Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 2 Jun 2013

Jenayah Di Sana Sini

Suami Isteri Mati Dibunuh
Keadaan rumah pasangan suami isteri yang mati dibunuh. Gambar kecil: Tilam berlumuran darah. Foto: Sinar Harian

IPOH - Seorang suami ditemui mati dipercayai dibunuh manakala isterinya meninggal dunia di Hospital Manjung selepas ditemui dengan kesan kecederaan teruk di luar rumah mereka di Kampung Ayer Tawar, dekat Seri Manjung, kira-kira 80km dari sini, hari ini. 
Mayat K. Ashahkumar, 36, ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumah berkenaan dengan kesan kecederaan di bahagian leher manakala isterinya V.Panumathy, 38, yang mengalami kecederaan sama ditemui terlantar di bahagian luar rumah. 
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan ketika dihubungi berkata kejadian itu disedari oleh jiran mereka pada pukul 1 pagi sebelum melaporkan kepada polis. 
Beliau berkata si suami temui mati di tempat kejadian akibat pendarahan teruk manakala si isteri meninggal dunia di hospital. 
Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan antara pasangan itu atau melibatkan jenayah samun. - Bernama

Rumah Dipecah Masuk

Asmawi bersama isterinya sudah membuat laporan polis di IPD Sabak Bernam. Foto: Sinar Harian

SABAK BERNAM - Seorang wanita yang ingin menunaikan solat Subuh tergamam seketika apabila mengalami kerugian RM400 dan barangan kemas selepas rumahnya di Kampung Parit 11 Sungai Panjang, dipecah masuk pencuri, pagi Isnin lalu. 

Mangsa, Wan Afizah Wan Sharif, 51, hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 6 pagi, apabila mendapati wang tunai yang diletakkan di dalam sebuah beg tangan di atas katil dan beg berisi gelang tangan dan cincin di dalam almari meja mekap dikebas pencuri. 

Wan Afizah berkata, ketika kejadian, semua ahli keluarganya tidur lena kerana terlalu letih dan tidak menyedari rumah mereka dipecah masuk selepas menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Klang, Selangor. 

“Kami sampai di rumah pun lebih kurang jam 12 tengah malam, sebaik sampai suami sudah tidur dulu dan saya pula ke dapur untuk menjamah sedikit makanan dan membasuh pakaian. 

“Saya hanya melelapkan mata kira-kira jam 1.30 pagi dan terus tidur di sebelah suami di ruang tamu rumah, manakala anak bongsu tidur di kerusi sofa sementara seorang lagi di dalam biliknya,” katanya kepada Sinar Harian. 

Wan Afizah berkata, ketika terjaga, dia terus bangun untuk menunaikan solat Subuh, namun sebaik saja masuk ke bilik itu, dia tersentak apabila mendapati pintu almari pakaian tidak bertutup. 

“Saya bertambah cemas apabila mendapati dua beg tangan yang diletakkan di atas katil dan dalam laci almari mekap sudah tidak kelihatan dan terus memeriksa tingkap bilik rumah kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini. 

“Saya memeriksa semua tingkap dalam rumah, dan alangkah terkejutnya, apabila melihat tingkap ruang tamu rumah sudah terbuka lalu terus mengejutkan suami dan anak-anak yang sedang lena tidur,” katanya. 

Suaminya, Asmawi Nordin, 58, berkata, dia yang dikejutkan isteri terus memeriksa tingkap rumah tersebut dan mendapat terdapat kesan tapak kaki yang ditinggalkan perompak yang dipercayai menggunakan tingkap pintu hadapan rumah tersebut. 

“Saya percaya, mereka tidak memakai kasut kerana terdapat kesan tapak kaki yang jelas pada bahagian dinding rumah dan kami terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, dia menjumpai semula dua beg tangan isterinya itu di bawah pokok kelapa sawit dan pokok pisang kira-kira antara lima hingga 20 meter daripada rumah tersebut. 

“Wang dan barangan kemas di dalam dua beg tangan itu dikebas, manakala dokumen penting seperti MyKad dan kunci kereta bersama beg ditinggalkan berselerak di bawah pokok tersebut,” katanya. - Sinar Harian

Kedai Emas Kena Samun

Suspek pertama berjaya diberkas di kawasan kebun getah. Foto: Sinar Harian

Suspek kedua diberkas di Kampung Sri Parit. Foto: Sinar Harian

Unit anjing polis K9 juga dipanggil untuk mengesan suspek. Foto: Sinar Harian

Anggota Forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian. Foto: Sinar Harian

Penduduk Kampung Sri Parit memuji ketangkasan polis dalam menangani kes jenayah tersebut. Foto: Sinar Harian

