|
Ahli arkeologi Sepanyol menemui mumia berusia 3,600 tahun dalam keranda kayu dengan lukisan bulu pelepah di bandar Luxor, Mesir |
|
Kerja-kerja mengeluarkan keranda kayu sedang dilakukan |
|
Berdasarkan pemeriksaan awal ke atas keranda berkenaan, pemiliknya mungkin pembesar di zamannya |
|
Lokasi di mana keranda purba ditemui oleh ahli arkeologi |
KAHERAH - Ahli arkeologi Sepanyol menemui mumia berusia 3,600 tahun dalam keranda kayu dengan lukisan bulu pelepah di bandar Luxor, Mesir, kelmarin.
Keranda dengan ketinggian dua meter dan 50 sentimeter lebar itu berada dalam keadaan baik dan warnanya masih belum pudar.
Menteri Sejarah Purba Mesir, Mohamed Ibrahim berkata lukisan seperti itu jarang ditemui pada keranda lama.
“Keranda berkenaan dari zaman dinasti ke-17 iaitu 1,600 tahun Sebelum Masihi,” kata pengarah Jabatan Tinggalan Sejarah Firaun kementerian berkenaan, Ali El-Asfar.
“Berdasarkan pemeriksaan awal ke atas keranda berkenaan, pemiliknya mungkin pembesar di zamannya,” katanya.
Mengikut kepercayaan zaman Firaun ukiran hieroglif yang terdapat pada keranda bertujuan memudahkan perjalanan hidup pemiliknya selepas mati.
Ukiran bulu pelepah melambangkan dewi undang-undang Mesir silam, Maat yang dipercayai menimbang hati si mati dengan bulu pelepah bagi menentukan kedudukan mereka selepas mati.
Ia ditemui di tebing barat Luxor berhampiran makam pentadbir gudang Ratu Hatshepsut dari pentadbiran dinasti ke-18 yang memerintah Mesir dari tahun 1502 hingga 1482 Sebelum Masihi.
Pasukan arkeologi Sepanyol yang sudah membuat kajian di Luxor selama 13 tahun, turut menemui keranda kayu yang menempatkan mumia kanak-kanak berusia lima tahun dari dinasti ke-17 tahun lalu. - AFP/myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.