Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 25 April 2013

Motorsikal Bertembung Dua Lelaki Maut

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah. Foto: Sinar Harian

Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk. Foto: Sinar Harian

LUNAS - Hasrat seorang lelaki untuk pulang ke rumah selepas bekerja tidak kesampaian apabila mangsa terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Seluang dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa yang berusia 39 tahun merupakan seorang pekerja industri di Perai, Pulau Pinang dan menunggang motosikal berseorangan ketika kemalangan berlaku. 
Menurutnya, mangsa dipercayai datang dari arah Sungai Seluang menghala ke Padang Serai sebelum terlibat kemalangan. 
“Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah motosikal lain ditunggang seorang lelaki berusia 24 tahun dikatakan sedang memotong kenderaan di hadapannya sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan merempuh mangsa. 
"Kedua-dua motosikal ini bertembung dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian. 
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. Dari pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa terbunuh kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya. 
Ghuzlan turut menasihatkan kepada penunggang motosikal terutama golongan remaja supaya tidak menunggang motosikal secara melulu di kawasan terlibat kerana kemalangan maut sering dilaporkan berlaku. 
Katanya, sehingga kini, lapan kemalangan maut dilaporkan berlaku sepanjang 2013 dan jumlah ini dapat dikurangkan sekiranya penunggang motosikal dan pengguna jalan raya lebih berhati-hati. 
“Apa dapat saya lihat, jalan Sungai Seluang gelap dan jalannya tidak lurus. Ini mengakibatkan banyak kenderaan yang menggunakan jalan itu terbabas atau termasuk ke lorong bertentangan. 
"Masalah ini dapat diatasi sekiranya pengguna jalan raya memandu serta menunggang motosikal mereka dengan lebih berhemah selain dipandu secara perlahan. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kematian,” katanya. - Sinar Harian

Mayat Manusia Atau Alien

Filem dokumentari terbaru Sirius mendedahkan bahawa mayat mumia 15cm yang disangka alien ini sebenarnya adalah manusia

Ahli sains berkata, ujian DNA mendedahkan mayat ini berasal daripada manusia dan bukannya makhluk asing

Perbandingan x-ray janin menunjukkan perbezaan yang luar biasa antara janin manusia dengan x-ray Atacama humanoid

Sampel DNA diambil dari sum-sum tulang dan dianalisis oleh saintis di sebuah universiti berprestij Amerika

Saintis percaya ini ialah rangka manusia yang luar biasa

Namun ia mempunyai sembilan tulang rusuk

Filem Sirius ditayangkan di Los Angeles pada Hari Bumi dan akan dikeluarkan dalam talian dan pawagam terpilih di seluruh dunia

Humanoid ini pertama kali ditemui pada tahun 2003 di Atacama, kawasan padang pasir Chile

Rangka kecil ini menimbulkan persoalan apakah kita patut mempercayai wujudnya alien kerana kepalanya besar dan tubuhnya kecil

Ahli Sains membuat kesimpulan bahawa rangka ini adalah 'mutasi' seorang manusia lelaki yang terselamat selepas  di lahirkan


