Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 7 Oktober 2012

Jelmaan Hantu Gigi Rongak

Siri buku Berkelahi Dengan Syaitan karya Tok Awang Ngah agak popular sekitar
 tahun 1980-an dan tahun 1990-an

Geli benar hati Razi mendengar cerita kawannya itu. Pada zaman moden ini pun masih ada orang yang mempercayai wujudnya langsuyar mengganggu manusia. Tetapi untuk menjaga hati kawannya, dia tidaklah terus berhujah. Dia hanya tersengih-sengih saja mendengarkan.
"Selalu orang terjumpa langsuyar di kawasan Cheras tu," ujar kawannya.
"Di situ ada kubur ke?" seorang kawan Cina bertanya.
"Memang di situ ada kubur," katanya mengerutkan dahi. "Bukan kubur Melayu saja, kubur Cina pun ada, kubur Kristian pun ada," jelasnya lagi.
Razi tersengih-sengih lagi. Di Kuala Lumpur ini pun masih ada orang yang percaya tentang kemunculan langsuyar. Lainlah kalau di kampung-kampung yang masih terdapat pohon-pohon rimbun, pokok-pokok nyiur yang tinggi melambai dan suasana malam yang sepi. Semua keadaan tersebut boleh menimbulkan ketakutan kepada mereka yang lemah semangat.
Di Kuala Lumpur suasana seperti itu tidak ada lagi. Cahaya lampu terang benderang di kiri kanan jalan. Kereta menderu di jalan raya sehingga sampai ke subuh. Suasana tidak pernah sepi dengan lori-lori mengangkut barang bergema membelah malam. Masakan langsuyar berani muncul dalam keadaan seperti ini.
"Awak pernah jumpa langsuyar?" Razi menduga.
Kawannya menggeleng kepala. Dia sendiri tidak pernah bertemu dengan langsuyar. Cuma mendengar cerita dari kawan-kawan saja.
Razi ketawa kecil mendengar jawapan kawannya. Macam mana lelaki itu boleh percaya sangat sedangkan dia tidak pernah berjumpa. Sekadar mendengar cerita orang saja tidak boleh diterima sangat. Kadangkala kilauan bayang pun mereka kata langsuyar disebabkan mereka lemah semangat.
Selesai makan malam di restoran berkenaan, Razi pun balik ke rumahnya di Ampang. Namun sehingga pukul 11 malam dia tidak dapat tidur. Dia merasa gelisah kerana tidak memenuhi janji kepada isterinya untuk balik ke kampung jika tidak ada urusan lain.
Kerana hatinya berkata-kata, lantas Razi mengambil keputusan untuk balik saja ke Pulau Sebang malam itu juga. Dia balik melalui highway Seremban. Ketika itu sudah lebih jam 12.00 tengah malam. Cuaca juga sejuk, dan kereta juga tidak banyak lagi lalu lalang.
Selepas tol Kuala Lumpur, hujan mulai turun renyai-renyai. Razi tidak berani memandu keretanya laju-laju kerana bimbang jalan licin. Dia berfikir, walaupun jalan lapang pada sebelah malam, namun tidak ada gunanya memandu kereta terlalu laju.
Apa sangat mahu dikejar kerana tidak ada apa-apa yang mesti disegerakan. Kalau mahu mengejar majlis pernikahan, mungkin upacara tersebut sudah selesai pada jam 10 malam tadi. Kalau dia sampai di Pulau Sebang pun tentu semua orang sudah tidur. Kalau ada yang berjaga pun hanya budak-budak main terup di penanggah. Mereka ini sengaja berjaga supaya penanggah tidak diganggu anjing.
Hujan renyai-renyai tidak berhenti sepanjang perjalanan itu. Bagaimanapun ada juga kereta yang laju hingga memotong keretanya.
"Hah, nak mampus agaknya bawa kereta laju-laju," rungut Razi apabila keretanya dipotong oleh sebuah kereta BMW. Jalan lurus di highway itu tidaklah cepat sangat hilang cahaya lampu kereta di depan. Lama juga baru lampu kereta BMW yang memotongnya hilang dari pandangan.
