Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 25 April 2013

Kilang Pakaian Di Bangladesh Runtuh

Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh apabila bangunan yang merupakan kilang pakaian ini runtuh. Foto: Reuters

Kilang ini terletak di Savar, 30km di luar bandar raya Dhaka. Foto: Reuters

Usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. Foto: Reuters

Selain pasukan penyelamat (berseragam merah), orang awam juga turut melakukan kerja-kerja menyelamat. Foto: Reuters

Keluarga mangsa merasa bimbang dan sedih. Foto: Reuters

Retakan berlaku sehari sebelum kejadian tetapi pengurus kilang memberi jaminan bangunan itu tiada masalah. Foto: Reuters

Kebakaran kilang tahun lalu menarik perhatian antarabangsa mengenai keadaan pekerja industri tekstil di Bangladesh. Foto: Reuters

SAVAR - Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh, manakala lebih 700 cedera apabila sebuah bangunan lapan tingkat yang menempatkan beberapa kilang pakaian runtuh berhampiran ibu negara Bangladesh pagi semalam, kata pegawai. 
Seorang pekerja di bangunan Rana Plaza, Abdur Rahim berkata, kira-kira 2,000 pekerja berada di bangunan itu apabila tingkat atas bangunan terbabit runtuh dan menimpa tingkat di bawahnya dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan. 
Retakan berlaku sehari sebelum kejadian dan sudah dilaporkan oleh rangkaian berita tempatan. Mereka enggan memasuki bangunan itu, kata beliau yang bekerja di tingkat lima. 
Bagaimanapun, Abdur Rahim berkata, pengurus kilang memberi jaminan bangunan itu tiada masalah, yang menyebabkan mereka memasukinya, katanya. 
Kira-kira sejam selepas kami bekerja, bangunan runtuh tiba-tiba. Ia seperti gempa bumi, katanya yang menambah, ramai lagi mangsa masih terperangkap. 
Kejadian itu mengingatkan semula tragedi kebakaran di kilang pakaian November lalu yang mengorbankan 112 orang dan membangkitkan desakan mengenai keselamatan dalam industri pakaian negara itu. 
Berpuluh ribu orang berkumpul di tempat kejadian, sebahagian daripada mereka mangsa terselamat yang menangis, sebahagiannya mencari anggota keluarga. Pasukan bomba dan tentera mengguna mesin penggerudi dan kren bekerjasama dengan sukarelawan mencari mangsa daripada bangunan itu. 
Menteri Kesihatan, A F M Ruhal Haque berkata menjelang tengah hari semalam, 100 dipercayai mati dalam runtuhan bangunan di Savar, pinggir Dhaka. Brig Jeneral Mohammed Siddiqul Alam Shikder, berkata 600 lagi berjaya diselamatkan. 
Kami menghantar dua orang ke dalam bangunan dan menyelamatkan sekurang-kurangnya 20 orang hidup-hidup. Mereka juga memberitahu kami sekurang-kurangnya 100 hingga 150 orang cedera dan 50 mayat masih terperangkap, kata penyelia salah satu kilang pakaian itu, Mohammad Humayun. 
Anggota bomba dan tentera bertungkus-lumus menggali di celah runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat. 
Sebahagian besar struktur konkrit kelihatan mempunyai kesan pecah seperti ranting. Helaian kain berwarna-warni diikat dengan tingkat atas runtuhan, bagi membolehkan mereka yang terperangkap turun menyelamatkan diri. 
Sebelah tangan kelihatan terjulur dari runtuhan. Mayat seorang wanita diselaputi debu juga dapat dilihat di bahagian runtuhan lain. Seorang anggota bomba membawa mayat remaja daripada kawasan itu. 
Rahim berkata, ibu dan bapanya, yang bekerja bersamanya di kilang itu, terperangkap. 
Saya tidak tahu apa yang berlaku, katanya. 
Antara premis perniagaan di bangunan berkenaan adalah Phantom Apparels Ltd, New Wave Style Ltd dan New Wave Brothers Ltd. Ia juga menempatkan bank dan kedai. 
Kebakaran November lalu di kilang pakaian Tazreen menarik perhatian antarabangsa mengenai keadaan pekerja dalam industri tekstil di Bangladesh. 
Negara itu mempunyai kira-kira 4,000 kilang pakaian dan pakaian eksport kepada peruncit utama Barat. - AP/REUTERS / Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.