Sepuluh tahun selepas mayat mumia enam inci yang disangka 'alien' atau makhluk asing yang pertama ditemui, mayat berkenaan disahkan sebagai 'manusia' oleh ahli sains dalam filem dokumentari terbaru, Sirius. 
Sejak mayat humanoid kecil itu - yang dikenali sebagai 'Atacama Humanoid' dan digelar Ata - ditemui di Gurun Atacama Chile 10 tahun yang lalu, terdapat banyak spekulasi mengenai asal-usulnya. 
Terdapat teori mengatakan bahawa tulang berkenaan adalah daripada janin digugurkan, atau monyet, ataupun makhluk asing yang telah mengalami kemalangan semasa mendarat di bumi. 
Bagi peminat UFO yang semakin bertambah, mereka merasa teruja apabila filem Sirius mengumumkan satu kejayaan besar dalam mencari bentuk kehidupan lain, laporan The Huffington Post. 
Rangka kecil itu menimbulkan pelbagai persoalan apakah kita patut mempercayai kewujudan alien kerana mayat itu berkepala besar dengan tubuh badan yang kecil. 
Menurut akhbar tempatan Chile, seorang lelaki bernama Oscar Munoz pada 19 Oktober 2003 telah menemui apa yang beliau anggap sebagai objek yang mempunyai nilai sejarah di La Noria, sebuah bandar hantu di Gurun Atacama. 
Berhampiran sebuah gereja tinggal, Munoz menemui kain putih yang mengandungi 'tulang yang pelik' yang bersaiz lebih kurang 15cm [saiz pen]. Ia adalah makhluk yang mempunyai gigi yang keras dan kepalanya membonjol dengan bonjolan ganjil di bahagian atas. Tubuhnya bersisik dan berwarna gelap. Tidak seperti manusia, ia mempunyai sembilan tulang rusuk. 
Namun dalam dokumentari terbaru Sirius, sampel DNA dari sum-sum tulang diekstrak daripada spesimen, dianalisis oleh ahli sains di sebuah universiti berprestij Amerika. 
Ahli sains membuat kesimpulan bahawa ia adalah satu 'mutasi menarik' seorang manusia lelaki yang terselamat selepas dilahirkan antara enam hingga lapan tahun. 
"Saya boleh mengatakan dengan pasti bahawa ia bukan monyet. Ia adalah manusia - lebih dekat kepada manusia daripada cimpanzi. Ia hidup hingga berumur enam atau lapan tahun," kata Garry Nolan, pengarah biologi sel stem di Sekolah Stanford Universiti Perubatan di California. 
"Jelas sekali, ia bernafas, ia makan dan ia menghadam makanan. Ia menimbulkan persoalan bagaimana besarnya dia semasa dilahirkan." 
"DNA memberitahu cerita dan kita mempunyai teknik-teknik yang membolehkan kita menentukan, dalam tempoh yang singkat, sama ada ia sebenarnya adalah manusia," ujar Nolan yang melakukan ujian DNA, semasa menjelaskan hal itu dalam filem Sirius. 
Di samping itu untuk mengkaji asal-usul Ata, Sirius meneroka subjek UFO dan lawatan ET, pendedahan rahsia fail UFO dan penyiasatan tenaga maju dan teknologi pendorong tamadun tambahan-daratan yang digunakan untuk perjalanan ke Bumi. 
Berdasarkan keterangan yang telah dikumpul sejak 20 tahun lalu oleh doktor dan Projek Pendedahan yang diasaskan oleh Dr Steven Greer, Sirius mendedahkan bagaimana dan mengapa teknologi tenaga ini sedang disembunyikan demi untuk mengekalkan sistem petrokimia semasa. 
Sirius ditayangkan di Los Angeles pada Hari Bumi dan akan dikeluarkan di dalam talian dan ditayangkan di pawagam terpilih di seluruh dunia, bermula pada 22 April. - MailOnline


Kilang Pakaian Di Bangladesh Runtuh

Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh apabila bangunan yang merupakan kilang pakaian ini runtuh. Foto: Reuters

Kilang ini terletak di Savar, 30km di luar bandar raya Dhaka. Foto: Reuters

Usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. Foto: Reuters

Selain pasukan penyelamat (berseragam merah), orang awam juga turut melakukan kerja-kerja menyelamat. Foto: Reuters

Keluarga mangsa merasa bimbang dan sedih. Foto: Reuters

Retakan berlaku sehari sebelum kejadian tetapi pengurus kilang memberi jaminan bangunan itu tiada masalah. Foto: Reuters

Kebakaran kilang tahun lalu menarik perhatian antarabangsa mengenai keadaan pekerja industri tekstil di Bangladesh. Foto: Reuters

