bagi ubah suai garaj ini kepada rumah baru kami sekeluarga.
"Lagi pun, saya tidak perlu banyak perbelanjaan untuk proses ini, sekadar beli keperluan membuat dinding dan tingkap rumah sahaja," katanya.
Zakaria berharap dapat tinggal di rumah tersebut menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, walaupun rumah tersebut agak sempit dan tidak sempurna seperti rumah terdahulu.
Bagaimanapun, dia bersyukur, isteri dan anak-anak tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kemalangan dan hanya berdepan trauma.
Sementara itu, isterinya, Zaini Idris, 48, berkata, dia dan anak-anaknya masih dihantui kebakaran yang merubah kehidupan mereka sekeluarga itu.
Menurutnya lagi, mereka sekeluarga tidak teruja menyambut hari raya malah tidak memikirkan untuk membuat persiapan seperti tahun sebelumnya.
Kejadian 4 pagi 28 Jun lalu menyebabkan Zakaria kerugian kira-kira RM100,000 apabila barangan rumah, barangan jualan, wang ringgit, tiga motosikal dan pakaian keluarganya musnah terbakar.
Kini dia dan keluarga menumpang rumah anak saudaranya di Gual Tambun sementara menunggu rumah mereka siap diubah suai. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.