Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 20 Jun 2013

Kampung Melayu Tertua Di Sarawak Terbakar

Kebakaran yang berlaku di Kampung Datuk merupakan antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak. Foto: Bernama


SIBU - Lebih 600 orang tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 100 buah rumah di Kampung Datu, antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak, di sini musnah dalam kebakaran besar hari ini. 
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu, Mutalib Jaafar berkata kebakaran itu berlaku pada kira-kira pukul 4 petang dan 47 anggota dari dua balai di sini dan Kanowit berjaya mengawal kebakaran lima jam kemudian. 
"Sehingga kini kita belum menerima sebarang laporan kemalangan jiwa dan kita akan meneruskan siasatan berkenaan punca kebakaran ini," katanya semasa dihubungi Bernama. 
Sementara itu Penghulu Kampung Datuk, Hussain Abdul Rasit berkata kira-kira 600 orang mangsa telah didaftarkan dan ditempatkan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan Abang Ali berdekatan kampung itu. - Bernama


Foto
Kira-kira 100 rumah terbakar di Kampung Datu Lama, semalam. Foto: myMetro

Foto
Pemandangan dari udara kebakaran yang berlaku di Kampung Datu Lama. Foto: myMetro

Foto
Kampung Datu Lama hanya tinggal nama. Foto: myMetro
SIBU - “Sebaik tiba di rumah, saya lihat penduduk berlari sambil menjerit api... api... api dan ada juga yang menangis,” kata Mohamad Nur Hafiz Majidi, 28, ketika menceritakan kebakaran membabitkan hampir 100 rumah di Kampung Datu Lama, di tepi Sungai Rajang di sini, semalam. 
Kebakaran yang berlaku sekitar 3.45 petang itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk kampung tradisi berkenaan tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barangan berharga berikutan api marak dengan cepat selain kedudukan rumah terlalu rapat. 
Menurutnya, api dipercayai bermula dari sebuah rumah tidak berpenghuni sebelum merebak ke rumah bersebelahan. 
“Rumah tidak berbumbung itu sudah lama ditinggalkan pemiliknya. Kebakaran bermula dari rumah itu, mungkin disebabkan cuaca terlalu panas sebelum merebak rumah lain. 
“Ketika kejadian, kebanyakan penduduk keluar bekerja dan kepulangan mereka dikejutkan dengan kejadian menyedihkan ini,” katanya yang tinggal di Kampung Hilir ketika dihubungi di sini, semalam. - myMetro


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.