Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 16 Disember 2014

Perginya Seniman Mustapha Maarof

Jenazah Mustapha Maarof selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang

Berita Harian pada 25 November 2014 memaklumkan Mustapha dimasukkan ke hospital kerana sakit paru-paru

Jenazah Mustapha disembahyangkan di Masjid Amru Ibni Al'As Bandar Baru Sentul selepas solat Zuhur semalam

Sanak saudara, sahabat handai dan para peminat yang menghadiri pengkebumian jenazah Mustapha


KUALA LUMPUR - Lebih seribu peminat, ahli keluarga dan rakan artis hadir membanjiri Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang bagi memberi penghormatan dan menyaksikan pengebumian seniman veteran, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, di sini hari ini.
Jenazah tiba kira-kira 2.15 petang dan terus dibawa ke liang lahad yang disediakan dan terletak bersebelahan pusara arwah isterinya Roseyatimah yang meninggal pada Disember 1987.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Amru Ibni Al'As Bandar Baru Sentul selepas solat Zuhur.
Antara yang hadir memberi penghormatan, Datuk Yusof Haslam, Datuk DJ Dave, Datuk Jefrydin, Datuk Kamil Othman, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Mayuiddin Mustakim.
Selain artis muda seperti Zed Zaidi, Hafiz Nafiah, Sharifah shahora, Elveena Iris, Rozita Rohaizad, Abas Bakar dan ramai lagi. - Berita Harian


Orang ramai dan rakan artis memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mustapha Maarof. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - “Emak meninggal dunia pada 14 Disember 1987. Semalam (kelmarin) genap 27 tahun Allahyarham meninggalkan kami.
“Hari ini (semalam) ayah pula meninggalkan kami buat selama-lamanya. Beliau berpesan minta dikebumikan sebelah kubur emak (Rose Yatimah) dan arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang,” kata Azlynna, 45, anak kedua Datuk Mustapha Maarof.
Seniman veteran itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju pada jam 8.35 pagi selepas dua minggu bertarung melawan penyakit paru-paru. 
Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof, 79, menerima rawatan terakhir di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas dipindahkan dari Institut Perubatan Respiratori Jalan Pahang.
Selain Azlynna beliau meninggalkan dua lagi anak iaitu Suzlynna, 50, dan Mohd Rezainudden, 38, serta tujuh cucu.
Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang pada jam 2.15 petang.
Mohd Rezainudden berkata, Jumaat lalu doktor memanggil ahli keluarga mereka dan memberitahu kesihatan terkini bapanya yang semakin merosot.
“Kami reda dengan pemergian ayah kerana dia dua minggu koma, manakala, ubat yang diberikan pula tidak berkesan dan beliau hanya bergantung pada alat bantuan pernafasan.
“Sebelum ini, beliau pernah sebut teringatkan arwah emak. Saya berusia 11 tahun ketika emak meninggal dan selepas itu kami dibesarkan ayah sepenuhnya. Kami adik beradik bersyukur kerana dapat menjaga ayah dan membahagiakan dia semasa hayatnya,” katanya.
Pengebumian Allahyarham dihadiri ramai penggiat seni lama dan baru antaranya Datuk Maria Menado, Salmah Ahmad, Datuk DJ Dave, Pansha, Datuk Yusof Haslam, Datuk A Rahman Hassan, Raja Azmi dan Nabil Ahmad.
Turut hadir Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Kamil Othman.
Yusof berkata, beliau kerap berbual dengan arwah dan sebelum sakit dia meluahkan harapan agar persatuan artis bersatu.
“Walaupun tiada jawatan dalam SENIMAN beliau prihatin dengan persatuan artis dan nak sangat lihat semua mereka bersatu.
“Ketika bergelar Presiden SENIMAN dulu, jasanya yang paling besar membawa masuk dana melebihi RM1 juta dalam tabung persatuan dan ini sesuatu yang membanggakan.
“Beliau menggunakan hubungan baiknya dengan Menteri Penerangan bagi mendapatkan slot drama TV untuk ahli,” katanya.
DJ Dave menyifatkan Allahyarham seorang jujur dan ikhlas dalam perjuangannya sebagai anak seni.
“Beliau adalah wira tidak didendang yang terakhir dalam industri kerana jasanya dalam industri perfileman tanah air,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.