SAVAR - Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh, manakala lebih 700 cedera apabila sebuah bangunan lapan tingkat yang menempatkan beberapa kilang pakaian runtuh berhampiran ibu negara Bangladesh pagi semalam, kata pegawai. 
Seorang pekerja di bangunan Rana Plaza, Abdur Rahim berkata, kira-kira 2,000 pekerja berada di bangunan itu apabila tingkat atas bangunan terbabit runtuh dan menimpa tingkat di bawahnya dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan. 
Retakan berlaku sehari sebelum kejadian dan sudah dilaporkan oleh rangkaian berita tempatan. Mereka enggan memasuki bangunan itu, kata beliau yang bekerja di tingkat lima. 
Bagaimanapun, Abdur Rahim berkata, pengurus kilang memberi jaminan bangunan itu tiada masalah, yang menyebabkan mereka memasukinya, katanya. 
Kira-kira sejam selepas kami bekerja, bangunan runtuh tiba-tiba. Ia seperti gempa bumi, katanya yang menambah, ramai lagi mangsa masih terperangkap. 
Kejadian itu mengingatkan semula tragedi kebakaran di kilang pakaian November lalu yang mengorbankan 112 orang dan membangkitkan desakan mengenai keselamatan dalam industri pakaian negara itu. 
Berpuluh ribu orang berkumpul di tempat kejadian, sebahagian daripada mereka mangsa terselamat yang menangis, sebahagiannya mencari anggota keluarga. Pasukan bomba dan tentera mengguna mesin penggerudi dan kren bekerjasama dengan sukarelawan mencari mangsa daripada bangunan itu. 
Menteri Kesihatan, A F M Ruhal Haque berkata menjelang tengah hari semalam, 100 dipercayai mati dalam runtuhan bangunan di Savar, pinggir Dhaka. Brig Jeneral Mohammed Siddiqul Alam Shikder, berkata 600 lagi berjaya diselamatkan. 
Kami menghantar dua orang ke dalam bangunan dan menyelamatkan sekurang-kurangnya 20 orang hidup-hidup. Mereka juga memberitahu kami sekurang-kurangnya 100 hingga 150 orang cedera dan 50 mayat masih terperangkap, kata penyelia salah satu kilang pakaian itu, Mohammad Humayun. 
Anggota bomba dan tentera bertungkus-lumus menggali di celah runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat. 
Sebahagian besar struktur konkrit kelihatan mempunyai kesan pecah seperti ranting. Helaian kain berwarna-warni diikat dengan tingkat atas runtuhan, bagi membolehkan mereka yang terperangkap turun menyelamatkan diri. 
Sebelah tangan kelihatan terjulur dari runtuhan. Mayat seorang wanita diselaputi debu juga dapat dilihat di bahagian runtuhan lain. Seorang anggota bomba membawa mayat remaja daripada kawasan itu. 
Rahim berkata, ibu dan bapanya, yang bekerja bersamanya di kilang itu, terperangkap. 
Saya tidak tahu apa yang berlaku, katanya. 
Antara premis perniagaan di bangunan berkenaan adalah Phantom Apparels Ltd, New Wave Style Ltd dan New Wave Brothers Ltd. Ia juga menempatkan bank dan kedai. 
Kebakaran November lalu di kilang pakaian Tazreen menarik perhatian antarabangsa mengenai keadaan pekerja dalam industri tekstil di Bangladesh. 
Negara itu mempunyai kira-kira 4,000 kilang pakaian dan pakaian eksport kepada peruncit utama Barat. - AP/REUTERS / Berita Harian

Rabu, 24 April 2013

Penapis Air Guna Teknologi Nasa

Botol penapis air ini diuji dengan menggunakan Coca Cola

Botol air ini berserta penapisnya dibangunkan dengan menggunakan teknologi NASA

Coke yang keluar dari botol penapis yang dicurahkan ke dalam gelas bertukar menjadi jernih

Namun airnya rasa 'manis' kerana kegunaannya untuk menapis air, bukan menapis minuman lain 

Sistem penapisan yang digunakan untuk bekas air plastik ini diilhamkan daripada teknologi Nasa