PORT DICKSON – Polis Port Dickson hanya mengambil masa kira-kira lima minit sebelum berjaya memberkas salah seorang daripada empat suspek yang terlibat dengan kejadian samun di sebuah kedai emas di Lukut, semalam.
Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 9.35 pagi dan polis bertindak serta-merta apabila menerima maklumat daripada orang ramai yang berada di sekitar lokasi kejadian. 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, suspek, seorang lelaki berjaya diberkas polis lima minit selepas kejadian. 
“Suspek ditahan di kawasan kebun getah di Kampung Sri Parit iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. 
“Hasil maklumat tepat dan pantas orang ramai, polis terus bertindak mengekori suspek yang menunggang motosikal ke arah Kampung Sri Parit sebelum bertindak memintas motosikal berkenaan dan salah seorang daripada mereka berjaya ditahan polis,” katanya. 
Abd Wahab berkata, sebanyak 20 utas rantai emas turut ditemui bersama suspek pertama. 
“Hasil siasatan polis selanjutnya berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki kira-kira jam 10 pagi di sekitar Kampung Sri Parit. Sementara dua lagi suspek lelaki masih bebas dan sedang diburu polis,” katanya. 
Abd Wahab berkata, dalam kejadian tersebut, ada suspek yang membawa pistol, tukul besi dan sebilah kapak. 
“Salah seorang suspek juga didapati melepaskan satu das tembakan ke atas siling kedai, " katanya. 
Menurutnya, motosikal yang digunakan dua suspek yang berjaya ditahan dilaporkan hilang di Kelana Jaya. 
“Siasatan polis juga mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau di Kedah. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPA) 1971. 
“Jumlah sebenar kerugian yang dialami pemilik kedai emas itu masih belum dapat ditentukan dan pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian rompakan itu menghubungi Balai Polis Port Dickson di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. 
Sementara itu, orang awam, Hoo Keng Foo, 60, berkata, ketika kejadian dia sedang minum di sebuah kedai berhampiran lokasi kejadian. 
“Tadi (semalam) masa minum memang ada ternampak dua motosikal yang ditunggang empat orang lengkap bertopi keledar lalu depan kedai ini. Tapi saya tak perasan dia datang dari arah Port Dickson ataupun Lukut. 
“Beberapa minit lepas tu ada dengar bunyi letupan kuat, mungkin bunyi pistol. Lepas tu bunyi kaca pecah dan ada orang jerit ketakutan. 
“Saya dan beberapa pelanggan kedai ini kemudian bergegas ke tempat itu, rupanya ada rompakan kedai emas,” katanya. 
Manakala seorang penduduk Kampung Sri Parit, Kim Kok Weng, 45, berkata, dia gembira kerana polis berjaya memberkas suspek rompakan itu. 
“Sekejap sahaja polis dah berjaya tangkap orang jahat tu. Polis bagus, cekap buat kerja. Lepas ini jangan ada orang berani merompak atau samun, sebab polis di sini sangat bagus,” katanya. 
Sinar Harian turut cuba mendapatkan pemilik kedai emas berkenaan, namun beliau enggan ditemu bual. 
Difahamkan kedai tersebut baru hendak dibuka sebelum dirompak dan hasil tinjauan mendapati, perompak yang melarikan diri meninggalkan sebilah kapak dan tukul besi dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin meja pameran barang kemas kedai itu. - Sinar Harian

Pengawal Keselamatan Maut Ditetak 

Kesan darah mangsa di lokasi kejadian. Foto: Sinar Harian

Lokasi kejadian. Foto: Sinar Harian

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan maut sementara seorang rakannya cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata parang di hadapan sebuah restoran dekat Taman Bukit Indah 2, di sini, awal pagi semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa S Elanggovan, 19, bersama rakannya yang hanya dikenali sebagai Vino, 32, diserang oleh enam lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di lokasi kejadian. 
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, seorang saksi yang dalam perjalanan pulang ke asramanya sekitar lokasi berkenaan memberitahu sejurus ternampak kejadian tersebut, dia telah memecut motosikalnya untuk meminta bantuan rakannya yang lain. 
“Namun, apabila kembali semula ke tempat kejadian, mereka mendapati dua buah kereta yang dinaiki enam suspek berkenaan telah melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian. 
Nor Hashim berkata, mayat Elanggovan berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu dihantar ke tempat Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk dibedah siasat. 
Sementara itu, saudara terdekat Elanggovan yang hanya mahu dikenali sebagai Shan, 34 berkata, selepas diberitahu kejadian tersebut, dia bergegas ke lokasi tersebut namun mendapati mangsa telah meninggal dunia. 
“Saya tidak menyangka kejadian berkenaan menimpa Elanggovan kerana dia baru sahaja datang bekerja di Johor dan tinggal bersama saya. 
"Sepanjang saya mengenalinya dia adalah seorang yang baik. Saya tidak pasti apa motif mereka melakukannya dan mungkin mereka berniat untuk merompak. 
“Mujur Vino sempat melarikan diri untuk memaklumkan kejadian berkenaan namun turut tercedera di bahagian tangan dan belakang badannya dan kini berada di Hospital Pakar Puteri, di sini, untuk rawatan susulan,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.