Dalam masa dia memarahi kereta laju itu tiba-tiba saja seorang pemuda menunggang motorsikal memakai jaket hitam memotong keretanya. Berani sangat penunggang motorsikal itu melarikan motorsikal demikian lajunya pada malam tersebut, apalagi tatkala hujan renyai-renyai.
"Celaka motor ni, nak mampus lari laju-laju," gerutunya kerana meradang dengan sikap penunggang motorsikal yang berani menunggang dengan laju ketika hujan renyai-renyai di tengah malam.
Motorsikal itu lenyap dalam kegelapan malam, mungkin kerana ianya terlalu laju meninggalkan keretanya jauh di belakang.
Walaupun tengah malam, masih ada juga kereta lalu lalang sama ada menuju ke Seremban atau menuju ke Kuala Lumpur. Kadang-kala dia kena berhati-hati kerana di tempat-tempat tertentu jalan sedang dibaiki. Dia kena cekap memerhati ketika memandu dalam keadaan sedemikian.
Untuk menghilangkan rasa mengantuk dia membunyikan radio. Setidak-tidaknya boleh juga dia mendengar siaran berita pendek atau lagu-lagu hiburan. Kalau dipasang kaset, lagunya balik-balik itu saja. Lagi pun Razi lebih gemar mendengar radio dari kaset, kecuali kalau berjalan bersama isterinya yang lebih gemar mendengar kaset.
Selepas simpang ke Bangi, Razi nampak seorang pemuda menahan keretanya. Ternyata pemuda itu di dalam kesusahan kerana motorsikalnya rosak. Dia cam betul pemuda itu adalah penunggang motorsikal yang memotong keretanya tadi.
"Tolonglah saya bang," kata pemuda itu merayu. "Sampai kat simpang Nilai pun cukuplah," ujarnya mahu menumpang kereta Razi.
Mula-mula curiga juga Razi. Mana tahu perompak yang sengaja menyamar meminta pertolongan. Mungkin di pertengahan jalan, kawan-kawannya sudah menunggu. Sudah tentu dia terperangkap dengan tipu muslihat perompak itu. Bagaimanapun dia sudah behenti apabila ditahan oleh pemuda berkenaan. Serba salah juga dia kalau menolak permintaan pemuda itu.
"Janganlah takut bang, saya bukannya budak jahat." Dia macam tahu apa yang difikirkan oleh Razi. "Motor saya buat hal pulak, saya nak balik ke Nilai. Saya kerja polis bandaraya, janganlah abang bimbang," kata lelaki itu lalu membuka jaket hitamnya.
Memang benar dia memakai uniform polis bandaraya. Setelah merasa yakin pemuda itu tidak berbohong, dia pun membenarkannya menumpang.
"Nanti, saya letakkan motor saya ke dalam sikit," kata lelaki itu tersengih menampakkan giginya yang rongak. Kemudian dia menolak motorsikalnya ke lorong tempat jual buah-buahan. Setelah merasakan motorsikalnya selamat dan tidak akan diusik orang, pemuda itu naik ke kereta Razi.
"Malam-malam macam ni mana nak cari formen," keluhnya lantas menghulurkan tangan bersalaman dengan Razi. "Nama saya Jenal, duduk kat Nilai. Berulang-alik kerja kat Kuala Lumpur," ujar lelaki itu sambil membetulkan leher uniformnya. Jaket hitamnya diribanya saja.
"Saya Razi," beritahu Razi perlahan.
"Abang nak ke mana?" tanyanya pula.
"Balik kampung," ujar Razi.
"Kampung abang di mana?" dia menyandarkan badannya.
"Di Pulau Sebang," beritahu Razi ramah.
Dia sudah yakin bahawa pemuda itu seorang polis bandaraya, bukan perompak.
"Berjalan malam macam ni, perompak saya tak takut bang," kata Jenal tersengih-sengih menghadapkan mukanya kepada Razi. Jelas pada Razi giginya rongak apabila dia tersengih-sengih.
"Habis awak takut apa?" Razi menduga.
Dia tidak terus menjawab, tetapi kepalanya berlenggok-lenggok mengikut irama lagu di radio.
"Awak takut apa?" ulangi Razi mahu kepastian.
Berjalan di waktu malam tentulah orang akan bimbang perompak. Mana tahu mereka menanti di mana-mana, sedangkan perjalanan jauh seperti ini tidak banyak kereta lalu lalang. Kalau terjadi rompakan sesiapa pun sukar mendapat bantuan segera.