Botol air plastik ini dilengkapi dengan sistem penapisan inspirasi-Nasa yang begitu kuat dan boleh menukarkan cola menjadi jernih dan tidak berwarna, dakwa pengeluarnya. 
'Penapis botol air canggih OKO' ini menarik kerana teknologi asalnya dibangunkan oleh NASA untuk memastikan peminum menghirup air 'tulen, segar dan bersih'. 
Rakaman video menunjukkan botol diuji dengan memasukkan Coca Cola yang berwana coklat, selepas itu dicurahkan keluar melalui penapis khas, menjadi sama seperti air. 
Pengeluar menggunakan video yang menunjukkan kesan penapis pada cola di laman web, tetapi penguji untuk rocketnews24.com mengambil keputusan untuk menyemak keputusan untuk dirinya sendiri. 
Rakaman eksperimen menunjukkan bagaimana ujicuba menggunakan botol menunjukkan hasil yang sama seperti sebelumnya. 
"Aliran pertama cecair benar-benar tidak berwarna, tetapi kemudiannya menjadi perang apabila saya terus mencurahkannya," kata laporan itu. 
"Saya agak kecewa bahawa ia tidak benar-benar tidak berwarna."
"Saya hirup dan sekali lagi kecewa apabila mendapati ia tidak tawar," kata penguji, yang menambah bahawa dia merasakan air itu 'seperti air gula’. 
Eksperimen Coca Cola pada laman web OKO itu bertujuan menggambarkan keberkesanan botol, yang direka untuk menapis air, bukan minuman lain. 
Bekas air yang mesra alam terdapat dalam tiga tahap penapisan yang berbeza. 
Penapis tahap-1 berasaskan karbon dan direka untuk mengurangkan klorin dan bau daripada air paip. 
Penapis tahap-2 mengandungi lebih daripada 400 liang kecil dan menggunakan proses elektro-penyerapan bercas positif untuk memerangkap agen berbahaya ketika air melaluinya. 
Menurut pengilang, caj diaktifkan apabila terkena air hampir menutup liang kepada mana-mana ejen penceroboh. "Menggunakan ion perak bina dalam, bahan yang membunuh bakteria apabila terkena," menurut laman web OKO. 
Penapis tahap ketiga direka untuk rawatan elemen air dalam jumlah yang besar di persekitaran yang ekstrem. Penapis tahap-3 tidak boleh dibeli di pasaran runcit. - MailOnline

Hamburger Tahun 1999 Masih Bagus?

Hamburger ini dibeli oleh David Whipple, seorang penduduk Utah pada tahun 1999, tetapi masih nampak dalam keadaan baik

Hamburger berkenaan masih disimpan dalam sampul kertas asal

Hanya jeruk yang reput manakala yang lain masih dalam keadaan yang baik

Ini ialah resit asal pembelian hamburger yang membuktikan ia dibeli pada tahun 1999
David Whipple bercakap kepada program tv 'The Doctors'


Jika anda memerlukan satu lagi sebab untuk menghentikan tabiat memakan makanan ringan, ini ialah alasannya. 
Seorang lelaki di Utah telah mendapati hamburger McDonald yang dibelinya pada tahun 1999 - masih kelihatan betul-betul sama seperti hari pertama ia mula-mula dibeli. 
David Whipple menyimpan makanan segera itu selama sebulan untuk ditunjukkan kepada rakan-rakannya bagaimana pengawet digunakan menjadikan hamburger tahan lama. 
Tetapi dia terlupa mengenainya, sehingga dua tahun kemudian hamburger itu masih berada di dalam poket bajunya dan kemudian dia memutuskan untuk meneruskan eksperimen pelik itu. 
Walau bagaimanapun, beliau terkejut melihat bahawa hamburger itu masih kelihatan sama selepas 14 tahun kemudian. 
“Ia bukan tujuan asal,” beritahu Whipple dalam rancangan tv 'The Doctors' tentang keputusan untuk mengekalkan burger dalam masa yang lama. 
“Saya telah menunjukkan kepada sesetengah orang bagaimana enzim berfungsi dan saya fikir hamburger akan menjadi idea yang baik. Saya menyimpannya selama sebulan dan kemudian saya terlupa mengenainya.” 
“Ia berakhir dalam sampul kertas, dalam sampul asal dengan resit dalam poket kot saya di belakang trak saya dan ia berada di sana selama, saya tidak tahu, dua atau tiga bulan." 
Beliau berkata kot itu akhirnya disimpan di dalam almari pakaian Logan, di rumahnya, di Utah. 
“Isteri saya tidak mengetahui sehingga sekurang-kurangnya satu atau dua tahun selepas itu," ujarnya. “Kami keluarkan dan berkata wah! Saya tidak boleh percaya ia kelihatan masih sama." 
Burger itu tidak mempunyai tanda-tanda reput, kulat atau bau pelik, berkata hos program itu. Satu-satunya yang telah berubah sejak beberapa tahun ialah jeruknya telah hancur. 
Whipple, yang masih mempunyai resit asal burger, berkata beliau kini menunjukkan sandwich kepada cucu beliau untuk menggalakkan mereka makan secara sihat. 
"Ia adalah baik untuk dilihat oleh anak-cucu saya. Untuk melihat apa yang berlaku dengan makanan segera," katanya. - MailOnline