Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 7 Januari 2014

Pesawat A380 Singapura Mendarat Cemas

Pesawat Airbus A380 Singapore Airlines dari London ke Singapura membuat pendaratan kecemasan di Baku, Azerbaijan

Foto yang dirakam oleh seorang penumpang menunjukkan corong oksigen tergantung


SINGAPURA - Pesawat Airbus A380 milik Singapore Airlines yang dalam penerbangan dari London ke Singapura terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Baku, Azerbaijan selepas tekanan dalam kabin menurun. 
Syarikat penerbangan itu berkata, topeng oksigen dikeluarkan dan tiada seorang daripada daripada 467 penumpang dan 27 anak kapal mengalami kecederaan. 
Kenyataan akhbar syarikat berkenaan berkata, pihaknya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan penumpang ke sebuah hotel sehingga pesawat gantian tiba dari Singapura. 
Setakat ini, punca tekanan dalam kabin itu menurun belum dapat dipastikan. - AP/Berita Harian 6.1.2014

Isnin, 6 Januari 2014

AS Beku Dilanda Salji

Permukaan Tasik Michigan beku

Sebuah jet Delta tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang JFK di New York

Pemandangan di sebatang lebuh raya kurang jelas akibat salji

Salji bukan sahaja hinggap di baju bahkan turut melitupi muka dan misai lelaki ini

Sebuah bangunan yang dilitupi salji di Plattsmouth, Nebraska


WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Penduduk Amerika Syarikat (AS) diberi amaran supaya bersiap sedia menghadapi suhu paling sejuk sehingga mencecah -16 Celcius sejak tempoh 40 tahun. 
Menurut pakar, hampir 140 juta penduduk akan dilanda suhu sejuk -17 Celcius pada Rabu ini. 
Penyelaras Meteorologi Weather Channel, Tom Moore berkata kepada Daily Mail, cuaca baru dikenali sebagai 'pusaran kutub' kini mengancam untuk membawa suhu rendah ke barat tengah negara itu. 
"Ia menjadi suhu paling sejuk pada musim ini, berbahaya kerana mempunyai angin yang mengancam nyawa. Dalam keadaan itu, kulit yang terdedah akan mengalami serangan gigitan embun beku dalam tempoh hanya lima minit," katanya. 
Pusaran kutub akan menghantar udara sejuk dari Kutub Utara ke AS, sehingga ke Pantai Teluk. Manakala, salji dijangka melanda Ahad ini di barat tengah dan mampu melitupi sehingga 25 sentimeter di sesetengah kawasan. 
Ramalan suhu mengejutkan juga dijangka melanda, International Falls di Minnesota dengan -1 Celcius dan bawah -9 Celcius di Indianapolis serta Chicago. - Sinar Harian

Sumbat Empat Ekor Lembu Dalam Proton Wira

Empat ekor lembu curi disumbat di bahagian but dan tempat duduk penumpang belakang kereta Proton Wira. Foto: Bernama

Bagaimanapun lembu-lembu ini terpaksa ditinggalkan selepas Proton Wira ini mengalami kerosakan. Foto: MMI

Kesemua lembu curi ini ditemui pada 7 pagi kira-kira 15km dari lokasi kandangnya. Foto: MMI

Dua orang suspek disyaki terlibat dengan kes curi lembu ini. Foto: MMI

Orang ramai berada di lokasi lembu curi ditemui. Foto: MMI


KULIM - Dua lelaki berputih mata selepas empat ekor lembu yang mereka curi terpaksa ditinggalkan di dalam kereta Proton Wira selepas kenderaan yang mereka naiki bersama haiwan itu mengalami kerosakan di Kampung Siam, Sungai Seluang, Lunas dekat sini hari ini. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superitenden Chin Soo Song berkata kesemua lembu itu ditemui semula pada 7 pagi ini iaitu kira-kira 15km dari lokasi kandang ternakan haiwan itu dicuri, di Sungai Lembu, Bukit Mertajam. 
"Keempat-empat ekor lembu itu disumbat di bahagian but dan tempat duduk penumpang belakang yang telah dibuang bagi membolehkan kesemua lembu itu diisi di dalam kereta itu," katanya ketika dihubungi hari ini. 
Pemilik ternakan melaporkan kejadian itu di Balai Polis Lunas pada 5 pagi ini, katanya. 
"Polis dengan kerjasama orang awam menjumpai semula ternakan itu yang ditinggalkan (dalam kereta) di tepi jalan di Kampung Siam, dekat sini," kata Soo Song. 
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Asisten Supritenden C. Tharmalingham di talian 04-4906222 atau balai polis berhampiran. - Bernama/Sinar Harian


Pesawat Jet Terhempas Di Colorado

Sebuah pesawat terhempas di Lapangan Terbang Aspen di Lapangan Terbang Aspen, Colorado semalam

Tiga orang berada dalam pesawat tersebut semasa kemalangan. Juruterbang maut dan dua penumpang mengalami kecederaan

Pesawat malang ini ialah jenis Bombardier Challenger 600 iaitu jet peribadi bersaiz sederhana

Seorang penumpang pesawat lain sempat merakam foto semasa kejadian tersebut


DENVER - Seorang maut dan dua lagi mengalami kecederaan apabila sebuah pesawat terhempas di Lapangan Terbang Aspen hari ini, kata pihak berkuasa Colorado. 
Tiga orang berada dalam kapal terbang terbabit. Seorang daripada mangsa yang terselamat tidak mengalami kecederaan serius. 
Jurucakap Hospital Aspen Valley, Ginny Dyche berkata, dua pesakit yang dimasukkan ke hospital berkenaan terbabit dalam nahas itu. 
Sementara itu, jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, Allen Kenitzer berkata, pesawat terbabit ialah jenis Bombardier Challenger 600 iaitu jet peribadi bersaiz sederhana. - AP/Berita Harian

Polis Nafi Budak Lima Tahun Dirogol

Polis menafikan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dirogol sepupu berusia enam tahun. Foto: 

Kes rogol ini turut dilaporkan oleh Mail Online yang berpusat di London pada 4.1.2014

Kes dilaporkan berlaku kononnya di Kedah


ALOR SETAR - Polis menafikan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dirogol sepupu berusia enam tahun, seperti dilapor media semalam. 
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata ia berdasarkan laporan perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang diterima pihaknya. 
“Ibu bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis pada 1 Januari lalu mendakwa anak mereka dirogol. 
“Polis menasihatkan pasangan itu membawa anak mereka membuat pemeriksaan di HSB. 
“Laporan HSB mendapati ia tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, semalam. 
Beliau berkata, polis tidak pernah mengklasifikasikan kes itu sebagai rogol kerana kertas siasatan akan dibuka berdasarkan laporan perubatan. 
Abdul Aziz bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan. 
Kelmarin, sebuah akhbar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dirogol sepupu lelaki berusia enam tahun ketika bermain ‘ibu bapa’ dalam kejadian 29 Disember lalu di sebuah rumah di Pendang. - BERNAMA