Apa lagi kalau kereta dilarikan. Nescaya mereka sukar mendapatkan pertolongan. Mungkin peronda lebuhraya ada membuat rondaan, tetapi mereka sukar menyedari kejadian-kejadian sedemikian.
"Awak tak takut perompak?" tanya Razi lagi.
"Tak, saya tak takut bang," ujar Jenal terangguk-angguk.
"Tapi, saya takut kalau ada hantu, mana kita boleh lawan dia, sebab dia makhluk halus," ujarnya macam ketakutan.
"Jangan awak percaya benda-benda tahyol tu, Jenal," Razi menasihatkannya.
Jenal terdiam bila Razi mengatakan dia tak percaya kepada tahyol. Dia merenung ke hadapan saja memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan yang halus.
"Kawan saya dah kena bang," beritahu Jenal perlahan seolah-olah mengingati sesuatu.
"Dekat simpang Nilai itulah kawan saya kena. Dia pakai motorsikal sayalah, lalu di situ waktu malam," katanya menyeringai menampakkan giginya yang rongak berkarat. Apabila dia menganga, Razi terhidu bau busuk mulutnya.
Dia terangguk-angguk merenung cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus. Sekali-sekala Razi mengerling juga ke arahnya sambil tersenyum seolah-seolah mengejek lelaki itu yang percaya sangat cerita-cerita tahyol. Malah sejak di restoran tadi Razi sudah diceritakan perkara-perkara tahyol sedemikian.
"Dekat simpang Nilai tu, memang selalu orang jumpa bang," tegas Jenal mahu meyakinkan Razi. 
"Kawan saya ditahan oleh perempuan kat situ. Dia bawa perempuan tu naik motor saya," dia menambah.
Tersengih-sengih Razi mendengarnya cerita lelaki gigi rongak di sebelahnya. Mungkin pemuda itu sengaja mahu menakut-nakutkan dia saja. Atau dia terlalu percaya kepada cerita-ceriya tahyol. Mahu juga dia menempelak Jenal, tetapi dia tidak sampai hati pula hendak mengecilkan hati kawan yang baru dikenalinya itu.
"Lepas tu dia terbau wangi sangat," ujar lelaki itu tidak beralih memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus.
"Apa lagi perempuan itu pun mengilai la," ujar lelaki itu sambil ketawa kecil sehingga Razi terhidu lagi bau busuk wap mulutnya.
Cerita Jenal itu sudah kerapkali didengar oleh Razi. Masa makan malam di restoran tadi,  kawannya yang datang bersama kontraktor cina pun ada menceritakan perempuan menumpang motorsikal kawannya yang mahu balik ke Cheras. Sampai berhampiran dengan tanah perkuburan dia terbau wangi. Kemudian perempuan yang membonceng motorsikalnya itu mengilai terus hilang dari pandangan. Sebab itulah motorsikalnya terbabas melanggar batu di tepi jalan.
Cerita Jenal juga seakan-akan sama. Hanya tempat kejadian saja berbeza. Kawan Jenal itu juga jatuh terbabas melanggar tebing jalan setelah perempuan itu mengilai, dan kemudian menghilangkan diri bagaikan asap berkepul ke udara. Seminggu kawannya itu terlantar di hospital besar Seremban. Sejak peristiwa kemalangan itulah motorsikalnya selalu saja meragam.
Tetapi Jenal tidak peduli. Kalau motorsikalnya meragam tengah malam sewaktu balik kerja, dia akan tinggalkan saja di tepi jalan. Besok baru dia datang menengok. Dia tidak bimbang kalau orang mahu mencuri motorsikalnya. Selagi motorsikalnya boleh dipakai, dia tidak akan mengganti motor baru.
"Sekarang cari duit susah, bang," keluhnya menjuihkan bibir. "Boleh pakai kita pakai dulu, rosak sikit-sikit kita repair," ujarnya tegas.
