|
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran deretan kedai di Chow Kit. Foto: Bomba KL |
|
Keadaan hadapan deretan kedai di Chow Kit yang musnah dalam kebakaran. |
KUALA LUMPUR - Lapan deretan kedai terletak bersebelahan sebuah pasaraya di Jalan Tunku Abdul Rahman, Chow Kit, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Kebakaran dipercayai berpunca akibat tiang kabel elektrik yang tumbang menghempap struktur kedai.
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.16 pagi daripada orang awam sebelum tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Sentul, Setapak, Hang Tuah, dengan kekuatan 44 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa tiba lima minit kemudian.
“Ketika tiba, api sedang marak namun berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.45 pagi.
“Kebakaran itu melibatkan lapan kedai dengan keluasan 1,280 kaki persegi. Ia membabitkan kedai menjual ubatan tradisional, pemborong makanan, pakaian dan kain,” katanya.
Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut membantu memutuskan bekalan elektrik bagi mengelakkan berlaku kebakaran lebih besar.
“Bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan serta jumlah kerugian belum dapat ditafsirkan,” katanya.
Difahamkan, bomba mengalami kesukaran memadam kebakaran berikutan tekanan air rendah di kawasan kejadian.
Kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan lalu-lintas berikutan laluan masuk ke lokasi terpaksa ditutup.
Sementara itu, peniaga jamu dikenali sebagai Ardy, 25, berkata, ketika kejadian dia tiada di lokasi setelah menutup operasi seawal jam 9.30 malam.
Katanya, dia hanya mendapat tahu kedainya terbakar ketika menerima panggilan telefon oleh peniaga lain yang terlibat.
“Saya terus bergegas kembali ke lokasi kedai untuk menyelamatkan barang perniagaan namun hanya sebahagian sahaja dapat diselamatkan,” katanya.
Peniaga deretan kedai berkenaan sudah menutup operasi perniagaan sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 pagi. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.