Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 5 Jun 2013

Perginya Seorang Penghibur Hati

Pelakon veteran S. Shamsuddin meninggal dunia dalam usia 84 tahun. Foto: TUKIMAN WARJI

Hanya tinggal sekujur jasad. Foto: straitstimes

S. Shamsuddin (kanan sekali) dalam satu adegan filem Pendekar Bujang Lapok. Foto: news.abnxcess 

"JIM yang ini matanya di tengah-tengah, yang ini pula matanya di atas, cikgu…jim pakai toncit." 
Dialog mencuit hati daripada filem Pendekar Bujang Lapok ini pasti mengingatkan kita pada allahyarham S.Shamsudin atau lebih mesra dengan panggilan Sudin. 
Apa yang pasti, kisah dan lawak jenaka tiga bujang lapuk yang dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Datuk Aziz Satar dan Sudin tidak akan lapuk ditelan dek zaman. 
Setelah empat dekad pemergian P.Ramlee, kita dikejutkan dengan pemergian Sudin, 84, pagi semalam. 
Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri di rumah anak lelakinya, Mohammed Arifin, 44 tahun dan dibawa ke Hospital Universiti Nasional Singapura. 
Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 10.56pagi. 
Jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Mukminin di Jurong East pada jam 10 pagi ini untuk disembahyang dan dikebumikan di Pusara Abadi. 
Aziz Satar kehilangan sahabat karib yang tiada galang gantinya. Foto: malaysianreview
Kehilangan Sudin turut dirasai oleh kawan rapatnya, Aziz Satar yang turut membintangi filem hitam putih yang diterbitkan pada 1959 itu. 
Beliau akui kehilangan sahabat karib yang tiada galang gantinya. 
"Kehilangan Sudin begitu dirasai kerana kami sahabat karib. Lama betul kami berkawan. Sejak usia belasan tahun, sebelum masuk bidang lakonan lagi. 
"Dia seorang sahabat yang menghiburkan hati, telatahnya selalu menggelikan hati. Saya rasa sangat kehilangan," katanya. 
Sudin mula terlibat dalam dunia lakonan pada tahun 1948 apabila diberi peluang untuk menjadi pelakon tambahan bagi filem Chempaka. 
Sudin pernah diiktiraf sebagai Pelawak Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Kedua (FFM2)pada tahun 1981 dan pada FFM22, Sudin menerima Anugerah Istimewa Pelakon Veteran Lelaki. 
Filem-filem lakonannya seperti Hang Tuah, Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Ali Baba Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Nasib Si Labu Labi masih segar sehingga ke hari ini. 
Sudin berkahwin dengan Puteh Ismoon, 77 pada tahun 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak. 
Salah seorang anak lelakinya, Mohd Ariff mengikut jejak langkahnya apabila bergelar pelakon dan pelawak di Singapura. - Sinar Harian

Foto

SINGAPURA - “Sebaik terdengar jeritan ibu, saya bergegas ke bilik dan mula berasa tidak sedap hati selepas melihat bapa tidak sedarkan diri, malah wajahnya mula berubah menjadi pucat. 
“Dalam keadaan cemas, saya membantu dengan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), tetapi tidak mendatangkan hasil kerana arwah tetap kaku dan tidak menyahut ketika namanya dipanggil,” kata Mohamed Arifin Samsudin, 44, anak bongsu pelakon komedi 50-an dan 60-an S Shamsuddin atau Samsudin Dali, 84. 
Pelakon veteran itu disahkan meninggal dunia di rumahnya di West Avanue 6, Bukit Batok, Jurong di sini, pagi semalam. 
Arwah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan (NUH) dan disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya pada jam 10.56 pagi. 
Arifin berkata, ketika kejadian dia berehat di dalam bilik bersebelahan, manakala ibunya, Puteh Ismoon, 77, melayan arwah yang mahu bersarapan pagi. - myMetro