Razi menggangguk. Dia setuju juga dengan pendapat Jenal. Lebih baik dibaiki saja motorsikal itu kalau masih boleh digunakan. Lainlah kalau rosaknya sudah teruk sangat. Memang elok ditukar baru kalau duitnya mencukupi. Dalam masa duit perlu digunakan kepada hal-hal lain yang lebih bermanfaat, perkara menukar motor patut dikemudiankan.
Tidak sangka pula Razi bertemu kawan yang ramah pada malam itu. Kalau tidak ada Jenal menumpang keretanya, mungkin dia akan kesunyian juga. Namun dengan adanya Jenal malam itu, ada jugalah kawan untuk dilawan bersembang. Tidaklah sunyi sangat, walaupun Jenal lebih suka bercerita fasal kisah-kisah tahyol saja.
"Sekarang dah dekat simpang Nilai bang," Jenal menepuk bahu Razi. "Abang tak payah hantar saya ke dalam, turun kat simpang tu cukuplah," dia merendah diri.
"Tak apa, kalau jauh ke dalam biarlah saya hantarkan," Razi menawarkan diri.
"Tak apalah bang, terima kasih sangatlah. Rumah saya dekat aje dari simpang tu," katanya.
"Awak tak takut apa-apa ke?" Razi mengusik.
Jenal tertawa terbahak-bahak mendengar usikan Razi. Dia seolah-olah tahu Razi sengaja mempersendakan ceritanya tadi. Tetapi dia tidak berkecil hati. Dia tetap melayan mesra usikan Razi itu.
"Kalau langsuyar tu perempuan, lebih baik saya pinang aje, buat apa takut," dia masih ketawa terkekeh-kekeh.
Razi juga ketawa dengan telatah kawan barunya itu. Tidak sangka pula Jenal pandai bergurau. Dari tutur katanya memang dia percaya Jenal seorang yang ramah dan mudah dijadikan kawan. Ada saja cerita hendak dibualkannya.
Simpang ke Nilai kira-kira masih ada 500 meter di hadapan. Kasihan juga hati Razi kalau mahu menurunkan Jenal di kepala simpang. Apalah salahnya kalau dia menolong sesama insan tatkala Jenal memerlukan pertolongan pada saat demikian. Hari sudah jauh malam. Sudah tentulah dia akan keseorangan ketika berjalan merempuh kegelapan malam pada ketika hujan turun renyai-renyai.
Sebab itulah dia bersedia untuk menghantar Jenal sampai ke pekan Nilai. Lagipun pekan Nilai tidaklah jauh sangat dari simpang tersebut. Selepas menghantar Jenal, dia boleh meneruskan perjalanan balik ke Pulau Sebang.
"Saya boleh hantarkan awak, hari hujan ni...," beritahu Razi bila sudah ternampak papan tanda menunjukkan simpang ke Nilai.
"Tak apalah bang. Hati abang ni baik sangat. Cukuplah turunkan saya di kepala simpang," Jenal tetap merendahkan diri.
"Tak takut ke hantu perempuan tunggu kat situ?" Razi tersengih-sengih mengusik.
"Ah, saya dah biasa dengan hantu-hantu ni, bang," dia tiba-tiba ketawa terbahak-bahak.
"Awak pernah tengok hantu ke?" tanya Razi selamba.
"Pernah bang," jawab Jenal masih ketawa.
"Macam mana rupanya?" usik Razi lagi.
"Macam sayalah," ketawa Jenal lebih nyaring lagi.
Razi berpaling melihat Jenal bila lelaki itu mengatakan rupa hantu seperti dirinya. Ketawanya tidak sama lagi seperti mula-mula tadi. Apabila Razi melihat Jenal hatinya berdebar. Lelaki di sebelahnya sudah berbau lebih busuk. Matanya macam bola api di kaca. Tulang pipinya tersembul keluar. Rambutnya ada tompok-tompok darah. Kepalanya seolah-olah tengkorak yang mengerikan.
Terpaku Razi melihat lelaki di sebelahnya. Dia tidak dapat lagi mengawal keretanya lantas merempuh batu divider jalan. Keretanya melambung sampai lima enam kali sebelum terbalik.

Sedutan dari buku Berkelahi Dengan Syaitan Siri Ke-3 karya Tok Awang Ngah.



2 ulasan:

  1. Ini cerita betul ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wallahualam. Tapi ada iktibar yang boleh dipelajari.

      Padam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.