Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 4 Jun 2013

Kawasan Eropah Tengah Dilanda Banjir

HUJAN lebat berterusan mengakibatkan banjir melanda kota lama Passau, selatan Jerman.

Anggota bomba dan sukarelawan memindahkan penduduk dari bandar Grimma, Jerman yang dilanda banjir

Air banjir mengalir deras di bawah Jambatan Charles yang merentangi Sungai Vltava di Prague, Czech

Pasukan penyelamat Austria menggunakan bot untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap di bandar Ach

Air Sungai Danube telah meningkat naik dan hampir menyentuh jambatan

Pihak berkuasa di Prague mengarahkan pemindahan harimau dari zoo bandar raya itu yang terletak di tepi sungai

BERLIN - Pihak berkuasa di beberapa kawasan tengah Eropah memberi amaran bencana alam sambil berusaha mengukuhkan pertahanan banjir kelmarin ketika air sungai melimpah berikutan hujan lebat beberapa hari. 
Beberapa orang maut atau hilang dalam banjir di Jerman, Republik Czech, Austria dan Switzerland sejak Khamis lalu manakala penduduk juga dipindahkan daripada kawasan banjir di barat daya Poland. 
Pegawai Republik Czech berkata, hadangan besi dibina bagi mengelak banjir selepas air sungai Vltava di Prague dijangka mencapai paras kritikal. 
Datuk Bandar sementara, Tomas Hudecek, berkata pihak berkuasa menutup lapan stesen kereta api bawah tanah di ibu kota dan menggesa penduduk tidak masuk ke bandar raya itu. 
Beliau berkata, seluruh perkhidmatan kereta api bawah tanah ditutup pada jam 11 malam kelmarin, sejam lebih awal berbanding waktu normal manakala tiga laluan di tengah Prague terus ditutup. 
Menjangkakan masalah trafik, beliau berkata, semua taman jagaan, sekolah rendah dan menengah di ibu kota itu turut ditutup. 
Di bandar Trebenice, lokasi seorang wanita dan lelaki ditemui mati di bawah runtuhan kediaman musim panasnya dipercayai disebabkan banjir, lapor televisyen. Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan hilang. 
Banyak jalan raya dan landasan kereta api ditutup, termasuk satu dari Prague ke timur negara itu. 
Perdana Menteri Republik Czech, Petr Necas, berkata 300 anggota tentera dikerah membantu pihak berkuasa manakala 2,000 lagi diarah bersiap sedia. Kerajaan juga mengisytiharkan darurat di enam kawasan, di barat sebahagian negara itu dan Prague yang teruk dilanda banjir. 
Beribu-ribu orang dipindahkan daripada rumah mereka di seluruh negara, terutama di utara dan selatan. 
Di Prague, pihak berkuasa mengarahkan perpindahan sebahagian zoo bandar raya itu yang terletak di tepi sungai. Pesakit di hospital di Prague juga dipindahkan ke tempat tinggi 
Di Jerman, sekurang-kurangnya empat maut atau hilang dan Canselor Angela Merkel menjanjikan bantuan persekutuan untuk kawasan terjejas selain mengerah askar membantu jika perlu. 
Beberapa bandar raya termasuk Chemnitz di timur dan Passau serta Rosenheim di selatan, mengeluarkan amaran bencana. 
Passau, yang terletak di pertemuan tiga sungai, melihat peningkatan paras air mengatasi rekod 2002, kata Datuk Bandar, Juergen Dupper. 
Agensi berita Jerman, DPA, melaporkan laluan utama kenderaan di sungai Rhine, Main dan Neckar ditutup kepada kapal. Pemindahan juga dilakukan di Austria dan Switzerland. 
Sungai melimpahi tebing di beberapa kawasan pedalaman di barat daya Poland, dan penduduk dipindahkan. Di satu tempat, banjir menghanyutkan kereta bomba. - AP/Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.