Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 7 Ogos 2013

Kisah Jurujual Roti



WALAUPUN peristiwa itu berlaku hampir 20 tahun lalu, namun ia tetap segar dalam ingatan Mohd. Jamsari Salam, 44. Mana mungkin Jamsari boleh melupakan, bagaimana lori yang penuh dengan muatan roti dipandunya terbalik di tengah-tengah jalan di Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Subang, Selangor. 
Akibat kemalangan itu hampir semua roti di dalam lori bertaburan di atas jalan. Apa yang mengejutkan Jamsari, ketika dia sedang berusaha keluar daripada tempat duduk pemandu, pengguna jalan mula berkerumun ke tempat kejadian. Bagaimanapun, mereka bukanlah datang semata-mata untuk menyelamatkan Jamsari, sebaliknya lebih berminat mengutip roti-roti di atas jalan. 
“Orang ramai menyelamatkan roti dahulu, kemudian barulah menyelamatkan saya,” cerita Jamsari berjenaka mengenangkan kejadian sewaktu dia bergelar jurujual roti di syarikat roti Gardenia. 
Hari ini, Jamsari mungkin sudah tidak memandu lori. Hasil kesungguhan dan komitmen tinggi terhadap kerjanya, pihak syarikat memberi kepercayaan kepada Jamsari menjawat tugas lebih tinggi sebagai pengaudit runcit. 
Namun, bermula dari bawah sebagai jurujual, dia tidak mungkin melupakan susah senang memandu lori setiap hari dari pagi hingga ke petang dari satu kedai ke satu kedai untuk mengedarkan lebih 1,000 bungkus roti Gardenia. 
Akuinya, terlalu banyak cabaran dan kenangan disimpannya sepanjang mencari rezeki bergelar jurujual roti, malah ujian pertama datang daripada keluarga sendiri. 
Tugas jurujual roti memandu, menjual dan membuat kiraan akaun, malah mengangkat roti.
“Pertama sekali apabila saya beritahu ahli keluarga mengenai tugas saya menjual roti, air muka mereka berubah. Manakan tidak, saya pernah menolak tawaran belajar di maktab dan meneruskan kerja di sini. Bukankah ia akan membuatkan orang tua kita sedikit kecewa,” kata Jamsari ketika dalam perjalanan melawat pusat pengedaran roti Gardenia di Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor. 
Namun, beliau percaya jika seseorang itu rajin dan mencintai kerjayanya sudah tentu pintu rezeki sentiasa terbuka, apatah lagi pihak syarikat juga sangat menjaga kebajikan kakitangan. 
“Pengorbanan saya akhirnya berbaloi apabila syarikat memberikan saya peluang kenaikan jawatan dan gaji dalam masa yang singkat, sekali gus dapat memujuk orang tua untuk terus mencari rezeki di sebuah syarikat roti.” ungkap Jamsari. 
Bercerita tentang pengalamannya sebagai jurujual roti, ujar Jamsari, dia bukan sekadar menghantar roti ke kedai-kedai dan restoran, malah perlu komited dalam memastikan semua roti dihantar mengikut keperluan sesuatu kawasan dan tepat pada masanya. 
Roti seperti yang diketahui merupakan antara makanan ruji rakyat negara ini, oleh sebab itu lihatlah di mana-mana jua kedai baik kedai runcit, kedai 24 jam atau pun pasar raya besar hampir setiap kedai mempunyai rak roti. 
Berbeza dengan produk lain yang mungkin mempunyai tarikh luputnya sehingga beberapa tahun, tarikh luput roti hanya bertahan antara empat hari hingga satu minggu sahaja. 
Ia menyebabkan hampir setiap hari lori roti perlu singgah di kedai-kedai di bawah kawasan masing-masing untuk membekalkan roti-roti baharu. 
“Memandangkan permintaan terhadap roti lebih tinggi pada waktu pagi, rutin tugas saya bermula seawal pukul 2 atau 3 pagi di pusat pengedaran Gardenia di Bukit Kemuning. Ini kerana di situ, saya perlu memuat naik dan merekod jumlah roti dahulu sebelum keluar mengedarkannya ke kedai-kedai,” ujarnya sambil memberitahu tugas beliau biasanya tamat pada sebelah petang selepas lebih 10 jam bekerja. 
Rak-rak roti biasanya diletakkan di bahagian depan kebanyakan kedai atau pasar mini
Kongsi Jamsari lagi, seorang jurujual akan memandu sebuah lori dan mengedarkan roti ke 50 hingga 60 kedai setiap hari. 
“Saya akan menghantar roti ke kedai yang sama hampir setiap hari. Disebabkan itulah, jurujual roti antara kakitangan paling ramai di syarikat kami untuk memastikan kedai-kedai menerima roti Gardenia kami setiap hari,” beritahu Jamsari sambil berkongsi Gardenia mempunyai hampir 2,000 jurujual roti. 
Beliau pernah bertugas di beberapa lokasi antaranya di Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya dan di Alor Setar, Kedah. 
Teman beliau, Kamarol Shaharim, 42, yang berkongsi pengalaman yang sama berkata, semasa di pusat pengedaran lagi, seseorang jurujual perlu memastikan sistem susunan roti di dalam lori dilakukan secara profesional supaya proses penghantaran dapat dilakukan secara efisien. 
“Bukan semasa hendak menurunkan roti, baru tercari-cari jenis roti atau membuat pengiraan. Kita perlu mengaturnya semasa melakukan muat naik lagi,” katanya mengenai cara kerja seorang jurujual. 
Walau bagaimanapun, kenangan seperti berdepan dengan kemalangan, trafik dan peniaga yang sangat cerewet semasa waktu penghantaran menjadi intipati kehidupan jurujual roti. 
“Ada peniaga yang cerewet dan tidak suka walau kita lambat 10 minit daripada waktu penghantaran biasa. Ada yang tidak suka apabila pelanggan mereka terpaksa pulang tangan kosong kerana ketiadaan roti. Apabila berdepan dengan pekedai bermasalah, selaku pemegang jenama syarikat saya perlu banyak bersabar dan bijak mengendalikan situasi,” cerita Kamarol pula. 
Petugas memeriksa roti yang sudah dibakar sebelum dipotong kepada 12 kepingan.
Berkongsi pengalaman bertugas pada hari raya, beritahu Kamarol permintaan roti yang tidak pernah putus walaupun pada hari perayaan selain faktor tarikh luput roti memaksa jurujual roti sentiasa bertugas walaupun pada hari raya. 
“Mungkin hanya separuh sahaja dapat bercuti, jurujual lain perlu bertugas untuk memastikan bekalan roti tidak terputus. Saya sendiri hanya dapat bercuti hari raya pada tahun kelima bekerja. Itupun dengan syarat harus kembali bertugas jika diperlukan,” Kamarol bercerita lagi. 
Namun kini, selepas bekerja hampir 20 dengan Gardenia, Kamarol hari ini tidak lagi memegang stereng lori dan mengedarkan roti. 
Berkat pengalamannya, dia dilantik sebagai eksekutif jualan iaitu individu yang akan merekrut jurujual baharu, memberi latihan dan menyelia jurujual di syarikat itu. - Kosmo! Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.