|
Pihak bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke rumah-rumah. Foto: Sinar Harian |
|
Rumah hanya tinggal arang. Foto: Sinar harian |
|
Zaituni bersama anak-anaknya tidak dapat menahan sebak melihat rumah mereka terbakar. Foto: Sinar Harian |
|
Api yang masih lagi marak di rumah salah seorang mangsa. Foto: Sinar Harian |
KUANTAN – Sebanyak lapan buah rumah termasuk kedai dan sebiji kereta kancil musnah sekelip mata dalam kejadian kebakaran di Kampung Haji Ali Batu 6,Jalan Gambang di sini kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Ketika kejadian, seorang ibu hamil empat bulan, Zaituni Radimus Ali Ahmad, 40, cemas mencari anak bongsunya yang ditinggalkan di rumah jiran sebelah yang turut terbakar dalam kejadian tersebut.
“Sejurus dimaklumkan rumah kami terbakar, tiada apa yang terbayang di minda saya melainkan keselamatan dan nyawa anak bongsu, Mohd Haikal Mohd Saipul, 6 yang ditinggalkan bersama jiran kerana saya pagi itu daya pergi ke Klinik Kesihatan Jaya Gading untuk melakukan pemeriksaan di sana.
“Sebaik sahaja sampai, saya bertambah panik apabila melihat asap dan api yang marak serta pada masa yang sama saya masih belum menemui Mohd Haikal. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu,” kata Zaituni yang berasal dari Indonesia.
Ibu enam anak ini berkata, ketika kejadian suaminya, Mohd Sipul Mohd Nor, 31 tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu lori di Kemaman, Terengganu, manakala tiga anaknya bersekolah selebihnya sedang bekerja.
Lebih menyedihkan, salah seorang anak Zaituni, Nor Aliza Ramidus,17 yang baru sahaja memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam SPM tidak sempat menyelamatkan sijilnya itu yang turut menjadi abu.
Dalam kejadian membabitkan lapan buah rumah itu, tiga daripadanya dan sebuah kedai makan serta sebuah kereta Perodua Kancil dijilat api menyebabkan semua penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Omar Yaakob, 56 berkata ketika kejadian dia berada di luar bersarapan bersama keluarga dan bergegas pulang sejurus dimaklumkan rumah mereka terbakar.
“Sebaik sahaja sampai, saya lihat rumah saya hanya tinggal arang sahaja, tiada satu barang pun yang sempat diselamatkan.
“Sudah hampir 40 tahun saya tinggal di sini, bukan sahaja rumah yang terbakar, segala kenangan lama saya juga musnah dijilat api menyebabkan saya kini tinggal sehelai sepinggang.
“Selain itu, saya baru sahaja mengemas bilik untuk menyambut kepulangan cucu baru ke rumah ini, namun semua persiapan juga turut musnah,” katanya.
Justeru, Omar berharap agar nasib kesemua mangsa kebakaran di sini mendapat perhatian segera daripada pihak atasan bagi memulakan hidup baru semula.
“Bermula hari ini, kami sudah tidak mempunyai apa-apa. Sudahlah tempat tinggal terbakar dan kini hanya boleh menumpang rumah saudara sahaja.
“Oleh itu, saya berharap agar kami masih boleh teruskan hidup untuk hari-hari yang mendatang dan kejadian hari ini hanya mimpi semata-mata untuk kami terus tabah,” katanya.
Sementara itu, Penguasa Bomba (Bahagian Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Alimaddia Bukir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 10.15 pagi sebelum membuat hebahan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas untuk meminta ke tempat kejadian.
“Bagaimanapun, kita dapati kebakaran terbabit merebak ke rumah berhampiran lalu mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Bandar Indera Mahkota dan Gebeng bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 32 anggota dan lima jentera.
“Kita terpaksa mengambil masa selama 45 minit untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran selain sempat menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikatakan berada seorang diri di dalam rumah selepas ditinggalkan ibunya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, pihaknya akan meminta bantuan daripada Bahagian Penyiasatan Kebakaran negeri (BPK) untuk membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang didakwa api mula merebak melalui salah sebuah rumah penduduk.
Katanya, siasatan awal mendapati, faktor cuaca yang panas serta angin turut dipercayai menjadi salah satu penyumbang berlakunya kebakaran berkenaan sehingga memusnahkan lapan buah rumah termasuk kedai dan sebuah kereta Perodua Kancil tidak sempat diselamatkan.
Alimaddia berkata, bagaimanapun, jumlah kerugian setakat ini berkemungkinan dianggarkan lebih daripada RM100,000 namun siasatan akan terus dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.