Foto

Seniman seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, S Shamsudin atau nama sebenarnya, Samsudin Dali, 84, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di West Avenue 6, Bukit Batok, Singapura, pagi semalam. 
Anak bongsunya, Mohamed Arifin, 44, yang berada di rumah ketika kejadian itu berkata, pada mulanya dia terdengar ibu, Puteh Ismoon, 77, menjerit memberitahu ayah tidak sedarkan diri ketika bersarapan. 
Mohamed Ariffin berkata, dia terus menghubungi hospital dan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada ayah sementara menunggu ambulans tiba. 
"Ketika ibu menyuapkan mi rebus, arwah meminta minuman jus epal. Ketika ibu masuk semula ke bilik, ibu dapati ayah sudah tidak sedarkan diri ketika bersandar di atas katil. Lalu ibu terus menjerit nama saya. 
"Saya terus melakukan bantuan CPR sementara menunggu ambulans sambil dibantu pegawai kesihatan yang berada dalam talian ketika itu, tetapi gagal," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini, semalam. 
Mohamed Arifin berkata, ayah kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan (NUH) sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.56 pagi. 
"Sepanjang tiga tahun terlantar akibat penyakit batuk kering dan Parkinson, arwah tidak pernah mengadu sakit dada atau mengalami serangan jantung. Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) wajahnya kelihatan pucat," katanya. 
Allahyarham terkenal dengan lakonannya bersama P Ramlee dan Datuk Aziz Satar dalam beberapa filem komedi termasuk Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul dengan filem terakhir pada 2010, Eee Hantu! arahan Majed Salleh. 
Allahyarham meninggalkan seorang balu, tujuh anak dan 14 cucu. Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Pusara Abadi Chua Chu Kang, Singapura kira-kira jam 10 pagi, hari ini. 
Selain teman seangkatan dan artis generasi baru, pemergian Allahyarham yang lebih mesra disapa Pak Sudin turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melayangkan mesej melalui Twitter mengenai kematian Pak Sudin serta mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. 
Sementara itu, Puteh berkata, sejak kebelakangan, arwah sentiasa merenung wajahnya dan meminta badannya dibersihkan dengan kerap selain tidak banyak berkata-kata. 
"Saya ada beberapa kali meminta maaf kepada arwah. Namun arwah beritahu tidak perlu meminta maaf kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. 
"Saya bersyukur apabila hajat terakhir arwah ingin menikmati mi rebus dapat ditunaikan. Arwah sempat menjamah juadah itu sebelum meninggal dunia," katanya. 
Wahid Satay bersama S. Shamsuddin 
Turut hadir menziarahi Allahyarham, rakannya yang juga pelakon veteran, Abdul Wahid Ahmad, 83, atau dikenali sebagai Wahid Satay. 
Wahid menyifatkan pemergian Allahyarham suatu kejutan. Baginya arwah adalah seorang abang yang banyak membantu pada zaman Studio Jalan Ampas. 
"Ini suatu kehilangan besar. Arwah yang membawa saya berjumpa dengan P Ramlee dan Datuk Aziz Satar, selain banyak membantu saya walaupun kami berlainan syarikat penerbitan. 
"Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah ketika menghadiri majlis penghargaan artis veteran bersama bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim di Kuala Lumpur, awal tahun ini," katanya. - Berita Harian

Kemaskini 6.6.2013
Pak Sudin disemadi
Jenazah S. Shamsuddin dimasukkan ke dalam liang lahad. Foto: Berita Harian

Foto
Para hadirin membacakan doa selepas jenazah selamat dikebumikan. Foto: myMetro

SINGAPURA - Lebih 200 individu termasuk ahli keluarga, rakan dan orang ramai mengiringi jenazah pelakon komedi S Shamsuddin atau Samsudin Dali, 84, untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Aman Choa Chu Kang, di sini, pada jam 11.30 pagi semalam. 
Terdahulu jenazah dibawa dari rumahnya di West Avenue 6, Bukit Batok untuk disembahyangkan di Masjid Al-Mukmin, Jurong East pada jam 10.45 pagi, dengan keadaan cuaca baik yang melancarkan urusan pengebumian. 
Pelawak Suhaimi Yusof, 44, menganggap arwah seorang pelakon komedi yang ulung dan amat matang kerana gelagat, aksi serta dialog dalam filem lakonannya tetap menjadi ikutan golongan muda termasuk kanak-kanak generasi baru. 
Katanya, ramai kanak-kanak dan pemuda boleh menghafal dialog dilakonkan arwah dan kerap digunakan sebagai bahan jenaka untuk berhibur dalam masyarakat walaupun filem lakonannya berusia lebih tua daripada usia mereka. 
“Saya beruntung kerana enam tahun lalu sempat membawa arwah bersiar-siar di sekitar Studio Jalan Ampas. - mymetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.